RAGU-RAGU
From: nizam
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Ragu-ragu
Date: Tuesday, October 05, 2004 7:54 PM
Salamun'alaikum
Pada mula saya tidak setuju dengan hujah hujah didalam Laman Web Bacaan. Tetapi satelah di perhatikan hujah hujah yang dikemukan ada juga kebenaranya. contohnya dalam al-quaran tidak ada ayat yang jelas mengatakan pakai tudung wajib. Tapi alim ulamak kita kata wajib. Ini buat saya keliru dan tidak tahu yang mana benar.
Terima kasih
Salamun alaikum saudara Nizam,
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk mengunjungi laman web, membaca kandungannya, dan akhirnya menulis kepada kami. Izinkan kami menerbitkan surat saudara yang merakamkan perasaan awal ketika membaca karangan-karangan di sini, dan sebab timbul perasaan tersebut, yang saudara tulis dengan jujur. Terima kasih.
Namun, yang paling menarik ialah Subject surat yang saudara namakan Ragu-ragu. Kerana perkara tersebut belum lagi dijadikan tema utama dalam sesebuah karangan di sini. Maka kami bercadang untuk menulis mengenainya. Sayugia diingat iaitu segala yang disuratkan di bawah adalah untuk pengetahuan umum, tidak berkait dengan saudara sama sekali. Harap maklum.
Ragu-ragu di dalam al-Qur'an
Ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan ragu-ragu atau yang bersabit dengannya adalah banyak. Sebahagian besar daripadanya menyentuh perihal Kitab yang diturunkan Allah, mesej yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul, Hari Kiamat serta kejadian lain yang berlegar di sekitar hari tersebut.
Satu daripada perkataan yang bersabit, iaitu keraguan, didapati terhuruf dari awal lagi di dalam al-Qur'an, pada ayat kedua, surah kedua, yang berbunyi,
"Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan)" (al-Baqarah, ayat 2).
Sebab disebut dari awal ialah mungkin ia merupakan reaksi manusia yang pertama apabila ayat-ayat Tuhan didatangkan kepada mereka. Atau, keraguan merupakan pakaian lazim bagi kebanyakan manusia yang dikatakan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhan (11:17).
Justeru, manusia diingatkan dari awal lagi supaya jangan ragu-ragu terhadap Kitab al-Qur'an, dan jangan tidak takut kepada Tuhan jua.
Nabi juga pada mulanya mungkin telah ragu hati. Andaian dibuat berdasarkan sebuah ayat berbunyi,
"Maka, jika kamu (Muhammad) dalam keraguan terhadap apa yang Kami menurunkan kepada kamu, tanyalah orang-orang yang membaca Kitab sebelum kamu. Yang benar telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu; maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu." (10:94)
Sedangkan Nabi disuruh supaya tidak ragu-ragu, apatah lagi kita semua, manusia biasa! Yang tidak seharusnya diragu-ragukan adalah bahawa Kitab itu datang dari Tuhan, dan bahawa Kitab itu adalah benar. Firman-Nya,
"Yang benar adalah daripada Pemelihara kamu, maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu" (2:147) - sila lihat ayat 3:60 yang sama kata-katanya.
Kitab-kitab lain telah lama wujud tatkala al-Qur'an ditampilkan. Mereka dikarang oleh manusia, dan antara penulis-penulisnya ada pula yang berdusta dengan mengatakan bahawa apa yang ditulis adalah daripada Allah. Kejadian ini diingatkan dari awal juga, dalam surah al-Baqarah ayat 79, berbunyi,
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah',"
Pendustaan itu adalah atas nama Taurat dan Injil yang diturunkan Allah. Atau, yang tidak berselindung di belakang nama Kitab-Kitab tersebut. Maka al-Qur'an didatangkan untuk menghapuskan pendustaan tersebut dengan menyatakan iaitu ia adalah serupa dengan Kitab-Kitab sebelumnya, dan menyatakan lagi bahawa ia datang dari sisi Tuhan, yang tidak seharusnya diragui. Firman Allah,
"Al-Qur'an ini tidak mungkin diada-adakan oleh selain daripada Allah, tetapi ia adalah satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan satu penjelasan Kitab, yang di dalamnya tiada keraguan, daripada Pemelihara semua alam." (10:37)
Agama yang diamalkan ketika itu adalah menurut selera orang-orang alim. Mereka ditaati, dipuji serta disayangi oleh pengikut-pengikut. Dalam konteks al-Qur'an amalan pengikut-pengikut itu serupa dengan menyembah manusia. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa timbul keraguan terhadap Nabi yang muncul dengan ajaran baru lagi berlainan. Lalu Nabi diperintah untuk bersabda,
"Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan terhadap agamaku, maka aku tidak menyembah orang-orang yang kamu sembah selain daripada Allah, tetapi aku menyembah Allah yang akan mematikan kamu, dan aku diperintah supaya menjadi antara orang-orang mukmin." (10:104)
Agama Nabi tidak menyembah manusia. Hanya menyembah Allah dengan mempercayai ayat-ayat-Nya sahaja.
Keraguan terhadap Nabi adalah juga disebabkan Kitab yang dibawanya, yang diragui kesempurnaanya, atau tidak cukup jelas untuk dijadikan pedoman, kerana ia hanya sebuah berbanding berbilang kitab yang sedia ada. Kepada sangkaan itu, Nabi bersabda,
"Apa, adakah aku akan mencari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang menurunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; dan orang-orang yang kepada mereka Kami telah memberikan Kitab mengetahui bahawa ia diturunkan daripada Pemelihara kamu dengan yang benar; maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu." (6:114)
Selanjutnya, keraguan timbul atas kedudukan orang yang diberi Kitab oleh Allah. Orang itu tidak seistimewa macam sesetengah orang lain, seperti yang alim, yang disangka harus mendapatnya. Namun salah sangka tersebut adalah sebenarnya lahir daripada sikap ragu-ragu terhadap Peringatan atau ayat-ayat Tuhan:
"'Apa, adakah Peringatan diturunkan kepada dia antara kita semua?' Tidak, tetapi mereka adalah dalam keraguan mengenai Peringatan-Ku; tidak, mereka belum lagi merasakan azab-Ku." (38:8)
Antara yang terkandung di dalam Peingatan Allah adalah amaran-amaran kepada manusia. Seperti amaran mengenai Hari Berkumpul di akhirat, di mana manusia akan dikurniakan Jannah atau Syurga, atau yang Menyala atau Neraka, sebagai balasan daripada Allah. Firman-Nya,
"Dan demikianlah Kami mewahyukan kamu sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu memberi amaran kepada Ibu Bandar-bandar raya, dan orang-orang yang di sekitarnya, dan supaya kamu memberi amaran mengenai Hari Berkumpul, yang tiada keraguan padanya - segolongan di dalam Taman (Jannah), dan segolongan di dalam yang Menyala." (42:7)
Terhadap amaran itu, kebanyakan manusia tidak percaya kerana mereka meraguinya. Firman Tuhan,
"... maka janji temunya ialah Api. Maka janganlah kamu dalam keraguan daripadanya; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai." (11:17)
Bukan sahaja manusia didapati ragu-ragu terhadap Hari Berkumpul atau Hari Kiamat, Syurga dan Neraka malah ada juga di kalangan mereka yang mempercayainya tetapi ragu-ragu terhadap apa yang dijelaskan Allah kerana lebih meyakini keterangan orang-orang alim.
Saat turut diragu-ragukan. Mereka yang meraguinya adalah benar-benar dalam kesesatan yang jauh. Firman-Nya,
"Orang-orang yang tidak mempercayainya minta disegerakan; tetapi orang-orang yang percaya adalah dalam ketakutan padanya, dengan mengetahui bahawa ia adalah yang benar. Sesungguhnya orang-orang yang ragu-ragu mengenai Saat, benar-benar dalam kesesatan yang jauh." (42:18)
Ayat-ayat berupa amaran banyak terdapat di dalam al-Qur'an. Di sini diselitkan hanya beberapa sahaja. Satu daripadanya disebut dari awal juga di dalam al-Qur'an berbunyi,
"Dan, orang-orang yang tidak percaya dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah orang-orang Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)
Amaran supaya jangan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhan, atau mendustakannya, dan mengenai Api (Neraka) sebagai tempat tinggal yang kekal - tidak dapat keluar darinya - juga tidak dipedulikan oleh kebanyakan manusia. Kerana mereka tidak takut kepada Tuhan.
Satu lagi amaran Tuhan, tetapi tidak sedar diragui oleh sesetengah manusia, ialah supaya tidak menerima ajaran-ajaran lama agama Yahudi dan Kristian. Padahnya, mereka tidak ada pelindung dan juga penolong, sehingga kalah dalam pertempuran melawan musuh, misalannya. Amaran itu berbunyi,
"Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu mengikuti anutan mereka. Katakanlah, 'Petunjuk Allah ialah petunjuk yang benar.' Jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak akan ada, terhadap Allah, wali (pelindung) dan tiada juga penolong." (2:120)
Mereka yang ragu-ragu disesatkan Allah, seperti yang ditetapkan dalam ayat-Nya berbunyi,
"Allah menyesatkan orang yang membazir (berlebihan), dan yang ragu-ragu." (40:34)
Itu merupakan juga satu lagi amaran. Orang-orang yang senantiasa ragu-ragu adalah sebenarnya tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, atau al-Qur'an, sampai Saat atau azab datang kepada mereka. Sementara mereka yang percaya pula, hati mereka merendahkan kepada-Nya, dan mereka mendapat petunjuk pada jalan lurus. Dua keadaan yang berbeza itu disuratkan dalam dua ayat berikut, yang sekali gus menjadi penutup di sini:
"Dan supaya orang-orang yang diberi pengetahuan mengetahui bahawa ia yang benar daripada Pemelihara kamu, dan mempercayainya, dan hati mereka merendahkan kepada-Nya; dan sesungguhnya Allah selamanya memberi petunjuk kepada orang-orang yang percaya pada jalan lurus.
Dan orang-orang yang tidak percaya tidak berhenti-henti menjadi dalam keraguan padanya, sehingga Saat datang kepada mereka dengan tiba-tiba, atau datang kepada mereka azab hari yang tandus." (22:54-55)
Sila rujuk:
Kalimat ragu-ragu di dalam al-Qur'an9 Oktober 2004
Terkini Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles