Adam dicipta dewasa
dan menjadi Nabi? - Respon
From: "Atan Muhammad" <atan_hm@yahoo.com>
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Nabi Adam A.S. adalah seorang Rasul.
Date: Sunday, August 14, 2005 11:15 AM
Assalamualaikum,
Merujuk kepada jawapan email anda:< Dipadam. Yang dipadam adalah segala kandungan e-mail berjudul Adam dicipta dewasa dan menjadi Nabi? yang diterbit pada 13 Ogos lalu. Segala kandungan tersebut, iaitu surat pengirim dan jawapan kami, telah di-copy and paste di sini. Harap faham dan maaf. Selanjutnya beliau menulis: >
Maka disini ingin saya tambah dari ebacaan sendiri:
3:28. Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang yang tidak percaya sebagai wali selain daripada orang-orang mukmin, kerana sesiapa yang berbuat demikian itu, tiadalah kepunyaan Allah sesuatu, melainkan kamu ada yang ditakuti daripada mereka, Allah memperingatkan kamu supaya berhati-hati terhadap diri-Nya, dan kepada Allah kepulangan.
3:29. Katakanlah, "Sama ada kamu menyembunyikan apa yang di dalam dada kamu, atau kamu menampakkannya, Allah mengetahuinya, dan Dia mengetahui apa yang di langit dan apa yang di bumi; dan Allah berkuasa atas segala sesuatu."
3:30. Pada hari tiap-tiap jiwa mendapati apa yang ia telah buat daripada kebaikan dihadapkan, dan apa yang ia buat daripada kejahatan; ia akan menginginkan sekiranya antara ia dan hari itu ada ruang yang jauh. Allah memperingatkan kamu supaya berhati-hati terhadap diri-Nya; dan Allah Lembut kepada hamba-hamba-Nya.
3:31. Katakanlah, "Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih."
3:32. Katakanlah, "Taatlah kepada Allah, dan rasul." Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang tidak percaya.
3:33. Allah telah memilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas semua alam.
3:34. Keturunan satu sama lain; Allah Mendengar, Mengetahui.
Alasan lain:
Didalam surga Allah berbicara Secara direct dengan maka ia adalah firman Allah sendiri. Allah juga memberi arahan dan larangan maka larangan (buah kuldi) itu sendiri adalah wahyu! Apabila Adam memulakan keluarga di bumi dia adalah pemimpin didalam ibadah kepada Allah, maka dia juga adalah Nabi. Jadi ingin saya betulkan bahawa Nabi Adam A.S. adalah Nabi dan Rasul. Harap betulkan sekiranya keterangan saya ini salah.
Salamun alaikum (menurut ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an). Terima kasih kepada saudara Atan yang mendatangkan keterangan untuk membetulkan kami setelah kami katakan Adam bukan seorang Nabi. Usaha beliau dialu-alukan.
Keterangan beliau dimulakan dengan mengetengahkan sekumpulan ayat al-Qur'an yang kami dapati hanya satu sahaja yang berkaitan dengan tajuk. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,
3:33. Allah telah memilih Adam, dan Nuh, dan keluarga Ibrahim, dan keluarga Imran, di atas semua alam.
Tetapi dukacita dimaklumkan bahawa kami tidak nampak ayat tersebut menyatakan dengan jelas bahawa Adam adalah seorang Nabi. Kalau Adam dikatakan Nabi, seperti Nuh dan Ibrahim, maka Imran juga seorang Nabi. Walhal, seperti yang diketahui umum, Imran bukan seorang Nabi.
Pada hemat kami, mereka dikatakan "di atas semua alam" kerana kelebihan yang terdapat pada mereka, bukan kerana mereka menjadi Nabi. Kelebihan Adam terletak pada ciptaannya; Nuh pada kapalnya yang membawa nenek moyang Bani Israil (17:3); Ibrahim pada ibadah haji dan dua anak lelakinya menjadi Nabi, dan Imran pula, pada anaknya Mariam yang melahirkan Nabi Isa.
Demikian antara kelebihan yang terdapat pada mereka atau keluarga mereka yang disebut dengan ringkas sahaja. Keterangan lanjut dapat dibaca di ruangan Sudut Pelajar di bawah tajuk kecil Kisah Nabi-Nabi.
Justeru, maksud yang diketengahkan itu adalah hanya sangkaan semata-mata, "dan sangkaan tidaklah berguna sedikit pun terhadap kebenaran." (53:28) Yang benar ialah ayat tersebut tidak menyatakan bahawa Adam seorang Nabi.
Keinginan untuk menggunakan ayat-ayat al-Qur'an sebagai bukti terhadap kenabian Adam telah kami sokong dengan mengajak merujuk kepada ayat-ayat yang mengandungi perkataan Nabi dan Adam yang kami sediakan di ruangan Kalimat Pilihan. Namun sokongan dan ajakan kami kelihatan diterima seperti jerebu yang melanda sahaja.
Selain mencuba menggunakan ayat al-Qur'an dalam hujah untuk menagkis pendapat kami tentang Adam bukan seorang Nabi, pengirim e-mail telah juga mencuba menggunakan saluran intelek dalam pendekatannya. Buah fikirannya disusun di bawah tajuk kecil berjudul "Alasan lain".
Sekali lagi kami merakamkan rasa dukacita kerana keliru apabila membacanya. Sebab nampak seolah beliau memahami bahawa kami telah mengatakan Adam tidak langsung diwahyukan oleh Allah. Mungkin dia terlepas pandang tulisan-tulisan kami di dalam e-mail yang lalu, seperti berikut:
"Oleh itu, baginda tidak diwahyukan seperti seseorang Nabi diwahyukan." (perenggan ketiga)
"Kerana tidak diberi Kitab, atau diwahyu seperti seseorang Nabi diwahyu, maka didapati "tiada perintah sujud, puasa, dan lain-lain aktiviti" kepada Adam." (perenggan keenam)
"Dan baginda bukan seorang Nabi, tidak diwahyu atau diturunkan Kitab seperti seorang Nabi, lalu tidak diberi suruhan seperti orang-orang yang diberi Kitab disuruh." (perenggan sebelum ayat/perengaan terakhir, "Apa pendapat anda?")
Kekeliruan kami disebabkan kata-kata beliau (yang antaranya kami kasarkan) berbunyi:
Didalam surga Allah berbicara Secara direct dengan maka ia adalah firman Allah sendiri. Allah juga memberi arahan dan larangan maka larangan (buah kuldi) itu sendiri adalah wahyu!
Kata-kata tersebut (yang menjadi bukti baginya bahawa Adam seorang Nabi) membuat kami keliru lagi kerana kepada Iblis pun Allah telah berbicara secara direct, dan kepadanya juga Allah telah memberi arahan. Kalau Adam menjadi Nabi kerana alasan tersebut maka Iblis pun menjadi Nabi jugak!!
Kalau kerana menerima wahyu Allah seseorang itu menjadi Nabi, bagaimana pula dengan pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia, ibu Nabi Musa, dan lebah, yang turut diwahyukan-Nya dengan khusus. Sila lihat ayat-ayat berikut:
"Dan ketika Aku mewahyukan pengikut-pengikut (Nabi Isa) yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
"Maka Kami mewahyukan ibu Musa, 'Susukanlah dia, kemudian apabila kamu takut terhadapnya, lemparlah dia ke laut, dan janganlah takut, dan jangan juga bersedih, kerana Kami akan mengembalikan dia kepada kamu, dan akan melantiknya seorang daripada para utusan.'" (28:7)
"Dan Pemelihara kamu mewahyukan lebah, 'Ambillah untuk kamu daripada gunung-gunung, rumah-rumah, dan daripada pokok-pokok, dan daripada apa yang mereka membangunkan.'" (16:68)
Seperti itu jua dengan wahyu amalan qurban yang dilakukan oleh anak-anak lelaki Adam. Seseorang boleh mengandaikan bahawa Adam telah menerima wahyu tersebut walaupun baginda tidak disebut telah melakukannya. Atau mengandaikan bahawa anak-anaknyalah yang menerima kerana merekalah yang melakukannya. Tambahan pula, tatkala mereka melakukannya tidak pula diketahui sama ada Adam masih hidup. Kami berhenti di situ kerana tidak berani membuat andaian atau sangkaan. Apapun, penerimaan wahyu daripada Allah tidak bererti penerimanya seorang Nabi.
Selanjutnya beliau menyatakan:
Apabila Adam memulakan keluarga di bumi dia adalah pemimpin didalam ibadah kepada Allah, maka dia juga adalah Nabi.
Apakah ibadah yang kononnya telah dipimpin oleh Adam, yang selain daripada qurban jika bagindalah yang menerima suruhannya? Ibadah tersebut tidak dijelaskan oleh pengirim e-mail. Beliau hanya membuat sangkaan bahawa terdapat ibadah lain yang selain daripada qurban. Seperti yang kami telah jelaskan iaitu anak-anak Adam, atau manusia ketika itu, untuk mengebumikan mayat pun tidak tahu. Apatah lagi untuk melakukan ibadah serupa orang-orang yang diberi Kitab.
Jikalau benar seperti yang dikatakan oleh beliau maka semua pemimpin keluarga dalam ibadah kepada Allah adalah Nabi, termasuk bapa atau penjaga. Sila lihat ayat berikut yang mengandungi perintah Allah kepada mereka:
"Dan suruhlah keluarga kamu bersolat, dan bersabarlah kamu padanya;" (20:132).
"Wahai orang-orang yang percaya, lindungilah diri kamu dan keluarga kamu daripada Api yang bahan bakarnya manusia dan batu," (66:6).
Andaikata hujah itu tidak diterima, bagaimana pula dengan para rasul yang tentunya menjadi pemimpin dalam ibadah kepada Allah, tetapi bukan semua di antara mereka dilantik menjadi Nabi oleh Allah?
Lantaran itu, kami menyatakan tidak bersetuju dengan buah fikiran pengirim e-mail bahawa pemimpin dalam ibadah semestinya Nabi.
Kata-kata penutup beliau juga mengelirukan kami, berbunyi:
Jadi ingin saya betulkan bahawa Nabi Adam A.S. adalah Nabi dan Rasul. Harap betulkan sekiranya keterangan saya ini salah.
Mula-mula beliau mengatakan beliau ingin membetulkan kami, kemudian mengharapkan kami membetulkannya pula!
Mengapa beliau menulis begitu tidak menjadi keutamaan bagi kami. Begitu juga dengan tujuannya menurunkan tujuh ayat yang hanya satu didapati relevan bagi tajuk yang dibincangkan.
Keutamaan kami adalah memberi jawapan dengan menggunakan ayat-ayat al-Qur'an, dan memberinya dengan ikhlas. Jawapan kami kali ini berhenti di sini berserta dengan. lima ayat al-Qur'an yang diturunkan buat renungan sehingga berjumpa lain kali:
"Kami tidak mengalpakan sesuatu di dalam al-Kitab;" (6:38)
"Katakanlah, 'Adakah kamu yang lebih mengetahui, atau Allah?'" (2:140)
"Dan apabila Allah mengambil perjanjian Nabi-Nabi, 'Bahawa Aku memberikan kamu Kitab dan Kebijaksanaan; kemudian akan datang kepada kamu seorang rasul, mengesahkan apa yang bersama kamu. Kamu akan mempercayainya, dan kamu akan menolongnya. Adakah kamu setuju?' Dia berkata, 'Dan, adakah kamu mengambil beban-Ku kepada kamu dengan syarat itu?' Mereka berkata, 'Kami setuju.' Dia berkata, 'Maka saksilah, dan Aku bersama kamu antara para saksi.'" (3:81)
"Jika mereka tunduk patuh, mereka mendapat petunjuk yang benar, dan jika mereka berpaling, maka bagi kamu (Muhammad) hanyalah untuk menyampaikan (al-Qur'an); dan Allah melihat hamba-hamba-Nya." (3:20)
"Dan taatlah kepada Allah, dan taatlah kepada rasul, dan berhati-hatilah. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa atas rasul Kami hanyalah untuk menyampaikan yang jelas (Mesej-Nya)." (5:92)
Terima kasih.
16 Ogos 2005
Bacaan lanjut:
Kedudukan sebenar Nabi dan Rasul
Adam dicipta dewasa dan menjadi Nabi?
Adam dicipta dewasa dan menjadi Nabi? - Respon 2
Terkini Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles