Kejutan, seharusnya kejutan!
Berita Harian 24 Jun 1987
Empat perkara menarik perhatian dalam berita di atas, iaitu:
1. Terpengaruh dengan fahaman orientalis Barat
2. Mempertikaikan hadis dan sunnah rasul
3. Tidak mempercayai mukjizat Nabi
Sudah tentu perkara-perkara seperti penolakan hadis, sunnah dan mukjizat Nabi menjadi kejutan bagi orang Melayu pada ketika itu. Mereka harus ditenteramkan oleh pemimpin yang bertanggungjawab lalu terbitlah berita di atas.
Penulis akan mengupas tiap-tiap perkara tersebut.
1. Terpengaruh dengan fahaman orientalis Barat
Gelaran pertama, di negara ini, yang diberi terhadap orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an sahaja adalah "orientalis Barat". Sungguh, ini adalah jalan mudah untuk menakut-nakutkan rakyat (Ketika itu gelaran "antihadis" belum dipakai lagi).
Golongan yang berpegang pada al-Qur'an sahaja sudah wujud pada zaman Imam Shafie. Mereka dipanggil "Ahlul al Qalam", dan tentu sekali mereka bukanlah orang-orang orientalis Barat.
Yang mendorong seseorang menolak hadis tulisan manusia hanyalah al-Qur'an.
Shafie telah berjaya mendapat sambutan dengan fahamannya mungkin kerana kuasa politik yang menyebelahinya.
Akan tetapi, rintangan paling besar yang dihadapi oleh penyebar al-Qur'an adalah rakyat sendiri kerana kebanyakan mereka tidak percaya. Firman-Nya, "Maka janganlah kamu dalam keraguan daripadanya; ia (al-Qur'an) adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai" (11:17)
2. Mempertikaikan hadis dan sunnah rasul
Semua orang, termasuk ulama, menolak hadis. Mana yang tidak disukainya ditolak. Lain mazhab atau golongan, maka lain pula hadis dan sunnahnya. Mereka bercanggah.
Menuruti ajaran hadis atau sunnah tidak bererti mentaati Nabi, tetapi hanya menuruti apa yang dikatakan, dan ditulis, oleh orang lain, bukan Nabi. Orang-orang yang menulisnya pula hidup beratus tahun selepas Nabi.
Masalahnya bukan tidak ikut hadis tetapi tidak ikut al-Qur'an. Renungkanlah ayat ini:
"Apa, tidakkah mereka merenungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka mendapati di dalamnya banyak perselisihan" (4:82).
Sila rujuk artikel "Sepuluh Soalan" dan "Kalimat hadis di dalam al-Quran". Terima kasih.
3. Tidak mempercayai mukjizat nabi
Orang-orang di sekeliling Nabi telah bertanya seperti diriwayatkan Tuhan berbunyi:
"Mengapa tiada ayat (mukjizat) diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?' Katakanlah (Muhammad), 'Sesungguhnya Allah berkuasa untuk menurunkan satu ayat, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.'" (al-Qur'an 6:37)
Orang-orang disekeliling Nabi telah bertanya lagi. Sekali lagi Tuhan menyatakan:
"Mereka berkata, 'Mengapakah ayat-ayat (mukjizat) tidak diturunkan kepadanya daripada Pemeliharanya?' Katakanlah, 'Ayat-ayat hanyalah di sisi Allah, dan aku hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas.
Apa, adakah tidak mencukupi bagi mereka bahawa Kami menurunkan kepada kamu al-Kitab yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu pengasihan, dan satu peringatan bagi kaum yang mempercayai." (29:50-51)Oleh yang demikian, orang-orang di sekeliling Nabi mengetahui bahawa baginda tidak melakukan sebarang mukjizat. Mereka diberitahu mukjizat Nabi hanya satu, iaitu al-Qur'an.
Akan tetapi bagi orang-orang sekarang, lain pula ceritanya. Mereka mengetahui Nabi telah melakukan banyak mukjizat. Siapa pula yang menceritakannya?
Untuk kembali kepada jalan Allah adalah dengan mengikuti ajaran al-Qur'an. Ajaran al-Qur'an bukanlah suatu yang remeh atau berat. Hanya baca dan ikut satu buku, yang menjamin kesejahteraan rakyat khususnya orang Melayu.
Usaha membangunkan orang Melayu sejak tahun 80an dulu nampaknya tidak begitu berjaya kerana keadaan menjadi lebih buruk akibat perpecahan dan pengaruh agama yang kuat. Andaikata sejak tahun-tahun itu orang Melayu diberi peluang untuk menuruti ajakan balik kepada al-Qur'an mungkin keadaan tidak menjadi begitu keruh seperti yang didapati sekarang.
Terkini Artikel Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan Penemuan
Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman