Tahu tidak ikut al-Qur'an - Dipandang Baik
From: Ashraf Sani
To: rujukan bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Friday, January 9, 2009 11:31:59 PM
Subject: Perbuatan Maksiat Dipandang Baik
Salam,
Masih belum terlambat saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430 kepada pengurus laman web dan pembaca sekalian. Semoga dirahmati Allah dengan petunjuk-Nya.
Ada pun berkaitan dengan topik Tahu Tidak Ikut Al Quran, amat menarik sekali perbincangan yang dilontarkan. Terima kasih kerana banyak buah fikiran yang boleh dijadikan pedoman.
Pada buah fikiran saya, setelah dikaji ayat-ayat Allah, manusia yang tahu tidak ikut Al Quran salah satunya adalah kerana sangat berpegang teguh dengan ajaran bapa-bapa/orang-orang terdahulu/nenek moyang walaupun bapa-bapa/orang-orang terdahulu/nenek moyang mereka tidak mendapat petunjuk.
Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Ikutlah apa yang Allah menurunkan", mereka berkata, "Tidak, kami akan mengikuti apa yang kami mendapati bapa-bapa kami buat." Apa? Dan jika bapa-bapa mereka tidak memahami sesuatu, dan mereka tidak mendapat petunjuk? (Al Baqarah:170)
Sudah jelas, perintah-Nya ikut apa yang diturunkan oleh-Nya. Tetapi mereka masih mahu mengikuti ajaran bapa-bapa/orang-orang terdahulu/nenek moyang yang menebal dalam diri mereka kerana dari kecil sudah diasuh demikian. Mungkin tak sampai hati untuk "menderhakai" ajaran bapa-bapa/orang-orang terdahulu/nenek moyang yang tak memahami sesuatu daripada petunjuk tetapi sanggup "menderhakai" ajaran Allah iaitu Al Quran.
Dalam kesimpulan saudara Nazri menulis, "kesimpulannya saya percaya ada di antara mereka itu percaya apa yang dilakukan tidak mengikut Al-Quran, tetapi takut utk memperkatakan yg benar atau “conform to majority opinions". Baiklah, cuba kita perhatikan ayat ini:
Jika kamu mentaati kebanyakan orang di bumi, mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah; mereka mengikuti hanya sangkaan, semata-mata dugaan. (Al An'am:116)
Amaran daripada Allah supaya jangan taat kebanyakan/majoriti orang di bumi kerana boleh menyesatkan disebabkan mereka hanya bersangka-sangka dan menduga-duga tanpa mendapat penjelasan/bukti daripada Al Quran.
Prasangka orang kebanyakan/majoriti ini sebenarnya telah dipesongkan oleh iblis yang menjadikan mereka memandang baik perbuatan yang salah. Mereka ini akan tersesat kecuali mereka yang betul-betul ikhlas dengan Al Quran.
Berkata, "Wahai Pemeliharaku, oleh kerana Engkau telah membuat aku bersalah, aku akan menampakkan semuanya indah bagi mereka di bumi, dan aku akan membuat mereka bersalah, kesemuanya,
Kecuali hamba-hamba Engkau, antara mereka, yang tulus."
(Al Hijr: 39 & 40)
Dua ayat Allah di atas amat kena dengan kisah yang disampaikan oleh saudara Abu Muslim. Fikirkan bagaimana iblis mampu memesongkan si alim. Tidak disuruh untuk meninggalkan solat malah digalakkan lagi bersolat ditambah dengan syiling emas konon-kononnya sebagai ganjaran melakukan solat. Akhirnya, kerana sudah tidak ada keikhlasan dalam bersolat, maka si alim itu berjaya dikalahkan oleh iblis.
Marilah kita sama-sama ambil pengajaran dan jangan kita terus menyalahkan mereka yang ikut bapa-bapa/orang-orang terdahulu/nenek moyang dan ikut kebanyakan/ majoriti orang kerana mungkin ada antara mereka tak sedar dan belum ada sesiapa yang menyedarkan mereka.
Sebagai penutup "Bacalah kitab kamu! Cukuplah dengan jiwa kamu sendiri pada hari ini sebagai penghitung terhadap kamu." (Al Israa’:14)
Maaf jika ada terkasar bahasa dan tersilap pandangan.
Salam
Salamun alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis lagi untuk menyumbang buah fikiran dalam respon kepada penulisan saudara Nadzri dan Abumuslim. Tentu pembaca mendapatinya bermanfaat.
Cuma satu sahaja teguran kami, atau lebih tepat, permintaan kami yang ikhlas, iaitu dapat sekiranya pada masa akan datang menulis bilangan surah, selepas petikan ayat dibuat, kerana dengan hanya menulis namanya sahaja ia akan melambatkan sedikit usaha mencari ayat berkenaan di dalam al-Qur'an. Tidak ramai pembaca yang menghafal semua kedudukan nama surah di dalam al-Qur'an.
Dan kedua, bukan permintaan tetapi hanya menunaikan hasrat untuk berkongsi beberapa ayat mengenai orang-orang yang menyangka berbuat perbuatan baik atau mendapat petunjuk, seperti pada sebutan tajuk di atas. Ayat-ayat yang dimaksudkan adalah:
"Segolongan Dia memberi petunjuk, dan segolongan wajar dengan kesesatan; mereka mengambil syaitan-syaitan sebagai wali-wali (sahabat-sahabat), selain daripada Allah, dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk." (7:30)
Besar kemungkinan syaitan yang diambil itu adalah syaitan jenis manusia, misalan orang yang disangka alim. Kalau tidak, syaitan jenis jin yang dibela untuk tujuan tertentu.
"Apa, adakah orang-orang yang tidak percaya menyangka bahawa mereka boleh mengambil hamba-hamba-Ku sebagai wali (pelindung), selain daripada Aku? Kami menyediakan Jahanam untuk sajian orang-orang yang tidak percaya.
Katakanlah, 'Bolehkah kami memberitahu kamu siapakah yang menjadi yang paling rugi dalam amalan mereka?
Orang-orang yang usahanya menjadi sesat di dalam kehidupan dunia sedang mereka menyangka bahawa mereka berbuat perbuatan baik.'" (18:102-104)
Orang yang tidak percaya tentu tahu apa yang tidak dipercayainya, iaitu ayat-ayat al-Qur'an. Usaha mereka dijadikan sesat tetapi menyangka mereka buat baik.
"Sesiapa yang membutakan diri daripada Peringatan Yang Pemurah, kepadanya Kami menentukan syaitan untuk menjadi teman yang dipercayai,
Dan mereka menghalangi mereka daripada jalan, dan mereka menyangka bahawa mereka mendapat petunjuk," (43:36-37)
Orang yang membutakan diri daripada Peringatan adalah yang tahu ayat-ayat al-Qur'an, dan tahu tidak mengikutinya, lalu syaitan menjadi teman yang membuatnya menyangka dia dapat petunjuk.
"Pada hari apabila Allah membangkitkan mereka kesemuanya dan mereka bersumpah kepada-Nya, sebagaimana mereka bersumpah kepada kamu, dan menyangka bahawa mereka berada di atas sesuatu. Sesungguhnya merekalah pendusta-pendusta!
Syaitan telah menguasai mereka, dan menjadikan mereka melupakan Peringatan Allah. Mereka itu golongan syaitan; sesungguhnya golongan syaitan, merekalah orang-orang yang rugi!" (58:18-19)
Orang yang melupakan Peringatan Allah adalah juga yang tahu ayat-ayat al-Qur'an, dan juga tahu dia tidak mengikuti al-Qur'an.
Input perihal tahu tidak ikut al-Qur'an kian bertambah. Alhamdulillah, atas kurniaan-Nya yang tidak putus-putus.
Salam.
11 Januari 2009
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles