Kami & ayat 21:73

 

 

From: Brother Pekan
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Monday, July 21, 2008 4:14:12 AM
Subject: Ayat 21:73...

Salam,

Saya ingin bertanyakan pendapat tuan mengenai ayat 21:73, khususnya bahagian ayat,

 

"..., dan Kami mereka sembah."

 

Betulkah ayat disitu bermaksud "dan Kami mereka sembah."? Ataupun terjemahannya tidak begitu tepat sehingga maksudnya menjadi lain? Terjemahan itu seolah-olah mengatakan "mereka" menyembah selain daripada Dia. Sedangkan kalau kita melihat kesuluruhan ayat-ayat yang menggunakan kalimat sembah, ianya pasti merujuk kepada Aku atau Dia. Atau adakah saya silap memahaminya?

 

Rashad Khalifa pula menterjemahkan ayat tersebut seperti di bawah,

 

"To us, they were devoted worshipers."

 

Terjemahan ini tidak menunjukkan "mereka" menyembah selain dari Dia, tetapi mungkin merujuk bahawa selain daripada Allah, Malaikat juga menganggap mereka itu penyembah-penyembah.

 

Bagaimanapun Yusuf Ali, Pickthal, Shakir, dan Sher Ali menterjemahkan ayat tersebut seperti terjemahan saudara.

 

Saya juga merujuk jawapan saudara mengenai "Kami & Aku" di bahagian Soalan Lazim, yang saudara simpulkan sebagai "mempamerkan sifat hormat atau lembut". Saya tidak pasti samada ianya dalam konsep bahasa Arab itu sendiri atau tidak, tetapi melihat kepada contoh ayat yang diberikan disitu iaitu ayat 2:34 dan 2:39, saya tidak dapat menyimpulkan bahawa ia digunakan dalam konteks sifat hormat atau lembut.

 

Dalam ayat 2:34, pada pandangan saya, kemungkinan perkataan "Kami" digunakan kerana selain daripada Tuhan, malaikat-malaikat kanan seperti Jibrail juga menyarankan sedemikian. Ayat 2:39 pula, saya berpandangan "ayat-ayat Kami" digunakan kerana penglibatan malaikat-malaikat dalam penurunan ayat-ayat atau tanda-tanda daripada Tuhan.

 

Saya harap dapat pandangan daripada saudara ataupun pembaca-pembaca laman ini. Terima kasih.

 

Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara Brother Pekan kerana sudi menulis lagi. Kali ini membawa beberapa pandangan pula. Semua diterima dengan tangan terbuka.

Pertama, mengenai suatu terjemahan Bacaan yang dicurigainya walaupun empat penterjemah lain sependapat dengan Bacaan. Kecurigaan timbul kerana wujud seorang penterjemah yang berlainan pendapat.

Untuk menentukan sama ada terjemahan berbunyi "..., dan Kami mereka sembah." itu betul atau tidak dipetik terjemahan daripada Lafaziyah, seperti di bawah:

wakaanuu   - dan adalah mereka
lanaa           - kepada kami
'aabidiina    - mereka menyembah

Setelah disusun semula ia berbunyi "dan adalah mereka kepada kami mereka menyembah". Pada hemat penulis frasa tersebut bermaksud "mereka sembah kami" lalu ditulis dan Kami mereka sembah tanpa perkataan kepada sebelum Kami.

Frasa tersebut terletak dihujung ayat 21:73 berbunyi,

"Dan melantik mereka untuk menjadi imam-imam yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami mewahyukan mereka perbuatan kebajikan, dan melakukan solat, dan memberikan zakat, dan Kami mereka sembah."

Kami di situ tidak menunjukkan jamak tetapi "mempamerkan sifat hormat atau lembut" Pemelihara kita, atau dalam bahasa Inggeris "plural of respect". Dan bagi penulis, frasa tersebut tidak juga bermaksud apa yang disembah itu bukan satu, sebagaimana didakwa ("Terjemahan itu seolah-olah mengatakan "mereka" menyembah selain daripada Dia").

 

Mengenai terjemahan Rashad Khalifa yang disangka tepat ("To us, they were devoted worshipers."), pihak penulis berkeberatan untuk memberi sebarang komen. Sebab tidak begitu suka mengkritik terjemahan orang lain, tapi senang hati apabila Bacaan dapat ditujuk dan dibetulkan kesilapannya.

Kedua, mengenai perkataan Kami. Untuk keterangan lanjut dipetik perenggan berkenaan, seperti berikut:

Dalam ayat 2:34, pada pandangan saya, kemungkinan perkataan "Kami" digunakan kerana selain daripada Tuhan, malaikat-malaikat kanan seperti Jibrail juga menyarankan sedemikian. Ayat 2:39 pula, saya berpandangan "ayat-ayat Kami" digunakan kerana penglibatan malaikat-malaikat dalam penurunan ayat-ayat atau tanda-tanda daripada Tuhan.

Ayat pertama disebut menjadi yang mula-mula dibicara. Ia berbunyi,

"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia menjadi antara orang-orang yang tidak percaya (kafir)." (2:34)

Brother Pekan melihat Kami sebagai "selain daripada Tuhan, malaikat-malaikat kanan seperti Jibrail juga menyarankan sedemikian", iaitu bertentangan dengan tulisan penulis di Soalan Lazim.

 

Perintah sujud menurut pandangannya adalah bukan sahaja saranan Tuhan malah saranan "malaikat-malaikat kanan seperti Jibrail juga". Betulkan penulis di sini.

 

Bagi penulis Kami bermaksud hanya Allah. Perintah tersebut adalah hanya perintah Dia. Demikian diperoleh setelah menyelak beberapa halaman al-Qur'an lalu berjumpa dengan ayat berbunyi,

"Berkatalah Dia, 'Apakah yang menghalangi kamu daripada bersujud ketika Aku memerintahkan kamu?' Berkata (Iblis), 'Aku lebih baik daripada dia. Engkau cipta aku daripada api, dan dia Engkau cipta daripada tanah liat.'" (7:12)

Sekarang Aku menjadi pengganti Kami sebagai pemberi perintah, atau pembuat saranan, kepada para malaikat supaya bersujud kepada Adam. Aku menunjukkan satu, tidak bersama makhluk lain daripada ciptaan-Nya. Oleh kerana Kami itu Aku maka pendapat mengatakan Kami bukan jamak tetapi "mempamerkan sifat hormat atau lembut" pada Tuhan, tidak ditolak, malah penulis bercadang untuk terus menerima dan memakainya.

 

Satu lagi ayat dijumpai setelah menyelak lagi halaman-halaman Bacaan. Ia terakam serupa berikut:

"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia adalah daripada jin, dan ia melakukan kefasiqan terhadap perintah Pemeliharanya.'" (18:50)

Walaupun Kami diguna pada permulaan ayat tetapi di pertengahannya diguna perkataan Pemeliharanya pula. Bermaksud, Kami adalah juga Pemeliharanya, bermakna satu, tidak bersekutu dengan mana-mana malaikat.

 

Keyakinan terhadap maksud Kami berbunyi "selain daripada Tuhan, malaikat-malaikat kanan seperti Jibrail juga menyarankan sedemikian" menjadi hilang sama sekali setelah ia dua kali dibuktikan palsu oleh ayat-ayat Allah sendiri.

 

Tambahan pula, apabila Allah menyebut "..Kami berkata kepada para malaikat" ia, pada fikiran penulis, bermaksud semua malaikat yang hadir ketika itu. Pengecualian kepada "malaikat-malaikat kanan seperti Jibrail" tidak disebut di mana-mana halaman kitab al-Qur'an. Itu hanya sangkaan belaka. Malaikat adalah juga rasul atau "orang suruhan" (maaf guna frasa ini) bagi Allah - ia tidak setinggi-Nya untuk membuat saranan.

 

Pandangan saudara Brother Pekan seterusnya adalah seperti berikut (warna merah adalah tambahan daripada penulis untuk ketegasan):

Ayat 2:39 pula, saya berpandangan "ayat-ayat Kami" digunakan kerana penglibatan malaikat-malaikat dalam penurunan ayat-ayat atau tanda-tanda daripada Tuhan.

Pandangan itu juga berlawanan dengan kenyataan penulis di Soalan Lazim.

 

Setelah menoleh sedikit ke belakang, pada ayat sebelumnya, penulis mendapati bahawa Kami dalam frasa "ayat-ayat Kami" tidak bermaksud "penglibatan malaikat-malaikat dalam penurunan ayat-ayat atau tanda-tanda daripada Tuhan". Ia bermaksud yang lain, dan dapat dicam apabila kedua-dua ayat berkaitan disusun macam di bawah ini:

2:38. Kami berkata, "Turunlah kamu keluar darinya, kesemuanya. Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, dan sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

2:39. Dan, orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya."

Kelihatan Petunjuk-Ku dan ayat-ayat Kami senyawa. Kami adalah Ku atau Aku. Kesimpulannya, sekali lagi Kami bermaksud plural of respect atau satu, bukan "penglibatan malaikat-malaikat dalam penurunan ayat-ayat atau tanda-tanda daripada Tuhan" menurut pandangan Brother Pekan.

 

Oleh yang demikian penulis merasakan tidak perlu beranjak dari pendapatnya di Soalan Lazim. Dengan itu bicara mengenai pandangan Brother Pekan berakhir di sini.

 

Kepada para pembaca yang baru melayari laman web ini atau belum membaca tulisan bertajuk Kami dan Aku di Soalan Lazim (tajuk turut dapat dicapai melalui halaman Artikel) harap tidak menyangka bahawa penulis tidak setuju dengan pendapat menyatakan Kami di dalam al-Qur'an mengandungi maksud seperti dinyatakan oleh Brother Pekan iaitu "digunakan kerana penglibatan malaikat-malaikat" dalam sesuatu perkara. Pada tulisan tersebut terdapat penjelasan di bawah:

"Contoh ayat Kami yang bermaksud Allah berserta malaikat adalah:

"Dan Kami menurunkan kepada kamu ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan tiada yang tidak percaya kepadanya melainkan orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (2:99) dan,

"Orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan al-Kitab membacanya dengan bacaannya yang benar, mereka mempercayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)

Ayat-ayat dan al-Kitab itu adalah ayat-ayat dan al-Kitab Allah. Mereka diturun dan diberikan khas kepada Nabi dan seluruh manusia amnya tidak oleh-Nya Sendiri tetapi melalui malaikat yang diutus atas arahan-Nya."

Penulis tidak berhenti di situ dalam memberi pendapat mengenai Kami di halaman tersebut.

Sekian, Terima Kasih.

23 Julai 2008

Senarai pengirim E-Mail


Halaman Utama Terkini Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles