Qalbu itu Jantung atau Hati?

 


From:
emi_samad
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Tuesday, February 14, 2012 11:58 PM
Subject: Qalbu = Jantung atau Hati?


Salam,

Saya ingin bertanya adakah penggunaan kata 'hati' dlm terjemahan masih sesuai lagi digunakan? Kerana mengikut kamus arab, qalbu diterjemahkan sbg heart iaitu jantung dlm bhs Melayu. Hati pula ialah liver dlm bhs Inggeris. Mereka adalah organ yg berbeza dan mempunyai fungsi yg berbeza juga, tetapi sama terletak di dlm badan. Persoalan ini diutarakan kerana bimbang ianya akan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca. Hal ini, antaranya mungkin terbit setelah melihat beberapa teori atau fakta mengenai kajian 'jantung boleh berfikir' oleh para saintis. Walaupun saya akui ia belum lg dapat penerimaan umum oleh masyarakat, tetapi saya yakin masih ramai lagi (org melayu khususnya) yg terkeliru mengenai (heart dan qalbu adalah jantung) dan (hati adalah liver dan kabid).

Sekian, maaf atas segala kekurangan dan terima kasih.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Sebenarnya perkara ini sudah kami fikirkan terlebih dahulu.

Izinkan kami bertanya pula, adakah heart hanya bermakna jantung dalam bahasa Melayu? Maaf kerana bertanya, sebab kami melihat itulah satu-satunya makna atas perkataan Inggeris tersebut bagi saudara dalam mempertikaikan terjemahan kami.

Pertikaian seperti ini dapat dihuraikan dengan merujuk bahan-bahan berkaitan. Lalu kami menjemput saudara menyelak halaman-halaman Kamus Inggeris-Melayu Dewan untuk mencari perkataan heart dan maknanya. Di situ antara makna heart yang tercatat adalah seperti berikut:

1. (organ) jantung: ~ diseases penyakit jantung;

2. centre of thoughts and emotions, hati:

Seterusnya, didapati tertulis sebagai salah satu contoh kegunaan bagi no. 2 ialah frasa she has a kind ~, dia baik hati. Apabila fahaman di atas diikuti, maka terjemahan frasa Inggeris itu akan berbunyi dia berjantung baik bukan dia baik hati. Malangnya, tiada seorang pun yang berbahasa Melayu akan menterjemahkan kind heart kepada berjantung baik.


Justeru, heart bukan sahaja bermaksud jantung. Itu hal bahasa yang lazim dipakai. Sesetengah perkataan tidak semestinya disempitkan kepada satu makna sahaja.

Demikianlah fahaman orang Melayu, dan untuk mengatakan saudara yakin bahawa ramai antara mereka yang terkeliru mengenai maksud heart, jantung dan hati hanya menunjukkan siapa dia orang yang sebenarnya terkeliru.

Tambahan pula, orang Melayu didapati menggunakan perkataan qalbu dalam bahasa harian mereka, iaitu kalbu. Sila rujuk Kamus Dewan di mana kalbu diertikan kepada hati (pusat segala perasaan batin) sanubari.


Begitu juga kegunaan qalbu di dalam al-Qur'an, yang bermaksud
centre of thoughts and emotions seperti terdapat pada ayat berbunyi,

7:179. Kami ciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (qalbu), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat. Mereka itu, merekalah orang-orang yang lalai.


Apa akan jadi apabila hati yang kami guna ditukar kepada jantung seperti disarankan, pada ayat-ayat yang kami pilih daripada kalimat
hati atau qalbu di ruangan Kalimat Pilihan. Ayat-ayat dimaksudkan adalah:

2:74. Kemudian jantung kamu jadi keras setelah itu, dan menjadi seperti batu, atau lebih keras, kerana ada antara batu yang sungai-sungai memancar daripadanya, dan yang lain terpecah supaya air keluar daripadanya, dan yang lain terjatuh dalam ketakutan kepada Allah. Dan Allah tidak lalai daripada apa kamu buat.

3:8. "Wahai Pemelihara kami, janganlah simpangkan jantung kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berikan kami pengasihan daripada sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi.

3:103. Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan jantung-jantung kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu jadi bersaudara. Kamu di pinggir lubang Api, dan Dia selamatkan kamu daripadanya. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu dapat petunjuk.

37:84. Apabila dia datang kepada Pemeliharanya dengan jantung yang bersih,

47:24. Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Atau, adakah adanya kunci pada jantung mereka?

Maaf kerana berkata, kami tidak nampak sebarang kebijaksanaan dalam ayat-ayat di atas setelah qalbu (heart) diterjemah kepada jantung!


Atau pada ayat-ayat berikut, adakah qalbu yang berpenyakit di situ bermaksud sakit jantung?

2:10. Di dalam qalbu mereka ada penyakit, dan Allah tambah penyakit mereka, dan bagi mereka azab yang pedih kerana mereka dustakan.

8:49. Apabila orang-orang munafik, dan orang-orang yang di dalam qalbu mereka ada penyakit, berkata, "Agama mereka telah menipu mereka"; tetapi sesiapa tawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana.

47:29. Atau, adakah orang-orang yang di dalam qalbu mereka ada penyakit sangka Allah tidak akan keluarkan kebencian mereka?

Tidak, qalbu (heart) di situ tidak wajar diterjemah kepada jantung.


Pun begitu, terdapat ayat di mana qalbu boleh diterjemah kepada jantung. Tapi kami tidak menggunakannya atas alasan keseragaman bagi maksud qalbu. Ayat tersebut berbunyi,

79:8. Hati-hati (jantung-jantung) pada hari itu berdebar,


Kami berhenti di sini, dengan tidak menyentuh perkara "liver dan kabid" yang diutarakan, kerana mereka walaupun ilmu tetapi tidak disebut di dalam al-Qur'an. Sekian, terima kasih.


Allah disanjung!


16 Februari 2012


Tambahan 8hb Jun 2012

Sedikit kekeliruan telah timbul mengenai hati yang diguna di sini, di mana sesetengah pihak sangka kami mengertikannya kepada liver, iaitu suatu organ. Kami rasa tiada satu pun ayat kami yang menunjukkan demikian. Kami telah mengertikan qalbu kepada jantung dan hati dengan penjelasannya. Dan kami tidak menyatakan jantung (organ) dan hati (pun organ) dalam penjelasan di atas.

Makna perkataan hati dalam bahasa Melayu bukan satu. Ia tidak hanya bermakna nama bagi suatu organ atau liver. Ia juga boleh diertikan kepada batin (tempat perasaan, pengertian dll), menurut Kamus Dewan.

Kami tahu ada saintis mengatakan jantung juga "berfikiran" seperti otak. Pada satu gambarajah mengaitkan otak dengan jantung terdapat satu garisan diberi nama qalbu. Itu qalbu atau kalbu atau hati yang kami maksudkan, menurut penggunaan orang Melayu. Kelihatan seperti qalbu, dan beberapa lain, berada dalam jantung.

Mungkin sains harus tukar perkataan jantung kepada hati memandangkan penggunaannya dalam bahasa Melayu :)

Tidak, kami tidak mengertikan hati kepada liver di sini. Harap maklum.

Terima kasih.

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman