ARAB
di dalam al-Qur’an

 

Pada hari ini, kira-kira 1,500 bahasa wujud di seluruh dunia. Kesemua bahasa manusia itu indah belaka kerana mereka dicipta oleh Allah. Ciptaan tersebut menjadi satu daripada tanda kebesaran-Nya, menurut sebuah firman yang berbunyi,

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah ciptaan langit dan bumi, dan perbezaan dalam bahasa kamu, dan warna." (30:22)

Bahasa menjadi alat komunikasi penting di antara Allah dan manusia. Bahasa yang digunakan-Nya adalah bahasa kaum seseorang rasul yang diutus kepada sesuatu kaum. Rasul-rasul yang diutus turut dibangkitkan daripada setiap umat manusia. Demikian dijelaskan Allah dengan ayat-ayat berbunyi,

"Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya" (14:4).

"Sesungguhnya Kami telah membangkitkan dalam tiap-tiap umat seorang rasul," (16:36). 

Oleh itu, petunjuk Allah sudah dijelaskan dalam semua bahasa yang ditutur umat manusia.

Bahasa Arab

Petunjuk yang diturunkan Allah dimuatkan pula di dalam sebuah Kitab. Kitab-Kitab yang diturunkan kepada beberapa orang Nabi sebelum Muhammad adalah dalam bahasa Nabi-Nabi tersebut, iaitu bukan Arab.

Kitab yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad tidak mungkin diturunkan dalam bahasa asing kerana bahasa ibunda baginda adalah Arab. Firman Tuhan,

"Jika Kami membuatnya sebuah Qur'an dalam bahasa asing, tentu mereka berkata, 'Mengapakah ayat-ayatnya tidak dijelaskan? Adakah dalam bahasa asing sedang orangnya berbahasa Arab?'" (41:44)

Qur'an dalam bahasa Arab yang Nabi terima adalah juga untuk memberi sesuatu amaran kepada orang-orang yang tinggal bersama baginda, dan kawasan di sekitarnya. Mereka pun bertutur dalam bahasa Arab. Maka sewajarnyalah Qur'an yang diturunkan dibuat dalam bahasa Arab. Firman-Nya,

"Dan demikianlah Kami mewahyukan kamu sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu memberi amaran kepada ibu bandar-bandar raya (Mekah), dan orang-orang yang di sekitarnya, dan supaya kamu memberi amaran mengenai Hari Berkumpul, yang tiada keraguan padanya - segolongan di dalam Taman (Jannah), dan segolongan di dalam yang Menyala." (42:7)

Mereka yang tinggal bersama Nabi dan kawasan di sekitarnya adalah kaumnya. Amaran harus diberi kerana kaumnya belum lagi didatangkan seorang pemberi amaran daripada Allah. Pemberian dilaksanakan supaya mereka mendapat petunjuk. Tuhan menjelaskan,

"supaya kamu (Muhammad) memberi amaran kepada kaum yang kepadanya tiada seorang pemberi amaran telah datang sebelum kamu supaya mereka mendapat petunjuk." (32:3)

Dia menjelaskan lagi,

"Sesungguhnya ia (al-Qur'an) adalah Peringatan bagi kamu, dan bagi kaum kamu" (43:44).

Oleh kerana Nabi berbangsa dan berbahasa Arab maka Qur'an yang diturunkan dalam bahasa baginda menjadikannya mudah untuk difahami. Begitu juga dengan kaumnya, yang turut mengetahui bahasa Arab, lalu ayat-ayat Kitab menjadi jelas bagi mereka. Allah memberitahu,

"Sesungguhnya, Kami membuatnya sebuah Qur'an bahasa Arab supaya kamu faham." (43:3)

"Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab bagi kaum yang mengetahui," (41:3).

Andaikata al-Qur'an diturunkan dalam bahasa asing nescaya amaran yang terkandung di dalamnya, atau ayat-ayatnya, menjadi tidak dimengerti sehingga mereka dapat memberi alasan untuk tidak percaya kepadanya.

Jelas dan Tidak Bengkok

Bahasa Arab al-Qur'an yang diturunkan kepada Nabi adalah jelas, dan tidak bengkok - supaya rasa takut kepada Tuhan, atau takwa, terbit pada orang-orang yang menerimanya. Dua ayat di bawah menjelaskannya:

"Sesungguhnya ia adalah satu penurunan Pemelihara semua alam ..... Dengan lidah (bahasa) Arab yang jelas." (26:192-195) dan,

"Sebuah Al-Qur'an bahasa Arab yang tidak mempunyai kebengkokan supaya mereka bertakwa" (39:28).

Bahasa al-Qur'an memang jelas seperti pada nahu, di mana gantinamanya tepat, untuk dapat mengenali jantina dan bilangan dengan mudah, tidak macam yang ada pada sesetengah bahasa lain. Oleh kerana itu ia sungguh baik dijadikan bahasa untuk undang-undang atau dalam bidang kehukuman. Firman-Nya,

"Begitulah Kami menurunkan sebagai satu kehukuman dalam bahasa Arab." (13:37)

Justeru, al-Qur'an dalam bahasa Arab mudah diterjemah kepada bahasa-bahasa lain. Malah, tiap-tiap perkataan di dalam al-Qur'an, yang diturunkan lebih 1,400 tahun dahulu, boleh didapati di dalam kamus, termasuk kamus dwibahasa, pada hari ini, sekali gus dapat diketahui maknanya dengan tepat.

Bahasa Arab telah juga menjadi bahasa ilmu pada suatu ketika dahulu. Ilmu matematik, sains dan teknologi yang ditulis dalam bahasa Arab telah diterjemah kepada bahasa Latin, lalu mengeluarkan Eropah daripada zaman kegelapannya. Ia telah menyelamatkan kesarjanaan Greek purba daripada dilupakan setelah menterjemahkan Aristotle, Plato, Socrates, Pythagoras dan seluruh ilmu dan kesenian Greek. (Sila lihat artikel How Did We Become So Hateful?)

Kembali kepada Nabi dan kaumnya. Terdapat pula orang-orang yang tidak percaya bahawa al-Qur'an datang dari sisi Allah dan menuduh Nabi menerimanya daripada seseorang yang bukan Arab. Firman-Nya,

"Dan Kami mengetahui bahawa mereka berkata, 'Hanyalah seorang manusia yang mengajar dia.' Lisan (bahasa) orang yang padanya mereka mencercai bukanlah Arab, sedang yang ini adalah dalam bahasa Arab yang jelas." (16:103)

Sebenarnya bangsa orang yang membacakan ayat-ayat Allah adalah tidak penting. Bagi orang-orang yang tidak mahu percaya, mereka tidak akan percaya, walaupun dibacakan oleh sesiapa jua, termasuk Nabi sendiri. Iktibar diambil daripada ayat berbunyi:

"Jika Kami menurunkannya kepada seorang yang bukan Arab, dan dia membacakannya kepada mereka, tentu mereka tidak akan mukmin (yang mempercayai) kepadanya. Begitulah Kami menyusupkan ia ke dalam hati orang-orang yang berdosa, yang tidak akan mempercayainya, sehingga mereka melihat azab yang pedih," (26:198-201).

Sama dengan bahasa. Orang-orang yang tidak mahu percaya tidak akan mempercayainya walau dalam apa bahasa pun ayat-ayat Allah ditulis atau dibacakan kepada mereka (ayat 41:44 tadi tetapi dengan lengkap). 

Orang Arab

Seperti yang baru dikisahkan iaitu kaum Nabi, orang Arab, telah menunjukkan ketidakpercayaan dengan menuduh baginda menerima al-Qur'an daripada seseorang yang bukan Arab. Sebenarnya, menurut Allah, kaum baginda memang "suka bertengkar" (43:58).

Mereka juga didapati mendustakan apa yang Nabi tegur dan jelaskan kepada mereka. Contoh, amalan bergolongan yang mereka amalkan. Firman-Nya,

"Katakanlah, 'Dia berkuasa untuk mengirimkan kepada kamu azab, dari atas kamu atau dari bawah kaki kamu, atau untuk mengelirukan kamu dalam golongan-golongan, dan untuk merasakan kepada kamu bencana satu sama lain.' ..... Kaum kamu mendustakannya, padahal ia adalah yang benar." (6:65-66)

Keburukan yang ada pada orang-orang Arab dijelaskan lagi di dalam al-Qur'an. Contoh seterusnya, mereka didapati berat untuk pergi berperang di jalan Allah bersama Nabi. Mereka meminta izin dengan alasan penuh dusta. Allah meriwayatkan,

"Dan orang-orang Arab datang dengan alasan mereka, supaya mereka diizinkan; orang-orang yang berdusta kepada Allah dan rasul-Nya duduk (tidak pergi berperang);" (9:90)

Misalan alasan dan pendustaan tersebut dirakamkan di dalam sebuah ayat berbunyi,

"Orang-orang Arab yang ditinggalkan akan berkata kepada kamu (Muhammad), 'Kami disibukkan dengan harta-harta kami dan keluarga-keluarga kami; maka mintalah ampun untuk kami!' Mereka berkata dengan lidah mereka apa yang tidak ada di dalam hati mereka." (48:11)

Walhal mereka, orang-orang Arab, diingatkan bahawa mereka tidak seharusnya tinggal di belakang untuk tidak berjuang bersama Nabi, dan bahawa segala yang mereka tempuh di jalan Allah tidak disia-siakan tetapi ditulis sebagai amalan salih (9:120).

Selanjutnya mereka diseru dan diberi amaran dengan ayat berikut:

"Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang Arab yang ditinggalkan, 'Kamu akan diseru terhadap kaum yang mempunyai kekuatan yang sangat untuk memerangi mereka, atau mereka tunduk patuh. Jika kamu mentaati, Allah akan memberi kamu upah yang baik; tetapi jika kamu berpaling, sebagaimana kamu telah berpaling dahulu, Dia akan mengazab kamu dengan azab yang keras.'" (48:16)

Namun, setelah diberi amaran, hanya sedikit sahaja yang pergi berperang bersama Nabi. Firman-Nya,

"Sekiranya mereka bersama kamu, mereka akan berperang, kecuali sedikit." (33:20)

Selain berperang, terdapat pula orang-orang Arab yang didapati berat untuk mengeluarkan nafkah, menganggapnya sebagai denda, dan menunggu-nunggu sesuatu yang buruk berlaku pada Nabi. Firman-Nya,

"Antara orang-orang Arab mengambil apa yang mereka menafkahkan sebagai denda, dan menunggu-nunggu akan giliran yang buruk kepada kamu. Bagi merekalah giliran yang buruk; Allah Mendengar, Mengetahui." (9:98)

Sebaliknya, terdapat juga orang-orang Arab yang percaya dan menafkahkan daripada apa yang diberi Allah kepada mereka. Firman Tuhan,

"Dan antara orang-orang Arab mempercayai Allah dan Hari Akhir, dan mereka mengambil apa yang mereka menafkahkan untuk pemberian sebagai mendekatkan mereka dengan Allah, dan salawat (doa mohon ampun) rasul." (9:99)

Ayat di atas adalah satu-satunya ayat yang menunjukkan kebaikan pada orang-orang Arab, kecuali ayat berikut, yang menyuruh mereka berkata "Kami tunduk patuh" bukan "Kami percaya" sebelum mereka benar-benar beriman:

"Orang-orang Arab berkata, 'Kami percaya.' Katakanlah, 'Kamu tidak mempercayai; tetapi katakanlah, 'Kami tunduk patuh'; kerana iman belum lagi masuk ke dalam hati kamu." (49:14)

Munafik dan Kafir

Orang-orang Arab yang berada di sekeliling Nabi tidak seperti yang disangkakan. Kerana antara mereka adalah orang-orang munafik dan orang-orang yang berani dalam kemunafikan. Allah menjelaskan,

"Dan antara orang-orang Arab yang di sekeliling kamu, mereka adalah orang-orang munafik; dan sebahagian daripada penduduk Kota menjadi berani dalam kemunafikan." (9:101).

Selain menjadi orang-orang munafik dan yang sangat dalam kemunafikan, orang-orang Arab, walaupun amat memahami bahasa Arab, telah menjadi tidak percaya (kafir) dan ada pula yang sangat dalam ketidakpercayaan (kekafiran). Allah menjelaskan lagi,

"Orang-orang Arab lebih sangat dalam ketidakpercayaan dan kemunafikan, dan lebih wajar untuk tidak mengetahui had-had (hudud) yang Allah menurunkan kepada rasul-Nya; dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (9:97)

Ketidakpercayaan dan kemunafikan yang lahir di kalangan orang-orang Arab adalah bertentangan dengan kelebihan yang Allah beri kepada mereka. Mereka dikurniakan seorang Nabi yang dilantik di kalangan mereka sendiri untuk memimpin mereka, dan sebuah Kitab dalam bahasa mereka sendiri, tetapi Nabi dan bahasa yang jelas itu tidak mampu meyakinkan mereka untuk tunduk patuh dan percaya kepada ayat-ayat Allah yang diturunkan kepada mereka. Lalu mereka hidup dengan tidak mengetahui hudud Allah.

 

Sila rujuk:
Kalimat Arab di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
25 Disember 2004


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman