Suci dan Bersih
menurut ajaran al-Qur'an

 

Firaun telah ditanya oleh Nabi Musa, atas perintah Allah, "Adakah bagi kamu untuk menyucikan diri kamu, Dan aku memberi petunjuk kepada kamu pada Pemelihara kamu supaya kamu takut?" (79:18-19). Sebagai seorang yang tidak takut kepada Allah, dia enggan menyucikan dirinya dengan petunjuk dibawa Nabi Musa.

Dia telah memilih kejahatan atas ketakwaan, yang kedua-duanya diilhamkan Allah, sebagaimana Dia mengilhamkan setiap jiwa yang dibentuk-Nya. Justeru, rugilah Firaun kerana tidak menyucikan jiwanya dengan bertakwa kepada Allah.

"Demi jiwa dan Yang membentukkannya, Dan mengilhamkannya kepada kejahatan dan ketakwaan! Beruntunglah orang yang menyucikannya," (91:7-9).


Jiwa disucikan dengan bertakwa kepada Allah, atau takut kepada-Nya. Antara nama yang disebut disucikan Allah, di dalam al-Qur'an, ialah Yahya (Nabi). Baginda, dalam kesuciannya, telah bertakwa kepada Allah, di samping mengambil Kitab-Nya dengan kuat. Maksud firman Allah,

"'Wahai Yahya, ambillah Kitab itu dengan kekuatan'; dan Kami memberinya Putusan semasa kanak-kanak lagi, Dan rasa belas kasihan daripada sisi Kami, dan zakat (kesucian), dan dia bertakwa," (19:12-13).


Demikian contoh seorang Nabi. Bagi orang-orang lain pun serupa. Mereka boleh disucikan. Namun mereka tidak boleh menganggap diri-diri mereka suci, kerana hanya Dia mengetahui siapa yang benar-benar bertakwa. Orang yang suci ialah yang bertakwa.

"Dia sangat mengetahui mengenai kamu apabila Dia menumbuhkan kamu dari bumi, dan apabila kamu belum dilahirkan di dalam rahim ibu-ibu kamu; maka jangan menganggap diri kamu suci; Dia sangat mengetahui siapa yang bertakwa" (53:32).


Berserta sifat takwa, dalam kesucian mereka yang disebut ayat-ayat baru ditampilkan, adalah sifat-sifat lain, iaitu taat kepada ibu bapa, tidak sombong, dan tidak ingkar, bagi Nabi Yahya (19:14) dan bagi ayat 53:32 pula tercatat amalan "menjauhi dosa-dosa besar dan kesumbangan, kecuali kesalahan kecil" pada permulaan ayat.


Amalan lain yang berkait dengan kesucian ialah tidak menghalangi bekas isteri mengahwini lelaki lain, memakan makanan yang suci, meninggalkan sesebuah rumah setelah disuruh meninggalkannya, dan menundukkan pandangan serta menjaga kemaluan terhadap kaum perempuan atau lelaki. Empat ayat di bawah menjelaskan:

"Apabila kamu menceraikan perempuan-perempuan, lalu mereka sampai tempoh mereka, jangan menghalangi mereka daripada mengahwini suami-suami mereka, apabila mereka telah saling mempersetujui antara mereka, dengan baik. Dengan ini ditegurkan sesiapa antara kamu yang mempercayai Allah, dan Hari Akhir. Itu lebih suci dan lebih bersih bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui" (2:232),

"Mereka berkata, 'Pemelihara kamu sangat mengetahui berapa lama kamu tinggal (di Gua). Hantarlah salah seorang antara kamu dengan duit perak ini ke kota, dan hendaklah dia memerhatikan siapa antara mereka mempunyai makanan paling suci, dan mendatangkan kepada kamu rezeki darinya; hendaklah dia bersopan santun, dan jangan memberitahu seorang pun mengenai kamu'" (18:19),

"Dan jika kamu tidak mendapati seseorang di dalamnya, jangan memasukinya sehingga diizinkan kepada kamu. Dan jika dikatakan kepada kamu, 'Kembalilah', maka kembalilah kamu; itu lebih suci bagi kamu; dan Allah mengetahui apa kamu buat" (24:28) dan,

"Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka; itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah menyedari apa yang mereka mengerjakan" (24:30).

Dan, jiwa seorang anak lelaki muda pun dikatakan suci menurut firman berbunyi, "Maka mereka bertolak; sehingga apabila mereka bertemu seorang anak lelaki muda, dia membunuhnya. Berkata (Musa), 'Apa, adakah kamu membunuh satu jiwa yang suci, dan bukan kerana membalas untuk jiwa yang dibunuh? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang dahsyat'" (18:74).


Demikian beberapa perkara dianggap suci. Perkara-perkara, dalam ketakwaan, yang dapat menyucikan manusia pula adalah seperti berikut:

1. Ayat-ayat Kitab:

"Sebagaimana juga Kami mengutus di kalangan kamu, daripada kamu sendiri, seorang rasul untuk membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan untuk menyucikan kamu, dan untuk mengajar kamu al-Kitab dan Kebijaksanaan, dan untuk mengajar kamu apa yang kamu tidak tahu" (2:151),

"Sesungguhnya Allah berbudi baik kepada orang-orang mukmin apabila Dia membangkitkan antara mereka seorang rasul daripada mereka sendiri, untuk membacakan mereka ayat-ayat-Nya, dan menyucikan mereka, dan mengajarkan mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, sedang sebelum itu, mereka adalah dalam kesesatan yang nyata" (3:164),


2. Sedekah:

"Ambillah daripada harta mereka sedekah untuk membersihkan mereka, dan untuk menyucikan mereka dengannya, dan rahmatilah mereka; salawat kamu adalah kerehatan bagi mereka; Allah Mendengar, Mengetahui" (9:103),


3. Takut kepada Pemelihara dan melakukan Solat:

"Orang yang memikul beban tidak akan memikul beban, beban orang lain; dan jika orang yang bebannya berat menyeru supaya dipikul, tiadalah dipikul sesuatu daripadanya, walaupun dia sanak saudara yang dekat. Kamu hanya memberi amaran kepada orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan melakukan solat; dan sesiapa yang menyucikan dirinya, hanya menyucikan untuk jiwanya sendiri. Kepada Allah kepulangan" (35:18) dan,


4. Memberikan Harta:

"Dan daripadanya (Api), orang yang sangat bertakwa akan dijauhkan, Yang memberikan hartanya untuk menyucikan dirinya, Dan tidak memihak dalam kurniaan kepada seseorang untuk dibalas, Hanya menginginkan Wajah Pemeliharanya, Yang Tinggi," (92:17-20).


Di samping itu, orang yang menyucikan diri didapati memanfaatkan Peringatan, atau ayat-ayat Kitab,
dan mengingati (menyebut) nama Pemeliharanya, dan dia menyembah Allah. Firman-firman-Nya,

"Dan tahukah kamu, boleh jadi dia menyucikan diri? Atau mengingati, lalu Peringatan bermanfaat kepadanya" (80:3-4),

"Beruntunglah orang yang menyucikan dirinya, Dan mengingati (menyebut) nama Pemeliharanya, dan menyembah" (87:14-15).


Ada juga yang menyucikan diri mereka, tetapi tidak menjadi suci, kerana mengada-adakan dusta terhadap Allah dalam penyuciannya, mengikut firman berbunyi,

"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang menyucikan diri-diri mereka? Tidak, hanya Allah menyucikan siapa Dia mengkehendaki, dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. Perhatikanlah bagaimana mereka mengada-adakan dusta terhadap Allah; dan cukuplah itu sebagai dosa yang nyata" (4:49-50).


Hanya Allah menyucikan siapa Dia kehendaki, dan Dia tidak menyucikan, misalan, orang-orang yang menyembunyikan mana-mana ayat al-Kitab dan menjualnya untuk harga sedikit, atau menjual
perjanjian Allah dan sumpah mereka. Dua ayat berikut menjelaskan lebih lanjut:

"Orang-orang yang menyembunyikan apa-apa daripada al-Kitab yang Allah menurunkan kepada mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit, mereka itulah yang tidak makan melainkan Api di dalam perut-perut mereka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak juga menyucikan mereka; bagi mereka, azab yang pedih" (2:174),

"Sesungguhnya orang-orang yang menjual perjanjian Allah dan sumpah-sumpah mereka untuk harga yang sedikit, mereka itu tidak dapat bahagian mereka di akhirat; Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka, dan tidak memandang kepada mereka pada Hari Kiamat, dan Dia tidak juga menyucikan mereka; dan bagi mereka, azab yang pedih" (3:77).


Tidak juga Dia menyucikan orang-orang yang mengikuti langkah-langkah syaitan. Langkah-langkahnya yang menuju kepada kesumbangan dan mungkar boleh menyebabkan seseorang tidak menjadi suci selama-lamanya. Namun dengan adanya pemberian dan pengasihan Allah, Dia menyucikan siapa Dia kehendaki, kerana Dia Mendengar dan Mengetahui. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, jangan mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesiapa mengikuti langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia menyuruh pada kesumbangan dan mungkar. Sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu dan pengasihan-Nya, tentu tiada seorang pun antara kamu yang menjadi suci selama-lamanya; tetapi Allah menyucikan siapa Dia mengkehendaki; dan Allah Mendengar, Mengetahui" (24:21).


Hujah atas suci di sini diceduk daripada ayat-ayat mengandungi perkataan
zakat dan lain yang seakar, tidak daripada qudus dan perkataan-perkataan lain sekumpulan, kerana ia ditujukan khas kepada Allah, Roh Qudus dan tempat-tempat suci seperti lembah Thuwa, di mana Nabi Musa berbicara secara langsung dengan Allah.


Bersih

Pada dua ayat yang telah disebut, 2:232 dan 9:103, suci dirakam berpasangan dengan bersih, yang diterjemah daripada kalimat thahara dan lain seakar. Seperti sedia maklum, ayat-ayat itu menjelaskan mengenai larangan menghalang bekas isteri mengahwini lelaki lain, dan amalan sedekah.

Sedekah disebut lagi dalam sebuah ayat bersih lain, mengenai bicara rahsia dengan rasul berbunyi, "Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berbicara rahsia dengan rasul, maka sebelum pembicaraan rahsia kamu, dahulukanlah dengan satu sedekah; itu lebih baik bagi kamu, dan lebih bersih. Namun begitu, jika kamu tidak mendapatkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih" (58:12).


Air yang diturunkan Allah dari langit adalah bersih. Dalam peperangan ia diturunkan untuk membersihkan orang-orang yang berjuang di samping menghilangkan kecemaran syaitan daripada mereka, dan kebaikan lain. Ayat-ayat di bawah menjelaskan dengan lebih baik:

"Dan Dia yang mengutus angin yang membawa berita gembira di hadapan pengasihan-Nya; dan Kami menurunkan dari langit air yang bersih" (25:48),

"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan menurunkan kepada kamu air dari langit untuk membersihkan kamu dengannya, dan untuk menghilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu, dan untuk memperteguhkan kaki kamu dengannya" (8:11).


Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka, selain bertaubat, contoh dalam perkara berkaitan haid. Sementara orang-orang yang suka membersihkan diri turut disebut, dan mereka didapati di masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama. Firman-firman-Nya,

"Mereka menanyai kamu mengenai haid. Katakanlah, 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan jangan mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu.' Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat, dan Dia menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka" (2:222),

"Jangan berdiri di dalamnya selama-lamanya. Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka membersihkan diri mereka; dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka" (9:108).


Satu cerita orang-orang membersihkan diri - Nabi Lut dan keluarganya telah digelar "orang-orang yang membersihkan diri" oleh kaumnya yang melakukan kesumbangan. Mereka selanjutnya berkehendakkan supaya baginda dan keluarganya diusir keluar daripada tempat tinggal mereka. Ayat-ayat berikut mencerahkan lagi ceritanya:

"Dan Lut, apabila dia berkata kepada kaumnya, 'Apa, adakah kamu melakukan kesumbangan dengan mata-mata kamu terbuka? Apa, adakah kamu mendatangi lelaki dengan syahwat (hawa nafsu) bukan perempuan? Tidak, kamulah kaum yang bodoh.' Dan tidak ada jawapan kaumnya melainkan mereka berkata, "Usirlah keluarga Lut daripada bandaraya kamu; mereka adalah orang-orang yang membersihkan diri!" (27:54-56).

Dengan kata-kata itu kaumnya tahu bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak bersih, salah, tetapi mereka memilih meneruskan keinginan mereka, serta ingin mengusir orang-orang yang bersih pula. Mereka memilih kejahatan atas ketakwaan.


Allah juga difahamkan menghendaki untuk membersihkan manusia melalui wuduk di samping menyempurnakan rahmat-Nya ke atas mereka. Juga ke atas ahli Rumah (isteri-isteri Nabi) dengan menyuruh mereka duduk tetap di rumah, tidak menunjuk-nunjukkan perhiasan mereka, melakukan solat, memberi zakat, dan taat kepada Allah dan rasul-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkanlah diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu menyentuh perempuan, dan kamu mendapati tiada air, maka bertayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu, dan tangan kamu dengannya. Allah tidak menghendaki untuk membuat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia menghendaki untuk membersihkan kamu, dan supaya Dia menyempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih" (5:6),

"Hendaklah kamu tetap di dalam rumah-rumah kamu; dan jangan menunjuk-nunjukkan perhiasan kamu seperti dilakukan orang-orang jahiliah dahulu. Dan lakukanlah solat, dan berikanlah zakat, dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya. Wahai ahli Rumah, Allah hanya menghendaki untuk menghilangkan kotoran daripada kamu, dan untuk membersihkan kamu, sebersih-bersihnya" (33:33).


Seterusnya pula, Dia didapati menyuruh (Nabi Ibrahim) membersihkan Rumah-Nya untuk tujuan tertentu, dan kepada lain, menyuruh membersihkan pakaian yang disertakan suruhan memberi amaran, mengagungkan-Nya, meninggalkan kecemaran (seperti daripada
syaitan), berbudi dengan tidak mengharapkan pulangan lebih banyak, dan bersabar. Firman-firman berkaitan berbunyi,

"Dan apabila Kami menempatkan untuk Ibrahim tempat Rumah, "Jangan kamu menyekutukan Aku dengan sesuatu. Dan kamu bersihkanlah Rumah-Ku untuk orang-orang yang mengelilinginya, dan orang-orang yang berdiri, dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud" (22:26),

"Wahai kamu yang berselubung, Bangun, dan berilah amaran! Dan Pemelihara kamu, agungkanlah, Dan pakaian kamu, bersihkanlah, Dan kecemaran, tinggalkanlah! Jangan berbudi, dengan mengharapkan pulangan yang lebih banyak, Dan bersabarlah untuk Pemelihara kamu" (74:1-7).


Daripada ayat-ayat bersih, dapat ketahui iaitu antara yang dibersihkan ialah hati manusia. Sehubungan itu disebut pula orang-orang yang hati mereka Allah tidak menghendaki untuk dibersihkan, iaitu di dalam ayat kedua diturunkan di bawah ini:

"Dan apabila kamu meminta kepada isteri-isterinya (Nabi) sesuatu barang, mintalah kepada mereka dari belakang hijab (tabir); itu lebih bersih untuk hati kamu dan hati mereka. Tiadalah bagi kamu untuk menyakiti rasul Allah, dan tiada juga untuk mengahwini isteri-isterinya sesudah dia, selama-lamanya; sesungguhnya pada yang demikian itu adalah besar pada pandangan Allah" (33:53),

"Wahai rasul, jangan mereka menyedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak mempercayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang mendengar yang bohong, yang mendengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dengan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberikan, maka berhati-hatilah kamu.' Sesiapa yang Allah menghendaki untuk mencubanya, kamu tidak berkuasa untuk menolongnya sedikit pun terhadap Allah. Mereka itulah orang-orang yang hati mereka Allah tidak menghendaki untuk membersihkan; bagi mereka kerendahan di dunia, dan di akhirat, bagi mereka azab yang besar" (5:41).

Mereka yang hatinya Allah tidak menghendaki untuk dibersihkan di situ kerana mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya adalah daripada kaum lain, iaitu bukan Arab. Ayat ini telah dibincang di dalam artikel Nabi pun hampir digoda.


Ditontonkan di halaman ini sebahagian besar daripada ayat-ayat mengandungi perkataan
bersih. Yang lain, misalan mengenai Mariam dan anaknya Nabi Isa yang dibersihkan Allah, atau teman-teman hidup yang dibersihkan bagi orang-orang bertakwa di "syurga", tidak ditunjukkan tetapi dapat dilihat melalui halaman berkenaan.


Petikan terakhir adalah mengenai Kitab-Nya, atau al-Qur'an, yang dibersihkan-Nya dan hanya disentuh oleh orang-orang yang dibersihkan, iaitu, menurut pendapat penulis, dibersihkan daripada segala kepercayaan selain datang daripada Allah. Ayat-ayat, atau kumpulan ayat-ayat, yang dimaksudkan adalah:

"Sesungguhnya ia adalah sebuah al-Qur'an yang mulia, Dalam Kitab yang tersembunyi, Tiada yang menyentuhnya kecuali orang-orang yang dibersihkan, Satu penurunan daripada Pemelihara semua alam" (56:77-80),

"Tidak sekali-kali! Ia adalah Peringatan, Dan sesiapa menghendaki, mengingatinya, Pada naskhah-naskhah gulungan yang dimuliakan, Dinaikkan, dibersihkan, Oleh tangan-tangan para jurutulis, Yang mulia, yang taat" (80:11-16) dan,

"Seorang rasul daripada Allah, dengan membacakan naskhah-naskhah gulungan yang dibersihkan," (98:2).

Justeru, orang-orang yang dibersihkan akan terus menyentuh al-Qur'an, menaikkannya, membersihkannya, dan terus membacakan ayat-ayatnya kepada orang lain.


Akhir kata, Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka, dan beruntunglah orang-orang yang menyucikan diri mereka!

Allah disanjung!
 

Penulis Bacaan
15.9.11


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman