Berjalan Betul


 


From: "cheng" <tmcheng27@hotmail.com>
Subject: berhati-hati
Date: Mon, 13 Jan 2003 20:27:33 +0800

assalamualaikum....

dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani.... dedikasi serta ucapan terima kasih kepda kalian semua kerana sudi membaca serba sedikit catatan yang tidak seberapa ini tetapi ianya pada perkiraan penulis adalah amat bermakna dan berharga demi kemaslahatan dan menjaga kemuliaan ajaran ilahi..

perlu kita ketahui bahawa ajaran islam itu merupakan inti pati atau pokok utama di dalam kita menjalani kehidupan seharian sebagai umat islam di muka bumi ini...pokok ajaran sebenar islam adalah al-quran dan al hadis yang merupakan panduan asas dan ianya tidak boleh diragukan apatah algi ditolak secara total..

selain dari intipati dari al-quran dan al-hadis yang merupakan sumber asas bagi umat islam, terdapat juga panduan lain yang masih boleh dijadikan sandaran pengetahuan, contohnya melalui kaedah persoalan.. maka jawapan yang akan diutarakan adalah merupakan hasil yang boleh diterima pakai sebagai panduan yang amat berguna..

namun perlu kita semua amati serta berhati-hati dengan jawapan yang telah diberi kerana datangnya sumber itu masih boleh diragukan disebabkan oleh sumber yang bersifat maya...

saya ada terbaca jawapan yang diberikan oleh sebahagian pelawat laman web ini memberikan jawapan yang boleh dikirakan salah dari maksudnya yang sebenar..seperti; jawapan kepada pemakaian emas di kalangan lelaki, ianya adlah haram di sisi islam, akan tetapi penjawap menyatakannya adalh sebagai perkara yang dibolehkan...

justeru berhati-hatilah kalian semua.sekian ,

wassalam......... 



Surat di atas telah dijawab dan dikirim kepada saudara "cheng". Kandungannya berbeza sedikit berbanding dengan yang disampaikan di sini.

Ikutilah jawapan kami kali ini ......

 

Salamun alaikum saudara "cheng",

Terima kasih atas nasihat yang diberi. Maaf kerana tidak dapat menyambutnya dengan baik dan atas kemungkinan perasaan saudara akan terganggu dengan jawapan yang diberi.

Mungkin kerana saudara masuk Islam bukan melalui jalan utama maka saudara menjadi ragu-ragu terhadap kebenaran ayat-ayat Allah (sila rujuk kata-kata saudara yang berbunyi "sumber itu masih boleh diragukan" di perenggan 4).

Tidak mungkin saudara bermaksud terjemahan ayat kami, kerana saudara tidak mendatangkan terjemahan lain yang saudara kira betul.

Keraguan saudara, pada hemat kami, terbit daripada suntikan yang diterima daripada mereka yang mempercayai bahawa al-Qur'an sukar difahami dan harus dijauhi daripada cuba memahaminya.

Andaikata saudara telah memeluk agama Islam melalui ajaran Tuhan, iaitu dengan membaca dan memahami Kitab-Nya, tentu saudara tidak berkata begitu. Kerana saudara akan bertemu di permulaan Kitab sebuah ayat yang jelas, berbunyi:

"Kitab itu (al-Qur'an), di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa," (2:2)

Dan sebuah lagi ayat dalam surah yang sama, berbunyi:

"Dan Kami menurunkan kepada kamu (Muhammad) ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (2:99)

Setelah tidak menyedari bahawa ayat-ayat al-Qur'an itu jelas, dan tidak seharusnya diragukan, saudara cuba membetulkan orang lain pula dengan memberi nasihat yang menurut saudara "amat bermakna dan berharga demi kemaslahatan dan menjaga kemuliaan ajaran ilahi.."

Kata-kata saudara sungguh mengagumkan, macam kata-kata sesetengah pihak. Akan tetapi, kata-kata itu tidak pula saudara dengar dengan pendengaran.

Sebab, dalam penjelasan kami di bahagian Soalan Lazim, bagi pertanyaan mengenai emas, sebuah ajaran "ilahi" telah dipetik, tetapi saudara menyangkalnya dengan kata-kata tegas berbunyi "dikirakan salah".

Ajaran ilahi yang dimaksudkan berbunyi "Katakanlah, 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia mengeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya?" (7:32). 

Penyangkalan saudara diteruskan lagi dengan berkata bahawa pemakaian emas adalah "haram di sisi islam" bagi kaum lelaki.

Selain memberi gambaran ayat Allah itu bukan Islam, penyangkalan saudara, pada hemat kami, merupakan suatu keingkaran terhadap Allah kerana tidak "menjaga kemuliaan ajaran ilahi.." sekadar memetik apa yang saudara tulis terlebih dahulu.

Sungguh ralat dirasakan! Kalaulah saudara telah membaca dan memahami al-Qur'an untuk keislaman saudara, tentu saudara tidak berkata seperti itu.

Atau berkata, seperti sesetengah pihak berkata, "pokok ajaran sebenar islam adalah al-quran dan al hadis". Tidak saudara, Tuhan tidak berkata begitu.

Sebaliknya, Dia menyatakan seperti berikut:

"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami membacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya (al-Qur'an), yang mereka akan mempercayai?" (45:6)

Maksudnya, hanya al-Qur'an yang wajib dipercayai. Dan hadis sesudahnya, tidak. Lantas, dalam agama Allah, ia bukan "Al-Qur'an dan Hadis" tetapi "Al-Qur'an sahaja", yang wajib diimani.

Saudara tidak menyedari frasa "Al-Qur'an dan Hadis" membawa maksud menyembah "Allah dan Bukhari, Muslim, dll." (Hadis Bukhari, Muslim dll. ditulis dengan menggunakan nama Nabi atau Rasul untuk mendatangkan ajaran agama sesudah al-Qur'an).

Sehubungan itu, dipetik sebuah ayat ajaran ilahi berbunyi:

"Apa, tidakkah mereka merenungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka mendapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)

Selain al-Qur'an, banyak perselisihan, kata Allah yang benar! Satu lagi perselisihan yang dapat dikesan dalam kandungan surat saudara ialah cara memberi salam. Ajaran ilahi mengenainya begitu mudah, jelas, dan tidak diragukan, tetapi saudara memilih untuk mentaati tulisan Bukhari, yang nyata berselisih dengan ajaran Allah. Lalu saudara kelihatan seperti menyembah Bukhari bukan Allah.

Dalam agama yang betul, iaitu agama ilahi, orang-orang seperti Bukhari, Muslim, dll. tidak diajar untuk disembah. Hanya Allah yang disembah. Firman-Nya:

"Apa yang kamu sembah selain daripada Dia tiadalah melainkan nama-nama yang kamu sendiri menamakan, kamu dan bapa-bapa kamu; Allah tidak menurunkan kuasa mengenai mereka. Putusan hanyalah kepunyaan Allah. Dia memerintahkan bahawa kamu tidak menyembah sesuatu melainkan Dia. Itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (12:40)

Saudara mengikuti orang-orang dahulu yang mendatangkan ajaran bersifat berlebih-lebihan, iaitu yang selain daripada yang benar, yang diturunkan Allah. Jalan yang mereka tunjuk adalah bukan jalan yang betul. Allah melarang daripada mengikuti mereka. Firman-Nya:

"janganlah berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan janganlah mengikuti keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan menyesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul." (5:77)

Yang benar, tidak bengkok, yang membawa ke jalan yang betul, ialah apa yang diturunkan Allah, yang dipanggil Kitab yang betul, atau al-Qur'an. Firman-Nya:

"Segala puji bagi Allah yang menurunkan kepada hamba-Nya Kitab, dan tidak membuatkan padanya sebarang kebengkokan, yang betul, untuk memberi amaran akan bencana yang keras daripada-Nya, dan untuk memberi berita gembira kepada orang-orang mukmin (yang mempercayai) yang membuat kerja-kerja kebaikan" (18:1-2)

Justeru, tindakan saudara memberi nasihat seolah-olah seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul.

Oleh yang demikian, saudara "cheng" yang dihormati, diharap janganlah terus berjalan dan hidup dengan mengikuti kitab-kitab yang selain daripada Kitab Allah, kerana mereka tidak betul. Mungkin saudara telah diajar supaya berjalan dan hidup dengan kitab-kitab Bukhari, Muslim dll. serta mempercayai bahawa kitab-kitab mereka adalah lebih betul jalannya daripada al-Qur'an. Sekiranya begitu, maka ingatilah ancaman Allah dalam ayat yang baru disebut. Itu betul, dan diharap jangan diragukan lagi.

Sekian, terima kasih, dan sekali lagi, mohon maaf atas segala kekasaran kata yang telah diluahkan.

Salam.

 

Bacaan tambahan:

artikel:

Sepuluh Soalan
Salamun alaikum
Kafir dan Al-Qur'an
Rezeki daripada Allah
Al-Qur'an dan Sekutu Allah
dan
Mungkinkah Nabi telah mengajar sesuatu
yang tidak disebut di dalam al-Qur'an?

dan kalimat,
Kalimat hadis di dalam al-Qur'an
Kalimat haram di dalam al-Qur'an

 

Senarai pengirim E-Mail


Terkini   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman