Anti Hadis

 

 

Satu kekeliruan yang ketara berlaku di dalam masyarakat Melayu Islam khasnya, tetapi dengan tanpa disedari. Ia berpunca daripada perkataan hadith atau hadis yang berasal daripada Arab, iaitu bahasa yang kebanyakan orang Melayu tidak faham.

Perkataan tersebut adalah sebenarnya perkataan Tuhan kerana diguna di dalam Kitab-Nya, al-Qur'an. Ia disebut sebanyak 28 kali dan mempunyai beberapa makna pula seperti perkataan, pembicaraan, berita, keterangan, mimpi atau cerita, dan sebagainya, menurut konteks ayat ia digunakan.

Terdapat satu lagi makna atau pengertian yang ingin dibicara dengan lebih lanjut, iaitu al-Qur'an. Tuhan juga telah mengertikan perkataan 'hadis' kepada al-Qur'an. Contoh-contoh ayat di mana perkataan tersebut diertikan-Nya kepada al-Qur'an adalah:

"Boleh jadi, jika mereka tidak mempercayai HADIS ini (al-Qur'an), kamu membinasakan diri kamu dengan kesedihan kerana mereka" (18:6),

"Allah menurunkan HADIS yang paling baik sebagai sebuah Kitab (al-Qur'an)" (39:23),

"Apa, adakah kamu menganggap HADIS ini (al-Qur'an) rendah?" (56:81) dan,

"Maka tinggalkanlah Aku bersama orang yang mendustakan HADIS ini (al-Qur'an)! Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit dari arah yang mereka tidak mengetahui" (68:44).

Maka dengan itu jelaslah bahawa ayat-ayat al-Qur'an adalah hadis Tuhan. Bagi orang-orang yang mendustakannya pula Dia akan menarik mereka sedikit demi sedikit kepada penderitaan.

Pun begitu, terdapat pihak di kalangan masyarakat yang menganggap hadis Tuhan sebagai rendah. Beberapa contoh hadis-Nya yang dianggap rendah adalah seperti berikut:

"apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu (Muhammad), katakanlah, 'Salamun alaikum'" (6:54)

"Selain daripada Dia, kamu tidak ada pelindung, dan tidak juga ada syafaat (pengantara); tidakkah kamu mengingati?" (32:4)

"Sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, dan malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-Kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya, dan Hari Akhir, sesungguhnya dia sesat dalam kesesatan yang jauh." (4:136)

"Satu penurunan (al-Qur'an) daripada Pemelihara semua alam. Sekiranya dia (Muhammad) mengada-adakan terhadap Kami sebarang ucapan, tentu Kami mengambilnya dengan tangan kanan, kemudian pasti Kami memotong urat jantungnya," (69:43-46) dan,

"Ketahuilah bahawa atas Rasul Kami hanyalah untuk menyampaikan yang jelas (al-Qur'an)," (5:92 dan 24:54).

Dan banyak lagi. Senarai hadis Tuhan yang dipandang rendah serta tidak dipercayai oleh kebanyakan ahli masyarakat amat panjang. Memadailah dengan contoh-contoh di atas sahaja, yang mengandungi beberapa ajaran Tuhan seperti:

  • cara memberi salam hormat sesama manusia, 

  • syafaat yang tiada seorang pun mempunyai kuasanya, 

  • rukun iman lima perkara, 

  • Nabi yang tidak menambah pada ajaran Tuhan, dan, 

  • tugas seseorang rasul hanya menyampaikan al-Qur'an.

Kalau ingin ikut gelaran yang diberi oleh sesetengah pihak bagi orang-orang yang sedemikian sikapnya, yang tidak percaya dan menolak hadis, mereka digelar antihadis.

Mereka yang menggelar itu pula menggantikan ajaran hadis Tuhan dengan ajaran hadis lain yang mengajar selain daripada ajaran Tuhan. Lalu apa yang diajar Tuhan tadi bertukar kepada:

  • cara memberi salam yang lain bunyinya, 

  • menganggap Nabi mampu memberi syafaat, 

  • rukun iman mengandungi 6 perkara bukan 5, 

  • Nabi membuat tambahan pada ajaran Tuhan, dan,

  • tugas rasul bukan sahaja menyampaikan al-Qur'an.

Sebab menjadi begitu kerana terdapat manusia yang terbilang dalam agama (dan juga dalam bahasa Arab) di kalangan ahli masyarakat yang mempunyai pengertian tersendiri bagi perkataan 'hadis'. Mereka menolak ajaran bahasa Arab daripada Tuhan, yang menciptanya.

Mereka mengertikan perkataan itu kepada Hadis Nabi sahaja. Walhal, frasa hadis Nabi tidak langsung disebut atau diajar oleh Tuhan. Frasa sunnah rasul pun tidak disebut-Nya.

Kekeliruan menjadi bertambah kusut apabila didapati bahawa apa yang dikatakan hadis Nabi itu tidak ditulis atau disahihkan oleh Nabi sendiri. Koleksi yang mereka simpan serta imani telah ditulis oleh beberapa orang yang tinggal lebih daripada 200 tahun setelah Nabi wafat. Mereka menulis atas dasar didengar daripada cakap orang sahaja, yang mendengarnya pula daripada orang lain, daripada orang lain dan seterusnya.

Sayugia diingatkan iaitu hadis-hadis tulisan orang-orang seperti itu adalah di luar al-Qur'an, dan ditulis selepas al-Qur'an diturunkan. Hadis-hadis serupa itu ditolak oleh Tuhan dan antara penolakan-Nya berbunyi,

"Dan siapakah yang lebih benar HADISnya daripada Allah?" (4:87),

"Maka dengan HADIS apakah yang mereka, sesudah ini (al-Qur'an), akan mempercayai?" (7:185) dan,

"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami membacakan kamu dengan benar; maka dengan HADIS apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan mempercayai?" (45:6).

Justeru itu, berhati-hatilah apabila menggelar orang lain dengan panggilan 'antihadis' kerana yang sebenarnya menjadi antihadis tulisan manusia tersebut adalah Tuhan sendiri. Jangan pula muncul daripada ahli-ahli masyarakat orang-orang yang berani mencela Tuhan dengan cercaan serupa itu.

Namun, yang paling aneh sekali ialah orang-orang yang menggelar atau mencerca itu sendiri merupakan antihadis yang tulen, atas sebab mereka memandang rendah, mendustakan, dan menolak hadis yang paling baik lagi paling benar, iaitu hadis Allah, Pemelihara semua alam.


Penulis Bacaan
22 Feb 2005

Sila rujuk:
Kalimat hadis di dalam al-Qur'an
dan beberapa buah karangan yang berkaitan
di ruangan
Artikel. Terima kasih.


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman