Tuhan Lain

 

 

Semua manusia telah melihat Tuhan tatkala mereka dijadikan, serta mengaku menyaksi-Nya. Mereka menyaksikan bahawa Dia Pemelihara, atau Tuhan, dan Dia hanya satu. Mereka diperlihatkan supaya, pada Hari Kiamat, mereka tidak memberi alasan seperti tidak tahu tentang kewujudan-Nya, dan sengaja menyekutukan-Nya kerana mengikuti bapa-bapa mereka yang menyekutukan. Firman Tuhan,

"Dan apabila Pemelihara kamu mengambil daripada Bani Adam, daripada punggung mereka, keturunan mereka, dan menjadikan mereka saksi-saksi ke atas jiwa mereka, 'Bukankah Aku ini Pemelihara kamu?' Mereka berkata, 'Ia, kami menyaksikan'; supaya kamu tidak mengatakan pada Hari Kiamat, 'Bagi kami, kami lalai mengenai yang ini.'

Atau, supaya kamu tidak mengatakan, 'Bapa-bapa kami adalah orang-orang yang mempersekutukan dari dahulu, dan kami keturunan sesudah mereka. Apa, adakah Engkau akan memusnahkan kami kerana perbuatan orang-orang yang mengikuti yang palsu?'" (7:172-173)

Namun begitu, dalam kejahilan, kesombongan dan keingkaran, manusia terus mengadakan tuhan-tuhan lain, selain daripada Allah, untuk mendapatkan pertolongan, kesenangan hidup di dunia dan akhirat, petunjuk, atau untuk mengantara dengan-Nya.

Daripada tuhan-tuhan palsu yang diadakan, yang paling jelas rupanya adalah yang berbentuk patung. Ia telah lama disembah oleh manusia, termasuk bapa Nabi Ibrahim sendiri, Azar (6:74). 

Sementara Nabi Musa pula telah dikemukakan dua kali dengan masalah tuhan tersebut. Pertama, yang disembah oleh suatu kaum yang mereka (Bani Israil) temui setelah menyeberangi laut. Mereka tertarik dengan tuhan itu lalu menyuruh Nabi Musa membuatnya (7:138). Kedua, tuhan berbentuk Anak Lembu (20:88), yang mereka reka setelah hanya ditinggal oleh Nabi Musa dalam tempoh masa yang singkat, iaitu tidak sampai 40 hari.

Nabi-Nabi lain pun tentu telah berdepan dengan masalah penyembahan tuhan-tuhan berbentuk patung.

Satu daripada beberapa sebab tuhan yang selain daripada Allah diadakan adalah untuk mengantara dengan-Nya. Firman Tuhan, 

"Apa, adakah aku akan mengambil selain daripada Dia, tuhan-tuhan yang pengantaraannya, jika Yang Pemurah menghendaki kemudaratan untukku, tidak berguna bagiku sedikit pun, dan yang tidak menyelamatkan aku?" (36:23)

Bagi tujuan tersebut, bukan sahaja tuhan berbentuk patung yang diukir daripada logam dan batu, malah daripada makhluk manusia juga telah diadakan. Di kalangan masyrakat Islam, pengantara yang diukir tidak kelihatan wujud, tetapi daripada manusia agak jelas kelihatan. Misalan, "Syeikh" dan mungkin termasuk Nabi atau Rasul, dan apa yang dikatakan "Wali Allah".

Sebab seterusnya tuhan-tuhan selain daripada Allah diadakan adalah untuk mendapat pertolongan dan kekuatan. Firman-firman-Nya,

"Namun begitu, mereka mengambil selain daripada Allah tuhan-tuhan supaya mereka ditolong." (36:74)

"Dan mereka mengambil untuk mereka tuhan-tuhan lain, selain daripada Allah, supaya mereka mendapatkan bagi mereka kekuatan." (19:81)

Mereka itu terdiri daripada patung yang diukir, manusia, jin dan "azimat".

Sebelum meneruskan pembicaraan ingin dimaklumkan iaitu petikan ayat-ayat al-Qur'an yang menjadi isi kepada tajuk di atas adalah hanya yang mengandungi kalimat ilah (bermaksud tuhan atau Tuhan) sahaja. Yang lain, seperti yang mengandungi perkataan 'sekutu', telah ditulis di bawah tajuk Al-Qur'an dan Sekutu Allah. Harap maklum. Terima kasih.

Pembicaraan diteruskan dengan menyatakan iaitu tuhan atau tuhan-tuhan yang dijunjung daripada golongan manusia banyak terdapat di kalangan makhluk manusia sendiri. Misalnya, mereka yang diiktiraf sebagai habr (sarjana atau ulama agama), dan rahib-rahib. Firman-Nya,

"Mereka mengambil habr (ulama atau sarjana dalam agama) mereka, dan rahib-rahib mereka, sebagai pemelihara-pemelihara selain daripada Allah ..... dan mereka diperintah untuk menyembah hanya Tuhan Yang Satu; tidak ada tuhan melainkan Dia; Dia disanjung, di atas apa yang mereka menyekutukan." (9:31)

Habr yang menjadi tuhan, selain daripada Allah, dalam masyrakat Islam mungkin dijadikan tanpa disedari. Itu kerana mereka disangka memberi petunjuk. Selain daripada habr, orang-orang alim turut dijadikan tuhan bersama Allah. Lazimnya mereka adalah orang-orang yang mencari jalan kepada-Nya. Firman Tuhan,

"Katakanlah, 'Sekiranya ada tuhan-tuhan lain bersama Dia, sebagaimana mereka mengatakan, tentu mereka mencari jalan kepada Yang mempunyai Arasy.'" (17:42)

Satu contoh orang alim ialah orang yang digelar "Syeikh" seperti disebut di dalam artikel Mengenali Tuhan melalui Syeikh ... dan e-mel Selamat Tinggal tuhan Syeikh!

Keinginan manusia boleh juga dijadikan tuhan selain daripada Allah (25:43) kerana mengutamakannya sambil membelakangkan kehendak Allah. Keinginan, atau ego, boleh terbit daripada sesuatu pengetahuan yang ada pada manusia yang membuatnya menyombongkan diri terhadap ayat-ayat Tuhan. Firman-Nya,

"Sudahkah kamu melihat orang yang mengambil keinginannya untuk menjadi tuhannya, dan Allah menyesatkan dia atas satu pengetahuan, dan meletakkan satu penutup pada pendengarannya, dan hatinya, dan meletakkan satu penudung pada penglihatannya?" (45:23)

Selanjutnya, amalan manusia yang melanggar perintah Tuhan misalnya menipu sukatan dan timbangan boleh dianggap mengambil tuhan selain daripada Allah. Iktibar diceduk daripada ayat bermaksud,

"Dan kepada Madyan, saudara mereka Shuaib; dia berkata, 'Wahai kaumku, sembahlah Allah. Kamu tidak ada tuhan selain daripada Dia. Dan janganlah mengurangi sukatan dan timbangan.'" (11:84)

Akhir sekali, amalan mengambil kitab selain daripada al-Qur'an buat petunjuk dalam agama turut tergolong dalam dosa mengambil tuhan selain daripada Allah. Orang-orang yang mengamalnya mungkin tidak menyedari akan perbuatan mereka yang berat kesalahannya. Sila renungkan ayat berikut:

"Katakanlah, 'Perkara apakah yang paling besar dalam kesaksian?' Katakanlah, 'Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku supaya aku memberi amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai. Adakah kamu benar-benar mempersaksikan bahawa ada tuhan-tuhan lain selain Allah (yang mendatangkan kitab selain al-Qur'an)?' Katakanlah, 'Aku tidak mempersaksikan.' Katakanlah, 'Dia hanyalah Tuhan Yang Satu, dan aku berlepas diri daripada apa yang kamu menyekutukan (mengadakan kitab selain al-Qur'an).'" (6:19)

Terdapat beberapa lagi ayat yang membawa mesej yang sama. Satu daripadanya berbunyi,

"Ikutlah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Pemelihara kamu; tidak ada tuhan melainkan Dia, dan berpalinglah kamu daripada orang-orang yang menyekutukan (yang mengadakan kitab selain al-Qur'an)." (6:106)

Pun begitu, terdapat sesetengah pihak yang menganjurkan kepercayaan kepada dua kitab sumber, iaitu al-Qur'an dan satu lagi yang lain. Pegangan itu mirip kepada percaya dua tuhan, dan Allah melarang amalan tersebut dengan amaran -

"Allah berkata, 'Janganlah mengambil untuk kamu dua tuhan. Dia hanyalah Tuhan Yang Satu; maka kepada-Ku-lah kamu berasa gerun.'" (16:51)

Sehubungan itu, Dia telah berfirman, "Maka dengan hadis apakah yang mereka, sesudah ini (al-Qur'an), akan mempercayai?" (7:185). Jelaslah, bahawa dalam Islam hanya al-Qur'an yang wajib dipercayai atau diimani.

Untuk menutup, diperingatkan amaran Tuhan mengenai mengambil tuhan yang selain daripada-Nya berbunyi, "Janganlah mengadakan berserta Allah tuhan yang lain, atau kamu duduk terkutuk, diabaikan" (17:22). Kerana sesungguhnya Dia adalah,

"Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia. Dia pasti akan mengumpulkan kamu pada Hari Kiamat, yang tidak ada keraguan padanya. Dan siapakah yang lebih benar hadisnya daripada Allah?" (4:87)


Sila rujuk:
Kalimat Tuhan di dalam al-Qur'an

Penulis Bacaan
17 April 2005


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman