Remaja hina jantina sendiri

 

Seorang remaja perempuan (menurut pengakuannya) telah menulis mengenai tudung kepala, aurat dan maruah jantinanya. Suratnya diturunkan di bawah, tetapi beberapa bahagian dipadam, termasuk namanya yang sebenar, untuk mengelakkan perkara-perkara yang diutara jadi berpanjangan kerana melibat seorang lain yang telah menulis kepada kami. Turut dipadam ialah sebutan mengenai Tudung Kepala yang bagi kami kesnya sudah ditutup di sini. Harap maklum dan maaf.



From: ..... <maskeretcinta02@.......>
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: assalamualaikum
Date: Thursday, September 16, 2004 3:54 PM

<namanya dipadam>

assalamualaikum saya ucapkan kepada semua muslimin muslimat..

<dipadam>

di sini suka kiranya saya beri pandangan bagi mengulas serba sedikit yang saya rasa perlu di perbetulkan...

Perempuan..
dijadikan daripada tulang rusuk Adam yang bengkok. Dihiasi dengan duri duri yang memagari di sekelilingnya..
perempuan merupakan ciptaan Tuhan yang Agung... memandangkan
<dipadam> sudah berkahwin  ..kiranya saya rasa semua muslimin paham dengan maksud yang saya ingin sampaikan..

Telah jelas dalam Al-Quran menyebut perempuan WAJIB menutup aurat..
Cuba kita semua rujuk Surah An Nur ayat 31..
kita semua harus sedari,,,
Rasulluallah S.A.W pernah berkata...
''perempuan merupakan fitnah terbesar..."
sebab itulah demi untuk menjaga maruah diri,kepentingan diri,
wanita islam harus menutup aurat..

<dipadam>

Islam itu suci...jangan cemarinya...
bertaubatlah.......
sementara pintu taubat masih terbuka....

<dipadam>
 

Salamun alaikum (6:54),

Terima kasih atas kesudian saudari menulis kepada kami. Kami memohon maaf kerana usaha saudari untuk membetulkan seseorang terpaksalah kami betulkan pula. Kami akan guna ayat-ayat al-Qur'an dalam pembetulan di sini.

Pertama, kenyataan saudari mengenai kaum perempuan yang "dijadikan daripada tulang rusuk Adam yang bengkok."

Untuk itu, kami petik beberapa buah perenggan daripada artikel yang sudah lama diterbitkan di laman web ini, iaitu Adam dan Isteri: dalam al-Qur'an dan Bible

<Petikan bermula>

Di dalam ALKITAB (Bible versi bahasa Melayu), setelah Adam dicipta, dia ditempatkan di taman Eden .........

Selepas itu barulah perempuan dicipta iaitu apabila Adam dapati tiada penolong yang sepadan baginya:

"... tetapi baginya sendiri ia tidak jumpa penolong yang sepadan dengan dia. Lalu TUHAN Allah buat manusia itu tidur nyenyak; ketika ia tidur, TUHAN Allah ambil salah satu rusuk dari padanya, lalu menutup tempat itu dengan daging. Dan dari rusuk yang diambil TUHAN Allah dari manusia itu, dibangun-Nyalah seorang perempuan, lalu dibawa-Nya kepada manusia itu." (Kejadian 2:20-22)

...............

Kisah Adam dan Hawa daripada ALKITAB (Bible bahasa Melayu) telah mempengaruhi pemikiran kebanyakan orang Islam. Terutamanya cerita mengenai ciptaan perempuan pertama di dunia yang dikatakan dicipta daripada tulang rusuk lelaki iaitu tulang yang bengkok. Dari situ bermulalah kepercayaan bahawa kaum perempuan sifatnya bengkok, lalu mereka berkedudukan rendah daripada lelaki.

Tentu tidak keterlaluan apabila mengatakan iaitu Imam Bukhari adalah orang Islam yang pertama percaya kepada cerita yang tidak sahih itu. Kerana, antara lima kitab hadis yang terbesar di dunia Islam, hanya kitab beliau yang meriwayatkan mengenai tulang rusuk yang bengkok tersebut. Kitab-kitab lain tidak menyebutnya langsung. Di dalam kitab Bukhari terdapat dua hadis mengenai perkara berkenaan. Kedua-duanya diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Satu daripadanya menyatakan tulang rusuk yang paling bengkok, yang terletak di atas sekali.

Adalah dipercayai bahawa lima kitab yang pertama (termasuk Kejadian) di dalam Bible atau ALKITAB telah ditulis oleh seorang ulama agama bangsa Yahudi bernama Ezra, atau Uzair, seperti yang disebut di dalam al-Qur'an. Dengan itu, dirasakan amat ralat sekali apabila didapati ajaran Yahudi telah menyusup masuk ke dalam kepercayaan orang Islam setelah nama Nabi atau Rasul yang selamanya disanjung digunakan.

Barangkali Imam Bukhari tidak sedar bahawa cerita daripada ALKITAB yang berkenaan tidak disahihkan oleh al-Qur'an. Ia berlaku mungkin kerana beliau terlepas pandang sebuah ayat yang menunjukkan bahawa al-Qur'an diturunkan sebagai kawalan mutu ke atas kitab-kitab sebelumnya. Ayat tersebut berbunyi,

"Dan Kami turunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka untuk abaikan yang benar yang datang kepada kamu." (5:48)

Masanya agak terlewat untuk hapuskan kepercayaan yang telah disuntik oleh Imam Bukhari ke dalam Islam, mengenai kaum wanita, setelah ia dikecapi oleh golongan lelaki selama lebih seribu tahun. Dan kepercayaan itu diterima pula oleh sesetengah golongan daripada kaum tersebut. Bolehkah sekarang diajak umat Islam untuk mendustakan Bukhari tanpa dihukum sebagai anti-Islam, antihadis, menghina Nabi, atau murtad?

<petikan berakhir>

Seperkara lagi, mengenai kenyataan saudari berbunyi "Dihiasi dengan duri duri yang memagari di sekelilingnya.." Maaf kerana bertanya, dari manakah saudari dapat penjelasan selanjut mengenai tulang rusuk yang bengkok itu? Kami tidak dapati Imam Bukhari menyebutnya.

Manakala al-Qur'an pula menyebut ciptaan tersebut dengan ayat berbunyi,

"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu yang cipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia ciptakan pasangannya, dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan;" (4:1)

Allah (dan Rasul-Nya) hanya menyebut daripadanya iaitu daripada jiwa yang satu mengenai ciptaan pasangan atau isteri atau perempuan. Tulang rusuk tidak disebut. Daripada jiwa yang satu itu juga manusia dicipta. Dalam ayat yang lain pula, dinyatakan bahawa (semua) manusia dicipta daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk (15:26).

Sedikit mengenai penipuan. Ia dimulakan dengan satu, kemudian disahihkan dengan lagi satu, kemudian dengan satu lagi, dan seterusnya, hingga jadi seperti benar.

Setelah kaum perempuan dikatakan dicipta daripada tulang yang bengkok, ''perempuan merupakan fitnah terbesar..." kata Rasul, kononnya.

Mungkin maksud tersirat saudari remaja itu mendatangkan hadis tersebut adalah seperti yang disuratkannya, di bawah ini:

"perempuan merupakan ciptaan Tuhan yang Agung... memandangkan <dipadam> sudah berkahwin  ..kiranya saya rasa semua muslimin paham dengan maksud yang saya ingin sampaikan.."

Andaikata telahan kami betul, maka kaum lelaki juga merupakan ciptaan Tuhan yang Agung bagi, mungkin bukan semua, kaum muslimat, dengan maksud yang sama yang ingin disampaikan oleh remaja berkenaan.

Lupakah dia cerita Nabi Yusuf di dalam al-Qur'an? Baginda yang digila-gilakan oleh kaum perempuan! Maka kaum lelaki juga boleh "merupakan fitnah terbesar".

Sememangnyalah kutub yang berlainan akan menarik! Justeru itu, Tuhan menasihatkan, kepada lelaki dan perempuan, semasa berinteraksi, agar mereka tundukkan pandangan terhadap satu sama lain, dan jaga kemaluan mereka. Firman-Nya,

"Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka; itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah sedar apa yang mereka kerjakan." (24:30)

"dan katakan kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka," (24:31)

Tiada kaum yang lebih besar dalam tanggungjawab terhadap maruah. Lelaki perempuan sama. Kerana itu, hukuman ke atas mereka yang tidak menjaganya pun sama. Firman-Nya,

"Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan" (24:2),

Setelah jatinanya dihina dengan tulang rusuk yang bengkok dan fitnah terbesar remaja itu didapati lagi menulis yang palsu, seperti berikut:

"Telah jelas dalam Al-Quran menyebut perempuan WAJIB menutup aurat..
Cuba kita semua rujuk Surah An Nur ayat 31.."

Apa yang dimaksudkannya dengan menutup aurat ialah kaum perempuan wajib menutup rambut, sementara yang lelaki tidak perlu. Kenapa?

Sebenarnya, aurat di dalam ayat itu tidak bermaksud rambut. Sila lihat frasa yang mengandunginya:

"Atau lelaki yang melayan mereka yang tanpa mempunyai keinginan seks, atau kanak-kanak kecil yang belum mengerti aurat perempuan" (24:31).

Dapat dilihat dengan jleas bahawa perkataan itu dikaitkan dengan seks dan kanak-kanak kecil yang belum mengerti. Lantas, izinkan kami bertanya lagi. Bahagian anggota perempuan yang manakah yang berkait dengan seks? Rambut? Apakah pula yang belum dimengertikan oleh kanak-kanak kecil? Perbuatan mengeritingi rambut?

Maka apa yang dikatakannya sebagai jelas yang Al-Quran menyebut perempuan WAJIB menutup aurat (rambut) adalah jauh daripada benar.

Untuk keterangan lanjut mengenai ayat tersebut sila click di sini (iaitu sebahagian daripada isi artikel Wanita dalam Islam sebenar yang sudah lama diterbitkan) dan Kalimat aurat di dalam al-Qur'an (juga sudah lama diterbitkan) demi mengetahui apa yang dimaksudkan Tuhan dengan kalimat aurat. Terima kasih.

Antara kata-kata penutupnya, remaja itu beri nasihat seperti berikut:

"Islam itu suci...jangan cemarinya...
bertaubatlah.......
sementara pintu taubat masih terbuka...."

Kami setuju bahawa Islam itu suci, dan jangan pula ada orang yang cuba mencemarinya. Bagi mereka yang mencemarinya haruslah bertaubat dan balik ke pangkal jalan, iaitu jalan yang tertua sekali, yang tersurat dengan jelas di dalam al-Qur'an.

Kami kagum dengan keberanian remaja tersebut. Namun, keberanian sahaja tidak mencukupi. Ketelitian harus juga diambil kira. Terutamanya apabila menerima sesuatu daripada orang-orang yang tidak menunjukkan ayat-ayat Tuhan, kerana mereka mungkin datang daripada golongan yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Allah). Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, jika orang fasiq datang kepada kamu dengan satu berita, maka telitilah supaya kamu tidak timpa satu kaum dalam kejahilan, dan kemudian jadi sesal daripada apa kamu buat." (49:6)

Dengan Peringatan itu kami undurkan diri. Terima kasih dan sekali lagi, maaf.


22 September 2004


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman