Judi dan Arak di dalam al-Qur'an

 

Sunday Star, 9 Jun 2002, muka 30

 

Kartun Piala Dunia dan Mahkamah di atas memperingatkan tentang amalan judi. Amalan itu bukan baru. Orang-orang zaman dulu pun berjudi. Nabi telah ditanya mengenainya, dan menjawab seperti Kata Allah berikut:

"Mereka menanyai kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.' Dan mereka menanyai kamu mengenai apa yang mereka patut menafkahkan. Katakanlah, 'Yang berlebihan.' Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu memikirkan" (2:219).

Ayat itu adalah yang pertama, daripada tiga, yang menyebut perkataan "judi" di dalam al-Qur'an. Perkataan "judi" bermakna "permainan dengan memakai wang dll sebagai taruhan," menurut Kamus Dewan.

Maka, judi adalah sejenis permainan, dan menurut ayat tadi, ia ada beberapa manfaat bagi manusia. Kemanfaatannya mungkin terdapat pada judi yang berbentuk loteri, dan sebagainya, untuk mengisi tabung kebajikan masyarakat atau kegiatan amal yang lain.

Judi dilawankan dengan nafkah (sila rujuk Kalimat nafkah di dalam al-Qur'an). Lantas, amalan judi adalah sesuatu yang merugikan. Daripada berjudi lebih baik memberi nafkah.

Walaupun terdapat beberapa manfaat bagi manusia, namun, judi dikategorikan Allah sebagai suatu amalan yang membawa dosa besar. Selain itu, Dia menyifatkan judi sebagai kotoran, dan mengingatkan bahawa ia adalah sebahagian daripada amalan syaitan. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung" (5:90).

Allah menyuruh agar judi dijauhkan, dan dalam ayat terakhir di bawah ini pula mengandungi pertanyaan berbunyi "Mahukah kamu berhenti?" Oleh yang demikian, adalah lebih baik untuk menjauhi amalan judi dan terus berhenti daripadanya supaya tidak rugi di belakang hari nanti. Kerugiannya lebih besar daripada keuntungannya. Ayat tersebut berbunyi,

"Syaitan hanya menghendaki untuk menyebabkan permusuhan dan kebencian antara kamu dalam arak dan judi, dan untuk menghalangi kamu daripada mengingat Allah, dan daripada solat. Mahukah kamu berhenti?" (5:91).

Pengaruh syaitan dalam judi tidak harus diperkecilkan. Kerana ia boleh menyebabkan berlaku permusuhan dan kebencian di kalangan manusia iaitu suatu penyakit masyarakat yang sukar diubati. Dan yang lebih berat daripada itu ialah ia menghalangi manusia daripada mengingati Allah dan solat.

Apabila Allah tidak diingati lagi maka segala kemungkinan berlaku yang buruk akan menjadi pasti. Sementara solat pula, menurut Allah, mampu untuk melarang amalan sumbang dan mungkar (29:45).

Ke atas judi tidak diturunkan sebarang hukuman seperti hukuman bagi pencuri, penzina atau pembunuh. Kesnya tidak seberat itu. Sekiranya perbuatan itu menimbulkan masalah kepada orang lain, dan masyarakat amnya, maka masyarakat harus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk menanganinya.

Judi dikelaskan bersama arakberhala, dan ramalan anak-anak panah (5:91).

Berhala, menurut ajaran Allah, adalah bukan sahaja patung daripada batu, tembaga atau emas, tetapi apa sahaja yang dihalakan dan diutamakan serta dikasihi, yang lebih daripada Allah. (sila rujuk Kalimat berhala di dalam al-Qur'an)

Bagi amalan ramalan anak-anak panah pula, telah wujud beberapa pendapat. Ada yang mengatakan ia seperti loteri, tetapi penulis condong kepada pendapat yang menyatakan ia adalah peramalan atau penilikan, seperti pada nasib dll, oleh orang yang dikatakan pandai dalam kepalsuan itu.

Kesemua amalan tersebut boleh menerbitkan keasyikan dan ketagihan yang  keterlaluan sehingga Allah dilupakan sama sekali. Akibatnya tentu buruk.

Cara yang paling berkesan menangani kejahatan-kejahatan itu ialah melalui pendidikan, iaitu yang berteraskan mengingati Allah dan takut kepada-Nya.

Ajaran-ajaran yang sedia ada, seperti neraka itu tempat sementara, bersyahadat akan membawa ke syurga, haji menghapuskan segala dosa, salawat menghapuskan dosa, kasih kepada ulama akan masuk syurga tanpa hisab, syafaat, dan beberapa yang lain (yang turut tidak disebut di dalam al-Qur'an) tidak akan mendorong manusia menjadi takut kepada Tuhan.

Justeru itu, tinggalkanlah ajaran-ajaran palsu tersebut dan kembali kepada al-Qur'an.

Arak

Isi karangan ditambah perbincangan mengenai arak pula, pada 28 April 2009, iaitu hampir tujuh tahun selepas diterbitkan.

Perbincangan dimulakan dengan menurunkan ayat-ayat mengandungi perkataan arak, atau khamr, dalam bahasa asal. Terdapat enam ayat dan berbunyi,

"Mereka menanyai kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, 'Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.'" (2:219)

"Wahai orang-orang yang percaya, arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung." (5:90)

"Syaitan hanya menghendaki untuk menyebabkan permusuhan dan kebencian antara kamu dalam arak dan judi, dan untuk menghalangi kamu daripada mengingati Allah, dan daripada solat. Mahukah kamu berhenti?" (5:91)

"Dan masuk ke penjara bersama dia, dua orang pemuda. Berkata seorang daripada mereka, 'Aku melihat (bermimpi) bahawa aku memerah arak (anggur).' Berkata yang lain, 'Aku melihat bahawa aku membawa di atas kepalaku roti, yang burung-burung memakan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya; kami melihat bahawa kamu adalah antara orang-orang yang berbuat baik.'" (12:36)

"Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu, dia akan menuangkan minuman arak untuk pemeliharanya (tuannya); bagi yang lagi satu, dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya. Perkara telah diputuskan yang kamu meminta keputusan kepadaku." (12:41)

"Inilah persamaan Taman yang orang-orang yang bertakwa dijanjikan: di dalamnya sungai-sungai daripada air yang tidak dicemari, dan sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai daripada arak - suatu keseronokan bagi peminum-peminum - dan sungai-sungai daripada madu yang dibersihkan; dan di dalamnya bagi mereka segala macam buah-buahan, dan keampunan daripada Pemelihara mereka. Samakah mereka dengan orang yang tinggal selama-lamanya di dalam Api, yang diberi minum air yang mendidih, yang memotong usus-usus mereka?" (47:15)

Satu kesilapan (yang amat dikesali) telah dilakukan pada ayat 12:36, di mana perkataan arak telah tidak ditulis di dalamnya, tetapi anggur. Kesilapan dilakukan agak jelas, kerana kehadiran perkataan memerah. Pun begitu, yang benar ialah arak, bukan anggur, dan hendaklah dibetulkan.

Daripada senarai di atas antara yang dapat difahamkan mengenai arak adalah bahawa ia:

  • dosa besar

  • kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan

  • disuruh supaya dijauhi

  • menyebabkan permusuhan, kebencian

  • menghalangi daripada mengingati Allah, solat,

di samping manusia juga ditanya sama ada mahu berhenti daripada meminumnya. Tidak mungkin jawapan yang wajar diberi kepada-Nya berbunyi tidak mahu berhenti, tanpa sekurang-kurangnya memikirkan tentang dosa besar atau amalan syaitan. Allah amat mengetahui tabiat manusia lalu Dia menyoal sebegitu rupa.

Kerana arak dikaitkan dengan dosa, atau lebih tepat dosa besar, maka meminumnya menjadi suatu perbuatan dosa. Perbuatan dosa pula, adalah antara beberapa perbuatan yang diharamkan Allah, menurut firman-Nya,

"Katakanlah, 'Pemeliharaku hanya mengharamkan kesumbangan yang nampak dan yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, dan keangkuhan tanpa patut, dan kamu menyekutukan Allah dengan apa yang Dia tidak menurunkan kuasa, dan kamu mengatakan mengenai Allah apa yang kamu tidak tahu.'" (7:33)

Justeru itu, secara tidak langsung, arak menjadi haram diminum, walaupun hukum itu tidak dirakam di dalam ayat-ayat yang mengandungi kalimatnya. Dan judi yang seiring disebut turut menjadi haram.

Demikian ditetapkan di dunia. Akan tetapi di akhirat berlainan pula - sungai-sungai daripada arak menjadi suatu keseronokan bagi peminum-peminum yang berada di Taman, dan tempat kediaman yang kekal di Taman itu tidak mungkin dapat ditempah di sini dengan perbuatan dosa yang tidak dihentikan, atau ditaubatkan.

Salam.

(Sila lihat "Judi dan Arak - pertanyaan -tj.tokjanggut ")


Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman