Munafik
di dalam al-Qur'an

 

Orang-orang munafik saksikan bahawa Muhammad benar-benar Rasul Allah. Allah pula saksikan bahawa mereka benar-benar pendusta. Kesaksian mereka, atau sumpah, selanjutnya diguna sebagai selimut untuk menghalangi orang lain daripada jalan Allah, iaitu jalan yang ditunjuk di dalam al-Qur'an, yang disampaikan oleh baginda Nabi.

Kesaksian dan selimut tersebut adalah keterangan yang pertama dan kedua daripada Allah mengenai kejahatan orang-orang munafik di dalam sebuah surah yang dinamakan khas bagi golongan mereka, al-Munafiqun, berbunyi,

"Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu (Muhammad), mereka berkata, 'Kami saksikan bahawa kamu benar-benar Rasul Allah.' ..... dan Allah saksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta." (63:1) 

"Mereka ambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka halangi jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa mereka buat" (63:2)

Mereka jadi jahat seperti itu sebab pada mulanya mereka percaya kepada ayat-ayat Allah, kemudian jadi tidak percaya, lalu Allah letak satu penutup pada mereka supaya mereka tidak faham ayat-ayat-Nya. Allah menjelaskan,

"Itu kerana mereka telah percaya, kemudian mereka tidak percaya; maka satu penutup diletakkan pada hati mereka, lalu mereka tidak faham." (63:3)

Pun begitu, mereka mampu memperdayakan orang ramai. Tubuh-tubuh mereka, dengan pakaian mereka, amat mengagumkan apabila dipandang, dan apabila mereka berucap, ucapan mereka didengar, kerana amat manis agaknya. Firman Tuhan,

"Apabila kamu lihat mereka, tubuh-tubuh mereka mengagumkan kamu; dan apabila mereka berkata, kamu dengar ucapan mereka" (63:4).

Golongan munafik terdiri daripada lelaki dan perempuan, dan mereka sama dalam kefasiqan, dengan menyuruh kepada kemungkaran dan melarang daripada kebaikan, seperti mengharamkan sesuatu yang tidak diharamkan Allah. mereka genggamkan tangan-tangan mereka, atau kikir, dan mereka lupakan Allah, kerana sentiasa mengingati yang selain daripada Allah dalam urusan agama, misalnya. Al-Qur'an menyatakan dengan jelas:

"Orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan adalah sama satu sama lain; mereka menyuruh pada yang mungkar dan melarang daripada yang baik, dan mereka genggamkan tangan-tangan mereka; mereka lupakan Allah, dan Dia lupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik, mereka adalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (9:67)

Bukan sahaja mereka tidak mempedulikan perintah Tuhan, malah, mereka menafi dan memperolok-olokkan ayat-ayat-Nya (4:140). Dan apabila diajak untuk ikut apa diturunkan Allah, al-Qur'an, yang disampaikan oleh Nabi, mereka menghalangi dengan penghalangan keras. Firman-Nya,

"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Marilah kepada apa yang Allah turunkan, dan Rasul', kemudian kamu lihat orang-orang munafik halangi kamu dengan halangan yang keras." (4:61)

Orang-orang munafik sudah wujud sejak zaman Nabi lagi. Mereka berada di sekeliling baginda. Firman Tuhan,

"Dan antara orang-orang Arab yang di sekeliling kamu, mereka adalah orang-orang munafik; dan sebahagian daripada penduduk Kota jadi berani dalam kemunafikan." (9:101)

Oleh itu, berhati-hatilah apabila menerima sebarang berita daripada orang-orang yang berada di sekeliling Nabi kerana mereka boleh jadi orang-orang munafik yang ingin menghalangi umat daripada jalan al-Qur'an. Penerima dan penyebar berita tersebut boleh juga jadi munafik atau berani dalam kemunafikan seperti mereka.

Mereka seterusnya didapati berdusta dalam alasan yang mereka beri, seperti alasan tidak pergi berperang di jalan Allah. Alasan mereka disebut dengan jelas di dalam ayat berikut:

"Dan supaya Dia tahu orang-orang munafik apabila dikatakan kepada mereka, 'Marilah berperang di jalan Allah, atau tangkislah.' Mereka berkata, 'Sekiranya kami tahu bagaimana hendak berperang, tentu kami ikut kamu.'" (3:167)

Kata-kata yang keluar dari mulut mereka itu adalah yang tidak ada di dalam hati mereka. Itu merupakan sifat utama orang-orang munafik. Firman Tuhan,

"mengatakan dengan mulut mereka apa yang tidak ada di dalam hati mereka" (3:167).

Menyentuh sedikit mengenai apa yang dikata dengan mulut, seperti janji. Manusia boleh diletakkan kemunafikan ke dalam hati mereka setelah mereka berjanji untuk bersedekah kalau Tuhan murahkan rezekinya tetapi setelah Dia memberinya mereka jadi kikir pula (9:75-76) - "Maka akibatnya, Dia letak kemunafikan di dalam hati mereka hingga hari mereka temui-Nya, kerana mereka mungkiri Allah pada apa yang mereka janjikan kepada-Nya, dan kerana merekalah pendusta-pendusta." (9:77)

Orang-orang munafik buat kerosakan di bumi, dengan tanpa disedarnya. Contoh, mereka sangka apa mereka buat dalam agama itu betul dan membetulkan orang lain. Walhal, ia merosakkan. Firman Tuhan,

"Apabila dikatakan kepada mereka, 'Janganlah kamu buat kerosakan di bumi', mereka berkata, 'Kami hanyalah orang-orang yang membetulkan.' Sesungguhnya, merekalah orang-orang yang buat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar." (2:11-12)

Begitu juga dengan solat mereka yang tidak mengikut ajaran al-Qur'an. Mereka terus lakukannya, tetapi dengan malas, seolah lakukannya kerana terpaksa, dan menunjuk-nunjukkannya pula kepada orang lain. Firman Tuhan,

"Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas, menunjuk-nunjuk kepada manusia" (4:142).

Mereka mengganggu orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah. Terhadap itu Allah menasihatkan:

"dan janganlah pedulikan gangguan mereka, dan kamu tawakallah kepada Allah; cukuplah Allah sebagai wakil." (33:48)

Dia juga mengingatkan orang-orang yang percaya supaya tidak mentaati mereka yang munafik. Firman-Nya,

"Dan jangan taati orang-orang tidak percaya, dan orang-orang munafik," (33:48).

Nabi turut diingatkan oleh Allah dengan peringatan yang sama (33:1). Selanjutnya Dia mengingatkan orang-orang yang percaya supaya tidak berpecah belah kerana orang-orang munafik, dengan ingin beri petunjuk kepada mereka yang sudah disesatkan oleh-Nya. Firman Tuhan,

"Mengapakah kamu, bahawa kamu berdua golongan mengenai orang-orang munafik, dan Allah gulingkan mereka kerana apa yang mereka usahakan? Apa, adakah kamu hendak beri petunjuk kepada orang yang Allah sesatkan? Sesiapa Allah sesatkan, kamu tidak akan dapati baginya suatu jalan." (4:88)

Mereka sesat, jadi musuh kepada orang-orang yang percaya dan diperangi oleh Allah. Allah mengingatkan agar berhati-hati terhadap mereka, dan Dia akan membalas mereka dengan sebuah tempat yang paling bawah, atau paling panas, di Api neraka. Firman-Nya,

"Mereka adalah musuh; maka berhati-hatilah terhadap mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan!" (63:4) dan,

"Sesungguhnya orang-orang munafik berada di dalam bahagian yang paling bawah di Api," (4:145).

Nabi telah diperintah berjuang dan bersikap keras terhadap orang-orang munafik. Perintah disebut dua kali di dalam al-Qur'an dengan bunyi ayat yang sama. Pertama ayat 9:73, dan kedua, ayat terakhir mengandungi perkataan "munafik" yang berbunyi,

"Wahai Nabi, berjuanglah terhadap orang-orang tidak percaya dan orang-orang munafik, dan bersikapkeraslah terhadap mereka; tempat menginap mereka ialah Jahanam - satu kepulangan yang buruk!" (66:9)

Oleh yang demikian, orang-orang yang ikut Nabi bersikap keras serta berjuang terhadap orang-orang munafik, yang naik saksi atas kerasulan Muhammad untuk menghalangi umat daripada jalan Allah, yang menafi dan memperolok-olokkan ayat-ayat Allah, dan yang menghalangi apabila diajak kepada ayat-ayat Allah dengan penghalangan keras. Musuh ini pasti kalah kerana Allah turut memerangi mereka.

 

Sila rujuk:
Kalimat munafik di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
21 Januari 2005

Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman