Ibadat atau Ritual dan Aktualnya -Respon

 


From: Farouk
Date: 2010/1/14
Subject: Ibadat atau Ritual?
To: ebacaan114@gmail.com


Salaamun alaikum Tuan Pengurus Laman dan Che Deen,

 

Perbincangan saudara berdua sungguh menarik minat saya. Kalau diizinan, saya ingin beri pendapat sikit:

 

1. Bagi saya, walaupun sukar untuk saya melihat 'ritual' atau 'ibadat khusus' dalam Quran, saya tak menentang ritual itu sebagai perkara yang mudaratkan.  Solat yang dilakukan dengan ritual atau pun tidak boleh membawa (jikalau niat kita baik) kepada dhikrullah iaitu pengingatan atau penghayatan atau realisasi Allah dalam hidup sepertimana Allah memerintah Nabi Musa , dirikanlah salat untuk mengingatiku (quran 20/14).

 

2. Walau saya faham kenapa saudara Che Deen membahagikan ibadah kepada ritual dan aktual (pembahagian ini memang bijak sekali) tapi saya rasa, kalau kita meneliti ayat-ayat yang lain, ibadat itu satu perkara yang boleh dibahasakan sebagai 'way of life'. Ayat-ayat seperti:

 

a. 12/40 di mana Nabi Yusuf beritahu sahabat-sahabatnya : tiada yang beri hukum selain Allah, Tidakkah kamu beribadat kepada dia semata-mata? - di sini ibadat dilihat sebagai pengerjaan hukum Allah.

 

b. 2/138 di mana 'baptisme' Allah itu dikaitkan dengan jadi abideen atau orang yang kerjakan ibadat. Saya memahami 'baptisme Allah' itu bagaikan kita memandikan diri (tentunya secara metafora) dengan nama-nama tuhan. Tuhan itu maha mengasihani, kita juga perlu mengasihani and inilah yang dibahasakan sebagai ibadat. 

 

Jadi ibadat itu satu konsep yang amat penting kepada ajaran al-quran. Ibadat adalah cara kita mendekatkan diri dengan Allah.

 

Terima kasih dan salam sejahtera.

 

Farouk A. Peru


Salamun alaikum,

Terima kasih atas pendapat yang menimbulkan kesedaran bagi kami. Pertama, tentang tajuk Ibadat atau Ritual? yang diberi kepada penulisan achedeen yang lalu. Setelah pertimbangkannya lagi, kami bercadang untuk menukarkan kepada Ibadat atau Ritual dan Aktualnya pula. Harap dapat persetujuan pembaca.

Dan kedua, mengenai frasa way of life yang bermaksud, A style of living that reflects the attitudes of a person or group; a lifestyle, atau, suatu cara kehidupan yang mencerminkan sikap atau gaya seseorang atau kumpulan; suatu cara hidup.

Lantas terdapat apa yang dikatakan orang sebagai Bodhisattva's Way of Life (cara hidup agama Buddha), Yoga is a way of life, Jewish way of life, American way of life (cara hidup orang-orang yang tinggal di Amerika Syarikat), Islamic Way of Life (Arabic: Islam Ka Nizam Hayat), dan sebagainya.

Namun begitu, cara hidup manusia sudah ditentukan Allah setelah Dia menyatakan bahawa Dia tidak cipta jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Nya (51:56).

Kita berpendapat bahawa cara menyembah-Nya adalah dengan ikut kitab al-Qur'an yang diturunkan sebagai petunjuk untuk mencapai matlamat tersebut. Antara ayat-ayat Kitab yang berkaitan berbunyi,

"Katakanlah, 'Sesungguhnya solatku, dan pengorbananku, dan hidupku, dan matiku, kesemuanya untuk Allah, Pemelihara semua alam.'" (6:162)

Maka solat dan pengorbanan jadi ciri-ciri dalam kehidupan, atau cara hidup, yang menyembah-Nya. Ciri-ciri ditambah lagi dengan berzakat, tidak sombong, dan taat kepada ibu (dan bapa, kerana Isa tidak berbapa), seperti disebut bayi bernama Isa di bawah:

"dan Dia wasiatkan aku supaya bersolat, dan zakat, selama aku hidup, Dan taat kepada ibuku, dan Dia tidak buat aku sombong, sengsara." (19:31-32)

Daripada ayat di bawah pula terdapat mengenai membaca al-Qur'an pada sebahagian malam, mencari pemberian Allah, berperang di jalan Allah, lakukan solat, beri zakat, dan meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik sebagai cara hidup:

"Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia tahu bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat. Dan lakukan solat, dan berikan zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah satu pinjaman yang baik." (73:20)

Dan didapati cara hidup ber-Qur'an tidak terhad kepada berbahasa dengan sesuatu bahasa atau budaya (bangsa) sahaja. Firman-Nya,

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah ciptaan langit dan bumi, dan perbezaan dalam lidah (bahasa) kamu, dan warna." (30:22)

Demikianlah adalah, menurut pendapat kami, beberapa ayat yang menunjukkan cara hidup atau kehidupan dalam menyembah-Nya. Daripada pendapat tersebut, amalan-amalan seperti solat, pengorbanan, zakat, taat kepada ibu bapa, tidak sombong, membaca al-Qur'an pada sebahagian malam, mencari pemberian Allah, berperang di jalan Allah, meminjamkan kepada Allah satu pinjaman yang baik, dan berbahasa serta berbudaya seperti bangsa yang diciptakan-Nya bagi seseorang, adalah antara ciri-ciri cara hidup atau way of life bagi orang-orang ber-Qur'an.

 

Selain daripada itu, Allah menyebut mengenai peribadatan pula, seperti ayat berbunyi,

"Wahai Pemelihara kami, buatlah kami muslim (tunduk patuh) kepada Engkau, dan daripada keturunan kami, umat yang muslim kepada Engkau; dan perlihatkan kepada kami peribadatan kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih." (2:128)

Itu adalah permintaan Nabi Ibrahim, yang antaranya memohon supaya Allah lihatkan kepadanya peribadatan yang harus dilakukan. Timbul satu pertanyaan, apakah maksud peribadatan di situ? Adakah ia termasuk ciri-ciri way of life seperti taat kepada ibu bapa, tidak sombong, membaca al-Qur'an pada sebahagian malam, mencari pemberian Allah, berperang di jalan Allah, dan berbahasa serta berbudaya yang berlainan, untuk namakan beberapa contoh?

 

Seperti sedia maklum Nabi Ibrahim bertanggungjawab atas mendirikan Rumah yang kemudian dikaitkan dengan solat dan Haji. Mungkinkah itu yang dimaksudkan dengan peribadatan?

 

Terdapat pula satu ayat yang mengaitkan Haji dengan peribadatan, dan satu lagi mengenai korban yang dilakukan dalam Haji. Ayat-ayat berbunyi, 

"Apabila kamu sudah laksanakan peribadatan (Haji) kamu, ingatlah Allah sebagaimana kamu ingati bapa-bapa kamu, atau lebih ingat." (2:200) dan,

 

"Kami tentukan bagi tiap-tiap umat satu peribadatan supaya mereka mengingati nama Allah pada haiwan ternakan yang Dia rezekikan mereka." (22:34)

Tidak ketinggalan amalan puasa yang terdapat dalam ajaran al-Qur'an mengenai Haji.

 

Selanjutnya mengenai ibadat, Dia telah menyebut dengan khusus sebuah tempat yang dinamakannya mihrab (tempat atau bilik ibadat, menurut kebanyakan pendapat), seperti disebut ayat-ayat 3:37, 34:13 dan 38:21. Dia juga telah menyebut mengenai masjid dengan banyak sekali. Tempat-tempat ibadat itu jadi satu lagi ciri dalam cara hidup menyembah-Nya.

 

Dengan itu kami berpendapat iaitu ibadat adalah hanya satu daripada beberapa ciri dalam cara hidup atau way of life seorang Muslim yang menyembah-Nya menurut ajaran al-Qur'an.

 

Pun begitu, sekiranya terdapat pendapat yang sebalik, iaitu menyatakan bahawa segala yang disebut di atas sebagai cara hidup dan yang disebut sebagai ibadat, adalah hanya ibadat belaka, maka kami tidak akan beri sebarang komen lagi. Pendapat pembaca dihormati.

 

Terima kasih.

Salam.

 

 

15 Januari 2010

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman