Bangkai, Benteng, Reinkarnasi

 

 

From: "M. Reza"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Bangkai, Benteng, Reinkarnasi
Date: Wednesday, August 03, 2005 1:00 PM


Salamun 'alaika,

Tuan <dipadam> terhormat sudilah tuan menjelaskan 3 soalan berikut:

1. Apa yang dimaksud dengan "bangkai" sebagai salah satu makanan yang diharamkan oleh Allah. Apakah ikan atau udang yang mati tanpa disembelih adalah juga "bangkai"?

2. Di dalam 7:46-7:49 diceritakan tentang orang benteng. Apa sebab ia tidak langsung masuk ke surga ataupun neraka?

3. Membaca ayat-ayat Allah tentang hari Akhir dapat disimpulkan bahwa reinkarnasi tidaklah diakui di dalam Al-Qur'an. Namun, ilmu psikologi modern telah dapat membuktikan adanya reinkarnasi itu (seseorang pernah mengalami beberapa kehidupan pada masa lalu)

Terimakasih, salam...


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara M. Reza yang mengemukakan tiga soalan untuk dijelaskan. Penjelasan yang akan dibuat adalah hanya pendapat kami. Justeru, ia boleh ditolak.

Soalan pertama adalah mengenai bangkai. Pada hemat kami, bangkai tidak bermaksud haiwan yang tidak disembelih. Kerana seekor lembu, misalannya, yang telah disembelih pun, kalau dibiarkan mati begitu sahaja sehingga berbau busuk dan berulat, maka ia dikategorikan sebagai bangkai jua.

Ikan atau udang, atau dipanggil makanan laut, yang tidak disuruh supaya disembelih, Allah telah mengingatkan supaya makan daging mereka yang segar. Peringatan tersebut berbunyi,

"Dia yang menundukkan untuk kamu laut, supaya kamu makan daripadanya daging yang segar," (16:14).

Maka apabila mereka berada dalam keadaan tidak segar, lalu menjadi busuk, seperti contoh lembu tadi, mereka, ketika itu, boleh disifatkan sebagai bangkai, yang tidak baik untuk dimakan, demi kesihatan. (Ayat-ayat mengandungi perkataan 'bangkai' dapat dibaca di sini.)

Soalan kedua menyentuh orang-orang Benteng yang dikatakan "tidak langsung masuk ke surga ataupun neraka". Kami rasa kenyataan itu tidak begitu tepat kerana mereka didapati akhirnya masuk syurga. Demikian difahamkan daripada dua ayat yang berkaitan dengan mereka, seperti berikut:

"Dan antara keduanya ada tabir, dan di atas Benteng adalah lelaki-lelaki yang mengenali masing-masing dengan tanda mereka yang memanggil orang-orang Taman, 'Salamun alaikum!' Mereka belum memasukinya, dan mereka sangat menginginkannya." (7:46)

"Adakah ini orang-orang yang kamu bersumpah bahawa Allah tidak akan sampai dengan pengasihan? Masuklah ke Taman; tiadalah ketakutan pada kamu, dan tidaklah kamu bersedih." (7:49)

Soalan terakhir, iaitu yang ketiga, adalah mengenai reinkarnasi. Kewujudannya dikatakan telah dibukti oleh "ilmu psikologi modern" kerana "seseorang pernah mengalami beberapa kehidupan pada masa lalu".

Izinkan kami bertanya, adakah semua ahli psikologi moden bersetuju dengan dapatan tersebut? Sebab lazimnya dalam perkara yang luar biasa seperti ini ada sahaja golongan di kalangan mereka sendiri yang skeptis.

Pertanyaan kami seterusnya, adakah kerana seorang sahaja yang mengalaminya maka teori reinkarnasi menjadi satu kebenaran? Adakah pihak-pihak lain yang menguji dia?

Kami tidak menafikan tentang kewujudan beberapa manusia yang luar biasa. Seperti seorang perempuan yang mengaku dirinya puteri Anastasia, dengan mengingati apa yang telah berlaku dalam kehidupan puteri tersebut, dan selanjutnya didapati betul apabila diuji, tetapi disifatkan sebagai penyamar pula setelah gagal dalam ujian DNA.

Reinkarnasi, atau hidup semula, akan hanya berlaku pada Hari Kiamat. Firman-Nya,

"Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati, dan sungguh, kamu akan dibayar sepenuhnya upah kamu pada Hari Kiamat; sesiapa yang disingkirkan daripada Api dan dimasukkan ke Taman, akan mendapat kemenangan." (3:185)

Allah berkata benar. Dan maaf, kami terpaksa menolak apa yang dikatakan "bukti" ahli psikologi moden mengenai reinkarnasi.

Terima kasih.

4 Ogos 2005

Senarai pengirim E-Mail


Terkini   Artikel   Bacaan   Hiasan   Kalimat Pilihan   Keratan Akhbar
Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman