Siapa Ulil Amri?
Perkataan amri terbit dari kata amara yang lazimnya diterjemah kepada perintah. Kerana itu ulil amri diertikan umat sebagai orang-orang yang memerintah, seperti ketua atau pembesar negara.
Pakar
Namun, al-Qur'an memberi pengertian yang agak berlainan sedikit. Ia mengertikan ulil amri sebagai orang-orang yang "memerintah" dalam sesuatu bidang, kerana pengetahuan yang ada pada mereka setelah membuat penyelidikan dalam bidang tersebut. Umpamanya bidang keamanan atau ketakutan, seperti yang dicontohkan di dalam ayat berikut:
"Apabila datang kepada mereka suatu urusan, sama ada daripada keamanan atau ketakutan, mereka menyiarkannya; dan jika mereka mengembalikannya kepada rasul, dan kepada ulil amri, orang-orang antara mereka yang ditugaskan untuk menyelidikinya, tentu akan mengetahuinya. Dan sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu, dan pengasihan-Nya, tentu kamu akan mengikuti syaitan, kecuali sedikit." (4:83)
Ayat itu menunjukkan seolah-olah rasul tidak mengetahui dengan mendalam mengenai perkara keamanan dan ketakutan tersebut (atau keselamatan dalam negeri). Yang mengetahuinya adalah "orang-orang antara mereka yang ditugaskan untuk menyelidikinya", atau yang dipanggil ulil amri.
Bacaan menterjemahkan ulil amri kepada "orang-orang yang dalam urusan" bukan orang-orang yang memerintah (ketua atau pembesar negara). Orang-orang yang dalam urusan itu pula bermaksud mereka yang menyelidiki, atau yang pakar, lagi yang mengetuai, dalam sesuatu bidang.
Pembesar
Bagi ketua atau pembesar, atau orang-orang yang memerintah, Tuhan (yang mencipta bahasa Arab) telah menggunakan kalimat lain di dalam Kitab-Nya. Kalimat yang dimaksudkan adalah seperti sayyid (ketua) atau kabir (pembesar). Contohnya adalah seperti berikut:
"Mereka berkata, "Wahai Pemelihara kami, kami telah mentaati ketua-ketua kami (saadatanaa) dan pembesar-pembesar kami (kubaraa-anaa), dan mereka menyesatkan kami daripada jalan." (33:67)
Bagi raja, Dia menggunakan kalimat malik. Antara ayat-ayat yang mengandungi kalimat tersebut, yang sangat menarik, adalah 2:247, 5:20, 12:43, 18:79, dan 27:34.
Gelaran lain bagi pembesar negara, iaitu al-aziz, yang bermaksud gabenor, juga diguna Allah di dalam Kitab-Nya (12:30).
Lantaran itu, ketua-ketua atau pembesar-pembesar negara, tidak seharusnya dipanggil ulil amri, tetapi pakar-pakar yang mengetuai sesuatu bidang, seperti kepolisian, ketenteraan, perbendaharaan, pendidikan, perubatan, kejuruteraan, dan sebagainya, adalah mereka yang dimaksudkan.
Teladan
Pada cerita Nabi Yusuf ada teladan yang baik bagi ulil amri. Pentadbir perbendaharaan negara yang berpengetahuan itu menjadi begitu dikagumi sehingga dipanggil orang dengan gelaran al-aziz atau "yang perkasa" (12:78). Ketika itu negaranya sedang dilanda bencana alam.
Ditaati
Ulil amri haruslah ditaati. Itu perintah Tuhan. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada rasul, dan ulil amri antara kamu. Jika kamu berbalah dalam sesuatu, kembalikanlah ia kepada Allah dan rasul jika kamu mempercayai Allah dan Hari Akhir; itu yang lebih baik, dan kesudahan yang lebih baik." (4:59)
Sebab mereka yang pakar itu ditaati adalah supaya umat tidak condong kepada kehendak syaitan (lihat ayat 4:83 di atas) yang hanya akan mendatangkan kacau-bilau, ketakutan, kucar-kacir, atau bencana yang lebih berat lagi, kepada umat yang seharusnya hidup sejahtera. Apabila timbul perbalahan, seperti pada hukum, maka hendaklah Allah dan rasul (atau al-Qur'an) dirujuk, serta ditaati.
Penulis Bacaan
Ramadan / November 2002
Halaman Utama Terkini Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman