Kartun Mempersendakan Nabi
 



TheStar, 1 Februari 2006, muka 26

 

Ringkasan Berita:

Berita bertajuk "Orang-orang Scandinavia diancam atas kartun-kartun Nabi" dipetik daripada Reuters, dari Copenhagen, yang melaporkan Denmark mengingatkan rakyatnya, pada hari Isnin (30 Januari lalu), supaya menjauhi Arab Saudi, sementara orang-orang bersenjata di Gaza pula berkata semua orang Scandinavia di sana terdedah kepada risiko diserang, kerana keradangan orang-orang Islam semakin meningkat atas kartun-kartun mengenai Nabi di surat khabar.

Akhbar Denmark Jyllands-Posten yang menerbitkan kartun-kartun tersebut telah memohon maaf kepada negara-negara Arab.

Lukisan-lukisan menggambarkan Nabi sebagai seorang teroris, dan satu daripadanya menunjukkan sarban baginda berbentuk sebutir bom.

Sebuah akhbar di Norway juga telah menerbitkan lukisan-lukisan tersebut.

Sekumpulan militant di Iraq telah menyarankan supaya serangan dibuat ke atas sasaran-sasaran kepunyaan Denmark dan Norway. Arab Saudi telah memanggil pulang dutanya dari Denmark dan ketua-ketua agamanya menyuruh memulaukan segala produk dari Denmark. Dan merata di negara-negara Teluk, beberapa buah pasar raya keluarkan produk makanan buatan Scandinavia dari rak-rak mereka. Sudan juga bertindak demikian di samping membatalkan lawatan peringkat kerajaan yang telah diatur.


Komen Penulis:

Orang Islam berhak rasa marah atas kartun-kartun mempersendakan Nabi, walaupun pihak berkenaan memohon maaf, kerana penghinaan yang menusuk jiwa.

Tindakan mereka harus setimpal dengan kebiadaban yang telah dipamerkan. Sebarang kezaliman yang dilakukan sebagai tindak balas hanya akan mengiakan lagi sangkaan buruk mereka terhadap Nabi.

Dalam membalas Nabi telah ikut petunjuk daripada Allah berbunyi,

"Dan balasan ke atas kejahatan ialah kejahatan yang serupa dengannya; tetapi sesiapa maafkan, dan betulkan, maka upahnya adalah atas Allah; sesungguhnya Dia tidak suka orang-orang zalim." (42:40)

Lantas, orang Islam pun ikut tindakan Nabi.

Kartunis yang melukis seakan mengetahui bahawa orang-orang Islam sangat menyanjung Nabi hingga mendewakannya dengan ikut apa saja yang diajar oleh pihak tertentu sebagai contoh teladan daripadanya. Sebab itu baginda dipersendakan, bukan al-Qur'an atau Allah.

Ajaran itulah jadi penyebab bagi kebanyakan orang Islam jadi lalai daripada ajaran al-Qur'an lalu terbit tohmah ke atas Nabi dan umat Islam seperti terdapat pada kartun-kartun tersebut.

Sesungguhnya sifat Nabi yang diajar daripada kitab-kitab karangan manusia adalah berbeza dengan yang diajar daripada Kitab Allah, al-Qur'an. Sedikit contoh disenaraikan di dalam artikel Hadis Nabi yang sebenar.

Sekiranya orang-orang Islam ikut sifat Nabi yang dirakamkan di dalam al-Qur'an tentu mereka, atau Nabi, tidak dihina dengan gelaran keji.

Antara sifat Nabi yang terkandung di dalam al-Qur'an dijelaskan begini:

"Adalah dengan pengasihan Allah kamu berlaku lemah lembut kepada mereka (orang-orang tidak percaya atau kafir), dan sekiranya kamu berkasar dan berkeras hati, tentu mereka menyuraikan diri dari sekeliling kamu. Maka maafkanlah mereka, dan mintalah ampun untuk mereka, dan berundinglah dengan mereka dalam urusan. Apabila kamu sudah putuskan, tawakallah kepada Allah; sesungguhnya Allah suka orang-orang yang tawakal." (3:159)

Maka Nabi berlaku lemah lembut, tidak berkasar dan berkeras terhadap orang-orang tidak percaya. Baginda maafkan dan minta ampun untuk mereka di samping berunding dengan mereka dalam segala urusan. Demikianlah difahamkan daripada al-Qur'an sebahagian daripada sifat-sifat Nabi yang mulia.

Hanya segolongan orang Islam sahaja yang tidak ikut ajaran al-Qur'an, dan yang berkaitan di sini adalah dalam perjuangan, tetapi mengisytiharkan perjuangan mereka dengan nama jihad di jalan Allah.

Mereka ikut ajaran selain daripada Kitab al-Qur'an, atau bagi mereka yang dakwa ikut al-Qur'an, mereka hanya ikut tafsirannya yang telah dibengkokkan oleh orang-orang tertentu (bukan makna sebenar kepada perkataan dan ayat). Lantaran itu mereka berwajah pengganas atau teroris dalam perjuangan.

Kerana segolongan, Nabi dan seluruh umat Islam menerima penghinaan dunia. Bak kata pepatah, kerana seekor kerbau berkubang, sekandang kena loloknya.


2 Februari 2006

Keratan Akhbar
Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar 
English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman