Keluarga Imran, Ahlul Bait & Jenazah Hebat

 

From: muhammadaizuddin
Date: 2010/5/3
Subject: Re: Salamun alaikum
To: Pengurus Laman <
ebacaan114@gmail.com>


Salamun alaika..

Maaf mengganggu.. nak tau anak perempuan Imran ni siapa? Mariam ibu Nabi Isa ye? ada x ayat2 lain yang menerangkan? saje bertanye.. study Al-Quran..

66:12. Dan Mariam, anak perempuan Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami hembus ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan jadi antara orang-orang yang patuh.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Dengan pertanyaan itu kami terpanggil untuk menulis mengenai terutamanya Keluarga Imran, dan dua perkara lain agak berkaitan yang mengunjungi kami baru-baru ini.

Tidak banyak diketahui, daripada al-Qur'an, mengenai orang bernama Imran kecuali beliau adalah bapa kepada Mariam, ibu Nabi Isa.

Akan tetapi, cerita mengenai keluarganya boleh dikatakan banyak terdapat di dalam al-Qur'an. Keluarganya didapati berkedudukan tinggi di sisi Allah, kerana mengandungi beberapa orang Nabi. Ketinggiannya adalah kerana dipilih Allah, bersama tiga yang lain, untuk berkedudukan di atas semua alam, atau di atas semua manusia. Ayat-ayat daripada surah tersebut dipetik untuk mengesahkan, berbunyi,

3:33. Allah telah pilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas semua alam.
3:34. Keturunan satu sama lain; Allah Mendengar, Mengetahui.

Keluarga Imran adalah keturunan keluarga Nabi Ibrahim, yang selanjutnya merupakan keturunan Nabi Nuh dan Adam. Ayat yang pertama itu adalah yang pertama mengandungi nama Imran di dalam al-Qur'an. Ayat-ayat yang menyusulinya, berjumlah kira-kira dua puluh, akan diturunkan di halaman ini untuk beri gambaran ringkas tetapi tepat terhadap keluarga yang dimuliakan Allah tersebut.

Di sini, buat sementara waktu, perhatian diarah kepada suatu yang lain pula, iaitu kepada keluarga Nabi Muhammad, atau lazim disebut dan diertikan dewasa ini, sebagai Ahlul Bait. Dengan hormat dinyatakan bahawa keluarga baginda tidak disebut sebagai keluarga yang berkedudukan di atas semua manusia, seperti keluarga Imran atau keluarga Ibrahim.

Namun, terdapat golongan yang cuba naikkannya pula pada hari ini, dengan menyebarkan fahaman bahawa Muhammad telah tinggalkan dua perkara, iaitu al-Qur'an dan Ahlul Bait. Kami sebut sekali lagi, dan Ahlul Bait.

Kami tidak pernah dengar yang ini. Yang selalu didengar ialah al-Qur'an dan Sunnah, atau Hadis.

Selanjutnya, fahaman yang berpegang pada al-Qur'an dan Ahlul Bait dikatakan pula suatu mazhab. Justeru, terdapat mazhab yang berpegang pada al-Qur'an dan Sunnah, dan satu lagi, al-Qur'an dan Ahlul Bait.

Mungkin mereka sama, tapi dengan sedikit perbezaan sahaja, di mana golongan mengaku Ahlul Bait, atau ahli keluarga Muhammad, masih berada dengan ramai di muka bumi hari ini. Mereka kelihatan diletak setaraf dengan al-Qur'an (yang diturunkan Allah), meskipun didapati tidak mengguna salam hormat seperti diajar di dalam Kitab-Nya.

Kembali kepada sebutan mengenai keluarga Imran daripada surahnya. Ayat yang menyusul ayat 3:34 tadi, menyentuh mengenai isteri Imran pula, yang sedang mengandung, membuat nazar kepada Allah, dan memohon semoga Dia menerima anak bakal dilahirkan. Setelah melahirkannya, dia namakan anaknya Mariam dan memohon semoga Allah melindunginya daripada syaitan. Ayat-ayat berikut menjelaskan:

3:35. Apabila isteri Imran berkata, "Pemeliharaku, aku bernazar kepada Engkau, untuk kebaikan, apa yang di dalam perutku. Terimalah Engkau yang ini daripadaku; sesungguhnya Engkaulah Yang Mendengar, Yang Mengetahui."

3:36. Dan apabila dia melahirkannya, dia berkata, "Pemeliharaku, aku telah melahirkannya, seorang perempuan." Allah sangat-sangat tahu apa yang dia lahirkan, dan bukanlah anak lelaki seperti perempuan, "Dan aku namakan dia Mariam, dan melindungkannya kepada Engkau dengan keturunannya, daripada syaitan yang direjam."

Anak tersebut diterima Allah dengan baik, dan direzekikan-Nya dengan baik juga. Firman Allah,

3:37. Pemeliharanya terima anaknya dengan penerimaan yang baik, dan dengan kebaikan-Nya, dia membesar dengan menarik hati, dan Zakaria menjaganya. Setiap kali Zakaria masuk kepadanya di mihrabnya (bilik ibadat), dia dapati rezekinya. Dia berkata, "Wahai Mariam, dari manakah ini kepada kamu?" Dia berkata, "Daripada Allah." Sesungguhnya Allah beri rezeki kepada sesiapa Dia hendaki tanpa hitungan.

Imran tidak disebut lagi, mungkin kerana meninggal dunia. Anaknya Mariam dijaga oleh Zakaria pula. Ada yang mengatakan beliau adalah bapa saudara Mariam, atau adik beradik Imran.

Zakaria, Nabi Zakaria, telah dapat membela Mariam setelah pengundian dan pertengkaran berlaku, menurut ayat berbunyi,

"Itu adalah daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kamu; kerana kamu tidak berada dengan mereka, ketika mereka lemparkan pena-pena mereka, siapa antara mereka yang akan jaga Mariam; kamu tidak berada di sisi mereka ketika mereka bertengkar." (3:44)

Ayat-ayat disambung dengan cerita Zakaria pula, seperti berikut:

3:38. Di sana Zakaria seru Pemeliharanya, dengan berkata, "Pemeliharaku, berilah aku daripada sisi Engkau satu keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau dengar seruan."

3:39. Dan malaikat-malaikat memanggilnya, sedang dia berdiri untuk menyembah di mihrab, "Allah beri kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih."

3:40. Dia berkata, "Pemeliharaku, bagaimanakah aku boleh mempunyai seorang anak lelaki memandangkan aku seorang yang tua dan isteriku mandul?" Allah berkata, "Begitulah, Allah buat apa Dia hendaki."

3:41. Dia berkata, "Pemeliharaku, buatkan untukku satu ayat (tanda)." Dia berkata, "Ayat kamu ialah bahawa kamu tidak berkata-kata, kecuali dengan isyarat, kepada manusia selama tiga hari, dan ingatlah Pemelihara kamu dengan banyak, dan sanjunglah pada waktu petang dan awal pagi hari."

Sebab Zakaria memohon keturunan yang baik disebut di surah lain, berbunyi seperti di bawah ini:

"Ingatkanlah pengasihan Pemelihara kamu kepada hamba-Nya, Zakaria.

Apabila dia panggil Pemeliharanya dengan panggilan yang berahsia.

Dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya tulang-tulang di dalamku telah jadi lemah dan kepalaku bernyala-nyala dengan uban. Dan dalam seruan (doa) kepada Engkau, wahai Pemeliharaku, aku tidak pernah sengsara.

Dan aku takut akan keluargaku setelah peninggalanku; dan isteriku mandul. Maka berilah aku, daripada sisi Engkau, seorang wali (waris),

Yang akan jadi warisku, dan yang jadi waris keluarga Yaakub; dan buatlah dia, wahai Pemeliharaku, sangat memuaskan hati.'

'Wahai Zakaria, kami beri kamu berita gembira mengenai seorang anak lelaki, namanya Yahya. Tiada yang Kami buatkan nama seperti ini sebelumnya.'

Berkata, 'Wahai Pemeliharaku, bagaimanakah aku akan mempunyai seorang anak lelaki sedang isteriku mandul, dan aku telah sampai umur yang sangat tua?'

Berkatalah Dia, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, "Itu mudah bagi-Ku, memandangkan Aku telah cipta kamu sebelum itu, sedang kamu sama sekali tiada."' (19:2-9)

Lalu lahirlah Yahya untuk menambah bilangan Nabi kepada keluarga Imran. Beliau adalah bapa saudara Nabi Isa. Namanya sungguh istimewa kerana telah diberi oleh Allah sendiri, tidak seperti Mariam yang diberi oleh ibunya.

Nama (Nabi) Yaakub telah disebut, dan dikaitkan dengan keluarga Imran. Beliau adalah daripada keluarga Ibrahim (11:71), dan menjadi bapa kepada Nabi Yusuf pula (12:6).

Kembali kepada ayat-ayat mengenai keluarga Imran, iaitu sambungan daripada ayat-ayat telah disebut. Kali ini mengisahkan kisah Mariam dengan kelahiran Nabi Isa pula:

3:42. Dan ketika malaikat-malaikat berkata, "Wahai Mariam, Allah pilih kamu, dan bersihkan kamu, dan Dia pilih kamu di atas semua perempuan di semua alam.

3:43. Wahai Mariam, patuhlah kepada Pemelihara kamu, sujudlah, dan tunduklah, bersama orang-orang yang tunduk."

3:44. Itu adalah daripada berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kamu; kerana kamu tidak berada dengan mereka, ketika mereka lemparkan pena-pena mereka, siapa antara mereka yang akan jaga Mariam; kamu tidak berada di sisi mereka ketika mereka bertengkar.

3:45. Ketika malaikat-malaikat berkata, "Wahai Mariam, Allah beri kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat, daripada orang-orang yang didekatkan.

3:46. Dia akan berkata-kata kepada manusia dalam buaian, dan dewasa, dan akan jadi seorang yang salih."

3:47. Dia berkata, "Pemeliharaku, bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki memandangkan tiada manusia telah sentuh aku?" Berkatalah Dia, "Begitulah, Allah cipta apa yang Dia hendaki. Apabila Dia tentukan sesuatu perkara, Dia hanya berkata padanya, 'Jadilah', maka jadilah ia.

3:48. Dan Dia mengajarnya al-Kitab, dan Kebijaksanaan, dan Taurat, dan Injil,

3:49. Untuk menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, 'Aku datang kepada kamu dengan satu ayat (mukjizat) daripada Pemelihara kamu. Aku ciptakan untuk kamu daripada tanah liat yang seperti bentuk burung, kemudian aku hembus ke dalamnya, dan ia jadi seekor burung, dengan izin Allah, dan aku sembuhkan orang buta, dan penyakit kusta, dan aku juga hidupkan orang yang mati, dengan izin Allah, dan aku beritahu kamu benda-benda yang kamu makan, dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kamu, jika kamu orang-orang mukmin.

3:50. Dan mengesahkan Taurat yang sebelumku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang diharamkan kepada kamu. Aku datang kepada kamu dengan satu ayat daripada Pemelihara kamu; maka kamu takutilah Allah, dan kamu taatlah kepadaku.

3:51. Sesungguhnya Allah Pemeliharaku, dan Pemelihara kamu; maka sembahlah Dia. Inilah jalan yang lurus.'"

Seperti berlaku kepada Nabi-Nabi lain, Isa juga telah menghadapai orang-orang tidak percaya. Petikan ayat-ayat diakhiri dengan kewafatan Nabi Isa:

3:52. Dan apabila Isa sedari ketidakpercayaan mereka, dia berkata, "Siapakah yang akan jadi penolong-penolongku untuk Allah?" Berkatalah pengikut-pengikutnya yang setia, "Kami akan jadi penolong-penolong Allah; kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.

3:53. Wahai Pemelihara kami, kami percaya kepada apa yang Engkau turunkan, dan kami ikut Rasul, maka tuliskanlah kami bersama orang-orang yang saksikan."

3:54. Dan mereka buat tipu daya, dan Allah buat tipu daya, dan Allah adalah yang terbaik daripada pembuat-pembuat tipu daya.

3:55. Apabila Allah berkata, "Wahai Isa, Aku akan matikan kamu, dan naikkan kamu kepada-Ku, dan Aku bersihkan kamu daripada orang-orang tidak percaya. Aku akan buatkan orang-orang yang ikut kamu di atas orang-orang tidak percaya hingga Hari Kiamat. Kemudian kepada-Ku kamu akan kembali, dan Aku akan hakimkan antara kamu mengenai apa yang padanya kamu selisihkan.

Demikianlah sedikit cerita mengenai ahli keluarga Imran yang hebat sehingga jadi antara keluarga di atas semua alam, menurut al-Qur'an. Kesemua mereka taat kepada Allah dan Kitab-Nya. Mereka tidak adakan pasangan bagi Kitab Allah yang diterima, seperti berpasangan dengan Sunnah atau Ahlul Bait yang kini sedang dilakukan.

Isa telah dimatikan Allah. Setakat itu difahamkan tentang kematian ahli keluarga yang Allah tinggikan di atas semua manusia, selain cerita Nabi Yaakub apabila kematian tampil kepadanya (2:133). Tidak ada cerita lanjut mengenai jenazah mereka, atau jenazah orang-orang salih lain termasuk para Nabi dan Rasul di dalam al-Qur'an. Itu kerana ia tidak penting untuk dijadikan petunjuk dalam agama Allah.

Namun begitu, terdapat orang Islam yang mengambil sesetengah jenazah sebagai petunjuk. Contoh, jenazah seorang imam yang meninggal selepas beri salam pertama solat Asar di atas tikar sembahyang (Nabi Muhammad pun, seperti difahamkan, tidak wafat seperti itu). Setelah beberapa hari disimpan di bilik mayat sebuah hospital di Lembah Kelang jenazah tersebut dikatakan masih segar dan berpeluh!

Memikirkan jenazah tersebut sebagai hebat, sudah dimuliakan Allah, maka orang yang membawa cerita telah bertanya tentang amalan imam tersebut. Lalu dia diberitahu, dan kami dapati amalan yang telah dilakukan tidak disuruh Allah di dalam Kitab-Nya, dan tentu tidak dilakukan oleh orang-orang yang berpegang teguh pada Kitab-Nya, termasuk ahli keluarga Imran, mahupun Nabi Muhammad sendiri.

Sesungguhnya, kami tidak hairan dengan mayat yang masih segar setelah beberapa hari mati. Kerana daripada cerita-cerita orang agama lain pun ada yang sama, mungkin lebih hebat kerana tempoh kematian orang alim mereka jauh lebih lama. Teringat satu documentary di TV yang menunjukkan mayat seorang sami yang tidak reput setelah dikebumikan puluhan atau ratusan tahun (kami tidak ingat dengan tepat). Ia diiktui dengan satu penjelasan saintifik atas kejadian tersebut. Begitu juga didapati mayat-mayat daripada suatu puak yang tidak reput selepas kian lama dikuburkan. Pun ada penjelasan saintifiknya.

Memang semua yang berlaku adalah atas kehendak Allah. Tetapi keadaan mayat, walaupun difikirkan jenazah hebat, tidak dihendaki-Nya untuk menjadi petunjuk dalam agama, atau menentukan nasib si mati pada hari akhirat kelak.

Allah disanjung!


7 Mei 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman