Keratan akhbar di bawah disalin semula, dan bagi isi kandungannya yang kurang tepat dilaporkan oleh wartawan berkenaan, dibuatkan link yang membawa pelayar kepada penjelasan penulis.

Utusan Malaysia, Jumaat 14 Julai 1995, muka 5

 

Penulis Bacaan jawab tuduhan
Oleh
ZULKARNAIN ZAKARIA

KUALA LUMPUR 13 Julai - Penulis terjemahan al-Quran berjudul Bacaan, Othman Ali mendakwa para ulama sengaja mendesak kerajaan mengharamkan terjemahannya itu bagi mengelakkan pembohongan yang mereka lakukan selama ini terdedah.

Othman yang mengakui mempunyai pendirian serupa dengan penulis kontroversi, Dr. Kassim Ahmad berkata, antara pembohongan yang dilakukan oleh ulama adalah dalam soal syahadat, wuduk dan sembahyang.

Othman memberikan contoh surah 11:114 yang berbunyi: Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang, dan awal malam.

"Ayat ini bermakna sembahyang hanya tiga kali sehari, iaitu Subuh, Maghrib dan Isyak, tapi ulama mengajar kita sembahyang lima kali sehari. Ini satu pembohongan," jelasnya.

Sembahyang juga, kata beliau, minimumnya satu rakaat sahaja dan umat Islam juga boleh menggunakan apa sahaja bahasa semasa menunaikannya, termasuk semasa membaca surah al-Fatihah.

Syahadat

Selain itu, tambahnya, al-Quran turut menyebut bahawa syahadat itu Tiada Tuhan melainkan Allah sedangkan ulama mengajarkan kepada kita bahawa syahadat itu termasuk juga mengaku bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

"Bukan sahaja syahadat kita salah, malah ia juga mengakibatkan sembahyang kita salah kerana menyebut nama Nabi semasa tahiyat awal dan akhir. Selain itu, ulama juga menambahkannya dengan nama Nabi Ibrahim.

"Ini bercanggah dengan al-Quran yang menyebut kita hanya boleh menyebut nama Allah sahaja semasa sembahyang.

"Ulama juga mengajar kita wuduk itu ada sembilan tempat. Ini bercanggah dengan Surah 5:6 yang menyebut anggota wuduk hanyalah muka, tangan, kepala dan kaki," tegas bapa kepada empat anak itu.

Menurut beliau, apa yang diajarkan oleh ulama adalah bercanggah daripada apa yang terkandung di dalam al-Qur'an dan ini dilakukan kerana percaya kepada hadis-hadis palsu.

Beliau bercakap kepada Utusan ketika ditemui di kediamannya di sini malam ini.

Othman berkata demikian sebagai mengulas cadangan serta desakan tokoh-tokoh agama tanah air supaya Bacaan diharamkan kerana dikatakan mengandungi pelbagai kesilapan dan boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Menurut mereka, perkataan Bacaan itu sendiri (yang diterjemah secara daripada perkataan al-Quran) tidak mencapai maksud al-Quran yang sebenarnya dan ini boleh mengelirukan pembaca.

Kesilapan lain, kata mereka, ialah Bacaan tidak menyertakan sama teks asal al-Quran dan seolah-olah memaksa pembaca menerima terjemahannya.

Pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi di ibu negara itu seterusnya berkata Bacaan adalah al-Quran, walaupun ia merupakan terjemahannya.

Diterjemah

"Bagi saya ia adalah Quran, tapi ia sudah diterjemah. Bagi orang lain ia bukan al-Quran kerana kata mereka kata al-Quran adalah yang ada berbahasa Arab.

"Saya buat macam ini supaya orang tidak sangka ia Quran. Saya tak mahu Bacaan jadi terlalu mulia hingga orang lain takut memegangnya. Hasrat saya ialah untuk rakyat dari semua agama," katanya.

Beliau seterusnya mendakwa telah menjalankan kajian selama hampir 10 tahun untuk menerbitkan Bacaan termasuk merujuk kepada 25 buah terjemahan al-Quran dan menggunakan komputer untuk menetapkan terjemahan sesuatu perkataan.

Ditanya tindakannya mengambil terjemahan tokoh antihadis, Dr. Rashad Khalifa, Othman menyatakan, beliau tidak mengambil kira amalan Dr. Rashad kerana yang dipentingkan adalah terjemahannya.

"Kajian dan terjemahan saya bersifat akademik. Lagi pun ia tidak 100 peratus sama dengan terjemahan Dr. Rashad," katanya.

Menurut beliau, perkataan dhollan pada surah 93:7 yang diterjemahkan sebagai 'sesat' adalah tepat dan ia digunakan juga oleh banyak ulama.

"Perkataan dhollan yang dikatakan ulama sebagai 'mencari-cari' adalah tidak tepat kerana ada perkataan Arab lain yang bermaksud mencari-cari. Tapi maaf, saya tidak tahu apa perkataannya kerana saya bukan pakar dalam bahasa itu (bahasa Arab)," tambahnya.

Othman selanjutnya menegaskan, beliau sedia berbincang dengan Pusat Islam pada bila-bila masa namun berpendapat ia hanya sia-sia kerana Pusat Islam sudah mempunyai keputusan muktamad terhadapnya.

Kelulusan

Mengenai prosedur penerbitan, Othman mengakui Bacaan tidak mendapat kelulusan daripada mana-mana pihak, termasuk Pusat Islam atau Jabatan Agama Islam negeri kerana beliau pasti badan itu akan mengharamkannya.

Menurut Othman lagi, penerbitan Bacaan tidak mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) kerana perkara itu diuruskan oleh penerbitnya, Omar Brothers Publications (Pte.) Ltd.

Katanya, bagi keluaran pertama, hanya 500 naskhah Bacaan sahaja dicetak dan pasarannya terhad di Singapura sahaja. 

Sehubungan itu beliau mencabar para ulama tempatan supaya mengeluarkan satu terjemahan al-Quran di dalam bahasa Melayu supaya mereka boleh membincangkannya secara akademik.

"Cabaran ini cabaran akademik. Saya buat penyelidikan, saya dikritik. Jadi mereka perlu buat terjemahan dan kita bincangkan," ujarnya.

 


Terdapat tiga perkara/perkataan  yang dibuatkan link. Perkara-perkara ini harus diberi penjelasan selanjut di sini kerana penjelasan mengenainya didapati tidak begitu tepat dibuat oleh wartawan berkenaan.

1.   Kenyataan wartawan yang tercatat seperti "Othman yang mengakui mempunyai pendirian serupa dengan penulis kontroversi, Dr. Kassim Ahmad".

Penulis tidak mungkin telah melafazkan kata-kata yang berbunyi mempunyai pendirian serupa dengan Dr. Kassim Ahmad. 

Dalam pertemuan di rumah penulis seperti yang disebut di atas, wartawan kerap kali menyebut nama Dr. Kassim dan pendiriannya. Penulis hanya mendiamkan diri, tidak mengiakan apa-apa, kerana enggan melaungkan ketidaksefahaman antara dia dengan Dr. Kassim, iaitu seorang kenalan yang dihormatinya. Mungkin kerana ini wartawan itu menyimpulkannya sebagai suatu pengakuan.

Wartawan tersebut harus menyedari bahawa penulis telah tidak menghadiri majlis penubuhan Jemaah Al-Quran Malaysia (JAM) anjuran Dr. Kassim pada 11 Jun, yang dengan tindakan itu, menunjukkan dengan jelas, tanpa apa-apa perkataan, bahawa pendirian penulis tidak serupa dengan pendirian Dr. Kassim.


2.     Menyentuh mengenai kenyataan wartawan iaitu "Selain itu, tambahnya, al-Quran turut menyebut bahawa syahadat itu Tiada Tuhan melainkan Allah"

(Syahadat tidak dirukunkan)

Ini adalah satu contoh akibat mendiamkan diri apabila wartawan menyebut mengenai pendirian Dr. Kassim. Sebenarnya, syahadat itu adalah syahadat Dr. Kassim. Oleh kerana penulis mendiamkan diri tatkala dia (wartawan) menyebutnya, maka dianggapnya pula itu adalah juga syahadat amalan penulis.

Sebenarnya, penulis mempunyai pendirian yang berlainan mengenai syahadat. Pada pendapatnya tidak ada syahadat untuk menjadi seorang Islam kerana ia tidak dirukunkan di dalam al-Qur'an. Sekiranya ia menjadi suatu yang sebesar itu, tentu Allah telah menyebutnya di dalam al-Qur'an. Walhal, perkara-perkara yang "kecil" seperti adab masuk ke bilik tidur ibu bapa bagi anak-anak disebut-Nya pula (24:58-59).

Tidak juga disebut di dalam al-Qur'an bahawa sesiapa yang bersyahadat, seperti diajar ulama palsu, akan masuk syurga.

Untuk menjadi seorang Islam haruslah menerima petunjuk daripada Allah iaitu apa yang disuratkan-Nya di dalam al-Qur'an. Orang yang mengaku Islam harus juga mempercayai ayat-ayat-Nya. Sila renungkan ayat berikut:

"Sesiapa yang Allah menghendaki untuk memberikan petunjuk, Dia melapangkan dadanya untuk Islam; sesiapa yang Dia menghendaki untuk disesatkan, Dia membuatkan dadanya sempit dan sendat, seakan-akan dia mendaki ke langit. Begitulah Allah meletakkan kotoran kepada orang-orang yang tidak mempercayai" (6:125).

Akan tetapi, sekiranya ada orang yang berpegang kepada al-Qur'an mengatakan, misalnya, syahadat itu adalah Tiada Tuhan melainkan Allah, dan ayat itu pula adalah sebuah ayat al-Qur'an, maka penulis tidak menentangnya kerana itu adalah buah fikirannya, dan dia tidak memaksa orang lain untuk menurutinya.

Tiada gunanya bertelagah di hadapan orang yang tidak membaca al-Qur'an, kerana takut nanti dikatanya pula pendirian orang-orang yang berpegang kepada al-Qur'an adalah kalut belaka.

Pun begitu, penulis berpendapat bahawa adalah lebih baik mengucapkan "tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Perkasa, Yang Bijaksana" seperti yang terkandung di dalam ayat berbunyi,

"Allah menyaksikan bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia, dan para malaikat, dan orang-orang yang berpengetahuan, yang menegakkan keadilan; tidak ada tuhan melainkan Dia, Yang Perkasa, Yang Bijaksana" (3:18).

Atau, ayat-ayat lain seperti "Engkau sahaja kami sembah, dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan" (1:5) untuk mengaku Islam kepada Tuhan.

Mengenai bahagian kedua syahadat ajaran ulama palsu, iaitu kesaksian ke atas kerasulan Muhammad, ia tidak perlu dilafazkan kerana sudah cukuplah Allah sebagai saksinya. Demikian itu adalah ketetapan Allah, di dalam ayat-ayat berbunyi,

"Dan Kami mengutus kamu (Muhammad) kepada manusia sebagai rasul, dan cukuplah Allah untuk saksi" (4:79).

"Dia yang mengutus rasul-rasul dengan petunjuk, dan agama yang benar, supaya Dia mempertinggikannya di atas setiap agama. Cukuplah Allah sebagai saksi" (48:28).

Sekiranya hendak menyaksikan juga ke atas Muhammad, maka adalah lebih baik untuk menyaksikannya sebagai seorang utusan atau mursalan dalam bahasa Arab. Lihatlah apa yang tersirat di dalam ayat berikut:

"Orang-orang yang tidak percaya berkata, 'Kamu bukan seorang utusan (mursalan).' Katakanlah, 'Cukuplah Allah sebagai saksi antara aku dan kamu, dan orang yang mempunyai pengetahuan Kitab'" (13:43).

Kesaksian ke atas kerasulan Muhammad, seperti yang diajar ulama palsu, didapati pula mirip kepada kesaksian yang dilafazkan oleh orang-orang munafik. Allah menjelaskannya di dalam ayat berbunyi,

"Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu, mereka berkata, 'Kami mempersaksikan bahawa kamu benar-benar rasul Allah.' Dan Allah mengetahui bahawa kamu adalah benar-benar rasul-Nya, dan Allah mempersaksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta" (63:1).

Orang-orang munafik, menurut Allah lagi, menggunakan kesaksian atau sumpah yang palsu itu untuk menghalangi orang lain daripada jalan Allah iaitu jalan yang ditunjuki di dalam al-Qur'an. Ayat yang menyusuli ayat tadi menerangkannya, berbunyi,

"Mereka mengambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka menghalangi daripada jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa yang mereka buat" (63:2).

Kesaksian ke atas kerasulan Muhammad dijadikan penghalang untuk mengikuti jalan ajaran Allah! Ini berat. Dengan itu adalah diharapkan semoga orang-orang munafik yang menggunakan taktik itu tidak terdapat di kalangan masyarakat orang Melayu di negara yang tercinta ini. Kalau ada, tentulah buruk nama Islam yang suci di mata bangsa yang beragama lain.

Rujukan

Kalimat-kalimat di dalam al-Qur'an:
saksi   Islam   petunjuk   iman   agama   muslim

Artikel:
Syurga dan orang bertakwa
Kesaksian yang paling besar


3.     Akhir sekali mengenai kenyataan wartawan tertulis "Ditanya tindakannya mengambil terjemahan tokoh antihadis, Dr. Rashad Khalifa".

Terjemahan Dr. Rashad Khalifa adalah satu daripada 25 buah terjemahan al-Qur'an yang dibaca dan dikaji sebelum menulis Bacaan. Antara 25 penterjemah al-Qur'an itu terdapat pula mereka yang berlainan pegangan, seperti Ahmadiyah atau Qadiani, dan Muhammadiah, dan ada juga seorang beragama Kristian yang juga seorang paderi.

Pegangan penterjemah tidak diendahkan oleh penulis. Apa yang dilihat hanyalah tulisan penterjemah pada terjemahan ayat-ayat al-Qur'annya.

Yang aneh sekali dalam kes ini apabila wartawan itu tidak membaca halaman "Pengenalan" buku Bacaan yang dihadiahkan kepadanya ketika dia berkunjung ke kediaman penulis. Di akhir perenggan pertama halaman tersebut penulis mencatatkan kata-kata "dan kamus, concordance, dan lexicon menjadi penentu bagi menetapkan makna-makna perkataan, kebanyakannya diseragam, yang digunakan dalam terjemahan ini (Bacaan)."


Halaman Utama  Terkini  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman