Hidayat II - Salam & Ego

 

From: lanlen09
To: ebacaan@yahoo.com
Cc:
Sent: Tue, March 15, 2011 1:29:03 PM
Subject: Mereka yang Membeli Kesesatan dengan Petunjuk Assalamualaikum.

 

Salam.

 

Semoga Tuan Pengurus Laman berada dalam Pengasihan-Nya.  

Saya tertarik membaca kiriman Zul Azlan dan respon dari Tuan. Di sini saya panjangkan kiriman ini khas untuk Zul Azlan.

 

“Ana” ingin mengajukan kepada “Ante” sudahkah “Ante” selidiki kiriman salam “Ante” sebelum dihulurkan kepada orang? Apakah itu salam diajar dari Kitab Tafsir “Ante” atau dari Kitab Allah?

Kalau “Ante” boleh mentelaah Kitab Tafsir “Ante” dengan teliti, “Ana” mengajak “Ante” mentelaah sama Kitab Allah berkenaan salam.

 

Mari kita sama-sama rujuk Surah An-Nur (24); ayat 61. “…….berilah penghormatan kepada diri-diri (sesama) kamu dengan salam hormat daripada Allah, yang diberkati dan baik. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat supaya kamu faham.

 

Salam penghormatan yang diberkati dan baik diajar oleh Allah. Bagaimanakah pengucapan salam yang diajar oleh Allah?

Sila rujuk surah Al-An’am (6); ayat 54. “Dan apabila orang-orang yang percayai (beriman) ayat-ayat Kami datang kepada kamu, katakanlah, "Salamun alaikum (sejahtera ke atas kamu)." Pemelihara kamu tuliskan (tetapkan) untuk diri-Nya pengasihan,.....” Jika “Ante” beriman dengan ayat-ayat Allah (Kitab Allah) itulah ucapan yang diajar oleh Allah.

 

Malah Yasinan yang selalu kita anjurkan setiap Malam Jumaat ada sebutan Salam yang diajarkan Allah. Rujuk surah Yasin (36); ayat 58."Salam!" ialah ucapan daripada Pemelihara yang Pengasih.”

 

Jadi kalau “Ante” yang beriman kepada ayat-ayat Allah, “Ante”boleh membalas ucapan orang-orang beriman dengan yang lebih baik (Salamun alaikum) atau yang serupa dengan salam penghormatan yang diberi, contoh sebutlah “Salam” sahaja. Sila rujuk  surah Al-Nisa’ (4); ayat 86. “Dan apabila kamu dihormati dengan salam hormat, maka berilah salam hormat yang lebih baik daripadanya, atau kembalikan ia; sesungguhnya Allah buat hitungan atas segala sesuatu.”

 

Kalau “Ante” mentelaah ayat-ayat Allah tiada satupun ada ungkapan salam seperti yang “Ante” hulurkan.

Dan “Ana” bukan memandai-mandai mentafsir ayat-ayat Allah berkenaan Salam ini, tetapi Allah yang tentukan ayat-ayat-Nya secara rapi dan kemudian dijelaskan. Rujuk surah Hud (11); ayat 1. Alif Lam Ra. Sebuah Kitab yang ayat-ayatnya tentukan, dan kemudian dijelaskan, daripada yang Bijaksana, Menyedari.

 

Semoga apa yang “Ana” cuba kongsikan dengan “Ante” membuka minda “Ante” untuk mendengar dan ikut yang paling baik. Rujuk surah Az-Zumar (39); ayat 18. “Yang mendengar ucapan, dan ikut yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah beri petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang empunya minda.”

Agar dengannya Allah akan beri hidayat/petunjuk pada “Ante”.

 

Buangkanlah rasa ego dengan pegangan dan kefahaman kita selama ini. Ego itu perumpamaan atau persamaannya seperti gunung. Rujuk surah Al-Hashir (59); ayat 21. Sekiranya Kami turunkan al-Qur’an ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk, terpecah-pecah daripada ketakutan kepada Allah. Dan persamaan-persamaan itu Kami buatkan untuk manusia supaya mereka fikirkan.

 

Adakah Ego “Ante” lebih besar dari Gunung?

Sekiranya Gunung boleh tunduk, terpecah-pecah daripada ketakutan kepada Allah dengan ayat-ayat-Nya, maka siapakah “Ante” dan kita semua yang tidak mahu tunduk dan takut kepada Allah?

Marilah kita muhasabah diri dengan  ayat-ayat Allah.

 

Jika “Ante” dan kita semua masih lagi berkeras, tenung dan renungkanlah surah Al-Baqarah (2); ayat 16-20.

 

2:16. Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka perdagangan mereka tidak menguntungkan mereka, dan mereka bukanlah orang-orang yang dapat petunjuk yang benar.

 

2:17. Persamaan mereka seperti persamaan orang yang nyalakan api. Apabila ia menerangi yang di sekelilingnya, Allah hilangkan cahaya mereka, dan tinggalkan mereka dalam kegelapan, dengan tidak melihat.

 

2:18. Pekak, bisu, buta; maka mereka tidak akan kembali.

 

2:19. Atau seperti awan hujan dari langit, yang di dalamnya kegelapan, dan guruh, dan kilat. Mereka letak jari-jari mereka di dalam telinga mereka terhadap bunyi petir kerana takut akan mati; dan Allah meliputi orang-orang tidak percaya (kafir).

 

2:20. Kilat hampir-hampir sambar penglihatan mereka; setiap kali ia beri mereka cahaya, mereka berjalan di dalamnya, dan apabila menjadi gelap ke atas mereka, mereka berhenti; dan sekiranya Allah hendak, tentu Dia hilangkan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu.

 

Begitulah sedikit nasihat untuk “Ante” juga untuk “Ana” sebenarnya, supaya kita sentiasa kembali kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim.

 

Sekian, terima kasih.

Allah Disanjung!


Salamun alaikum,

Terima kasih atas kiriman yang menarik, bermaksud untuk beri kesedaran. Antara perkara-perkara yang menarik di atas, dan ingin dipanjangkan sedikit di sini ialah perkataan ego dan kegunaan persamaan. Terdapat banyak persamaan di dalam al-Qur'an dan kami pilih yang berikut untuk diutarakan:

 

"Dan sekiranya Kami hendak, tentu Kami naikkan dia dengannya, tetapi dia kekal (cenderung) kepada bumi, dan ikut keinginannya. Maka persamaannya seperti persamaan seekor anjing: jika kamu menghalaunya, ia menjulurkan lidahnya, atau jika kamu membiarkannya, ia menjulurkan lidahnya juga. Itu persamaan kaum yang dustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah ceritanya supaya mereka fikirkan." (7:176)

 

Persamaan dengan seekor anjing yang menjulurkan lidah diberi atas sebab ikut keinginan lalu mendustakan ayat-ayat-Nya. Ayat-ayat didustakan hanya setelah ia ditemukan, atau diketahui. Misalan, orang yang telah ditemukan dengan ayat-ayat mengenai salam tetapi enggan ikutinya.

 

Perhatian beralih kepada perkataan keinginan pula. Ia diterjemah daripada kalimat hawa. Antara maksudnya menurut seorang yang bahasa ibundanya Arab ialah ego. Lantaran itu, orang yang telah disamakan dengan anjing tersebut adalah yang ikut egonya.

 

Melihat pula pada ayat-ayat lain mengandungi perkataan keinginan yang mungkin boleh diertikan kepada ego. Kami pilih ayat di bawah sebagai contoh:

 

"Kemudian, jika mereka tidak sahut kamu, ketahuilah bahawa mereka hanya ikut keinginan (ego) mereka; dan siapakah lebih sesat daripada orang yang ikut keinginannya (egonya) tanpa petunjuk daripada Allah? Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (28:50)

 

Dapat difahamkan iaitu orang berpenyakit ego tidak menyahut seruan kepada ayat-ayat Allah, dan bahawa dia adalah orang sesat, kerana berpendirian tanpa petunjuk daripada Allah. Dia juga dikatakan zalim.

 

Penyakit ego boleh membawa kepada suatu yang amat berat sekali. Apabila ia diutamakan dan (perintah) Allah dibelakangkan maka ia dikatakan jadi sembahan atau tuhan. Ayat yang menyebut orang ambil ego untuk menjadi tuhannya berbunyi,

 

"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya (egonya) menjadi tuhannya? Adakah kamu jadi wakil kepada mereka?" (25:43)

 

Rasanya kita sudah melihat orang seperti itu. Antara mereka yang jadikan ego sebagai tuhannya adalah yang mempunyai sesuatu pengetahuan. Mereka orang pandai (contoh, pandai bahasa Arab), tetapi telinga, hati dan mata mereka ditutup, kerana bertuhankan ego, lalu berdiri dengan tanpa petunjuk daripada Allah. Maksud firman Allah,

 

"Sudahkah kamu lihat orang yang mengambil keinginannya (egonya) untuk menjadi tuhannya, dan Allah sesatkan dia atas satu pengetahuan, dan letak satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan letak satu penudung pada penglihatannya? Siapakah yang akan beri petunjuk kepadanya selepas Allah? Apa, tidakkah kamu mengingati?" (45:23)

 

Akhir sekali, diingatkan bahawa Api, Jahanam dan lain yang wujud di Medan-Nya, harus ditakuti, dan jiwa kita harus dilarang daripada egonya. Firman Allah,
 

"Tetapi bagi orang yang takut akan Medan Pemeliharanya, dan melarang jiwa daripada keinginannya (egonya), Sesungguhnya Taman ialah tempat menginap." (79:40-41)

 

 

Terima kasih.

Allah disanjung!

 

16.3.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman