Salatul Wusta bukan Solat?

 

From: kazambo mambo
To: "ebacaan@yahoo.com" <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Sunday, December 9, 2012 12:30 AM
Subject: Salatul wusta

Salamun Alaikum,

Diharapkan Tuan Penulis dalam keadaan Sihat disamping Keluarga.

Disini saya ingin bertanya pasal Solatul Wusta. Selama ini saya berpegangan bahwa Solatul Wusta ialah Solat pertengahan yg harus dikerjakan diantara Solat Fajar dan Solat Isyak.

Tetapi baru2 ini saya ditegur oleh sahabat saya bahwa Konteks Solatul Wusta adalah Bab Perceraian.

Kalau kita lihat hanya ayat 2-238 yg mengandungi perkataan Solatul Wusta, takde masalah. Tapi kalau kita lihat dari ayat 2-226 sampai 2-242 kita akan dapati bahwa Allah sedang menerangkan ttg Bab Perceraian.

Soalannya ialah Kenapa pula timbul ayat 2-238 yg menyebut ttg Solatul Wusta didalam Bab Perceraian?

Apakah ada kemungkinan yg Solatul Wusta disitu bukan bermakna Solat Pertengahan tetapi Perjanjian yang Pertengahan (tak berbelahbagi) ?

Diharap tuan dapat memberi pandangan Tuan. Terimakasih.

Salamun Alaikum.

With Wisdom Comes Freedom.........Peace


Salamun alaikum,

Alhamdulillah, semua baik, terima kasih. Terima kasih juga kerana sudi menulis lagi.

Kami dapati teguran adalah atas pilihan Allah menyelitkan sesuatu perkara di dalam perkara lain. Pendekatan ini dirasakan diguna beberapa kali di dalam al-Qur'an, mungkin untuk menegaskan perkara yang diselitkan itu. Teknik tersebut boleh juga ditonton dalam filem.

Di dalam al-Qur'an ia telah diguna dari awal lagi. Misalan, ayat 2:62 yang terbit di Bab Bani Israil (bermula 2:40), dan ayat-ayat lain seperti 2:78 sebelum Bab tersebut dikira tamat apabila sampai ayat 2:101.


Bila sebut mengenai solat, ia selanjutnya didapati terbit dalam Bab bukan solat tetapi orang-orang "jahat". Sila lihat di bawah:

4:42. Pada hari itu orang-orang tidak percaya, orang-orang ingkari Rasul, akan inginkan supaya bumi didatarkan dengan mereka; dan mereka tidak akan sembunyikan daripada Allah sesuatu hadis (kejadian).

4:43. Wahai orang-orang yang percaya, jangan mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan, dan jangan dalam junub, kecuali kamu menyeberangi satu jalan, sehingga kamu mandi; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka-muka kamu dan tangan-tangan kamu; sesungguhnya Allah Pemaaf, Pengampun.

4:44. Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab membeli kesesatan, dan hendak kamu juga sesat daripada jalan?

Di situ tidak menunjukkan bahawa perkataan solat ada kaitan dengan ayat sebelum atau sesudahnya.

Satu lagi contoh mengenai solat yang tiada kaitan dengan "Bab":

5:5. Pada hari ini, benda-benda yang baik dihalalkan bagi kamu, dan makanan orang-orang diberi al-Kitab adalah halal bagi kamu, dan dihalalkan bagi mereka, makanan kamu. Begitu juga wanita-wanita yang mukmin, dalam pernikahan, dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu, jika kamu beri mereka upah mereka, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina, atau menjadikannya teman rahsia. Sesiapa tidak percaya dalam keimanan, amalannya jadi sia-sia, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi.

5:6. Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih.

5:7. Dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu, dan perjanjian-Nya yang Dia buat dengan kamu apabila kamu berkata, "Kami dengar, dan kami taat." Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah tahu apa yang di dalam dada.

5:8. Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan di hadapan Allah, saksi-saksi untuk keadilan. Jangan kebencian pada kaum mendesak kamu untuk tidak berlaku adil; berlakuadillah, itu lebih dekat dengan takwa. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat.

Justeru, kedudukan sesuatu ayat boleh diletak-Nya di mana Dia hendaki menurut hikmah-Nya.


Seterusnya kami berpendapat jika Allah hendak menyatakan perjanjian di situ (2:238), tentu Dia guna perkataan perjanjian, atau perjanjian yang pertengahan bukan solat di tengah, kerana perjanjian adalah suatu yang besar di sisi-Nya dan telah menyebutnya dengan banyak sekali. Sila lihat kalimat Perjanjian.

Pendek kata, kalau Dia hendak maksudkan perjanjian maka perjanjianlah perkataan-Nya, dan kalau Dia hendak maksudkan solat maka solatlah perkataan-Nya. Bukankah al-Qur'an jelas?


Tambahan pula, jika salatul wusta bermaksud perjanjian yang pertengahan ia susah dipadankan dengan ayat yang menyusul. Sila lihat ayat-ayat berkenaan:

2:238. Peliharalah salawat, dan salatul wusta, dan berdirilah kamu patuh kepada Allah.
2:239. Jika kamu dalam ketakutan, maka sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah ajar kamu apa yang kamu tidak tahu.

Maka dengan andaian sahabat saudara, perjanjian dilaksana sambi berjalan kaki atau menunggang bila dalam keadaan takut, tetapi apabila sudah aman, ingatlah.... Dia guna perkataan ingat pulak! Tidakkah ingat itu seakan senyawa dengan solat?


Selanjtnya, kami tidak dapati sebarang sebutan berbunyi "Perjanjian yang Pertengahan" pada ayat-ayat Perjanjian sebenar. Dan tidak begitu setuju pula dengan maksud diberi kepada Perjanjian yang Pertengahan sebagai tak berbelahbagi seperti didakwa.
 

Oleh demikian, apa yang dibangkitkan itu menimbulkan tanda tanya di samping menimbulkan keraguan tehadap solat, atau solat di tengah, terutamanya. Mengapa solat selalu dijadikan bahan dalam keraguan (mungkin tidak di sini)? Boleh jadi ini adalah antara maksud apabila Dia mengatakan bahawa "ia adalah sungguh berat kecuali kepada orang-orang yang rendah hati" (2:45).


Kami pernah rasa tidak senang hati apabila orang bertanya, misalan, kenapa Tuhan kata begini di sini tetapi kata begitu di situ, atau kenapa Dia buat ini dan Dia buat itu. Dan sekarang - "Soalannya ialah Kenapa pula timbul ayat 2-238 yg menyebut ttg Solatul Wusta didalam Bab Perceraian?" pula.

Kenapa? Tanyalah Dia yang buat apa Dia hendaki menurut hikmah-Nya.


Allah disanjung!


10 Dis 2012

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman