Ujian daripada Allah
Allah mencipta langit dan bumi, dengan segala perhiasannya, dan mencipta manusia, dengan deria penglihatan dan pendengaran, dan mencipta kematian dan kehidupan, kesemuanya untuk menguji manusia supaya dapat dikenali siapa antara mereka yang lebih baik atau yang paling baik dalam amalan. Firman-Nya:
"Dia yang mencipta langit dan bumi dalam enam hari, dan Arasy-Nya di atas air, kerana Dia hendak menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik dalam amalannya." (11:7)
"Kami membuatkan segala yang di bumi untuk perhiasan baginya, dan supaya Kami menguji siapa antara mereka yang paling baik dalam amalan." (18:7)
"Kami mencipta manusia daripada setitis mani, satu percampuran, mengujinya; dan Kami membuatkan dia mendengar, melihat." (76:2)
"Yang mencipta kematian dan kehidupan, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang paling baik dalam amalan; dan Dia Yang Perkasa, Yang Pengampun," (67:2)
Juga, untuk mengenali siapa yang takut kepada Allah yang dalam keadaan ghaib (5:94) dan siapa yang berjuang dan yang sabar (47:31).
Buruk dan baik
Manusia diuji dengan apa-apa yang buruk dan yang baik, atau kejahatan dan kebaikan. Kemudian mereka akan mati dan seterusnya dikembalikan kepada Allah untuk dihakimkan pada hari akhirat. Firman-Nya:
"Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati; dan Kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai cubaan, kemudian kepada Kami kamu akan dikembalikan." (21:35)
Antara manusia, ada yang diuji dengan benda-benda yang baik dan yang buruk supaya mereka kembali kepada jalan yang sebenar iaitu jalan yang ditentukan di dalam Kitab Allah. Firman-Nya:
"dan Kami menguji mereka dengan benda-benda yang baik, dan yang buruk, supaya mereka kembali." (7:168)
Ada pula yang diuji supaya bertaubat. Seperti orang-orang yang tidak percaya (kepada Allah dan kitab-Nya) yang diuji sekali atau dua kali setahun. Namun, terdapat juga mereka yang tidak mengingati. Firman-Nya,
"Tidakkah mereka melihat bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun? Namun begitu, mereka masih tidak bertaubat, dan tidak juga mereka mengingati." (9:126)
Orang-orang yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan) dan yang mendustakan ayat-ayat-Nya juga diuji. Firman-Nya,
"Begitulah Kami menguji mereka kerana kefasiqan mereka." (7:163)
"Sesungguhnya Kami menguji mereka (yang mendustakan ayat-ayat Allah) sebagaimana Kami menguji pemilik-pemilik kebun apabila mereka bersumpah bahawa mereka akan memetik pada waktu pagi," (68:17)
Pemilik kebun tersebut, pada pagi hari memetik, mendapati kebunnya seperti sudah dipetik (68:20).
Percaya
Tidak terlepas daripada ujian Allah adalah orang-orang yang berkata percaya kepada Allah dan Kitab-Nya. Mereka diuji untuk mengetahui siapa yang berkata benar dan siapa yang berdusta. Firman-Nya,
"Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan untuk berkata, 'Kami percaya', dan tidak akan diuji? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, dan sungguh, Allah mengetahui orang-orang yang berkata benar, dan sungguh, Dia mengetahui pendusta-pendusta." (29:2-3)
Sesungguhnya petunjuk Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, atau disebut Peringatan, adalah ujian bagi manusia, untuk mengenali siapa yang berpaling daripadanya. Firman-Nya,
"Supaya Kami menguji mereka dengannya. Dan sesiapa yang berpaling daripada Peringatan Pemeliharanya, Dia mengasakkannya kepada azab yang keras." (72:17)
Kitab yang diberi
Kitab yang diberi Allah, al-Qur'an, adalah ujian daripada-Nya. Ia harus digunakan untuk menghakimkan antara mansuia. Mereka yang mengikuti ajaran Kitab tersebut akan dijadikan khalifah-khalifah di bumi, dan darjat yang diberi itu adalah juga ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Dan Kami menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab sebelumnya, dan mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan, dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar yang datang kepada kamu. Bagi setiap kamu, Kami menentukan satu peraturan, dan satu jalan yang terbuka. Sekiranya Allah menghendaki, tentu Dia membuat kamu satu umat; tetapi supaya Dia menguji kamu dalam apa yang Dia memberikan kamu." (5:48)
"Dia yang melantik kamu khalifah-khalifah (pengganti-pengganti) di bumi, dan menaikkan sebahagian kamu dalam darjat di atas sebahagian yang lain, supaya Dia menguji kamu pada apa yang Dia memberikan kamu. Sesungguhnya, Pemelihara kamu cepat dalam pembalasan sewajarnya; dan sesungguhnya Dia Pengampun, Pengasih." (6:165)
Ajaran lain
Namun, terdapat ajaran lain yang selain daripada al-Qur'an, untuk menjadi ujian bagi manusia. Misalnya daripada orang-orang yang mengatakan percaya kepada Allah dan Kitab-Nya tetapi sebenarnya tidak percaya. Atau, daripada mereka yang mendengar yang bohong iaitu daripada orang-orang yang tidak berada bersama Nabi Muhammad. Mereka mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya. Selain daripada itu, apa-apa yang disampaikan oleh syaitan juga menjadi ujian bagi sesetengah mansuia. Firman-Nya,
"Wahai rasul, janganlah mereka menyedihkan kamu, yang bersegera dalam ketidakpercayaan, daripada orang-orang yang berkata dengan mulut mereka, 'Kami percaya', tetapi hati mereka tidak mempercayai, dan daripada orang-orang Yahudi, yang mendengar yang bohong, yang mendengar kaum lain, yang tidak datang kepada kamu, dengan mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dengan berkata, 'Jika kamu diberi yang ini, ambillah ia, dan jika kamu tidak diberikan, maka berhati-hatilah kamu.' Sesiapa yang Allah menghendaki untuk mencubanya (mengujinya), kamu tidak berkuasa untuk menolongnya sedikit pun terhadap Allah." (5:41)
"Supaya Dia membuatkan, apa yang syaitan melemparkan, satu cubaan bagi orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, dan orang-orang yang hati mereka keras" (22:53)
Memang benar syaitan juga mengada-adakan ajaran dalam agama melalui wahyunya yang indah-indah tetapi palsu. Ajaran mereka haruslah ditinggalkan. Syaitan yang dimaksudkan itu adalah daripada jenis manusia. Firman-Nya,
"Begitulah Kami mengadakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu .... Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka mengada-adakan." (6:112)
Ujian-ujian lain daripada Allah, yang selain daripada yang bersangkutan dengan al-Qur'an, adalah seperti berikut:
Ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, buah-buahan
Apabila ditimpa dengan ujian tersebut manusia haruslah bersabar. Firman-nya,
"Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar," (2:155)
Orang-orang yang sabar itu adalah yang "apabila mereka ditimpa penderitaan, berkata, 'Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepada-Nya kami kembali.'" (2:156). Apa yang dikatakan itu, dalam bahasa Arab, berbunyi "innaa lillaahi wainnaa ilaihi raaji'uun" yang ulama palsu ajar untuk diucapkan apabila mendapat berita mengenai kematian seseorang!
Rahmat, kemuliaan, kesempitan rezeki
Firman-Nya,
"Apabila penderitaan menyentuh manusia, dia berseru kepada Kami; kemudian, apabila Kami mengurniakan kepadanya satu rahmat daripada Kami, dia berkata, 'Aku diberinya hanya kerana satu pengetahuan.' Tidak, ia adalah satu ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya." (39:49)
"Adapun manusia, apabila Pemeliharanya mengujinya, dan memuliakannya, dan merahmatinya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku memuliakan aku.' Tetapi apabila Dia mengujinya, dan menyempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku menghina aku.'" (89:15)
Rezeki yang menyenangkan pasangan
Firman-Nya,
"Janganlah kamu memanjangkan mata-mata kamu kepada apa yang Kami memberikan pasangan-pasangan antara mereka, untuk bersenang dengan bunga kehidupan dunia, supaya Kami menguji mereka dengannya; dan rezeki Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan lebih kekal." (20:131)
Harta dan anak
Firman-Nya,
"Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu," (3:186)
"Dan ketahuilah bahawa harta kamu dan anak-anak kamu adalah cubaan," (8:28). Sila rujuk ayat 64:15 yang membawa mesej yang sama.
Binatang buruan semasa Haji
Ujian ini untuk mengenali siapa yang takut kepada Allah yang dalam keadaan ghaib. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang yang percaya, sungguh, Allah menguji kamu dengan sesuatu daripada binatang buruan yang tangan-tangan kamu, dan tombak-tombak kamu capai, supaya Allah mengetahui siapa yang takut kepada-Nya yang dalam keadaan ghaib. Sesiapa yang mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih." (5:94)
Utusan Allah dan sesama sendiri
Para utusan Allah adalah orang-orang biasa yang tinggal di kalangan manusia lain. Mereka menjadi ujian kerana masyarakat sekeliling tidak mempercayai mereka mungkin kerana kedudukan mereka dalam masyarakat. Begitu juga dengan orang-orang lain yang percaya dan mendapat petunjuk daripada Allah. Mereka menjadi ujian bagi ahli-ahli anggota masyarakat yang lain. Firman-Nya.
"Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu para utusan melainkan bahawa mereka memakan makanan, dan berjalan-jalan di pasar-pasar; dan Kami membuatkan sebahagian kamu menjadi satu cubaan bagi sebahagian yang lain, 'Mahukah kamu bersabar?' Pemelihara kamu melihat." (25:20)
"Begitulah Kami menguji sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain supaya mereka berkata, 'Inikah orang-orang yang Allah berbudi baik kepada mereka antara kita?' Bukankah Allah sangat mengetahui orang-orang yang berterima kasih?" (6:53)
Orang-orang yang percaya
Mereka menjadi ujian bagi orang-orang yang tidak percaya, yang didapati menzalimi orang-orang yang percaya. Lalu mereka berdoa berbunyi,
"Kepada Allah kami mempercayakan. Pemelihara kami, janganlah Engkau membuat kami satu cubaan bagi kaum yang zalim, Dan selamatkanlah kami dengan pengasihan Engkau daripada kaum yang tidak percaya.'" (10:85-86)
"Wahai Pemelihara kami, kepada Engkau kami mempercayakan; kepada Engkau kami berkesesalan; kepada Engkau kepulangan. Wahai Pemelihara kami, janganlah membuat kami satu ujian bagi orang-orang yang tidak percaya; dan ampunilah kami. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.” (60:4-5)
Bilangan yang ramai
Firman-Nya,
"Dan janganlah menjadi seperti perempuan yang memutuskan benangnya, setelah ia ditenun dengan kuat, kepada serabut, dengan mengambil sumpah-sumpah kamu sebagai hanya tipu muslihat antara satu sama lain, kerana kamu umat yang lebih ramai daripada umat yang lain. Allah hanya menguji kamu dengannya; dan sungguh Dia akan memperjelaskan kepada kamu pada Hari Kiamat apa yang kamu padanya kamu memperselisihkan." (16:92)
Berjuang dan berperang
Firman-Nya,
"Dan sungguh, Kami akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang antara kamu yang berjuang dan yang sabar," (47:31)
Semasa berperang terdapat manusia yang mempunyai prasangka di dalam dada mereka. Apa yang di dalam dada itu adalah ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Kemudian Dia menurunkan kepada kamu, sesudah kesedihan, ketenteraman. Tidur nyenyak meliputi segolongan daripada kamu, dan segolongan, diri-diri mereka membimbangkan mereka dengan menyangka terhadap Allah yang tidak benar ..... Mereka menyembunyikan di dalam hati mereka apa yang mereka tidak menampakkan kepada kamu ..... dan supaya Allah menguji apa yang di dalam dada kamu, dan supaya Dia membuktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah mengetahui apa yang di dalam dada." (3:154)
Kadang-kadang dalam peperangan, oran-orang beriman diserang dengan hebat, dan kelihatan mereka hampir kalah. Keadaan cemas seperti itu adalah ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Di situlah orang-orang yang mukmin diuji, dan digoncangkan dengan goncangan yang keras." (33:11)
Tawanan perang yang diperolehi adalah ujian daripada Allah. Mereka tidak seharusnya dizalimi. Firman-Nya,
"Apabila kamu bertemu orang-orang yang tidak percaya, pukullah leher mereka, kemudian apabila kamu telah membunuh beramai-ramai di kalangan mereka, kuatkanlah ikatan; kemudian bebaskan mereka, sama ada dengan budi baik atau tebusan, sehingga perang meletakkan bebannya. Demikianlah, dan jika Allah mengkehendaki, tentu Dia Sendiri akan menolong mereka; tetapi supaya Dia menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain." (47:4)
Merendahkan suara, visi Nabi, pokok zaqum
Orang-orang yang berada bersama Nabi Muhammad, selain diuji semasa berperang dan ujian lain, mereka diuji dengan suara mereka yang tidak ditinggikan semasa di sisinya, dan visi yang diperlihatkan kepadanya, dan pokok zaqum. Firman-Nya,
"Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suara mereka di sisi rasul Allah, mereka itulah orang-orang yang hatinya Allah uji untuk takwa (takut kepada Tuhan); bagi mereka, keampunan dan upah yang besar." (49:3)
"dan Kami membuatkan visi yang Kami memperlihatkan kepada kamu, dan pokok yang laknat (zaqum) di dalam al-Qur'an, untuk menjadi hanya satu cubaan bagi manusia; dan Kami menakut-nakutkan mereka, tetapi ia hanya menambahkan mereka dalam kelampauan batas yang besar." (17:60)
Visi Nabi yang dimaksudkan itu adalah menunaikan ibadah Haji (48:27).
Ujian daripada Allah meliputi semua manusia, baik yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Orang-orang terdahulu telah diuji dengan pelbagai ujian dan diazab, dan ada yang dihapuskan sama sekali setelah gagal dalam ujian. Antara mereka yang diuji, termasuk para Nabi atau Rasul, adalah:
Kaum Nabi Nuh
Kaum Nabi Nuh telah diuji dengan sebuah kapal yang dibinanya. Dia telah diejek ketika membina kapal yang amat besar itu, seperti yang diceritakan pada ayat berbunyi "Dan dia membuat kapal; dan setiap kali pembesar-pembesar kaumnya melaluinya, mereka mengejeknya." (11:38).
Firman-Nya lagi,
"Sesungguhnya pada yang demikian itu (kapal dan banjir besar) adalah ayat-ayat, dan sesungguhnya Kami menguji." (23:30)
Setelah diuji dengan ayat-ayat Allah, kaum Nuh yang fasiq ditenggelamkan dengan banjir besar.
Kaum Nabi Hud
Kaum Nabi Hud, atau Ad, setelah diuji dengan ayat-ayat Allah, dan mendustakannya, telah dimusnahkan dengan angin yang sangat kencang, sangat bising bunyinya selama tujuh malam dan lapan hari. Firman-Nya,
"Dan bagi Ad, mereka dimusnahkan dengan angin yang sangat bising, yang sangat kencang. Dia memaksakan ke atas mereka tujuh malam dan lapan hari terus menerus, dan kamu melihat kaum ketika itu bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul batang pohon-pohon palma yang runtuh." (69:6-7)
Kaum Nabi Salleh
Mereka diuji dengan unta betina. Firman-Nya,
"Kami mengutus unta betina sebagai satu cubaan bagi mereka" (54:27)
Bagi Tsamud, kaum Nabi Salleh, yang "memandang rendah pada perintah Pemelihara mereka" (membiarkan unta betina itu minum), mereka dihapuskan dengan halilintar (51:44).
Nabi Ibrahim telah menempuh beberapa ujian. Satu daripadanya ialah mengorbankan anaknya (37:101-107). Ujian itu, menurut Allah, adalah ujian yang nyata. Firman-Nya,
"Ini benar-benarlah ujian yang nyata." (37:106)
Nabi Lut
Setelah gagal dalam ujian daripada Allah, bandar raya tempat tinggal Nabi Lut telah diterbalikkan dan dihujani dengan batu-batu yang dibakar. Firman-Nya,
"Maka apabila perintah Kami datang, Kami menterbalikkan yang atasnya ke bawahnya, dan menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah liat yang dibakar, bertubi-tubi," (11:82)
Kaum Shuaib
Orang-orang Madyan telah mendustakan ayat-ayat Allah yang menjadi ujian bagi mereka lalu dihapuskan dengan gempa bumi. Firman-Nya,
"Lalu gempa bumi mengambil mereka. Pagi, mendapati mereka di dalam tempat tinggal mereka, tersungkur tidak bergerak." (7:91-92)
Nabi Musa telah diuji dengan banyak ujian daripada Allah. Firman-Nya,
"Apabila saudara perempuan kamu (Musa) pergi berjalan, dan berkata, 'Bolehkah aku menunjukkan kepada kamu orang yang akan menjaganya?' Maka Kami kembalikan kamu kepada ibumu, supaya dia bergembira, dan tidak bersedih. Kemudian kamu membunuh satu jiwa, dan Kami menyelamatkan kamu daripada kesedihan, dan Kami menguji kamu dengan banyak ujian. Kamu telah tinggal beberapa tahun di kalangan penduduk Madyan ...." (20:40)
Kaum Nabi Musa, iaitu Bani Israil, telah diuji dengan ujian yang besar iaitu pembunuhan anak lelaki mereka oleh Firaun. Firman-Nya,
"Dan ketika Musa berkata kepada kaumnya, 'Ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu apabila Dia menyelamatkan kamu daripada keluarga Firaun yang mengenakan kamu azab yang jahat, dengan mengorbankan anak-anak lelaki kamu, dan membiarkan hidup perempuan-perempuan kamu; dan pada yang demikian itu adalah ujian yang besar daripada Pemelihara kamu." (14:6)
Mereka juga telah diuji dengan sebuah patung Anak Lembu yang dibuat setelah diilhamkan oleh Samiri, seorang ahli agama. Firman-Nya,
"Berkatalah Dia, 'Sungguh, Kami menguji kaum kamu sepeninggalan kamu, dan Samiri menyesatkan mereka.'" (20:85)
"Namun begitu, Harun sebelumnya telah berkata kepada mereka, 'Wahai kaumku, kamu hanyalah diuji dengannya (Anak Lembu); sesungguhnya Pemelihara kamu ialah Yang Pemurah; maka ikutlah aku, dan taatlah kepada perintahku.'" (20:90)
Satu lagi ujian bagi Bani Israil ialah Sabat. Firman-Nya,
"Dan tanyalah mereka mengenai bandar raya yang di tepi laut, apabila mereka mencabuli Sabat, apabila ikan-ikan mereka datang kepada mereka pada hari Sabat mereka dengan berenang ke pantai, tetapi pada hari yang mereka tidak menjaga Sabat, mereka tidak datang kepada mereka. Begitulah Kami menguji mereka kerana kefasiqan mereka." (7:163)
Firaun dan kaumnya telah diuji dengan kerasulan Nabi Musa. Seterusnya mereka ditimpa dengan beberapa ujian seperti yang disebut di bawah:
"Kami telah pun sebelum mereka menguji kaum Firaun, dan seorang rasul yang mulia telah datang kepada mereka," (44:17)
"Kemudian Kami mengambil keluarga Firaun dengan beberapa tahun bekalan yang tidak mencukupi, dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka ingat." (7:130)
"Maka Kami mengutus kepada mereka banjir, dan belalang juta, dan kutu, dan katak, dan darah - ayat-ayat yang jelas; tetapi mereka menyombongkan diri, dan mereka adalah kaum yang berdosa." (7:133)
Akhirnya mereka ditenggelamkan di dalam laut (2:50).
Dalam peperangan antara tentera Thalut dan tentera Jalut, Nabi Daud telah membunuh Jalut. Sebelum itu tentera Thalut telah diuji dengan sebuah sungai. Firman-Nya,
"Dan apabila Thalut berangkat dengan tentera, dia berkata, 'Allah menguji kamu dengan sebuah sungai; sesiapa minum daripadanya adalah bukan daripada aku, dan sesiapa yang tidak merasainya, dia adalah daripada aku, kecuali orang yang menceduk seceduk dengan tangannya.'" (2:249)
Antara ujian bagi Nabi Sulaiman ialah satu jasad diletakkan oleh Allah di atas takhtanya. Kemudian dia berkesesalan. Firman-Nya,
"Sesungguhnya Kami telah menguji Sulaiman, dan Kami melemparkan di atas takhtanya satu jasad; kemudian dia berkesesalan." (38:34)
Manusia akan terus diuji atau dicuba oleh Allah. Dia juga akan terus mengazab seperti ke atas orang-orang terdahulu yang bersalah. Selain daripada apa yang dikenakan ke atas orang-orang terdahulu, manusia pada hari ini boleh dikenakan azab seperti beberapa contoh yang terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia tidak akan membuat pantai menelan kamu, atau mengutus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu .... Atau, adakah kamu berasa aman bahawa Dia tidak akan mengembalikan kamu ke dalamnya pada kali yang kedua, dan Dia mengutuskan kepada kamu angin taufan, dan menenggelamkan kamu kerana ketidakpercayaan kamu" (17:68). Ini adalah peringatan bagi penduduk di kawasan pantai. Sila lihat gambar ombak besar akibat angin kencang selaju hingga 160ksj yang melanda bahagian utara negara Perancis pada hari Ahad 27 Oktober lalu. Angin tersebut telah melanda bahagian utara Eropah dan meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa, mengakibatkan kacau-bilau di jalan raya dan landasan keretapi, dan menggendalakan penerbangan dan kapal-kapal. Mereka yang maut disebabkan oleh ditimpa pokok yang tumbang termasuk yang berada di dalam kereta, disambar petir, bumbung rumah runtuh, dan ditiup angin ke laut atau ke pagar besi.
"Maka berjaga-jagalah akan satu hari apabila langit mendatangkan asap yang jelas, Menutupi manusia; ini adalah azab yang pedih" (44:10-11). Mungkinkah ini apa yang dikatakan jerebu, tetapi yang lebih berat lagi?
"Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat bumi menelan kamu sedang ia bergoncang? Adakah kamu berasa aman bahawa Dia yang di langit tidak akan mengutus kepada kamu angin ribut yang mengandungi batu, kemudian kamu akan mengetahui bagaimanakah dengan amaran-Ku?" (67:16-17)
"Apa, tidakkah mereka melihat bagaimana Kami datang ke bumi, dengan menguranginya di tepi-tepinya?" (21:44). (Sila lihat laporan akhbar mengenai negeri pulau Tuvalu yang beransur-ansur tenggelam akibat dari peningkatan purata suhu Bumi. Laporan dalam bahasa Inggeris.)
"Kemudian angin puyuh yang mengandungi api menimpanya (kebun atau ladang), dan ia terbakar. Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu memikirkan." (2:266)
"Kemudian, apabila mereka melihatnya seperti awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, 'Inilah awan yang akan memberi kami hujan!' Tidak begitu; bahkan ia apa yang kamu minta disegerakan - angin yang di dalamnya azab yang pedih," (46:24)
Ujian daripada Allah sebagai balasan ke atas ketidakpercayaan atau kezaliman manusia adalah keras. Ada kalanya azab itu tidak akan menimpa ke atas orang-orang yang bersalah sahaja. Yang tidak bersalah pun akan kena. Firman-Nya,
"Dan takutilah satu cubaan yang tidak akan menimpa hanya orang-orang yang membuat kezaliman antara kamu; dan ketahuilah bahawa Allah keras dalam pembalasan sewajarnya." (8:25)
Orang-orang Melayu khasnya, dan negara amnya, tidak terlepas daripada cubaan atau ujian berkelompok. Kerana kebanyakan mereka bukan tidak zalim dalam konteks al-Qur'an. Ajaran-ajaran daripada selain al-Qur'an diamal dengan meluas dan ada pula yang dipaksa ke atas orang-orang yang tidak mempercayainya. Tindakan serupa itu kelihatan seperti meminta cubaan yang keras disegerakan kedatangannya.
Rujukan:Kalimat ujian di dalam al-Qur'an
dan artikel,
Siapa sebenarnya orang zalim
Penulis Bacaan
20 Oktober 2002
Halaman Utama Terkini Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman