Perjanjian
Perjanjian banyak kali disebut di dalam al-Qur'an, lalu menjadi suatu yang amat berat. Terdapat beberapa jenis perjanjian, seperti Perjanjian Allah, perjanjian manusia dengan Allah, dan perjanjian sesama manusia. Untuk permulaan diturunkan sebuah ayat, bukan ayat mengandungi perjanjian Allah, tetapi perjanjian segolongan manusia dengan Allah, atau lebih tepat, orang-orang yang diberi-Nya Kitab. Ayat berbunyi,
"Dan apabila Allah mengambil perjanjian orang-orang yang diberi Kitab, 'Hendaklah kamu memperjelaskannya kepada manusia, dan janganlah menyembunyikannya.'" (3:187)
Maka orang-orang yang menerima Kitab daripada Allah, dengan secara otomatis membuat perjanjian dengan-Nya, iaitu mereka akan memperjelaskan kandungan Kitab kepada manusia, dan tidak menyembunyikannya daripada mereka. Dengan itu dapat difahamkan juga tugas tersebut tidak hanya jatuh ke atas para Nabi atau Rasul sahaja.
Perjanjian tersebut boleh juga dipanggil Perjanjian Kitab, yang turut mengandungi syarat bahawa orang-orang yang menerima Kitab tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar sahaja. Demikian difahamkan daripada ayat berikut:
"Dan menggantilah sesudah mereka pengganti-pengganti yang mewarisi Kitab, dengan mengambil keuntungan daripada dunia yang rendah ini, dan mereka berkata, 'Kami akan diampunkan'; dan jika keuntungan yang serupa dengan itu datang kepada mereka, mereka akan mengambilnya. Bukankah perjanjian Kitab telah diambil daripada mereka, bahawa mereka tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar? Dan mereka mempelajari apa yang di dalamnya, bahawa tempat kediaman akhir adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu faham?" (7:169)
Di samping itu, terdapat beberapa lagi
contoh perjanjian manusia dengan Allah daripada al-Qur'an.
Mereka terkandung di dalam enam ayat disenaraikan di bawah yang menyebut
perjanjian dengan Nabi-Nabi, Ibrahim dan Ismail, orang
menggelar diri Kristian, orang yang berjanji melakukan
sesuatu yang baik, dan yang berjanji tidak berpaling ke
belakang dalam peperangan:
"Dan apabila Allah mengambil perjanjian Nabi-Nabi, 'Bahawa Aku memberikan kamu Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang rasul, mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan mempercayainya, dan kamu akan menolongnya. Adakah kamu setuju?' Dia berkata, 'Dan, adakah kamu mengambil beban-Ku kepada kamu dengan syarat itu?' Mereka berkata, 'Kami setuju.' Dia berkata, 'Maka saksilah, dan Aku bersama kamu antara para saksi'" (3:81),
"Dan apabila Kami mengambil perjanjian daripada Nabi-Nabi, dan daripada kamu, dan daripada Nuh, dan Ibrahim, dan Musa, dan Isa putera Mariam; Kami mengambil daripada mereka satu perjanjian yang kukuh" (33:7),
"Dan Kami membuat perjanjian dengan Ibrahim dan Ismail, 'Bersihkanlah Rumah-Ku untuk orang-orang yang mengelilinginya, dan orang-orang yang bertekun (iktikaf), dan orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud'" (2:125),
"Dan dengan orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian,' Kami mengambil perjanjian mereka, tetapi mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan. Maka Kami menimbulkan di kalangan mereka, permusuhan dan kebencian, sampai Hari Kiamat; dan Allah pasti akan memberitahu mereka apa yang mereka mengerjakan" (5:14),
"Dan antara mereka ada yang membuat perjanjian dengan Allah, 'Jika Dia memberikan kami daripada pemberian-Nya, kami akan bersedekah, dan termasuk orang-orang yang salih.'" (9:75)
(Perjanjian serupa ini sering juga dilakukan oleh manusia untuk mendapatkan sesuatu daripada Allah. Kekadang ia kelihatan seumpama ugutan walaupun selalu dipanggil nazar. Kemunafikan diletak ke dalam hati mereka apabila mereka menjadi kikir setelah Allah memberinya - 9:77) dan,"Namun begitu, mereka telah membuat perjanjian dengan Allah sebelum itu, bahawa mereka tidak akan berpaling ke belakang; dan perjanjian dengan Allah akan ditanya" (33:15).
Akan ditanya! Perjanjian dengan Bani Israil juga banyak disebut di dalam al-Qur'an. Banyak juga pengajaran daripadanya dapat dimanfaatkan. Antara yang terkandung dalam perjanjian mereka ialah:
mengambil dengan kekuatan apa yang Allah berikan mereka, dan ingat apa yang di dalamnya supaya menjadi bertakwa (2:63),
tidak sembah sesuatu melainkan Allah, dan berbuatbaik kepada ibu bapa, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin; dan katakan yang baik kepada manusia, dan lakukan solat, dan berikan zakat (2:83),
tidak menumpahkan darah sesama sendiri, dan tidak juga mengusir sesama sendiri daripada tempat-tempat tinggal (2:84),
mengambil dengan kekuatan apa yang Allah berikan mereka, dan dengar (2:93),
tidak mencabuli Sabat (4:154), dan
Allah berserta mereka - jika mereka melakukan solat, dan memberikan zakat, dan percaya kepada rasul-rasul-Nya, dan meneguhkan mereka, dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik (5:12).
Sebenarnya bukan dengan mereka yang telah disebut sahaja yang Allah membuat perjanjian, malah dengan Bani Adam, atau seluruh manusia jua, menurut firman berbunyi,
"Tidakkah Aku membuat perjanjian dengan kamu, wahai Bani Adam, bahawa kamu tidak menyembah syaitan - sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu," (36:60).
Tidak menyembah syaitan! Yang daripada jenis jin dan manusia.
Lantas, beberapa kandungan perjanjian dengan Allah sudah menjadi jelas. Lagi difahamkan, perjanjian manusia dengan Rasul pun disifatkan sebagai perjanjian dengan Allah. Pada dua ayat perjanjian dengan Rasul yang diturunkan di bawah didapati ia dibuat semasa perang:
"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang menyekutukan satu perjanjian dengan Allah dan rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu membuat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa" (9:7) dan,
"Orang-orang yang berjanji setia kepada kamu, sesungguhnya berjanji setia kepada Allah; tangan Allah adalah di atas tangan-tangan mereka. Kemudian, sesiapa memungkiri sumpahnya, hanyalah memungkiri terhadap dirinya sendiri; dan sesiapa menepati perjanjiannya yang dibuat dengan Allah, Allah akan memberinya upah yang besar" (48:10).
Demikian perjanjian dengan Allah.
Apa yang dikatakan
Perjanjian Allah pula dilihat bersabit dengan ayat-ayat
yang diwahyukan, lalu mencerahkan lagi petunjuk mengenai perjanjian
dengan orang-orang diberi Kitab yang sedia maklum.
Firman-Nya,
"Dan bahawa kamu tidak mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak membebani sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, berlakuadillah, walaupun ia kepada sanak saudara yang dekat. Dan tepatilah perjanjian Allah. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu ingat" (6:152).
Tidak mendekati harta anak yatim, menepati sukatan dan timbangan, berkata dengan berlaku adil adalah ayat-ayat Kitab yang menjadi Perjanjian Allah. Senarai tersebut adalah lanjutan daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah yang disebut sebelum ayat tadi, terdiri daripada:
menyekutukan sesuatu dengan-Nya,
tidak berbuat baik kepada ibu bapa,
membunuh anak-anak sendiri kerana kemiskinan,
mendekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan
dan membunuh jiwa yang Allah mengharamkan, kecuali dengan patut (6:151).
Dan selepas ayat pertama tadi disebut pula, "Dan bahawa inilah jalan-Ku, lurus; maka kamu ikutlah ia, dan jangan mengikuti jalan-jalan yang berlainan supaya mereka tidak memecahbelahkan kamu daripada jalan-Nya. Itulah yang Dia mewasiatkan kamu dengannya, supaya kamu bertakwa" (6:153).
Maka segala yang diharamkan di situ, serta mengikuti jalan-Nya yang lurus, adalah perjanjian Allah yang turut menjadi wasiat-Nya, dan hendaklah ditepati. Di samping itu dapat ditegaskan lagi bahawa perjanjian Allah adalah ayat-ayat tertulis di dalam al-Kitab, menurut petunjuk berbunyi,
"Allah membeli daripada orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan Taman; mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh dan mereka dibunuh; itu ialah satu janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan al-Qur'an; dan siapakah yang lebih menepati perjanjiannya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli kamu yang kamu memperjualbelikan dengan-Nya; itulah kemenangan yang besar" (9:111).
Perjanjian Allah tertulis di dalam Taurat, Injil, dan al-Qur'an. Lantaran itu, sesuatu yang tidak diwahyukan atau tidak terkandung di dalam Kitab-Nya adalah bukan perjanjian Allah. Contoh, kepercayaan tentang tempoh berada di Api (neraka) yang sementara sahaja. Ia hanya merupakan suatu kata terhadap Allah yang terbit daripada akal tidak tahu-menahu. Firman-Nya,
"Dan mereka berkata, 'Api tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung.' Katakanlah, 'Sudahkah kamu mengambil satu perjanjian sehingga Allah tidak akan memungkiri perjanjian-Nya, atau kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu tahu?'" (2:80)
Allah tidak memungkiri Perjanjian-Nya, yang apabila ditepati
akan dibalas dengan menepati perjanjian kita pula.
Maksud firman, "Wahai Bani Israil, ingatlah akan rahmat-Ku yang dengannya Aku telah
merahmati kamu, dan tepatilah perjanjian-Ku dan Aku akan menepati perjanjian kamu, dan kepada-Ku-lah kamu berasa gerun"
(2:40).
Kepada Allah hamba-Nya harus berasa gerun!
Di kalangan manusia pun ada perjanjian.
Misalan, suatu janji atau perjanjian yang dibuat oleh saudara-saudara Nabi Yusuf dengan bapanya. Perjanjian
tersebut terkandung di dalam ayat berbunyi,
"Berkata, 'Aku tidak akan mengutusnya bersama kamu sehingga kamu memberi aku satu janji (perjanjian) yang teguh dengan Allah, bahawa kamu pasti akan mendatangkannya kembali kepadaku, kecuali kamu diliputi. Apabila mereka telah memberikannya janji (perjanjian) mereka, dia berkata, 'Allah menjadi Wakil atas apa yang kami mengucapkan'" (12:66).
Janji atau perjanjian yang disebut dengan Allah di sana diselitkan kata-kata "Allah menjadi Wakil atas apa yang kami mengucapkan", atau dalam situasi lain mungkin boleh dimulakan dengan lafaz "Demi Allah".
Percontohan perjanjian manusia dengan manusia daripada al-Qur'an disambung dengan penurunan tiga ayat di bawah:
"Bagaimanakah kamu akan mengambilnya, sedang masing-masing kamu telah berhubungan rapat dengan yang lain, dan mereka telah mengambil daripada kamu perjanjian yang kukuh" (4:21)
(Perjanjian suami dengan isteri, iaitu tidak mengambil balik daripada isteri, dalam penceraian, segala yang telah diberi),"Tiadalah bagi seorang mukmin untuk membunuh seorang mukmin melainkan dengan tersilap, dan sesiapa membunuh seorang mukmin dengan tersilap, maka hendaklah dia memerdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi hendaklah dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka menyedekahkannya. Jika dia daripada kaum yang bermusuhan dengan kamu, dan dia seorang mukmin, maka pembunuh hendaklah memerdekakan seorang hamba yang mukmin, dan jika dia daripada kaum yang berhubungan dengan kamu dengan perjanjian, maka ganti rugi hendaklah dibayar kepada keluarganya, dan pembunuh akan memerdekakan seorang hamba yang mukmin; jika dia tidak mendapatkannya, hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut - taubat Allah; Allah adalah Mengetahui, Bijaksana." (4:92)
(Perjanjian dengan kaum dalam kes pembunuhan mukmin dengan mukmin) dan,"Dan jangan mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara paling baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah perjanjian; sesungguhnya perjanjian ditanya." (17:34)
(Perjanjian menjaga harta anak yatim.)
Ia ditambah tiga ayat lagi, tetapi menyentuh perjanjian dalam keadaan perang pula:
"Kecuali orang-orang yang pergi kepada satu kaum yang berhubungan dengan kamu dengan satu perjanjian, atau datang kepada kamu dengan dada berasa kesesakan daripada memerangi kamu, atau memerangi kaum mereka. Sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia memberi mereka kuasa terhadap kamu, kemudian pasti mereka akan memerangi kamu. Jika mereka berundur daripada kamu, dan tidak memerangi kamu, dan melemparkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak memberi sebarang jalan kepada kamu terhadap mereka." (4:90)
(Tidak membunuh musuh yang pergi kepada kaum dalam perjanjian dengan kita, semasa perang),"Orang-orang yang percaya, dan berhijrah, dan berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka di jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan perlindungan, dan pertolongan - mereka itu adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain. Dan orang-orang yang percaya tetapi belum lagi berhijrah, maka kamu tidak ada kewajipan untuk melindungi mereka sedikit pun, sehingga mereka berhijrah; namun begitu, jika mereka meminta pertolongan kepada kamu, demi agama, maka adalah atas kamu untuk menolong mereka, kecuali terhadap kaum yang antara kamu dan mereka ada perjanjian; dan Allah melihat apa yang kamu buat." (8:72)
(Pertolongan tidak diberi kepada orang-orang yang percaya tapi belum berhijrah - walaupun kerana agama - sekiranya lawan mereka terdiri daripada kaum yang mengikat perjanjian dengan kita) dan,"Kecuali orang-orang yang menyekutukan yang dengan mereka kamu telah membuat perjanjian, kemudian mereka tidak mengurangkan kamu sedikit pun, dan tidak juga menyokong seseorang pun terhadap kamu. Dengan mereka, sempurnakanlah perjanjian kamu sampai tempoh mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang bertakwa." (9:4)
(Perjanjian dengan musuh yang menepatinya, dan tidak menyokong mana-mana seteru kita, adalah disempurnakan sampai tempoh perjanjian.)
Perjanjian
disempurnakan. Sebaliknya, bagi mereka yang melanggar atau memungkiri perjanjian,
tindakan harus diambil, seperti menghambur orang-orang dibelakang mereka semasa
perang, atau
jika mereka membidas agama kita maka ketua-ketua mereka hendaklah diperangi. Firman-firman Tuhan,
"Orang-orang yang kamu telah membuat perjanjian dengan mereka, kemudian mereka melanggar perjanjian mereka setiap kali, dengan tidak bertakwa (takut kepada Tuhan),
Maka, jika kamu menjumpai mereka di mana-mana dalam peperangan, hamburkanlah orang-orang di belakang mereka, supaya mereka mengingati" (8:56-57) dan,"Tetapi jika mereka memungkiri sumpah-sumpah mereka setelah perjanjian mereka, dan membidas agama kamu, maka perangilah imam-imam (ketua-ketua) orang-orang yang tidak percaya; bagi mereka tidak ada sumpah, supaya mereka berhenti." (9:12)
Perjanjian yang dibuat disifatkan juga sebagai sumpah. Tidak
dinafikan bahawa perjanjian atau sumpah adalah suatu yang sukar dijaga kerana ia boleh
dilupakan seandainya tiada tekad yang kuat, misalan berlaku kepada Adam -
"Dan Kami telah membuat perjanjian dengan Adam sebelumnya, tetapi
dia lupa, dan Kami mendapati padanya tiada tekad yang kuat" (20:115).
Sementara orang-orang yang melempar perjanjiannya adalah mereka yang tidak mempercayai kepada Allah dan ayat-ayat-Nya, atau yang tidak mempedulikan perintah Tuhan (fasiq). Kenyataan tersebut difahamkan daripada ayat-ayat:
"Mengapa, setiap kali mereka membuat perjanjian, segolongan daripada mereka melemparkan perjanjiannya? Tidak, tetapi kebanyakan mereka tidak mempercayai." (2:100) dan,
"Kami mendapati tiada perjanjian pada kebanyakan mereka; sesungguhnya Kami mendapati kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq" (7:102).
Seperti
dimaklumkan, perjanjian dengan Allah akan
ditanya (33:15). Oleh itu perjanjian tidak harus:
dipecahkan supaya tidak
menjadi orang-orang yang rugi (2:27),
dilaknat dan diberi tempat kediaman yang buruk (13:25), dan
dilaknat Allah, serta hati dijadikan keras - perjanjian boleh dipecahkan
dengan mengelirukan perkataan-perkataan (al-Qur'an) daripada makna-maknanya,
dan melupakan sebahagian daripada apa yang telah diperingatkan (5:13),
dijual dengan harga yang sedikit, untuk menjadi orang-orang tidak mendapat bahagian di akhirat, dengan Allah tidak berkata-kata, memandang kepada mereka, tidak menyucikan mereka, dan mereka mendapat azab yang pedih (3:77), dan
dilupakan sebahagian daripada apa yang telah diperingatkan, seperti orang Kristian, yang ditimbulkan permusuhan dan kebencian, di kalangan mereka, sampai Hari Kiamat (5:14).
Orang-orang yang menepati atau mengawasi perjanjian
mereka terdiri daripada mereka yang mukmin (23:8), taat dan bertakwa (2:177 dan
3:76) dan mereka yang dikategorikan sebagai orang-orang yang menyembah (70:32). Selanjutnya,
pakaian orang-orang yang menepati perjanjian Allah, dan tidak
melanggar perjanjian, ada dijelaskan sedikit di dalam ayat-ayat berikut:
"Apa, adakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu itulah yang benar seperti orang yang buta? Hanya orang-orang mempunyai minda mengingati,
Yang menepati perjanjian Allah, dan tidak melanggar perjanjian,
Yang menghubungkan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan, dan takut kepada Pemelihara mereka, dan mereka takut akan perhitungan yang jahat.
Orang-orang yang bersabar, dengan menginginkan Wajah Pemelihara mereka, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, dan yang menolak kejahatan dengan yang baik - bagi merekalah tempat kediaman muktamad," (13:19-22)
Antara yang disebut ialah mereka merupakan orang-orang yang tahu, lalu yakin, bahawa al-Qur'an itu benar, bahawa mereka mempunyai minda, bersabar, melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang direzekikan kepada mereka.
Daripada orang-orang yang benar terhadap perjanjian mereka dengan Allah terdapat pula mereka yang pergi ke medan peperangan. Nasib mereka diceritakan di bawah ini:
"Antara orang-orang mukmin terdapat lelaki-lelaki yang benar terhadap perjanjian mereka dengan Allah; antara mereka telah menunaikan sumpah mereka dengan kematian, dan antara mereka masih menunggu, dan mereka tidak menukarkan dengan sesuatu pertukaran," (33:23)
Bagi mereka semua yang mengambil perjanjian dengan
Allah, mendapat syafaat
atau pertolongan-Nya di akhirat kelak. Firman-Nya,
"Dengan tanpa kuasa syafaat, kecuali orang-orang yang telah
mengambil dengan Yang Pemurah perjanjian." (19:87)
Sampai di hujung jalan. Sebelum berhenti, ingin
memaklumkan iaitu segala yang dihulurkan
di sini mengenai Perjanjian hanya difahamkan daripada
ayat-ayat al-Qur'an mengandungi kalimat tersebut. Mungkin
ada ayat-ayat lain yang kelihatan membawa maksud
sama tetapi tidak disebut di sini kerana ketiadaan
kalimatnya.
Perbincangan diakhiri dengan peringatan berbunyi,
"Tepatilah perjanjian Allah apabila kamu membuat perjanjian, dan janganlah melanggar sumpah-sumpah setelah mengukuhkannya, dan kamu membuat Allah penjamin kamu; sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu buat." (16:91)
Allah disanjung!
Sila rujuk kalimat
Perjanjian
di dalam al-Qur'an.
Terima kasih.
Penulis Bacaan
15 Ogos 2011 (Ramadan)
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman