Panduan ringkas kepada ber-Qur'an
From: iskandarizz
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Friday, August 22, 2008 10:23:20 AM
Subject: Re: Satu Tuhan Satu Kitab Satu UmatSalam,
Sahabat,
Setelah membaca kandungan yang ada di dalam laman e bacaan, saya tertarik untuk memberi cadangan agar sahabat dapat membentuk satu panduan ringkas untuk menggunakan A-Quran.
Maksud saya ialah bagaimana nak ber Al-Quran peringkat demi peringkat.
Contoh:
Langkah 1); Dari tak tahu makna/ isi-isi Quran - Kena Faham, kemudian...lihat langklah 2)
Langkah 2); Dah tahu makna/ isi-isi Quran, apa pula langkah selanjutnya?
Langkah 3); ?????
*Langkah-langkah yang berpandukan Al-Quran ini penting dalam hidup kita yang di namakan Islam.
Umpama kereta, nak bergerak bermula dari gear satu, kemudian gear 2, 3 dan kepada gear-gear seterusnya.
Pendek cerita, mungkin satu summary ringkas kepada "Al-Quran for Dummies" contohnya.
Tetapi mungkin sahabat sudah menerangkan tetapi saya tidak menjumpainya dalam artikel-artikel atau jawapan e-mail-e-mail tu.
Atau mungkin Al-Quran ini tidak sesuai di buatkan sebegitu.
Saya mohon maaf.
Jika adanya panduan asas ini, lebih memberi manfaat kepada yang baru nak kembali kepada Al-Quran.
Sekadar cadangan.
Salamun alaikum,
Terima kasih, sahabat (kami suka panggilan ini). Satu cadangan amat baik. Tapi kami tidak pandai dalam bidang itu, dan mendapati sukar menunjukkan langkah-langkah untuk menjadi seorang "ber-Qur'an" dengan tepat dan berkesan. Ia berkaitan dengan petunjuk, dan petunjuk pula hanya diperoleh daripada Allah.
Namun begitu, beberapa petunjuk daripada al-Qur'an terlintas di kepala setelah kali pertama membaca e-mel di atas. Dimaksudkan ialah ayat-ayat yang menyentuh hal pendekatan kepada al-Qur'an. Mereka, pada hemat kami, boleh disusun untuk menjadi langkah-langkah dikehendaki, dari pertama hingga ke akhir. Langkah-langkah adalah seperti berikut:
Langkah 1 : Melupakan segala yang dipercayai mengenai agama (ini sukar) dan meninggalkan segala amalan tidak baik (pun sukar jugak). Ia menjadi payah dalam mempercayai al-Qur'an selagi mereka tidak dibuang. Atau dibuang sedikit demi sedikit iaitu setelah berjumpa dengan yang benar ketika membaca Kitab.Langkah pertama diilhamkan daripada ayat berbunyi,
"Tiada yang menyentuhnya (al-Qur'an) kecuali orang-orang yang dibersihkan," (56:79)
Seseorang yang tidak bersih seharusnya tidak menyentuh al-Qur'an kerana ia tidak berguna baginya. Malah boleh mendatangkan mudarat.
Sebagai contoh, seorang yang sudah lama berpegang pada al-Qur'an, dan apabila disentuh penyakit yang dianggapnya aneh, dia mengatakan itu disebabkan roh orang jahat yang tidak dapat melintasi langit setelah mati. Ayat al-Qur'an diguna sebagai alasan atas kepercayaannya (sila lihat Pintu Langit). Dia jadi begitu sebab sebelum berpegang pada al-Qur'an dia mempercayai ilmu hitam, dan tidak membuangnya setelah ber-Qur'an.
Langkah 2 : Mohon perlindungan Allah daripada syaitan sebelum membaca al-Qur'an. Firman-Nya,
"Apabila kamu membaca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam." (16:98)
Syaitan berbisik dan boleh hadir pada manusia. Perlindungan daripada cara-cara syaitan tersebut dipohon kepada Allah, dan Dia pula telah pun mengajarnya (sila rujuk ayat 23:97-98).
Langkah 3 : Mula baca dari surah 1 hingga ke akhir, iaitu surah 114. Baca perlahan. Bila berjumpa dengan sesuatu yang sukar difahami, di surah 2 misalannya, jangan merajuk. Teruskan bacaan, nanti akan bertemu pula dengan penjelasannya, dengan izin Allah.
Cuba baca sambil baring atau mengiring juga ("Yang mengingati Allah berdiri, dan duduk, dan di atas lambungan mereka," - 3:191).
Tandakan frasa atau ayat yang difikirkan menarik, dan penting. Atau tulis nota di margin. Sebab ayat-ayat al-Qur'an mudah dilupakan.
Mungkin artikel Baca dan Membacakan al-Qur'an dapat memberi keterangan lanjut.
Langkah 4 : Lakukan mana yang dapat. Ia akan meneguhkan hati. Diturunkan dua ayat berkaitan berbunyi,
"Dan ikutlah yang paling baik daripada apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu," (39:55)
"dan jika mereka melakukan seperti apa yang mereka ditegurkan, tentu itu lebih baik bagi mereka, dan lebih kuat untuk meneguhkan mereka." (4:66)
Yang paling mudah dilakukan ialah memberi nafkah atau sedekah, wuduk, salam, dan lain-lain, terpulang kepada individu.
Namun, paling penting sekali ialah tidak bertindak ragu-ragu terhadap mana-mana ayat al-Qur'an. Amaran diberi dari awal lagi, berbunyi,
"Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan)," (2:2)
Dan, jangan tangguh untuk melakukan apa yang sudah difahami kerana:
"Allah tidak akan menangguhkan mana-mana jiwa apabila tempohnya datang. Dan Allah menyedari apa yang kamu buat." (63:11)
"Pada hari itu, manusia diberitahu apa yang dia mendahulukan, dan yang dia menangguhkan." (75:13)
Langkah 5 : Setelah habis membaca al-Qur'an, renungkan balik apa yang telah ditanda, dari awal hingga akhir, sebab ayat-ayat al-Qur'an harus diingati. Firman-Nya,
"Sebuah Kitab Kami menurunkan kepada kamu, diberkati, supaya mereka mengingati, dan supaya orang-orang yang mempunyai minda merenungkan ayat-ayatnya." (38:29)
Kemudian, balik ke Langkah 2 dan yang seterusnya. Al-Qur'an dibaca bukan sekali. Selalu berlaku, setelah beberapa kali membacanya, didapati orang masih belum nampak sesuatu ayat yang sudah dibaca beberapa kali.
Lagipun, Allah menyuruh membaca Kitab-Nya pada waktu fajar dan malam. Tentu baik jika dapat dilakukan tiap-tiap hari atau malam. Dengan itu Kitab tidak dibaca keseluruhannya sekali atau dua sahaja. Ayat-ayat berikut menjadi pedoman:
"dan bacaan (qur'an) fajar; sesungguhnya bacaan fajar disaksikan." (17:78) dan,
"Berjaga-jagalah pada waktu malam, kecuali sedikit,
Separuh daripadanya, atau mengurangkan sedikit,
Atau menambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar.
Sesungguhnya Kami akan melemparkan kepada kamu ucapan yang berat." (73:2)
Membaca al-Qur'an pada waktu-waktu tersebut diberi perhatian lebih sehingga boleh nampak atau memahami ayat-ayat yang berat, contoh, berkaitan penolakan kitab-kitab selain al-Qur'an, menyekutukan-Nya, amalan-amalan, atau tabiat buruk yang masih dipakai lalu direnungkan sedalam-dalamnya hingga dapat meninggalkannya.
Langkah terakhir ialah berjihad dengan al-Qur'an. Sila rujuk artikel Jalan Allah. Terima kasih.
Langkah-langkah diutarakan di sini adalah hanya pendapat kami, yang dibuka untuk pembetulan atau penambahan daripada sahabat-sahabat se-Kitab, supaya dapat memberi manfaat kepada orang-orang yang ingin ber-Qur'an. Kami sedia mendengar dan menerima pandangan sahabat-sahabat. Firman-Nya,
"Yang mendengar ucapan, dan mengikuti yang paling baik daripadanya, mereka itulah orang-orang yang Allah memberi petunjuk kepada mereka; mereka itu, merekalah orang-orang yang mempunyai minda." (39:18)
Terima kasih.
25 Ogos 2008
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles