Kesaksian yang paling besar


The Star, Selasa 25 Jun 2002, muka 38 / Section 2

 

Saksi bermaksud "orang yang tahu atau melihat sesuatu peristiwa (dan boleh beri keterangan)", dan kesaksian pula adalah "keterangan yang diberi oleh orang yang melihat (mengetahui dll), bukti, kenyataan" - Kamus Dewan.

Saksi-saksi adalah untuk keadilan (5:8). Mereka terdiri daripada orang-orang yang adil (5:106 dan 65:2) di samping pihak-pihak yang terlibat berpuas hati dengan mereka (2:282). Dan mereka tidak boleh menolak apabila dipanggil (2:282), dan tidak juga mereka ditekan semasa beri kesaksian (2:282). 

Seperti yang telah dijelaskan, saksi-saksi tidak semestinya hadir atau melihat sesuatu kejadian yang berlaku tetapi boleh terdiri daripada orang-orang yang tahu atau pakar-pakar dalam menterjemahkan bahan bukti. Ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan berbunyi:

"Berkata (Yusuf), 'Dia yang goda diriku'; dan seorang saksi daripada keluarganya saksikan, 'Jika bajunya dikoyakkan daripada depan, maka dia (perempuan) telah berkata benar, dan dia termasuk orang-orang yang dusta. Tetapi jika bajunya dikoyakkan daripada belakang, maka dia telah berdusta, dan dia (Yusuf) termasuk orang-orang yang benar'" (12:26-27)

Itu adalah secebis cerita daripada surah Yusuf. Saksi tersebut tidak hadir semasa pengodaan itu berlaku yang menyebabkan Nabi Yusuf lari menuju ke pintu dengan perempuan tersebut mengejar dari belakang. Kebenaran Nabi Yusuf akhirnya jadi jelas lagi, bagi semua orang pada masa itu, dengan pengakuan yang dibuat oleh perempuan itu sendiri (12:51).

Bilangan saksi hendaklah lebih daripada satu. Allah tetapkan dua atau empat menurut kes-kes tertentu. Dalam kes perdagangan yang bukan tunai, bilangan saksi yang diperlukan ke atas kontrak atau perjanjian, yang wajib ditulis, ialah dua orang lelaki. Atau, seorang lelaki dan dua orang perempuan kerana "jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan ingatkannya" (2:282).

Menyentuh sedikit mengenai dua orang perempuan untuk menggantikan seorang lelaki. Pelbagai pendapat telah didengar. Yang paling menarik sekali ialah, sekiranya ia seorang perempuan dan seorang lelaki maka dikhuatiri bahawa mereka akan berkahwin lalu mampu untuk mencemarkan perjanjian perdagangan tersebut. Kalau dua orang perempuan, maka tidak mungkin sama sekali si lelaki itu boleh memperisterikan kedua-duanya sekali! Atau bagaimana?

Dua orang saksi juga diperlukan apabila seseorang buat wasiat ketika berpergian di bumi dan ditimpa bencana maut. Ayat-ayat berikut jelaskannya lagi:

".... kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa penderitaan, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.

"Jika didapati bahawa kedua-duanya benar dengan dosa, maka dua yang lain akan berdiri di tempat mereka, daripada orang-orang yang paling dekat dengan mereka yang berkenaan, lalu mereka bersumpah dengan Allah: 'Kesaksian kami lebih benar daripada kesaksian mereka, dan kami tidak mencabuli; jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang zalim.'

"Maka ia lebih dekat bahawa mereka akan datangkan kesaksian yang sebenarnya ..." (5:106-108).

Dan akhir sekali ialah dalam kes perceraian, seperti yang ditunjukkan di dalam ayat di bawah ini:

"Kemudian, apabila mereka telah sampai tempoh (idah) mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakanlah saksi, dua orang empunya keadilan di kalangan kamu; dan lakukanlah kesaksian kepada Allah Sendiri" (65:2).

Mengenai empat orang saksi pula, mereka diperlukan dalam kes-kes amalan sumbang, seperti homosekual, bagi lelaki dan perempuan (4:15 dan 4:16), penzina lelaki dan perempuan, serta wanita yang sudah berkahwin (24:4), dan dalam kes mengumpat yang melibatkan kesumbangan, di mana pengumpat harus datangkan empat saksi (24:13. Sila baca dari ayat 11 hingga 19).

Saksi-saksi juga diperlukan tatkala hukuman sebat dilaksanakan ke atas penzina dan orang-orang yang menuduh tanpa datangkan empat saksi. Ke atas penzina, lelaki dan perempuan, hukuman maksimanya ialah seratus sebatan (24:2) dan bagi penuduh yang tanpa empat saksi ialah 80% daripada itu berserta kesaksiannya tidak diterima lagi selama-lamanya (24:4).

Hukuman bagi homoseksual pula ialah dikurung di rumah, atau pada zaman sekarang, di penjara sehingga mereka mati (kerana Aids?) atau mereka bertaubat (4:15 dan 4:16).

Bagi suami yang menuduh isterinya lakukan kesumbangan, tetapi tanpa saksi selain dirinya sendiri, dia akan:

"... menyaksikan dengan Allah empat kali, bahawa dia termasuk orang-orang yang benar, dan yang kelima, bahawa laknat Allah adalah ke atasnya, jika dia termasuk antara pendusta-pendusta. Ia akan hindarkannya (isteri) daripada azab, jika dia menyaksikan dengan Allah empat kali bahawa dia (suami) adalah antara pendusta-pendusta. Dan yang kelima, bahawa kemurkaan Allah adalah ke atasnya jika dia (suami) termasuk orang-orang yang benar" (24:6-9).

Ke atas anak-anak yatim pula, adakan saksi-saksi, ketika harta diserahkan kepada mereka, setelah mereka sampai umur perkahwinan dan berfikiran waras (4:6). Bilangan saksi tidak disebut di dalam ayat itu, maka penulis berpendapat ia adalah dua sahaja.

Ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi kalimat "saksi" adalah banyak, demi menjelaskan pelbagai perkara, selain daripada urusan keadilan di dunia yang diketengahkan di halaman ini. Kerana itu saksi atau kesaksian yang berkaitan dengan Allah, Kitab-Nya, para Nabi, Rasul dan sebagainya tidak dapat dimuatkan di sini. Pun begitu, diturunkan dua ayat untuk tatapan bersama:

"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang tegakkan keadilan, saksi-saksi untuk Allah, walaupun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa kamu, dan sanak saudara, sama ada orang itu kaya atau miskin; Allah paling dekat dengan keduanya. Kemudian jangan ikut keinginan kamu supaya kamu tidak buat adil; kerana jika kamu putarbelitkan, atau kamu palingkan, maka sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat" (4:135).

"Wahai orang-orang yang percaya, jadilah kamu orang-orang yang menegakkan di hadapan Allah, saksi-saksi untuk keadilan. Janganlah kebencian pada kaum mendesak kamu untuk tidak berlaku adil; berlakuadillah, itu lebih dekat dengan takwa. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah sedar apa kamu buat" (5:8).

Namun, kesaksian yang paling besar ialah ke atas keesaan Allah dan al-Qur'an. Satu Tuhan, satu Kitab. Tidak ada sekutu bagi Allah, tidak ada kitab selain daripada Kitab Allah. Renungkanlah firman-Nya yang berbunyi:

"Katakanlah, 'Perkara apakah paling besar dalam kesaksian?' Katakanlah, 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. Adakah kamu benar-benar saksikan bahawa ada tuhan-tuhan lain selain Allah?' Katakanlah, 'Aku tidak saksikan.' Katakanlah, 'Dia hanyalah Tuhan Yang Satu, dan aku berlepas diri daripada apa kamu sekutukan'" (6:19).

Justeru itu, sesiapa yang saksikan, setelah bersumpah untuk bercakap benar, bahawa ada kitab selain daripada al-Qur'an di sisi Allah, seperti berkata "al-Qur'an dan Hadis", maka orang itu hanya bersumpah bohong (atau perjury, dalam bahasa Inggeris). Dan Nabi berlepas diri daripada apa dia menyekutukan.


Sila rujuk:
Kalimat saksi di dalam al-Qur'an

Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman