Asbabunnuzul

 

From: "yusof talib"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: asbabunnuzul
Date: Monday, December 27, 2004 10:10 PM

Salamun alaikum,

Saudara pengarang yang dihormati, di sini saya ingin meminta penerangan dan penjelasan saudara berhubung dengan Asbabunnuzul (sebab-sebab turunnya suatu ayat al Quran). Adakah kita dituntut mempelajari asbabunnuzul bagi setiap ayat? Apa komen saudara. 

Sekian terima kasih, harap maklum

 

Salamun alaikum, saudara yang dihormati.

Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami untuk mengemukakan pertanyaan mengenai asbabunnuzul. Pertanyaan saudara diterima dengan baik tetapi jawapannya akan menyinggung perasaan. Namun, jawapan dan misal yang diketengahkan di sini bukan dituju khas kepada saudara, dan bukan juga bertujuan untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak yang menyokong ilmu sebab-sebab turunnya suatu ayat al-Qur'an.

Ilmu asbabunnuzul adalah tulisan manusia (walaupun bertaraf sarjana), macam tulisan ilmu sejarah yang diajar di sekolah sekular. Dalam penulisan sejarah, perkara-perkara seperti tarikh, tempat, nama orang, sebab-sebab dan sebagainya adalah penting. Lagi, ia bersifat terbuka, iaitu dibahas dari semasa ke semasa dan dibetulkan setelah kelemahan ditemui. Mungkin di situ terletak sedikit perbezaan dengan ilmu anjuran sarjana Islam yang kadangkala menegaskan bahawa pintu untuk perbincangan telah ditutup buat selama-lamanya.

Sebab asbabunnuzul ditanya mungkin kerana sesuatu yang mengganggu selepas membaca artikel ARAB di dalam al-Qur'an . Artikel tersebut diterbit sehari sebelum pertanyaan dibuat. Ia terbit pada 26 Disember lalu, yang ketika itu tidak disedari hari itu menjadi detik hitam dalam sejarah apabila lebih daripada 115,000 nyawa orang Islam di beberapa buah negara dikorbankan oleh tsunami. Sementara yang lain, lebih 50,000, terdiri daripada orang-orang Kristian, Budha dan Hindu. Angka-angka dikatakan akan meningkat sewaktu menulis jawapan ini.

Antara kandungan artikel yang mungkin telah menggelisahkan sesetengah pihak ialah petikan suatu ayat Allah yang berbunyi,

"Orang-orang Arab lebih sangat dalam ketidakpercayaan dan kemunafikan, dan lebih wajar untuk tidak mengetahui had-had (hudud) yang Allah menurunkan kepada rasul-Nya; dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (9:97)

Orang-orang yang digelisahkan disyaki berada dalam golongan yang mengambil orang atau bangsa Arab sebagai idola, dengan menyerapkan budaya Arab yang disangkanya Islam tulen, ke dalam budaya bangsa mereka (yang sudah lama wujud lagi sesuai).

Namun begitu, kegelisahan mereka adalah sementara sahaja, sehingga datang orang yang membawa ilmu asbabunnuzul. Orang itu menjelaskan, antara lain, bahawa sebab ayat itu diturunkan ialah kerana orang-orang Arab pada zaman itu tidak percaya dan berpura-pura percaya. Frasa pada zaman itu ditegaskan, sekali gus menyatakan bahawa ayat itu tidak ditujukan kepada orang-orang Arab selepas zaman Nabi atau zaman sekarang!

Dengan misal itu, maka ilmu asbabunnuzul didapati berani menyatakan bahawa sesuatu ayat Allah di dalam al-Qur'an boleh menjadi tidak relevan lagi, atau boleh dimansuh, dibatalkan. Sehubungan itu, diturunkan tiga ayat Allah buat peringatan dan amaran, berbunyi,

"Dan orang-orang yang berusaha terhadap ayat-ayat Kami, untuk membatalkannya, mereka menjadi orang-orang Jahim (api neraka)." (22:51)

"Dan orang-orang yang berusaha terhadap ayat-ayat Kami untuk membatalkannya - bagi mereka, azab kemurkaan yang pedih." (34:5)

"Dan orang-orang yang berusaha terhadap ayat-ayat Kami untuk membatalkannya - mereka itu dihadapkan ke dalam azab." (34:38)

Bagi orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah pula, mereka yakin bahawa ayat tersebut tetap benar buat petunjuk semua zaman. Mereka tidak melihat sebab tiap-tiap ayat diturunkan tetapi sebab seluruh al-Qur'an diturunkan, iaitu supaya manusia sejagat mendapat petunjuk.

Bayangkan dunia tanpa petunjuk Allah! Manusia akan mengganas, membunuh sesuka hati tanpa mengira orang-orang yang tidak berdosa seperti orang awam atau kanak-kanak, menjalankan hukuman bunuh dengan kejam, contoh pancung kepala dan melontar batu di depan khalayak ramai, hukuman sebat di depan khalayak ramai, memotong tangan atas pencurian yang tidak besar, menghukum orang-orang yang tidak sefahaman dalam agama, menyeksa kaum wanita dengan hukum-hukum daripada keinginan pihak tertentu, dan memandang jijik serta bersikap bermusuhan terhadap orang lain yang tidak seagama - sekadar memberi beberapa contoh sahaja.

Sesetengah pihak akan mengatakan dengan keras bahawa perbuatan-perbuatan tersebut adalah bukan hasil daripada ilmu asbabunnuzul. Mungkin benar, mereka adalah contoh bagi apa yang disebut di dalam ayat 9:97 tadi. Akan tetapi, ilmu sarjana itu, tidak dinafikan, sudah mengambil peranan dalam membentuk sikap tidak memandang berat kepada ayat-ayat Allah yang diturunkan buat guna semua zaman.

Peranan yang dimainkan itu pula, pada hemat kami, sudah cukup untuk menjadi sebab menolak tuntutan pihak tertentu supaya umat mempelajari "asbabunnuzul bagi setiap ayat" al-Qur'an. Tumpuan umat tidak seharusnya dialih kepada selain daripada memahami dan mentaati ayat-ayat-Nya dengan suatu ilmu yang palsu.

Jawapan kami disudahi dengan sebuah firman Allah berbunyi,

"Dan janganlah mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan jangan menyembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya." (2:42)


15 Januari 2005

Senarai pengirim E-Mail


Terkini   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman