44. Saya membaca nama-nama surah Bacaan dan ingin bertanya tentang nama-nama surah yang diberikan. Bagaimanakah setiap surah ini dinamakan seperti al-Fatihah, al-Baqarah, al-Buruj, al-Nisa', al-Taubah dll
Sebenarnya kami tidak tahu bagaimana setiap surah dinamakan. Kalau hendak dikatakan semua terbit daripada perkataan yang terkandung di dalamnya, bagaimana pula dengan surah al-Fatihah atau al-Ikhlasy?
Mungkin itu merupakan dua contoh pengecualian, kerana yang lain kelihatan seperti dipetik daripada salah satu perkataan yang terkandung di dalamnya.
Perkataan yang dipetik itu pula didapati tidak kesemuanya menjadi tema atau isi utama bagi sesebuah surah, contoh, al-Baqarah dan Ibrahim.
Pun begitu, nama-nama surah boleh dikatakan mewakili segala yang dicipta Allah, dari yang di langit sampai ke bumi, dari yang besar hingga yang kecil, dan segala yang wujud di sekeliling manusia, seperti orang-orang mukmin, orang-orang kafir, orang-orang munafik, atau pengumpat, yang bermuka masam, yang mengurangkan sukatan, dan sebagainya. Sesetengahnya pula dapat dijadikan rujukan bagi tajuk-tajuk tertentu.
Namun, nama-nama surah semakin kurang digunakan dewasa ini, kerana diambil alih oleh bilangan atau nombornya yang mudah digunakan untuk merujuk kepada sesebuah ayat al-Qur'an, terutamanya dalam penulisan.
Lagipun, bilangan surah ada disebut di dalam al-Qur'an. Ia disebut di dalam surah ke-11 di mana setelah 10 surah diutarakan, Allah mencabar orang-orang tertentu supaya mendatangkan 10 surah yang serupa dengan al-Qur'an. Firman-Nya:
"Atau mereka berkata, 'Dia mengada-adakannya'? Katakanlah, 'Datangkanlah sepuluh surah yang serupa dengannya, yang diada-adakan itu, dan panggillah sesiapa yang kamu boleh, selain daripada Allah, jika kamu berkata benar.'" (11:13)
Akhir sekali, seperti yang dikatakan dari awal lagi iaitu kami tidak tahu bagaimana setiap surah di dalam al-Qur'an dinamakan. Sekiranya ada pihak yang arif mengenainya sila tampil ke muka untuk berkongsi ilmu dengan kita semua. Terima kasih.
45. Adakah Adam manusia pertama?
Daripada kajian tulang-tulang atau rangka manusia yang dijumpai di merata dunia, adalah dipercayai bahawa orang atau manusia terbahagi kepada beberapa spesies. Tiap-tiap spesies, yang dipanggil dengan nama-nama saintifik tertentu, mempunyai identiti sendiri, seperti pada bentuk rahang, yang dipengaruhi oleh pemakanan. Mereka tinggal pada zaman yang berlainan sehingga pupus. Terdapat juga bukti bahawa tiga spesies telah tinggal pada satu masa yang sama. Setelah mereka bertemu barulah kejadian membunuh satu sama lain berlaku, dan ada juga yang dipercayai telah memakan spesies yang lain.
Kajian yang dijalankan itu adalah sungguh Quranik, pada hemat kami, kerana menurut ayat-Nya yang berbunyi,
"Katakanlah, 'Mengembaralah di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana Dia memulakan ciptaan; kemudian Allah menjadikan pertumbuhan akhir bertumbuh; sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu,'" (29:20).
Spesies terakhir, atau orang terakhir, adalah manusia yang masih hidup pada hari ini. Ia dipanggil Homo sapiens, dan spesies ini didapati lebih pandai daripada yang terdahulu. Selepas Homo sapiens dihapuskan, jika Dia kehendaki, Dia akan mencipta ciptaan yang baru pula.
Fenomena ciptaan yang silih berganti adalah sejajar dengan firman-firman Tuhan di bawah:
"Jika Dia menghendaki, Dia menghapuskan kamu, wahai manusia, dan mendatangkan yang lain; Allah adalah berkuasa atas yang demikian itu." (4:133)
"Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mencipta langit dan bumi dengan benar? Jika Dia mengkehendaki, Dia menghapuskan kamu, dan mendatangkan ciptaan yang baru," (14:19)
"Jika Dia mengkehendaki, Dia menghapuskan kamu, dan mendatangkan ciptaan yang baru, Tidaklah itu, bagi Allah, sukar." (35:16-17)
Kembali kepada Adam dan ciptaannya. Adam merupakan suatu ciptaan baru, kerana dia mengganti ciptaan, atau spesies, orang yang sebelumnya. Sila lihat ayat berikut:
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau meletakkan di dalamnya orang yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, ...'" (2:30)
Para malaikat didapati telah mengetahui bahawa "orang" sebelum Adam telah membuat kerosakan di bumi dengan menumpahkan darah. Seperti itu difahamkan daripada kajian tersebut.
Namun, Adam adalah bukan serupa spesies sebelumnya. Kerana dia adalah lebih pandai, iaitu setelah Allah mengajarnya. Firman Tuhan,
"Dan Dia mengajar Adam nama-nama, kesemuanya, ..." (2:31)
Dia dan isteri juga pandai menutup bahagian-bahagian aib mereka (7:22), dan anak lelakinya pula diajar Tuhan cara mengebumikan mayat (5:31), tidak seperti spesies-spesies yang terdahulu.
Adam dicipta daripada tanah liat seperti semua manusia yang ada pada hari ini. Keturunannya (Adam) pula dicipta daripada pati air yang keji. Firman Tuhan,
"Apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya Aku mencipta seorang manusia daripada tanah liat.'" (38:71)
"Yang mencipta segala sesuatu dengan baik. Dan Dia memulakan ciptaan manusia daripada tanah liat, Kemudian Dia membuatkan keturunannya daripada pati air yang keji," (32:7-8)
Jenis tanah liat yang diguna untuk mencipta Adam dan manusia ialah yang kering, daripada lumpur. Firman-Nya,
"Sesungguhnya Kami mencipta manusia daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk." (15:26)
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya, Aku mencipta seorang manusia daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk," (15:28)
Justeru, tidak syak lagi, bahawa Adam adalah daripada spesies Homo sapiens.
Adakah dia Homo sapiens yang pertama dicipta Allah?
Kalau tidak, mengapa pula Allah menggunakan kalimat Bani Adam pada beberapa ayat-Nya, seperti berikut:
"Wahai Bani Adam, Kami telah menurunkan kepada kamu suatu pakaian untuk menutupi bahagian-bahagian aib kamu, dan (pakaian) perhiasan, dan pakaian takwa - itu lebih baik; itulah satu daripada ayat-ayat Allah, supaya mereka mengingati." (7:26)
"Dan apabila Pemelihara kamu mengambil daripada Bani Adam, daripada punggung mereka, keturunan mereka, dan menjadikan mereka saksi-saksi ke atas jiwa mereka, 'Bukankah Aku ini Pemelihara kamu?' Mereka berkata, 'Ia, kami menyaksikan'; supaya kamu tidak mengatakan pada Hari Kiamat, 'Bagi kami, kami lalai mengenai yang ini.'" (7:172)
"Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan melebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta." (17:70)
(Kajian yang dimaksudkan dari awal tadi difahamkan setelah menonton sebuah rencana di salah sebuah rangkaian TV. Ia tidak ada kaitan dengan teori Darwin kerana antara tulang-tulang "orang" yang dijumpai itu dijumpai lama selepas kematian beliau - seperti tulang-tulang yang baru dijumpai di sebuah pulau di Indonesia yang menunjukkan orang-orangnya pendek, kira-kira 4 kaki tinggi [1.2m], dan haiwan, seperti gajah, juga pendek dan kecil. Itu mungkin dipengaruhi faktor saiz alam sekeliling yang tidak luas. Kami tidak ingat sama ada yang baru dijumpai itu daripada spesies Homo sapiens. Betulkan kami di sini.)
Bacaan lanjut:
Adam dan Isteri: dalam al-Qur'an dan Bible
Adam dicipta dewasa dan menjadi Nabi?
Kalimat Adam di dalam al-Qur'an
46. Q.S. 24:31 tidak memuat kata "jalabi" melainkan kata "khumuri". Kata khumuri ini di dalam kamus diartikan sebagai penudung kepala. Yusuf Ali di dalam English Qurannya mengartikan sebagai "veil" yang apabila diperiksa di kamus oxford berarti tudung kepala sebagaimana digunakan biarawati kristen
Benar. Ayat 24:31 tidak mengandungi kalimat jilbab tetapi khumur. Khumur seakar dengan khamar, yang diterjemah kepada 'arak' iaitu sesuatu yang menutupi akal umpamanya dalam keadaan mabuk.
Bacaan menterjemahkan khumur kepada penudung, atau veil dalam bahasa Inggeris, seperti disebut di dalam soalan di atas. Kamus Oxford (Dictionary of Current English, 1998), memberi makna veil seperti berikut:
1. piece of usually transparent fabric attached to a woman's hat etc., especially to conceal or protect the face.
2. piece of linen etc. as part of a nun's headdress.
3. thing that hides or disguisesDengan itu, difahamkan bahawa veil adalah:
1. sehelai fabrik, lazimnya jenis jarang, yang dipasang di topi wanita dll terutama untuk menyembunyi atau melindungi bahagian muka (bukan kepala).
2. sehelai linen dsb yang menjadi sebahagian daripada tudung kepala biarawati. (Hanya sebahagian daripada tudung kepala sahaja, serupa dengan situasi topi tadi.)
3. sesuatu yang menyorokkan atau menyamarkan.
Justeru itu, khumur atau veil tidak bermaksud tudung kepala perempuan.
Fungsi khumur (penudung) memang untuk menyorok atau menyamarkan. Ia menyorok atau menyamarkan bahagian dada perempuan, kerana ia disuruh Allah supaya diletak di bahagian anggota tersebut. Firman-Nya,
"dan hendaklah mereka meletakkan penudung (khumur) mereka pada dada mereka" (24:31)
Ia menyorok atau menyamarkan, atau menudung, bentuk dada perempuan yang tidak dapat disorok, disamarkan oleh pakaian mereka.
Dibuat daripada sehelai kain yang terasing, khumur tidak disuruh dipasang pada topi atau tudung kepala perempuan. Kerana perkataan 'topi' dan 'tudung kepala' tidak disebut di dalam al-Qur'an, lalu mereka tidak diwajibkan untuk dipakai.
Tambahan lagi, ia tidak disebut supaya menudungi bahagian muka hingga ke dada. Hanya dada sahaja.
Apapun, yang jelas ialah khumur tidak disuruh berfungsi sebagai penudung bagi bahagian kepala perempuan, dalam ajaran agama Allah.
Sila lihat susulan Khumur, Berhakimkan al-Qur'an, dan Guru Sebenar
Tudung Kepala di ruangan lain laman web ini:
Artikel:
Wanita dalam Islam sebenar, di bawah tajuk Kesopanan
Pemerdeka Teragung, di bawah "atthiah"
Ajaran Islam daripada Bible
Hijab Issues in AustraliaE-Mail:
Tudung Kepala
Remaja hina jantina sendiri
Tudung Kepala - Kajian Lanjut
Tudung Kepala: wanita ditakut-takutkan
Rambut Wanita itu Cantik?Keratan Akhbar:
Kekeliruan antara Budaya Arab dengan Ajaran Islam
Tudung Kepala Mengundang Kemudaratan
Tudung Kepala Dihentam Menteri AgamaSudut Pelajar:
Ikhlas
47. Mengapa perkataan 'Allah' atau 'Rabb' dan sebagainya tidak diterjemah kepada 'God' atau 'Tuhan' dalam Bacaan? Dikhuatiri orang akan anggap Allah sebagai nama Tuhan lalu memesongkan akidah dan jadi syirik.
Perbezaan dalam penggunaan kata oleh Tuhan menunjukkan perbezaan dalam maknanya. Al-Qur'an itu jelas, atau tepat dalam menjelaskan sesuatu.
Perkataan 'Tuhan' dan 'tuhan' memang ada diguna di dalam Bacaan, tetapi diterjemah daripada kalimat ilah bukan allah mahupun rabb. Satu senarai ayat-ayat yang mengandungi perkataan tersebut telah kami sediakan tidak berapa lama dahulu di ruangan Kalimat Pilihan.
Walaupun dalam bahasa Arab tidak terdapat huruf besar, atau capital letter atau uppercase dalam bahasa Inggeris, namun kami menggunakannya juga untuk membezakan antara Tuhan yang benar dengan yang palsu. Contoh kegunaannya dapat dilihat pada ayat berikut:
"Allah berkata, 'Janganlah mengambil untuk kamu dua tuhan. Dia hanyalah Tuhan Yang Satu; maka kepada-Ku-lah kamu berasa gerun.'" (16:51)
Bagi perkataan 'Allah' (Al-lah) pula, pada hemat kami, ia bermaksud The God. Oleh kerana definite article "the" tidak terdapat dalam bahasa Melayu dan tidak diterjemahkan, maka perkataan Allah kami kekalkan, sama dengan perkataan 'al-Qur'an' yang turut tidak diterjemahkan.
Untuk menjadi contoh, diturunkan ayat berikut yang mengandungi kedua-dua perkataan, ilah dan allah, untuk menjelaskan lagi apa yang kami maksudkan tadi:
"maa min ilaahin illallaahu" (3:62),
atau dalam bahasa Inggeris bermaksud
There is no god except The God,
dan dalam bahasa Melayu pula berbunyi
Tidak ada tuhan melainkan Allah.Tentu kalau Allah di situ diterjemah kepada Tuhan akan menimbulkan kekeliruan apabila didapati terdapat sedikit perbezaan pada perkataannya.
Malah, Tuhan menyebut Allah dengan banyak di dalam al-Qur'an (lebih daripada 2,600 kali, menurut suatu sumber) dan kalimat itu pula sudah dikenali di seluruh dunia. Justeru itu, kami dapati tidak ada sebab mengapa kami tidak harus menggunakannya di dalam Bacaan.
Soal kegunaan Allah sudah lama didebat dan dipertikaikan, baik daripada kumpulan yang berpegang pada al-Qur'an mahupun yang tidak. Kami jauhkan diri daripada pertikaian tersebut, walaupun ada pihak yang menuduh kami sebagai angkuh kerana menggunakannya (daripada mereka yang tidak berpegang pada al-Qur'an). Sebab kami tidak melibatkan diri dalam pertikaian tersebut adalah kerana kami mendapati sebarang pertikaian mengenai al-Qur'an hanya mendatangkan keburukan ke atas orang-orang yang terlibat.
Perkara yang paling hangat dipertikaikan ialah sama ada Allah itu nama Tuhan atau bukan. Mungkin tidak salah kami turunkan ayat berikut untuk campur tangan dalam pertelingkahan tersebut:
"Katakanlah, 'Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama yang paling baik.'" (17:110)
Lantas, terpulanglah kepada setiap individu untuk menerimanya sebagai nama Tuhan atau bukan. Bagi kami, Allah bermaksud The God, yang diseru, dan selanjutnya rasa tidak adil sekiranya kami dilempar ke dalam kancah keangkuhan atau syirik kerana itu.
Beralih kepada perkataan 'Pemelihara' yang diterjemah daripada rabb. Kami sedar ramai penterjemah al-Qur'an menterjemahkannya kepada Tuhan.
Akan tetapi, kami tidak menuruti langkah mereka kerana perkataan itu berbeza dengan ilah. Abdullah Yusuf Ali menjelaskan (The Holy Qur'an, halaman 14, nota kaki #20):
"The Arabic word Rabb, usually translated Lord, has also the meaning of cherishing, sustaining, bringing to maturity. God cares for all the worlds He created."
Beliau menyatakan bahawa rabb, yang lazimnya diterjemah kepada Lord (bukan God), bermaksud menjaga dengan baik, mengekalkan atau menampung, membawa kepada kematangan atau kesempurnaan. Selanjutnya beliau menyatakan bahawa Tuhan menjaga atau memelihara semua alam yang Dia cipta.
Beliau menterjemahkan rabb kepada "Cherisher and Sustainer", bermaksud seperti yang baru dijelaskan.
Kitab Terjemahan Al-Qur'an Secara Lafzhiyah pula menterjemahkan kalimat tersebut kepada Pemelihara, yang kami anggap paling wajar, lalu kami mengikutinya. Jika ada pihak yang tidak setuju maka kami tidak membantah kerana kalimat rabb, walaupun tidak bermakna Tuhan, namun berkaitan dengan-Nya jua.
Penjelasan yang diberi adalah sekadar memberi pendapat dan mempertahankan pilihan kami atas perkara yang disoalkan, dan tidak bermaksud lebih daripada itu, seperti mengundang pertelingkahan dengan mana-mana pihak.
"Segala puju bagi Allah, Pemelihara semua alam." (1:2)