Menanya Ustaz:
kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa

 

 

Kepercayaan kepada kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa di akhir zaman kelihatan menetap di kalangan masyarakat orang Melayu. Keterangan di Soalan Lazim, soalan 14, dengan bukti daripada al-Qur'an tidak mampu untuk mengusirnya keluar dari peti iman kebanyakan orang Melayu. Kerana ada yang menulis untuk mengajak supaya perbincangan mengenainya diteruskan dengan mengambil dalil-dalil daripada hadis dan karangan "ulama". Penulis menolak ajakan tersebut.

Namun, dia terus dengan keinginannya, menulis kepada kami sehingga sepucuk e-mel yang mendedahkan kami terima daripadanya. Kandungan e-mel tersebut diturun dan dibincang di sini, dan ia adalah seperti berikut:

Saya telah pun menanya ustaz. Hasil pertanyaan saya adalah seperti berikut.

1. Memang tidak ada dinyatakan mengenai Imam Mahadi di dalam Al-quran. Tetapi ada dinyatakan dalam hadith qudsi, yakni hadith yang kuat matannya. 

2. Memang tidak ada dinyatakan mengenai turunnya Nabi Isa a.s dalam al-quran tetapi ada dinyatakan mengenai naikkan Nabi Isa a.s ke langit dan ada dinyatakan akan turunnya Nabi Isa a.s ke bumi dalam ayat yang berbentuk kiasan.

3. Kisah Yakjuj dan Makjuj ada diceritakan di dalam Al-Quran dan ia berkait rapat dengan turunnya Nabi Isa a.s

Jawapan penulis kepada penjelasan ustaz di atas akan menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu terutamanya pihak ustaz itu sendiri. Namun, ia harus diketengahkan juga.

Terus pergi kepada penjelasan ustaz yang pertama, iaitu:

1. Memang tidak ada dinyatakan mengenai Imam Mahadi di dalam Al-quran. Tetapi ada dinyatakan dalam hadith qudsi, yakni hadith yang kuat matannya.

Untuk makluman, dalam hadis bukan qudsi pun ada menyebut mengenai Imam Mahadi. Terdapat empat kesemuanya. Sila rujuk di sini. Malangnya, penulis tidak dapat merujuk kepada hadis qudsi mengenai Imam Mahadi. Maka penulis terima kenyataan ustaz iaitu hadis qudsi ada menyebut mengenai Imam Mahadi.

Mengenai keseluruhan hadis qudsi (bukan yang menyentuh mengenai Imam Mahadi sahaja), maaf kerana bertanya, ada berapa bilangannya yang sebenar? Ada pakarnya mengatakan satu, dan pakar lain mengatakan sebelas. Mungkin ada lagi yang lain dengan bilangan yang lain pula. Tetapi tidak mengapa, keraguan itu diketepikan di sini.

Matan dan kekuatannya telah disebut. Mungkinkah kekuatan matan hadis qudsi itu lebih benar daripada ahsanal-hadiitsi yang diturunkan Allah? Ahsanal-hadiitsi, atau hadis yang paling baik, mampu menggentarkan kulit orang yang takut kepada Tuhan apabila mendengarnya. Firman-Nya:

"Allah menurunkan ahsanal-hadiitsi (hadis yang paling baik) sebagai sebuah Kitab ..... dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka" (39:23).

Mampukah hadis qudsi memberi kesan yang sama seperti ahsanal-hadiitsi daripada Tuhan? Seperti firman-Nya lagi, 

"Apa, tidakkah mereka merenungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka mendapati di dalamnya banyak perselisihan." (4:82)

Selain al-Qur'an, banyak perselisihan! Maksudnya, jangan mengambil selain daripada al-Qur'an. Banyak masalah! Mungkin ada orang yang kulitnya digentarkan dengan hadis tersebut.

Semua pihak setuju bahawa sama ada ia matan atau tidak, hadis itu tetap hadis, iaitu tulisan selepas al-Qur'an. Sekiranya ingin bertanya sama ada hadis yang sesudah al-Qur'an itu harus dipercayai atau tidak, maka Allah menjawab dengan ahsanal-hadiitsi yang berikut:

"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami membacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya (al-Qur'an), yang mereka akan mempercayai?" (45:6)

Lagipun, apakah gunanya Imam Mahadi datang - untuk memberi petunjuk seperti yang diisyaratkan daripada namanya? Petunjuk Allah sudah lama turun. Di dalamnya tidak menyebut mengenai Imam Mahadi.

Beralih kepada kenyataan ustaz yang kedua, berbunyi:

2. Memang tidak ada dinyatakan mengenai turunnya Nabi Isa a.s dalam al-quran tetapi ada dinyatakan mengenai naikkan Nabi Isa a.s ke langit dan ada dinyatakan akan turunnya Nabi Isa a.s ke bumi dalam ayat yang berbentuk kiasan.

Pembaca agak keliru sedikit. Mula-mula kata tidak ada ayat mengenai turunnya Nabi Isa, kemudian mengatakan ada pulak, tapi dalam bentuk kiasan.

Maaf kerana bertanya lagi, bagaimanakah bunyi ayat al-Qur'an (berbentuk kiasan) yang menyatakan Nabi Isa akan turun ke dunia? Agak sudah puas penulis mencarinya, namun, masih belum jumpa lagi.

Dan, sudah puas juga penulis mencari ayat mengenai Nabi Isa naik ke langit. Masih belum jumpa juga. Yang dijumpai hanya satu ayat sahaja yang menyebut frasa "naik ke langit". Itu pun bukan berkaitan dengan Nabi Isa. Ayat tersebut berbunyi:

"Atau, sehingga kamu (Muhammad) mempunyai sebuah rumah daripada perhiasan emas, atau sehingga kamu naik ke langit; dan kami tidak akan mempercayai kenaikan kamu ....." (17:93).

Ayat tersebut mengisahkan orang-orang yang berada di sekeliling Nabi, yang tidak percaya, walaupun Nabi mempunyai sebuah rumah dibuat daripada emas atau baginda telah naik ke langit, sehingga baginda menurunkan sebuah kitab (dari langit) untuk mereka membacanya. Mereka mahukan kitab yang datang dari langit bukan yang ditulis oleh Nabi. (Sila rujuk artikel Nabi pandai membaca, menulis. Terima kasih.),

Untuk menyambung pembicaraan mengenai naikkan Nabi Isa ke langit dinyatakan iaitu tidak ada ayat al-Qur'an yang mengisahkan naikkan Nabi Isa ke langit seperti yang didakwa (dalam bentuk kiasan).

Adalah difahamkan bahawa kepercayaan kepada naikkan Nabi Isa berdasarkan baginda tidak wafat waktu disalib, dan dinaikkan ke langit hidup-hidup supaya dapat kembali turun ke bumi suatu hari nanti. (Sila betulkan penulis di sini sekiranya silap.)

Akan tetapi, Tuhan menjelaskan bahawa baginda telah wafat (bukan disalib - 4:157). Lantaran itu, baginda wafat selepas peristiwa penyaliban yang berlaku ke atasnya. Bila dan di mana sebenarnya baginda wafat tidak dimaklumkan di dalam al-Qur'an.

Penjelasan Tuhan mengenai kewafatan Nabi Isa berbunyi:

"Apabila Allah berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya. Aku akan membuatkan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang tidak percaya hingga Hari Kiamat. Kemudian kepada-Ku kamu akan kembali, dan Aku akan menghakimkan antara kamu mengenai apa yang padanya kamu memperselisihkan.'" (3:55)

Setelah diwafatkan, baginda dinaikkan kepada-Nya sebagaimana semua orang yang mati dikembalikan kepada-Nya. Baginda tidak akan dihidupkan lagi di dunia, kerana Nabi Muhammad adalah Nabi Allah yang terakhir diutus.

Apakah yang akan dibawanya apabila turun nanti, kerana tiap-tiap Nabi membawa al-Kitab? Al-Qur'an? Ia sudah dimiliki manusia kian lama.

Mengapakah al-Qur'an tidak menyebut suatu peristiwa yang amat besar, seperti naik turun Nabi Isa dari langit, di dalam kandungannya?

Kini sampai kepada kenyataan ustaz yang terakhir berbunyi:

3. Kisah Yakjuj dan Makjuj ada diceritakan di dalam Al-Quran dan ia berkait rapat dengan turunnya Nabi Isa a.s

Untuk mengetahui sama ada benar atau tidak apa yang dikatakan oleh ustaz tersebut adalah tidak sukar. Kerana terdapat hanya dua ayat al-Qur'an yang menyebut mengenai Yajuj dan Majuj. Ayat-ayatnya adalah:

"Mereka berkata, 'Wahai Zul-Karnain, sesungguhnya Yajuj dan Majuj membuat kerosakan di bumi; maka adakah kami mengadakan bagi kamu satu ufti, untuk kamu membuatkan satu benteng antara kami dan antara mereka?'" (18:94) dan,

"Satu pengharaman ke atas sesebuah bandar raya yang Kami telah membinasakan; mereka tidak akan kembali, Sehingga apabila Yajuj dan Majuj dibukakan, dan mereka melongsor turun dari tiap-tiap lereng," (21:95-96)

Di mana terletak perkaitan rapat antara ayat-ayat itu dengan turunnya Nabi Isa, seperti yang didakwa oleh ustaz?

Adakah dimaksudkan bahawa Yajuj dan Majuj itu adalah sebenarnya Imam Mahadi dan Nabi Isa? Mungkin tidak.

Atau turun untuk melawan Yajuj dan Majuj yang membuat kerosakan di bumi. Apa kata kalau mereka terdiri daripada orang-orang Timur Tengah atau Asia Barat! (Sila rujuk Tanda Kiamat - Yajuj dan Majuj. Terima kasih.)

Mungkin ustaz telah "mutasyabihatkan" ayat-ayat al-Qur'an, untuk mengiakan dakwaannya lalu lupa Peringatan Allah yang berbunyi:

"Bagi orang-orang yang di dalam hati mereka menyimpang, mereka mengikuti yang mutasyabihat daripadanya untuk menginginkan pertikaian, dan menginginkan interpretasinya." (3:7)

Kebengkokan pada kepercayaannya mungkin disebabkan dia berada di dalam golongan yang terlibat dengan mengambil Upah Mengajar Agama. Jika begitu, dakwaan dan bukti-buktinya atas kedatangan Imam Mahadi dan naik turun Nabi Isa dari langit harus ditolak supaya tidak menjadi orang-orang yang tidak mendapat petunjuk yang benar daripada Allah.

Golongan yang diberi pengetahuan seperti dia tidak juga ditanya setelah menerima sesuatu penjelasan yang benar, daripada al-Qur'an misalnya, kerana Allah akan menutup hati orang-orang yang berbuat demikian. Mereka akan menjadi orang-orang yang mengikuti keinginan mereka sahaja. Sila renungkan ayat berikut:

"Dan antara mereka ada yang mendengarkan kamu, sehingga, apabila mereka keluar daripada kamu, mereka berkata kepada orang-orang yang diberi pengetahuan, 'Apakah yang dia mengatakan tadi?' Merekalah orang-orang yang pada hati mereka Allah meletakkan satu penutup, dan mereka mengikuti keinginan mereka." (47:16)

Maka kembalilah kepada al-Qur'an supaya beban kepercayaan itu dapat dilepaskan dengan senang, dan masa untuk mengkaji al-Kitab jadi bertambah, lalu dapat mengingati Allah dengan banyak, dan seterusnya tidak menjadi seperti orang-orang munafik, yang juga mengingati-Nya, tetapi dengan tidak banyak, hanya sedikit sahaja.

Sila rujuk:
Imam Mahadi
Tanda Kiamat - Yajuj dan Majuj
Tanda Kiamat - Tsunami
Tanda Kiamat - Kehilangan Ayat Qur'an


Penulis Bacaan
Februari 2003
(kemaskini 22 Januari 2005
dengan diberi nafas baru)


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman