Bukhari tanpa kelemahan?


Seorang yang tersinggung apabila Imam Bukhari dikritik, menulis:

 

From: "julia" <albasanain_81@hotmail.com>
Subject: peringatan penting...harap balas
Date: Tuesday, September 09, 2003 11:27 AM

assalamualaikum.saudara pengarang..saya terpanggil untuk bertanya tentang kekeliruan yang timbul drp artikel yg terdapat di dalam laman web ini.tajuk artikel:Al-Quran vs Bukhari et al.apakah yg dimaksudkan dgn maksud pengarang tersebut?seolah-olah mengenepikan hadis dgn menyebut kelemahan yg ada(yg tidak patut ada) pada hadis Bukhari?sepatutnya hadis adalah antara pegangan org muslim selepas Al-Quran.tidak sepatutnya pengarang mengenepikan hadis sehingga memburukkannya.harap sangat dapat respon balik drp pihak saudara,jika ia tidak disedar adalah dimaafkan,ttp jika sebaliknya harap diperbetulkan kerana ia bertentangan dgn syariat dan boleh mengelirukan pengguna yg lain.harap dpt jawapan balik.wassalam.sama-samalah tegakkan kalimah tauhid di bumi Allah ini.

Salamun alaikum adalah kalam Allah, dan Assalamualaikum pula, kalam Imam Bukhari. Manakah antara dua salam hormat itu dipakai oleh Nabi Muhammad?

Sebelum menjawab soalan itu, kami ajukan soalan seterusnya, berbunyi "Di manakah terletak kalam Allah yang berikut di dalam kitab Sahih Bukhari?"

"Satu penurunan (al-Qur'an) daripada Pemelihara semua alam. Sekiranya dia (Muhammad) mengadakan terhadap Kami sebarang ucapan, Tentu Kami ambilnya dengan tangan kanan, Kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya, Dan tiadalah seseorang daripada kamu yang dapat menghalangi dia (daripada hukuman tersebut)." (69:43-47)

Percayakah beliau bahawa kalam Allah itu telah keluar dari mulut Nabi?

Apa pendapat beliau, setelah Nabi Muhammad difahamkan ayat-ayat di atas, mahukah baginda menambah barang sesuatu pada kalam Allah? Atau mengata sesuatu yang bertentangan dengan apa yang ditetapkan-Nya?

Bagaimana pula penerimaan beliau terhadap ayat selanjut, berbunyi, "'Ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk sampaikan yang jelas (al-Qur'an),' (5:92 dan 24:54)"? Adakah beliau tidak percayainya?

Al-Qur'an yang disampaikan Rasul Allah memang jelas. Makna sesetengah perkataan pun dapat dijelaskan dengan merujuk kepada kegunaannya di dalam ayat-ayat Kitab tersebut. Contoh, perkataan ummiy

Mengapa pula Bukhari terjemahkan perkataan itu kepada buta huruf (Jilid 8, Hadis 194 diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Umar) lalu Nabi Muhammad disangka tidak tahu menulis dan membaca? Adakah beliau merujuk kepada al-Qur'an untuk mencari makna bagi perkataan itu? (Sila rujuk artikel Nabi pandai menulis, membaca.)

Setelah Nabi menerima dan membaca al-Qur'an, tentu baginda telah beritahu orang ramai bahagian-bahagian anggota badan yang harus dibersihkan dalam wuduk (5:6). Mengapa pula Bukhari mencatatkan tujuh bahagian anggota badan dalam wuduk (Sahih Bukhari, Jilid 1, Hadis 165, diriwayatkan Humran) sedangkan Allah dan Rasul-Nya menyebut hanya empat?

Kekeliruan yang dilakukan oleh Imam Bukhari ditambah lagi dengan beliau menyelitkan perkara kepercayaan kepada takdir ke dalam Rukun Iman. Rukun Iman yang lima dijadikannya enam pula (sila rujuk artikel Percaya kepada Takdir). 

Dan, buat orang percaya bahawa Nabi Muhammad mempunyai kuasa syafaat pada hari akhirat. Terdapat beberapa hadisnya atas dakwaan tersebut dan satu daripadanya adalah di Jilid 1, Hadis 331, diriwayatkan Jabir ibn Abdullah. Walhal, Tuhan ajar hanya Dia yang mempunyai kuasa syafaat (sila rujuk artikel Syafaat - ada atau tiada?).

Cukup sampai di situ sahaja untuk menunjukkan perbezaan antara ajaran Bukhari dengan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Perbezaannya bukan kecil.

Tidak dinafikan bahawa pengaruh Imam Bukhari adalah amat besar dalam dunia Islam. Syariat yang diajarnya diterima pakai walaupun didapati bertentangan dengan syariat yang terkandung di dalam al-Qur'an, iaitu syariat agama Allah dan Rasul-Nya yang sebenar.

Sungguh besar pengaruhnya sehingga ada yang sangka beliau tidak mempunyai sebarang kelemahan, seperti yang disangka oleh penulis surat di atas. Benarkah tulisan Bukhari tanpa kelemahan, dan patut diterima bulat-bulat sambil membelakangkan ajaran Allah dan Rasul-Nya yang terkandung di dalam al-Qur'an?

Oleh sebab kitab Bukhari mengandungi kelemahan maka ia berbahaya untuk diikuti. Pertama, kerana ia bukan datang dari sisi Allah lantas terdapat banyak perselisihan di dalamnya. Kedua, kerana beliau mensyariatkan agama di dalamnya, yang selain daripada Allah, lalu beliau boleh dikategorikan sebagai sekutu Allah. Dan ketiga, kerana beliau didahulukan di atas Allah maka beliau diangkat naik seperti tuhan, yang selain daripada Allah. Ketiga-tiga sebab itu terkandung di dalam tiga ayat Allah di bawah, yang kami anggap penting untuk diperingatkan:

"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)

"adakah mereka punyai sekutu-sekutu yang mensyariatkan untuk mereka sebagai agama, yang dengannya Allah tidak izinkan?" (42:21)

"Mereka ambil habr (ulama agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara (tuhan-tuhan) selain daripada Allah" (9:31).

Namun, kami bersetuju dengan penulis surat apabila beliau menyarankan supaya kita bersama-sama menegakkan kalimat tauhid di bumi Allah ini. Cuma caranya agak berbeza. Kami pilih untuk mentauhidkan Allah, dalam erti kata sebenar, dengan memegang al-Qur'an sebagai satu-satunya kitab dalam kemusliman kami.

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman