Berita Utama Akhbar (2)
Respon Pembaca

 

From: ANDING
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Re: pembetulan artikel.
Date: Wednesday, January 18, 2006 3:56 PM

Salamun alaikum,

Saya harap saudara sekeluarga sihat dan sejahtera. Alhamdulillah saya sekeluarga juga baik-baik dan ingin saya kongsikan kegembiraan apabila perubahan suami sedikit sebanyak untuk kembali kepada al Quran. 

Harian Metro halaman depan semalam melaporkan tentang laman web saudara sebagai sesuatu yang boleh merosakkan akidah para remaja dan belia yang mahu mengenali Islam dengan lebih dekat. Saya merasa tercuit hati dan tersenyum sendiri. Sebelum ini akhbar utama melaporkan tentang fahaman wahhabi dan kini pihak saudara ditafsirkan sebagai anti hadis dan menyebarkan ajaran sesat pula. 

Sama ada orang surat khabar ketiadaan bahan berita atau sengaja hendak mensensasikan jualan. Dan adakah pihak jakim, jaim dsbnya ini tidak kenal internet dan kakitangannya memang tak pernah membaca buku. Alangkah malangnya mereka ini! Kalau hendak meneliti seluruh kandungan internet dan memahami segala buku ilmu bangsa asing tentunya mereka ini akan lebih terkejut… dan mungkin mereka ini akan berusaha mengubal akta pendidikan. Mana tidaknya buku-buku yang saya baca dan belajar tentang falsafah Plato, Aristotle, Kent, Marx, Hegel, Blaise Pascal dsbnya itu kemungkinan besar boleh menjurus kepada kesesatan umat Islam pada pemikiran mereka ini. 

Dan saya mahu ketawa lagi bila ada orang agama mencerca tentang documentary manusia awal yang tidak menutup aurat dikatakan sebagai adegan menjolok mata. Teringat masa saya seusia 9 tahun, membaca kisah Adam dan Hawa yang akibat memakan buah terlarang maka bahagian badan yang mengaibkan terdedah. Seorang guru menegur mengatakan buku berkenaan adalah bersifat porno dan tidak sepatutnya saya baca. Dari kaca mata seorang budak kecil, saya tidak langsung melihat itu sebagai suatu yang berunsur XXX dan boleh menimbulkan ghairah. Agaknya ustaz-ustaz ni terangsang nafsu melihat manusia purba tidak lengkap menutup aurat.

ambil contoh, majalah tahyul paling popular di Malaysia, kandungannya begitu menjengkel dan picis. Saya kadang-kadang merasa ganjil pula bila seseorang ustaz atau ulamak bercerita tentang sesuatu perkara yang tidak masuk akal, tanpa difikirkan langsung kebenarannya terus dipercayai bulat-bulat. Bercerita tentang mayat bertukar jadi babi, mengandungkan anak kepala anjing dsbnya yang tidak bersandarkan kajian saintifik. Macam cerita sumpahan Raja Tut (Tuthankhamen). Sebelum ini diketahui tentang nasib malang menimpa sesiapa yang menceroboh makamnya menemui ajal seorang demi seorang. Akhirnya setelah kajian demi kajian dan terbongkarlah melalui National Geographic mengenai kewujudan kulat dan gas beracun yang terhasil kerana makam yang beribu-ribu tahun terpendap. Alahai…

Saya akhiri…. dengan rasa sedih; ulamak Islam memperlekehkan karya agung Ibn Rusy yang jadi rujukan dan memandu keluar Bangsa Eropah dari zaman kegelapan dan sehingga kini mereka masih mengekalkan kegemilangan itu. Kita pula hanya ada kitab kuning ulamak-ulamak silam yang masih dipertahankan pendapatnya… dan masih juga kita tidak berjaya. 

Sekian, terima kasih.

P/S: Tidak perlu disiarkan cuma sekadar luahan yang ingin dikongsi.


Salamun alaikum,

Syukurlah atas perubahan sikap pada suami puan. Terima kasih atas kiriman di atas, dan maaf, kami siarkannya juga untuk dikongsi dengan orang-orang yang suka membaca dan berfikiran terbuka.

Para wartawan yang menulis berita tidak seharusnya disalahkan. Mereka giat berjuang untuk kebebasan bercakap, menulis dan berfikir. Namun, pada hemat kami, kebebasan tersebut tidak seharusnya mereka guna untuk menjatuhkan hukum seperti antihadis.

Mereka adalah orang-orang yang buat kajian atas perkara yang mereka tulis. Kajian mereka menyeluruh, tapi kerana bersifat manusia, mereka mungkin terlepas pandang sesuatu perkara seperti artikel Anti Hadis yang sudah lama dipaparkan di laman web ini. Sesungguhnya manusia tidak sunyi daripada kesilapan.

Kesilapan besar manusia ialah tidak mahu mendengar semua ucapan atau pendapat orang lain. Walhal, manusia disuruh oleh Allah buat demikian dengan firman-Nya berbunyi,

"Yang mendengar ucapan, dan ikut yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah beri petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang empunya minda." (39:18)

Mungkinkah kerana ego maka sesetengah manusia termasuk sesetengah ulama enggan mendengar atau membaca pendapat orang lain yang tidak segolongan dengan mereka?

Manusia akan terus beri pandangan mereka, kerana itulah yang dituntut oleh Allah seperti yang turut tersurat di dalam ayat di atas.


<Sila baca Berita Utama Akhbar (1)
dan Berita Utama Akhbar (3).
Terima kasih.>

21 Januari 2006

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman