Keinginan menjadi Tuhan
Orang-orang yang diberi al-Kitab sebelum al-Qur'an didapati menaruh suatu keinginan terhadap orang-orang Kitab Allah yang terakhir. Keinginan mereka, Yahudi dan Kristian, dapat difahamkan apabila mereka dikatakan tidak akan berpuas hati selagi orang-orang Islam tidak mengikuti anutan mereka. Keinginan tersebut mungkin tidak diketahui atau dipastikan sehingga Allah mendedahkan melalui firman berbunyi,"Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu mengikuti anutan mereka. Katakanlah, 'Petunjuk Allah ialah petunjuk yang benar.' Jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak akan ada, terhadap Allah, wali (pelindung) dan tiada juga penolong." (2:120)
Agak menarik apabila didapati ayat di atas merupakan yang pertama antara ayat-ayat Allah yang mengandungi kata keinginan di dalam al-Qur'an. Justeru, keinginan supaya orang Islam menganut agama yang sama dengan mereka berdua menjadi pilihan pertama bagi Allah dalam memperkatakan perihal keinginan manusia.
Lawan bagi keinginan mereka ialah petunjuk daripada Allah, yang terkandung di dalam Kitab al-Qur'an. Tanpanya, apa yang mereka ingini pasti tercapai, dan mungkin sudah tercapai sedikit sebanyak, terbukti dengan kehadiran beberapa ajaran anutan mereka dalam kepercayaan Islam, selain terdapat orang-orang yang murtad untuk memeluk agama mereka.
Keinginan yang serupa dapat dilihat dalam Islam. Golongan-golongan di dalamnya bukan sekadar berkeinginan sahaja malah pergi lebih jauh lagi dengan memaksa orang-orang Islam yang tidak sefahaman supaya tunduk kepada fahaman mereka. Lawan bagi kehendak mereka ialah petunjuk daripada Allah juga.
Ahli Kitab
Selepas itu Allah menyebut mengenai orang-orang yang diberi al-Kitab. Mereka berselisih mengenai kiblat, lalu tidak menjadi pengikut kiblat satu sama lain. Kerana mengikuti keinginan mereka, mereka juga tidak menjadi pengikut kiblat yang ditentukan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu Masjidil Haram. Firman-Nya,
"Namun begitu, jika kamu mendatangkan kepada orang-orang yang diberi al-Kitab tiap-tiap ayat, mereka tidak akan mengikuti kiblat kamu; kamu bukanlah pengikut kiblat mereka, dan bukanlah mereka pengikut-pengikut kiblat satu sama lain. Jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, sungguh, kamu termasuk orang-orang yang zalim." (2:145)
Pengetahuan sudah datang, maka zalimlah orang-orang yang mengikuti keinginan segolongan manusia untuk tidak berkiblatkan Masjidil Haram.
berlebih-lebihan dalam agama
Allah meneruskan penjelasan mengenai ahli Kitab. Atas keinginan segolongan ahli Kitab (termasuk Kitab al-Qur'an) ajaran dan amalan agama tidak lagi menjadi benar setelah mereka menambah padanya sehingga menjadi berlebih-lebihan. Misalan, pada asal ada hanya sebuah Kitab, kemudian menjadi timbunan kitab untuk dijadikan pegangan dalam agama. Segala tambahan datang daripada keinginan kaum yang bersalah lagi sesat. Firman Allah,
"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, janganlah berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan janganlah mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan menyesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul.'" (5:77)
Kepercayaan agama menjadi lebih daripada yang terkandung di dalam al-Qur'an, dengan kekadang menggunakan nama rasul yang membawa Kitab tersebut. Peranannya ditokok-tambah sehingga tidak menjadi hanya menyampaikan ayat-ayat Allah seperti yang ditetapkan-Nya. Apapun, segala tambahan yang akhirnya menjadi berlebihan dalam ajaran dan amalan agama telah menyesatkan ramai manusia daripada jalan yang betul.
Keadilan
Jalan yang betul, di mana terdapat keadilan, turut dibengkokkan oleh keinginan atau kehendak manusia. Dengannya kandungan Kitab diputarbelit atau dipalingkan daripada manusia lain untuk berlaku ketidakadilan. Atas perbuatan itu, orang-orang yang percaya kepada-Nya diingatkan seperti berikut:
"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan keadilan, saksi-saksi untuk Allah, walaupun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa kamu, dan sanak saudara, sama ada orang itu kaya atau miskin; Allah paling dekat dengan keduanya. Kemudian janganlah mengikuti keinginan kamu supaya kamu tidak berbuat adil; kerana jika kamu memutarbelitkan, atau kamu memalingkan, maka sesungguhnya Allah menyedari apa yang kamu buat." (4:135)
Berlaku adil serta lurus juga disarankan apabila menyeru ahli Kitab lain kepada al-Qur'an. Keinginan mereka tidak diikuti, dan pertengkaran tidak berlaku, tetapi hanya berkata "Bagi kami amalan-amalan kami, dan bagi kamu, amalan-amalan kamu". Maksud firman Tuhan:
"Oleh kerana itu, kamu serulah, dan berlakuluruslah sebagaimana kamu diperintahkan; janganlah mengikuti keinginan mereka, dan katakanlah, 'Aku percaya kepada mana-mana Kitab yang Allah menurunkan; aku diperintah supaya berlaku adil antara kamu. Allah Pemelihara kami, dan Pemelihara kamu. Bagi kami amalan-amalan kami, dan bagi kamu, amalan-amalan kamu; tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu; Allah akan mengumpul kita bersama, dan kepada-Nya kepulangan.'" (42:15)
Hakim
Beranjak kepada hal menghakim antara manusia. Dalam hal tersebut, keinginan atau kehendak orang-orang yang dihakimkan tidak diikuti supaya yang benar tidak diabaikan. Mereka juga akan menggoda hakim daripada apa yang Allah turunkan di dalam al-Qur'an. Firman Tuhan,
"Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar yang datang kepada kamu.....
Dan hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka, supaya mereka tidak menggoda kamu daripada sebarang apa yang Allah menurunkan kepada kamu." (5:48-49)Sebaliknya, orang-orang yang menghakim dengan tidak adil kerana mengikuti keinginan mereka sendiri disifatkan sebagai sesat daripada jalan Allah. Firman-Nya,
"Wahai Daud, sesungguhnya Kami melantik kamu khalifah (pengganti) di bumi; maka hakimkanlah antara manusia dengan adil, dan janganlah mengikuti keinginan supaya ia tidak menyesatkan kamu daripada jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat daripada jalan Allah, bagi mereka, azab yang keras kerana mereka melupakan Hari Perhitungan." (38:26)
Menyentuh sedikit mengenai terjemahan. Didapati bahawa antara para penterjemah al-Qur'an terdapat mereka yang tidak menggunakan perkataan keinginan tetapi hawa nafsu bagi kalimat asal hawa. Contoh kegunaannya adalah pada ayat yang baru disebut dan yang bakal diturunkan.
Kembali kepada perkara yang dibincangkan dengan tajuk kecil di bawah, dan sebuah firman:
Menyembah si Anu
"Katakanlah, 'Aku dilarang menyembah orang-orang yang kamu seru selain daripada Allah.' Katakanlah, 'Aku tidak mengikuti keinginan kamu; jika demikian, aku sesat dan tidak termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.'" (6:56)
Menyeru Allah membawa kepada menyembah-Nya. Menyeru selain Allah membawa kepada menyembah selain daripada-Nya. Orang yang menyeru dan menyembah Allah membersihkan empat bahagian anggota badan dalam wuduk. Orang yang menyeru dan menyembah si Anu (selain daripada Allah) membersihkan lebih daripada empat bahagian. Orang yang menyeru dan menyembah Allah tidak menyebut nama selain nama Allah dalam solat. Orang yang menyeru dan menyembah si Anu menyebut nama atau nama-nama selain daripada Allah dalam solat mereka. Orang yang menyeru dan menyembah Allah berkata Nabi tidak tahu yang ghaib, tetapi orang yang menyeru dan menyembah si Anu berkata Nabi tahu yang ghaib. Demikian beberapa contoh perbezaan di antara dua golongan tersebut.
Membersih empat bahagian anggota badan dalam wuduk, tidak menyebut nama selain nama Allah dalam solat, dan Nabi tidak tahu yang ghaib adalah petunjuk daripada Allah. Orang yang tidak dapat petunjuk, lalu menjadi sesat, kerana mengikuti keinginan si Anu, akan melakukan atau percaya selain daripada apa yang diturunkan-Nya.
petunjuk
Terdapat beberapa lagi ayat "keinginan" yang mengandungi perkataan petunjuk atau yang serupa misalan Peringatan atau bukti yang jelas. Pertama diturunkan di sini ialah mengenai orang yang mengikuti keinginan sambil mendustakan petunjuk atau ayat-ayat Allah. Satu persamaan telah dibuat, dan disuruh pula menceritakannya kepada masyarakat umum, seperti di bawah:
"Dan sekiranya Kami menghendaki, tentu Kami menaikkan dia dengannya, tetapi dia cenderung kepada bumi, dan mengikuti keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itulah persamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka memikirkan." (7:176)
Nah! Orang itu direndahkan dengan disamai seekor anjing yang menjulurkan lidahnya. Tidak syak lagi bahawa ia adalah satu persamaan yang buruk bagi orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya.
Kedua, menurut urutan, ialah ayat mengenai orang-orang yang berpaling daripada Peringatan kerana mengikuti keinginan mereka. Langit dan bumi dan apa sahaja yang di dalamnya akan rosak jika yang benar mengikuti keinginan mereka. Firman Tuhan,
"Sekiranya yang benar mengikuti keinginan mereka, langit dan bumi dan apa sahaja yang di dalamnya, tentulah rosak. Tidak, Kami mendatangkan kepada mereka Peringatan mereka, tetapi daripada Peringatan mereka, mereka berpaling." (23:71)
Mungkin tsunami yang berlaku empat tahun lalu boleh dijadikan contoh bagi kerosakan tersebut. Atau apa yang berlaku di Afghanistan akibat diperintah oleh golongan Islam yang mengikuti keinginan atau hawa nafsu.
Keinginan manusia harus diikuti dengan petunjuk al-Qur'an supaya tidak menjadi sesat. Tanpa petunjuk, atau pengetahuan, keinginan mampu mengheret kepada kezaliman. Firman-Nya,
"Kemudian, jika mereka tidak menyahut kamu, ketahuilah bahawa mereka hanya mengikuti keinginan mereka; dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti keinginannya tanpa petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim." (28:50)
"Tidak, tetapi orang-orang yang membuat kezaliman mengikuti keinginan mereka, tanpa pengetahuan; maka siapakah yang akan memberi petunjuk kepada orang yang Allah menyesatkan? Mereka tidak ada penolong-penolong." (30:29)
Amalan-amalan yang jahat akan dinampakkan indah bagi orang-orang yang mengikuti keinginan mereka sedang mereka tidak berada di atas bukti yang jelas, atau petunjuk al-Qur'an. Demikian dijelaskan oleh ayat berbunyi,
"Apa, adakah orang yang di atas bukti yang jelas daripada Pemeliharanya seperti orang yang amalan-amalannya yang jahat dinampakkan indah baginya, dan mereka mengikuti keinginan mereka?" (47:14)
Lantaran itu, dapat disimpulkan bahawa orang-orang yang tidak mengikuti ayat-ayat al-Qur'an adalah mereka yang mengikuti keinginan (atau kemahuan atau hawa nafsu) mereka sendiri atau keinginan orang lain seperti si Anu. Mereka dikatakan zalim dan sesat.
Makanan
Perkara selanjut dalam urutan ayat-ayat mengandungi kalimat keinginan ialah makanan. Pada makanan pun ramai orang disesatkan oleh orang-orang yang mengikuti keinginan mereka. Mereka mengharamkan makanan-makanan yang tidak diharamkan Allah lalu menjadi orang-orang yang mencabuli hukum Allah. Firman-Nya,
"Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah menjelaskan kepada kamu apa yang Dia mengharamkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat mengetahui orang-orang yang mencabul." (6:119)
Penjelasan mengenai apa yang diharamkan Allah dapat dibaca pada ayat-ayat 2:173, 5:3 dan 16:115. Terdapat lagi ayat keinginan atas makanan yang menjelaskan pula mengenai orang-orang yang mempersaksikan berbunyi,
"Katakanlah, 'Bawalah saksi-saksi kamu, orang-orang yang mempersaksikan bahawa Allah mengharamkan ini.' Kemudian, jika mereka mempersaksikan, janganlah menyaksikan bersama mereka; dan janganlah mengikuti keinginan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan yang tidak mempercayai akhirat, dan menyetarakan Pemelihara mereka." (6:150)
Selain mencabul, orang-orang yang mengharamkan makanan atas keinginan mereka disifat sebagai mendustakan ayat-ayat Allah, tidak mempercayai akhirat, dan menyetarakan-Nya.
Kehukuman
"Begitulah Kami menurunkan sebagai satu kehukuman dalam bahasa Arab. Dan jika kamu mengikuti keinginan mereka, setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak ada wali (pelindung) terhadap Allah, dan tidak ada yang mempertahankan." (13:37)
Ayat sebelumnya (13:36) yang berbunyi "Katakanlah, 'Aku hanya diperintah untuk menyembah Allah, dan tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya. Kepada-Nya aku berseru, dan kepada-Nya tempat kembali'" boleh diambil sebagai penjelasan bagi maksud kehukuman yang disebut.
Justeru, al-Qur'an yang diturunkan dalam bahasa Arab kerana kejelasan yang terdapat padanya, untuk memudahkan alih bahasa supaya seluruh umat manusia dapat memahami apa yang dimaksudkan dengan menyembah Allah, menyekutu sesuatu dengan-Nya, dan sebagainya.
Maka segala kebengkokan yang terbit daripada keinginan sesetengah golongan, seperti daripada penganut anutan si Anu, dapat dikesan dengan mudah.
Berkaitan dengan kehukuman ialah syariat, atau hukum agama, daripada Perintah Allah. Manusia yang mengikuti keinginan mereka juga menggubal hukum agama sendiri, seperti hukum hudud atau hukum syariah a la suni dan sebagainya, tetapi ia tidak diikuti, kerana mereka yang menggubal ditakrif sebagai orang-orang yang tidak mengetahui. Firman Allah,
"Kemudian Kami membuat kamu di atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia, dan janganlah mengikuti keinginan orang-orang yang tidak mengetahui." (45:18)
Hati
Hati menjadi perkara yang dibangkitkan seterusnya dalam urutan ayat-ayat keinginan. Ia dilalaikan Allah daripada mengingati-Nya pada golongan manusia yang mengikuti keinginan mereka. Firman-Nya,
"dan janganlah mentaati orang yang hatinya Kami melalaikan daripada mengingati Kami supaya dia mengikuti keinginannya, dan urusannya melewati batas." (18:28)
Orang yang lalai daripada mengingati Allah dikatakan melewati batas dalam urusannya kerana mengikuti keinginan. Satu daripada amalan dalam mengingati-Nya ialah solat. Untuk keterangan lanjut mengenai mengingati Allah sila rujuk Zikir ajaran al-Qur'an. Terima kasih.
Ada juga yang pada hati mereka Allah letak satu penutup lalu mereka mengikuti keinginan mereka. Itu kerana setelah mendengarkan ayat-ayat Allah yang jelas mereka pergi pula kepada orang-orang yang diberi pengetahuan untuk bertanya. Ayat berikut menjelaskan,
"Dan antara mereka ada yang mendengarkan kamu, sehingga, apabila mereka keluar daripada kamu, mereka berkata kepada orang-orang yang diberi pengetahuan, 'Apakah yang dia mengatakan tadi?' Merekalah orang-orang yang pada hati mereka Allah meletakkan satu penutup, dan mereka mengikuti keinginan mereka." (47:16)
Perbuatan pergi bertanya, misalan kepada ustaz, atas kemahuan sendiri, adalah kerana ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah. Atau ada agenda lain dalam ketidakpercayaan.
Menjadi tuhan
Kemuncak mengikuti keinginan ialah apabila ia dijadikan tuhan, bermaksud ia lebih diutamakan daripada Tuhan, atau ayat-ayat-Nya. Tindakan-tindakannya mengikut kehendaknya bukan kehendak Tuhan. Firman-Nya,
"Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya? Adakah kamu menjadi wakil kepada mereka?" (25:43)
Satu contoh orang seperti itu ialah yang mempunyai suatu pengetahuan, lalu membuatnya beranggapan seperti orang pandai. Dia disesatkan atas pengetahuan tersebut, dan pendengaran, hati serta penglihatannya ditutup oleh Allah. Maksud firman-Nya,
"Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah menyesatkan dia atas satu pengetahuan, dan meletakkan satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan meletakkan satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan memberi petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?" (45:23)
Benar, sesetengah orang pandai didapati sukar untuk menembusi keinginan atau ego mereka dengan ayat-ayat al-Qur'an.
Jiwa
Pengaruh keinginan manusia ialah jiwa mereka. Ia telah menyebabkan berlaku kesombongan, dan rasul didusta dan dibunuh, seperti dilakukan oleh Bani Israil sebelum al-Qur'an diturunkan (2:87 dan 5:70). Apa yang berlaku pada hari ini, disebabkan oleh sangkaan dan keinginan jiwa orang-orang yang terdahulu ialah sebutan nama Allah yang Dia tidak memberi kuasa. Misalan nama Akhbar yang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Firman-Nya,
"Tiadalah ia, melainkan nama-nama yang kamu sendiri menamakan, dan bapa-bapa kamu; Allah tidak menurunkan kuasa mengenai mereka. Mereka mengikuti hanya sangkaan, dan apa yang jiwa menginginkan; dan sesungguhnya, petunjuk telah datang kepada mereka daripada Pemelihara mereka." (53:23)
Oleh itu, Allah menyuruh manusia supaya melarang jiwa mereka daripada menimbulkan keinginannya. Orang yang takut akan Medan-Nya tentu akan melarangnya. Firman Allah,
"Tetapi bagi orang yang takut akan Medan Pemeliharanya, dan melarang jiwa daripada keinginannya," (79:40)
Daripada ayat sebelum (79:39) apa yang dimaksudkan dengan Medan di situ ialah Jahim atau dikenali umum sebagai neraka.
Penutup
Tajuk jiwa adalah yang terakhir dalam ayat-ayat keinginan yang menurut kronologi. Terdapat pula ayat yang mengandungi perkataan berkeinginan. Ayat tersebut terkandung dalam doa Nabi Ibrahim. Apa yang dipohonnya kepada Allah supaya hati manusia berkeinginan melakukan sesuatu disebut di dalam ayat berbunyi,
"Wahai Pemelihara kami, aku menempatkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah di mana tidak ada tanah yang disemai dekat dengan Rumah Suci Engkau; wahai Pemelihara kami, agar mereka melakukan solat, dan buatkanlah hati manusia berkeinginan padanya, dan berilah rezeki mereka dengan buah-buahan supaya mereka berterima kasih." (14:37)
Allah dipohon semoga hati manusia berkeinginan melakukan solat. Namun, orang yang tidak mempercayai dan mengikuti keinginannya akan menghalang daripada melakukannya. Firman Allah,
"Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukanlah solat untuk mengingati Aku... Janganlah sesiapa menghalangi kamu daripadanya, yang tidak mempercayainya dan mengikuti keinginannya, atau kamu akan binasa." (20:14-16)
Orang yang tidak mempercayai dan mengikuti keinginannya tidak menyembah Allah dan tidak melakukan solat untuk mengingati-Nya. Dan tentu ada lagi keingkaran lain yang dilakukannya.
Sila rujuk:
Kalimat Keinginan di dalam al-Qur'an.
Penulis Bacaan
26 Mei 2009Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman