Berguru dan Mutasyabihat
From: <IsMis140700@...........>
Subject: Soalan
Date: Wednesday, February 05, 2003 3:45 PM
saya nak tanya. Dalam Al-quran ada sebut alif lam mim, sad, nun dll. Tu semua apa maksudnya. Sebab apa, yang saya faham dari ajaran saudara Al quran adalah kitab yang amat jelas tak perlu berguru untuk mengetahuinya. Tapi yang ini saya tak tahu jugak. Banyak jugak ayat-ayat lain yg saya tak tahu. Saya pun pelik..
Khamis
Kami mula dengan meminta bukti kepada kenyataan "saya faham dari ajaran saudara Al quran adalah kitab .... tak perlu berguru untuk mengetahuinya." Sila tunjukkan di mana, di laman web ini, yang kami telah berkata seperti itu. Kami yakin bukti yang kami minta itu tidak dapat ditunjukkan. Lantas, mengapa menipu diri sendiri?
Al-Qur'an mengandungi pelbagai ilmu. Justeru, beberapa orang guru diperlukan untuk memahami kandungannya. Seperti guru bahasa Arab untuk menterjemahkan bahasa Arab kepada bahasa Melayu, atau guru sejarah untuk mengetahui dengan lebih lanjut beberapa faktor sejarah yang disebut di dalamnya, atau guru sains untuk menjelaskan pengetahuan sains yang terkandung di dalamnya - sekadar menamakan tiga jenis guru yang diperlukan untuk memahami kandungan al-Qur'an.
Namun, kami percaya bahawa Guru al-Qur'an sebenar ialah Tuhan, seperti firman-Nya yang berbunyi "Yang Pemurah, Mengajar al-Qur'an" (55:1-2). Dia mengajar manusia dengan pena (96:4). Dan, kepada-Nya hendaklah dipohon supaya pengetahuan mengenai al-Qur'an dapat ditambahkan (20:114). Dengan berbuat demikian, kami percaya, akan didatangkan-Nya guru-guru yang dicari, yang mengajar dengan pena khasnya.
Walau bagaimanapun, kami tidak menafikan iaitu guru, atau tok guru, ada disebut di laman web ini. Antara yang disebut adalah:
- tok guru yang mengajar jumlah ayat al-Qur'an dengan tanpa mengiranya (Mistis nombor 6666),
- guru agama yang mengajar doa yang tidak kena (Sudut Pelajar),
- guru syair (Siapa sebenarnya anti-Quran),
- ustaz yang menipu mengenai ayat al-Qur'an (Menanya Ustaz: kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa).
Turut disebut ialah hal pengajaran tok guru di sekolah pondok (Islam from Institusi Pondok) dan guru atau pensyarah agama di masjid dan syarahan agama (Islam dari masjid-masjid dan majlis-majlis syarahan).
Tidak dinafikan juga bahawa kami ada menyebut mengenai orang-orang yang mengambil upah dalam pengajaran agama, yang kerana pengambilan upah itu, mereka tidak dapat petunjuk yang benar daripada Allah. Kami juga telah mencatatkan ayat Allah yang berkaitan, berbunyi:
"Ikutlah orang yang tidak meminta upah kepada kamu, merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk yang benar." (36:21)
Akan tetapi, kami atau penulis-penulis lain di laman web ini, tidak pernah menyatakan "tak perlu berguru ...." seperti yang didakwa oleh penulis surat.
Selain daripada itu, kami ingin memaklumkan kepada penulis surat khasnya bahawa yang mengatakan al-Qur'an itu amat jelas adalah Tuhan sendiri, bukan kami. Sekiranya dia telah membaca tulisan kami dengan bacaan sebenar tentu dia mendapati beberapa buah ayat yang kami sebut sebagai rujukan, seperti ayat 15:1, 27:1 dan 36:69. Kami hairan mengapa dia membuat tuduhan yang membabi buta seperti itu.
Kami juga mendapati penulis surat beranggapan bahawa sekiranya dia tidak tahu sesuatu, maka orang lain pun turut tidak tahu. Atau, dia beranggapan bahawa sekiranya tidak tahu alif lam mim dan sebagainya maka al-Qur'an itu tidak difahami.
Maafkan kami kerana bertanya di sini - guru manakah yang telah mengasuhnya sehingga memiliki mentaliti setinggi itu?
Sekali lagi, di laman web ini, kami menyatakan iaitu ayat-ayat alif lam mim dan sebagainya adalah, pada hemat kami, jenis mutasyabihat yang berbahaya untuk dicari-cari takwilnya. Kami telah pun menjelaskannya dahulu (sila rujuk e-mail Mutasyabihat). Pun begitu, kami turunkan ayat yang berkaitan di sini:
"Dia yang menurunkan kepada kamu al-Kitab, di dalamnya ayat-ayat muhkamat. Itulah ibu al-Kitab, dan yang lain mutasyabihat. Bagi orang-orang yang di dalam hati mereka menyimpang, mereka mengikuti yang mutasyabihat daripadanya untuk menginginkan pertikaian, dan menginginkan interpretasinya. Tiada yang mengetahui interpretasinya kecuali Allah. Dan orang-orang yang mendalam dalam pengetahuan berkata, 'Kami percaya kepadanya; semuanya daripada Pemelihara kami'; dan tiada yang mengingatinya, kecuali orang-orang yang mempunyai minda." (3:7)
Ayat-ayat mutasyabihat adalah bukan kandungan utama al-Qur'an. Mereka tidak mengandungi suruhan dan larangan dalam agama seperti ayat muhkamat. Sebaliknya, mereka mengandungi ilmu pengetahuan yang mendalam (tetapi bukan mistik). Contoh ayat-ayat tersebut adalah 2:29 dan 41:12 mengenai atmosfera, atau ayat 55:19-20 mengenai barzakh yang memisahkan dua laut, yang dijelaskan di bahagian Penemuan laman web ini bersama beberapa yang lain.
Orang zaman dahulu tidak dapat menjelaskan ayat-ayat mutasyabihat seperti yang disebut kerana perkembangan ilmu pengetahuan yang pesat belum dinikmati mereka.
Kini, didapati satu demi satu ayat yang dahulunya dikatakan mutasyabihat dapat dijelaskan oleh orang-orang yang berpengetahuan yang mengkajinya. Begitu juga dengan alif lam mim dan huruf-huruf lain yang dijadikan ayat. Sudah ada pihak yang telah mencari pengertian ke atasnya dengan menggunakan komputer. Hasil daripada kajiannya, pada hemat kami, ada yang munasabah. Akan tetapi, pihak yang berkenaan telah pergi jauh dari situ, sehingga menganggap diri sebagai seorang rasul lalu menimbulkan pertikaian. Mungkin di situ terletak satu contoh atas apa yang dikatakan "bahaya" dalam mencari takwil bagi ayat mutasyabihat.
Balik kepada jenis guru yang dimaksudkan oleh penulis surat. Adakah antara mereka yang dapat memberi penjelasan kepada ayat-ayat mutasyabihat seperti yang terdapat di bahagian "Penemuan" laman web ini? Adakah antara Imam Besar dalam Islam yang memberi penjelasan atau membuat kajian seperti itu?
Atau, adakah antara guru itu yang mengajar ayat-ayat muhkamat pula, seperti cara memberi salam yang begitu mudah lagi diberkati Allah? Atau, ayat-ayat yang menunjukkan Nabi pandai membaca dan menulis?
Maka janganlah berasa pelik kerana tidak tahu. Hanya diri sendiri yang harus dipersalahkan atas pilihan yang dibuat dan tindakan yang diambil. Dan, berdoalah seperti orang-orang yang mengkaji al-Qur'an berdoa:
"Wahai Pemeliharaku, tambahkanlah aku dalam pengetahuan." (20:114)
Bacaan lanjut:
Mutasyabihat - satu pendapat
Terkini Artikel Bacaan Hiasan Kalimat Pilihan Keratan Akhbar
Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles