Setelah senang dan susah

 

The Star, Isnin 16 September 2002, muka 8 / Section 2

 

Guru menyanyi lagu The Beatles berjudul Yesterday sebagai set induksi untuk menarik minat dan tumpuan murid-murid kepada pengajarannya bagi tajuk past tense atau kala lampau dalam pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Seni kata lagu tersebut berbunyi "Yesterday, all my troubles seemed so far away ..." atau "Semalam, semua kesusahanku tampak jauh sekali ..." Murid-murid kelihatan terpegun dengan mulut ternganga.

Semalam senang, hari ini susah. Hari ini susah, esok senang. Senang dan susah silih berganti. Itulah lumrah alam, kata orang. Namun, ia berlaku dengan sebab.

Rezeki

Seperti itulah jua dengan rezeki. Rezeki manusia ada yang diluaskan-Nya dan ada yang disempitkan. Bagi yang rezekinya diluaskan, mereka hidup dengan senang. Dan sebaliknya. Mereka yang diluaskan rezeki mendapati urusan untuk mendapatkannya mudah dan bagi yang disempitkan, urusannya sukar. Urusan yang sukar boleh bertukar menjadi mudah dengan menafkahkan daripada apa yang diberi Allah pada masa susah. Firman-Nya,

"Hendaklah orang yang mempunyai keluasan menafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang Allah memberinya. Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia memberikannya. Sungguh, Allah akan membuatkan, setelah kesukaran, yang mudah." (65:7)

(Sila rujuk Kalimat nafkah di dalam al-Qur'an)

Semasa senang harus beringat dengan menyimpan untuk hari esok yang mungkin menjadi susah. Iktibar al-Qur'an mengenainya, dalam cerita Nabi Yusuf, harus dijadikan peringatan, berbunyi,

"Berkata (Nabi Yusuf), 'Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan. Kemudian sesudah itu, datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu menyediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan. Kemudian sesudah itu, datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya mereka memerah.'" (12:47-49)

Tujuh tahun senang dan tujuh tahun susah. Sesudah susah, Allah memberi pertolongan lalu berubahlah keadaan manusia.

Perubahan sikap

Sikap manusia berubah apabila keadaan berubah. Ada yang berputus asa, dan tidak berterima kasih, setelah pengasihan yang diterima daripada Allah ditarik balik oleh-Nya. Mereka, sebaliknya pula, rasa sangat gembira serta sangat berbangga diri apabila dikurniakan kemakmuran setelah ditimpa kesusahan. Firman-Nya,

"Dan jika Kami merasakan kepada seseorang manusia dengan pengasihan daripada Kami, dan kemudian Kami merampasnya daripada dia, dia berputus asa, tidak berterima kasih (kafir). Tetapi jika Kami merasakannya kemakmuran setelah kesusahan menyentuhnya, dia akan berkata, 'Keburukan telah pergi daripadaku'; tiba-tiba dia sangat gembira dan membanggakan diri." (11:9-10)

Sikap berputus asa, tidak berterima kasih kepada Allah, sangat gembira dan sangat membanggakan diri tidak disukai-Nya.

Menyentuh sedikit mengenai sikap berputus asa. Sikap ini dikatakan-Nya terdapat pada orang-orang yang tidak percaya atau kafir kepada Allah (12:87), dan pada orang-orang yang sesat dari jalan-Nya (15:56). Maka janganlah berputus asa daripada kesenangan atau pengasihan Allah.

Setelah susah, Allah merasakan pengasihan-Nya. Namun, antara orang-orang yang menerimanya terdapat pula yang membuat tipu daya terhadap ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

"Apabila Kami merasakan kepada manusia pengasihan, setelah kesusahan menyentuh mereka, tiba-tiba mereka ada suatu tipu daya terhadap ayat-ayat Kami." (10:21)

Nampaknya, sesetengah manusia tidak patut diberi kesenangan hidup setelah mengalami kesusahan - ada saja tipu daya mereka!

Doa

Manusia tidak menjadi penat untuk berdoa. Mereka berdoa untuk kebaikan, tetapi akan menjadi jemu serta berputus asa apabila kejahatan pula yang datang. 

Ada juga yang mengatakan iaitu pengasihan daripada Allah yang diterima, setelah kesusahan menimpa mereka, adalah hak mereka semata-mata.

Manakala yang lain, apabila disentuh kejahatan, mempunyai doa yang tidak putus-putus. Sebelum itu, semasa senang kerana rahmat daripada Allah, mereka berpaling dan menjauhkan diri. 

Ayat-ayat berikut menjelaskan sikap-sikap manusia tersebut:

"Manusia tidak menjadi letih berdoa untuk kebaikan; tetapi apabila kejahatan menyentuhnya, maka jemulah dia, berputus asa. Dan jika Kami merasakan kepada dia pengasihan daripada Kami, sesudah kesusahan yang menyentuhnya, tentu dia berkata, 'Ini kepunyaanku ......' Dan apabila Kami merahmati manusia, dia berpaling, dan menjauhkan diri ke tepi; tetapi apabila kejahatan menyentuhnya, dia mempunyai doa yang tidak putus-putus." (41:49-51)

Haruslah diingat bahawa apa sahaja yang baik yang menimpa seseorang adalah daripada Allah, dan apa sahaja yang jahat atau buruk yang menimpanya adalah daripada dirinya sendiri. Firman-Nya,

"Apa sahaja yang baik menimpa kamu, ia adalah daripada Allah; apa sahaja keburukan yang menimpa kamu adalah daripada diri kamu sendiri." (4:79)

Justeru, keburukan yang menimpa ke atas diri seseorang adalah bukan takdir atau ditentukan oleh Allah. Ia adalah kerana usaha orang itu sendiri. 

Penderitaan

Selain daripada kesusahan, kejahatan atau keburukan yang menimpa manusia, mereka juga ditimpa dengan penderitaan. Ada yang melaung-laung, dan ada yang menyeru Allah dengan berkesesalan kepada-Nya, apabila ditimpa penderitaan. Setelah ia dihilangkan daripada mereka, terdapat segolongan daripada mereka menyekutukan Allah pula. Firman-Nya,

"Apa sahaja rahmat yang ada pada kamu, ia adalah daripada Allah; kemudian apabila penderitaan menyentuh kamu, kepada-Nya kamu melaung-laung. Kemudian, apabila Dia menghilangkan penderitaan daripada kamu, tiba-tiba segolongan antara kamu menyekutukan Pemelihara mereka," (16:53-54)

"Apabila penderitaan menyentuh manusia, mereka menyeru Pemelihara mereka dengan berkesesalan kepada-Nya; kemudian, apabila Dia merasakan kepada mereka pengasihan daripada-Nya, tiba-tiba segolongan daripada mereka menyekutukan Pemelihara mereka," (30:33).

(Sila rujuk artikel Al-Qur'an dan sekutu Allah)

Selain menyekutukan Allah setelah dihilangkan penderitaan, terdapat segolongan yang mengatakan bahawa rahmat daripada Allah yang diterima kemudiannya adalah atas kepandaiannya. Firman-Nya,

"Apabila penderitaan menyentuh manusia, dia berseru kepada Kami; kemudian, apabila Kami mengurniakan kepadanya satu rahmat daripada Kami, dia berkata, 'Aku diberinya hanya kerana satu pengetahuan.' Tidak, ia adalah satu ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." (39:49)

Sebenarnya, rahmat daripada Allah yang diterima selepas penderitaan yang menimpa adalah ujian daripada Allah. Amnya, senang dan susah adalah ujian daripada Allah. Dua ayat berikut mengesahkannya:

"Adapun manusia, apabila Pemeliharanya mengujinya, dan memuliakannya, dan merahmatinya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku memuliakan aku.' Tetapi apabila Dia mengujinya, dan menyempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku menghina aku.'" (89:15-16)

(Sila rujuk Kalimat ujian di dalam al-Qur'an).

Disebut juga di dalam al-Qur'an mengenai manusia yang menyeru Allah dengan berkesesalan kepada-Nya apabila disentuh penderitaan. Kemudian, setelah dikurniakan rahmat daripada Dia, mereka melupakan seruan yang telah dibuat di samping mengadakan rakan-rakan bagi Allah. Firman-Nya,

"Apabila penderitaan menyentuh manusia, dia berseru kepada Pemeliharanya dengan berkesesalan kepada-Nya; kemudian, apabila Dia mengurniakan kepadanya satu rahmat daripada-Nya, dia melupakan apa yang dia seru sebelumnya, dan mengadakan rakan-rakan bagi Allah, untuk menyesatkan daripada jalan-Nya." (39:8)

Boleh jadi rakan-rakan yang dimaksudkan itu adalah Rasul atau Nabi atau Imam-iman atau orang-orang yang digelar "wali Allah". 

Di laut

Penderitaan selanjutnya dialami di laut. Ketika itu orang-orang yang selalu diseru, seperti yang baru disebut, akan dilupakan. Allah sahaja yang diingati dan diseru pada masa kecemasan itu. Akan tetapi, setelah Dia menyelamatkan mereka ke darat, mereka tidak berterima kasih dengan berpaling dan kembali menyeru yang selain daripada Allah tersebut. Firman-Nya,

"Dan apabila penderitaan menyentuh kamu di laut, maka hilanglah orang-orang yang kamu seru, kecuali Dia; dan apabila Dia menyelamatkan kamu ke darat, kamu berpaling; manusia tidak berterima kasih." (17:67)

Sebelum ke laut, tatkala naik ke kapal, manusia berseru kepada Allah dengan menuluskan agama untuk-Nya. Setelah diselamatkan ke darat segolongan daripada mereka didapati menyekutukan Allah pula. Firman-Nya,

"Apabila mereka naik ke kapal, mereka berseru kepada Allah, dengan menuluskan agama mereka untuk-Nya; tetapi apabila Dia telah menyelamatkan mereka ke darat, tiba-tiba mereka menyekutukan," (29:65).

Kadang kala manusia menyekutukan Allah tanpa disedari. Seperti mereka yang mengadakan majlis kesyukuran setelah diselamatkan daripada bahaya di laut. Pada majlis itu mereka menyeru dan memuji nama-nama yang selain daripada nama Allah.

Perang

Menang dan kalah adalah adat berperang. Keputusan di tangan Allah. Dia memberi kemenangan kepada siapa yang Dia kehendaki. Contoh, pada ayat berikut di mana orang-orang Rom, setelah dikalahkan oleh orang-orang Parsi, akan mengalahkannya pula dalam peperangan yang selanjutnya:

"Orang-orang Rom dikalahkan, Di bumi yang dekat; dan, setelah kekalahan mereka, mereka akan mengalahkan," (30:2-4)

Dalam peperangan timbul perasaan sedih dan duka, dan sesudah itu, Allah mengurniakan ketenteraman pula, seperti kepada orang-orang beriman yang dinyatakan di dalam ayat di bawah:

"Kemudian Dia menurunkan kepada kamu, sesudah kesedihan, ketenteraman." (3:154)

Terdapat pula orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Kitab-Nya tetapi hanya duduk menunggu semasa berlaku peperangan untuk menegakkan agama Allah. Jika pihaknya ditimpa penderitaan dia mengatakan bahawa Allah merahmatinya kerana tidak pergi bersama mereka yang derita. Sebaliknya, jika pihaknya mendapat kejayaan, dia mengatakan pula iaitu sekiranya dia telah pergi bersama orang-orang lain tentu dia beroleh kemenangan yang besar. Firman-Nya,

"Antara kamu ada orang yang berlengah-lengah; kemudian, jika penderitaan menimpa kamu, dia berkata, 'Allah merahmati aku kerana aku bukan seorang syahid bersama mereka.' Tetapi jika pemberian daripada Allah menimpa kamu, tentu dia mengatakan seakan-akan tidak pernah ada kasih sayang antara kamu dan dia, 'Sekiranya aku berada bersama mereka, tentu aku mendapat kemenangan dengan kemenangan yang besar.'" (4:72-73)

Agama

Dalam memperjuangkan agama Allah, iaitu agama seperti yang terkandung di dalam al-Qur'an, masa susah haruslah dialami. Lazimnya, pejuang-pejuang bagi Allah dizalimi dan terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka. Sebagai balasan di dunia, mereka dikurniakan tempat tinggal yang baik di tempat baru. Di situ pun mereka terus berjuang. Firman-Nya,

"Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, setelah mereka dizalimi, pasti Kami akan menempatkan mereka di dunia, di penempatan yang baik, dan upah akhirat adalah lebih besar jika mereka mengetahui," (16:41)

"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu, bagi orang-orang yang berhijrah setelah dianiaya, kemudian berjuang, dan bersabar, sesungguhnya Pemelihara kamu setelah itu, Pengampun, Pengasih." (16:110)

Mereka yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya al-Qur'an dan yang menegakkan agama Allah berada dalam ketakutan kerana diancam oleh orang-orang yang tidak percaya kepada Allah dan berpegang kepada kitab yang selain daripada Kitab-Nya. Akhirnya, ketakutan mereka diganti dengan keamanan, dan mereka menjadi pengganti-pengganti atau "raja" di bumi ini, dan agama mereka diteguhkan. Itu janji Allah. Janji tersebut dibuat melalui ayat berikut:

"Allah berjanji kepada orang-orang antara kamu yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, bahawa Dia akan sesungguhnya menjadikan kamu pengganti-pengganti di bumi, sebagaimana Dia menjadikan orang-orang yang sebelum mereka pengganti-pengganti, dan sungguh, Dia akan meneguhkan agama mereka bagi mereka yang Dia merelai untuk mereka, dan Dia akan menukarkan untuk mereka, sesudah ketakutan mereka, dengan keamanan ...." (24:55)

Lantaran itu timbul beberapa soalan. Kenapa orang-orang Islam pada hari ini tidak menjadi pengganti atau raja di bumi seperti yang dijanjikan Allah? Kenapa agama Islam tidak diteguhkan sehingga ia dihina dan ramai penganutnya keluar setelah memelukinya? Apakah kesilapan yang berlaku?

Jawapan kepada soalan-soalan itu mungkin terdapat pada kata-kata seterusnya dalam ayat yang baru diturunkan tadi, berbunyi,

".... 'Mereka akan menyembah-Ku dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu.' Sesiapa yang tidak percaya sesudah itu, maka mereka itu, merekalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Allah)." (24:55)

Kehidupan dengan keburukan atau kesusahan yang wujud di kalangan orang-orang Islam di dunia dewasa ini tidak mungkin bertukar kepada kebaikan atau kesenangan seperti yang dikecapi oleh raja, dan agama mereka tidak akan menjadi teguh serta dimuliakan, selagi mereka tidak meninggalkan sekutu-sekutu Allah yang diada-adakan oleh sesetengah pihak. Kebaikan dan kesenangan tidak akan menjadi hak milik mereka selagi ajaran yang selain daripada ajaran al-Qur'an tidak ditinggalkan, dan al-Qur'an dipegang satu-satunya dalam agama Allah yang mulia.

 

Rujukan:

Kalimat khalifah (pengganti) di dalam al-Qur'an
Kalimat nafkah di dalam al-Qur'an
Kalimat ujian di dalam al-Qur'an
dan artikel,
Al-Qur'an dan sekutu Allah

 

Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman