Baca dan Membacakan al-Qur'an

 

 

"Belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab," bunyi sebaris daripada seni kata lagu kanak-kanak yang dinyanyikan semasa mereka dalam buaian. Lagu didendangkan dengan ibu ataupun bapa memegang kedua-dua tangan anak dan menepukkannya. Anak yang masih kecil itu akan tersengih kegelian atau ketawa.

Sungguh besar harapan para ibu bapa terhadap anak-anak mereka, iaitu pandai membaca kitab al-Qur'an. Ia direalisasikan pula apabila anak-anak sampai umur pandai membaca dan menulis. Mereka dihantar kepada guru-guru mengaji al-Qur'an. Atau guru-guru itu dipanggil ke rumah. Tujuannya hanya untuk mengenal huruf dan tanda baca supaya dapat membaca al-Qur'an dengan betul. Amalan itu baik.

Namun, tujuan muktamad seseorang membaca adalah untuk memahami apa yang dibaca. Seperti itu tujuan Allah menurunkan kitab al-Qur'an, agar manusia memahami isi kandungannya. Firman Allah,

"Kami menurunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham." (12:2)

Ayat lain yang membawa mesej yang sama ialah 43:3. Justeru, al-Qur'an dibaca khusus untuk memahami segala kata-kata-Nya yang ditujukan kepada manusia.

Membaca menjadi saluran utama untuk menyampaikan ayat-ayat Allah. Al-Qur'an menunjukkan bahawa amalan itu bermula daripada "Kami", yang membacakan ayat-ayat Allah kepada Nabi Muhammad. Antara kata-kata Allah yang menjelaskannya disenarai di bawah:

"Ini adalah ayat-ayat Allah Kami membacakan kamu dengan benar, dan sesungguhnya kamu adalah daripada para utusan." (2:252)

"Ini adalah ayat-ayat Allah Kami membacakan kamu dengan benar, dan Allah tidak menghendaki sebarang kezaliman bagi semua alam." (3:108)

"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami membacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan mempercayai?" (45:6)

Kami didapati pula membaca dengan bacaan sebenar, iaitu dengan sebutan yang betul supaya dapat difahami makna perkataan dengan tepat, dan Nabi disuruh ikut bacaannya. Penjelasan Tuhan berbunyi,

"..... dan Kami membacakannya (al-Qur'an) dengan bacaan sebenar." (25:32)

"Maka, apabila Kami membacanya, kamu ikutlah bacaannya." (75:18)

Selepas itu, Nabi disuruh pula membacakan al-Qur'an kepada manusia. Contoh ayat-ayat yang menceritakannya adalah:

"Dan sebuah al-Qur'an yang Kami membahagi-bahagikan, untuk kamu membacakannya kepada manusia berjarak-jarak," (17:106)

"Demikianlah Kami mengutus kamu kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk membacakan mereka apa yang Kami mewahyukan kamu;" (13:30)

Lalu baginda membacakannya, seperti dikisahkan di dalam ayat-ayat ini: 

"Katakanlah, 'Marilah, aku akan membacakan apa yang Pemelihara kamu mengharamkan kamu: bahawa kamu tidak menyekutukan sesuatu dengan-Nya, dan berbuat baik kepada ibu bapa, dan tidak membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan; Kami memberi rezeki kepada kamu, dan kepada mereka; dan bahawa kamu tidak mendekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan bahawa kamu tidak membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu faham.'" (6:151)

"Katakanlah, 'Sekiranya Allah menghendaki, tentu aku tidak membacakannya kepada kamu, dan tidak juga Dia memberitahunya kepada kamu; aku telah tinggal bersama kamu sepanjang masa sebelumnya - tidakkah kamu memahami?'" (10:16)

Nabi didapati, bukan sahaja membaca, tetapi menulis kitab al-Qur'an. Itu difahamkan daripada ayat-ayat Tuhan bererti,

"Tidaklah sebelum ini kamu membaca sebarang Kitab, atau menulisnya dengan tangan kanan kamu; jika demikian, tentulah orang-orang yang mengikuti yang palsu menjadi ragu-ragu." (29:48)

"Mereka berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia (Muhammad) menulisnya, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang.'" (25:5)

Membaca ayat-ayat Tuhan kepada manusia menjadi tugas utama para Rasul, untuk mengeluarkan mereka dari kesesatan yang nyata, atau dari kegelapan kepada cahaya. Bandar-bandar raya dimusnahkan setelah penduduknya berlaku zalim sesudah ayat-ayat Tuhan dibacakan kepada mereka. Sila lihat di bawah:

"Sesungguhnya Allah berbudi baik kepada orang-orang mukmin apabila Dia membangkitkan antara mereka seorang rasul daripada mereka sendiri, untuk membacakan mereka ayat-ayat-Nya, dan menyucikan mereka, dan mengajarkan mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, sedang sebelum itu, mereka adalah dalam kesesatan yang nyata." (3:164)

"Seorang rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan dari kegelapan kepada cahaya." (65:11)

"Namun begitu, Pemelihara kamu tidak memusnahkan bandar-bandar raya sehingga Dia membangkitkan di ibu kotanya seorang rasul untuk membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan Kami tidak memusnahkan bandar-bandar raya melainkan bahawa penduduknya zalim." (28:59)

Sesiapa yang ingin ikut jejak Rasul maka hendaklah dia membacakan kepada orang ramai ayat-ayat al-Qur'an. Bukan yang lain. Dan lagi, orang-orang yang mendengar pembacaan rasul, dan pembaca lain, akan ditanya esok pada hari akhirat. Kata-kata Allah mengenainya berbunyi,

"Kemudian orang-orang yang tidak percaya dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Jahanam, sehingga apabila mereka datang kepadanya, pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, 'Tidakkah rasul-rasul datang kepada kamu daripada kalangan kamu sendiri, dengan membacakan kamu ayat-ayat Pemelihara kamu, dan memberi amaran kepada kamu terhadap pertemuan hari kamu ini?' Mereka berkata, 'Ia, benar; tetapi kata azab telah wajar ke atas orang-orang yang tidak percaya.'" (39:71)

"Ayat-ayat-Ku telah dibacakan kepada kamu, tetapi di atas tumit-tumit kamu, kamu berundur, Dengan sombong terhadapnya, bercakap-cakap percakapan kosong pada waktu malam." (23:66-67)

"Api membakar muka-muka mereka semasa mereka memandang dengan marah di dalamnya. 'Apa, tidakkah ayat-ayat-Ku dibacakan kepada kamu, dan kamu mendustakannya?'" (23:104-105)

Pertanyaan di atas bukan atas kemerduan bacaan ataupun ketepatan pada bacaan oleh para rasul atau pembaca-pembaca, tetapi ayat-ayat Tuhan, yang tidak dipercayai, yang dijauhi, dan yang didustai.

Penerimaan manusia apabila ayat-ayat Tuhan dibacakan kepada mereka berbeza, bergantung pada keimanan. Ada yang tidak percaya, berundur kerana sombong, dan ada yang mendustakan, seperti yang disebut di dalam ayat-ayat tadi. Reaksi negatif yang selanjutnya dirakamkan di dalam ayat-ayat berikut:

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, mereka berkata, 'Kami telah pun mendengar; jika kami mengkehendaki, tentu kami dapat berkata yang serupa dengan yang ini. Tiadalah ini, melainkan dongeng orang-orang dahulu kala.'" (8:31)

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami berkata, 'Datangkanlah al-Qur'an selain yang ini, atau tukarkanlah ia.'" (10:15)

"Apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak percaya berkata kepada orang-orang yang percaya, 'Yang manakah antara dua golongan yang lebih baik medannya, dan lebih baik dalam majlisnya?'" (19:73)

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, kamu mengenali pada muka orang-orang yang tidak percaya akan penolakan (kemungkaran); hampir-hampir mereka menyerang orang-orang yang membacakan mereka ayat-ayat Kami." (22:72)

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepadanya, dia berpaling, menyombongkan diri, seakan-akan dia tidak mendengarnya, dan di dalam telinganya ada sumbatan; maka berilah dia berita gembira dengan azab yang pedih." (31:7)

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan seorang lelaki yang menghendaki untuk menghalangi kamu daripada apa yang bapa-bapa kamu sembah'; dan mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan kedustaan yang diada-adakan.' Dan orang-orang yang tidak percaya berkata pada yang benar apabila ia datang kepada mereka, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (34:43)

"Yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian berterusan dalam penyombongan diri, seakan-akan dia tidak mendengarnya; maka berilah dia berita gembira dengan azab yang pedih." (45:8)

"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, tiadalah alasan mereka melainkan mereka berkata, 'Datangkanlah bapa-bapa kami, jika kamu berkata benar.'" (45:25)

Bagi orang-orang yang tidak mempercayai akhirat, misalan orang-orang yang apabila disebut Tuhan satu-satunya di dalam al-Qur'an mereka berpaling (tetapi jika disebut selain daripada Tuhan mereka gembira), Allah akan membuat mereka tidak memahami dan tidak mendengar, apabila ayat-ayat al-Qur'an dibaca kepada mereka. Firman-Nya,

"Apabila kamu membaca al-Qur'an, Kami meletakkan antara kamu dan orang-orang yang tidak mempercayai akhirat, satu tabir yang mengadang, Dan Kami meletakkan penudung pada hati mereka supaya mereka tidak memahaminya, dan di dalam telinga mereka sumbatan. Dan apabila kamu mengingatkan (menyebut) Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian." (17:45-46)

Lain pula penerimaan orang-orang yang beriman apabila ayat-ayat Tuhan dibacakan kepada mereka. Sila lihat reaksi mereka di bawah ini:

"Orang-orang mukmin hanyalah yang, apabila Allah diingatkan, hati mereka gementar, dan apabila ayat-ayat-Nya dibacakan kepada mereka, ia menambahkan mereka dalam keimanan, dan kepada Pemelihara mereka, mereka mempercayakan (tawakal)," (8:2)

"..... orang-orang yang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud,'" (17:107)

"Mereka itulah orang-orang yang Allah telah merahmati ke atas mereka - para Nabi daripada keturunan Adam, dan daripada orang-orang yang Kami bawa bersama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israil, dan daripada orang-orang yang Kami telah memberi petunjuk dan Kami pilih. Apabila ayat-ayat Yang Pemurah dibacakan kepada mereka, mereka jatuh bersujud, dan menangis." (19:58)

"Dan, apabila ia dibacakan kepada mereka (orang-orang yang telah diberi Kitab sebelum al-Qur'an), mereka berkata, 'Kami percaya kepadanya; sesungguhnya ia adalah yang benar daripada Pemelihara kami. Sesungguhnya, sebelumnya kami telah muslim.'" (28:53)

Ada pula, tatkala mendengar ayat-ayat Allah, mencucurkan air mata dan ada yang kulit menjadi gementar. Demikian diriwayatkan di dalam dua ayat berikut:

"Dan apabila mereka mendengar apa yang diturunkan kepada rasul, kamu melihat mata-mata mereka mencucurkan air mata kerana mereka mengenali yang benar." (5:83)

"Allah menurunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab (al-Qur'an) .......... dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka; kemudian kulit mereka dan hati mereka menjadi lembut pada mengingati Allah." (39:23)

Suruhan membaca al-Qur'an datang dari sisi Allah. Amalan itu dilakukan untuk mengingati-Nya, dan ia merupakan suatu yang amat besar. Firman-Nya,

"Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Kitab Pemelihara kamu; tiada yang dapat menukar kata-kata-Nya. Selain daripada Dia, kamu mendapati tiada perlindungan." (18:27)

"Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada al-Kitab, dan lakukanlah solat; solat melarang kesumbangan dan mungkar. Mengingati Allah adalah lebih besar; dan Allah mengetahui apa yang kamu mengerjakan." (29:45)

"....... dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar." (73:4)

Membaca al-Qur'an adalah dengan peraturan. Pertama, memohon perlindungan Tuhan daripada gangguan syaitan, dan kedua, membaca dengan menyebut nama-Nya selaku yang mencipta. Sementara yang ketiga, membaca dengan bacaan sebenar, baru saja disebut di atas (ayat 73:4). Suruhan-Nya yang pertama dan kedua berbunyi,

"Apabila kamu membaca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam." (16:98)

"Bacalah dengan nama Pemelihara kamu yang mencipta," (96:1)

Sementara bagi orang-orang yang hadir pula, mereka harus dengar dan diam:

"Dan apabila al-Qur'an dibacakan, dengarkanlah ia dan berdiamlah; supaya kamu dikasihani." (7:204)

Waktu yang baik bagi membaca al-Qur'an juga ditentukan oleh Yang Pemurah. Waktu-waktu itu disebut di dalam ayat-ayat di bawah, iaitu pada waktu malam dan fajar:

"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan bersujud." (3:113)

"Berjaga-jagalah pada waktu malam, kecuali sedikit, Separuh daripadanya, atau mengurangkan sedikit, Atau menambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar. Sesungguhnya Kami akan melemparkan kepada kamu ucapan yang berat. (73:2-5)

"Pemelihara kamu mengetahui bahawa kamu berjaga-jaga hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu ....... Dia mengetahui bahawa kamu tidak akan menjumlahkannya ....... Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia mengetahui bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat. Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah satu pinjaman yang baik ......." (73:20)

"....... dan bacaan (qur'an) fajar; sesungguhnya bacaan fajar disaksikan." (17:78)

Sebab disuruh membaca ialah supaya tidak lupa. Bukan sahaja tidak lupa kepada-Nya tetapi kepada suruhan dan larangan-Nya. Maksud hadis Allah,

"Kami akan membuat kamu membaca supaya tidak lupa," (87:6)

Jangan pula lupa untuk membacakan ayat-ayat Tuhan kepada mereka yang tinggal bersama serumah. Peringatan-Nya berbunyi,

"Dan ingatlah apa yang dibacakan di dalam rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah, dan Kebijaksanaan; sesungguhnya Allah adalah Halus, Menyedari." (33:34)

Balasan bagi orang-orang yang membaca al-Qur'an dengan bacaan yang benar ialah mereka mendapat keuntungan dengan mempercayainya. Terdapat juga sebutan selanjutnya mengenai balasan tersebut di samping mengerjakan kebaikan lain, seperti yang diturunkan di bawah:

"Orang-orang yang kepada mereka Kami memberikan al-Kitabmembacanya dengan bacaannya yang benar, mereka mempercayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)

"Kamu tidak dalam sebarang hal, dan tidak juga kamu membaca sebarang daripada al-Qur'an, dan tidak juga kamu membuat sebarang amalan, melainkan Kami adalah saksi-saksi ke atas kamu apabila kamu melakukannya; dan tidaklah seberat satu atom di bumi atau di langit tersembunyi daripada Pemelihara kamu, tidak yang lebih kecil daripada itu atau yang lebih besar, melainkan di dalam Kitab yang jelas." (10:61)

"Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitab Allah, dan melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia," (35:29)

"Demi yang berbaris dengan barisan-barisan (di akhirat), Dan yang melarang dengan larangan, Dan pembaca-pembaca Peringatan," (37:1-3)

Membaca tidak berakhir di dunia. Ia berterusan hingga ke hari akhirat. Akan tetapi, kitab yang dibaca nanti bukanlah al-Qur'an. Sebaliknya, ia sebuah kitab yang merekodkan segala amalan seseorang semasa dia hidup di dunia. Lihatlah rupa suruhan untuk membaca kitab itu -

"Bacalah kitab kamu! Cukuplah dengan jiwa kamu sendiri pada hari ini sebagai penghitung terhadap kamu." (17:14)

Membaca kitab tersebut adalah dengan memahami isi kandungannya, untuk mengetahui hitungannya. Bukan macam perbuatan membaca yang terdapat pada lagu kanak-kanak, Puk (Tepuk) Amai Amai, dengan sekadar pandai membaca kitab saja, dan jangan pula sampai ke usia bila gigi terakhir gugur pun, hanya pandai membaca ataupun melagukan sahaja! Sebaliknya, jika dia memahami maka haruslah dia membacakan pula, atau menyampaikan, ayat-ayat al-Qur'an kepada orang lain.

 

Sila rujuk:
Kalimat baca di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
9 September 2004


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman