Musuh orang percaya

The Sun, Jumaat 21 Julai 1995, muka 16, Ruangan "Focus"

 

Kartunis akhbar The Sun dapat merasakan perasaan cemas yang dialami oleh penulis dan Kassim Ahmad sewaktu Bacaan dan JAM dihujani peluru berpandu dan bom kata-kata yang tidak menyenangkan. Dengan tanpa pertolongan yang dapat dilihat daripada manusia lain, mereka terpaksa mengambil perlindungan di bawah tanah serta menutup telinga-telinga dengan tapak tangan sendiri daripada gema letupan bom dan peluru berpandu yang memekakkan lagi bertubi-tubi.

Senario yang digambarkan itu seakan serupa dengan pengeboman ke atas negara Afghanistan enam tahun kemudian, pada bulan Oktober selepas peristiwa 11 September. Kecuali, kerana punca kejadian yang tidak serupa maka terdapat sedikit perbezaan. Satu daripadanya ialah pada orang-orang yang menyerang, atau musuh. Di Afghanistan, musuh terdiri daripada orang-orang asing yang bukan seagama sementara di sini mereka terdiri daripada kaum sendiri yang se-Islam pula.

Punca sebenar berlaku kejadian di Afghanistan ialah membalas dendam walaupun pihak penyerang memberi alasan-alasan lain yang kelihatan munasabah di mata dunia.

Sedang di sini, puncanya ialah kitab al-Qur'an. Kassim ingin mengumpul dan menyatukan "orang-orang al-Qur'an" sambil penulis pula ingin memberi peluang kepada orang Melayu khasnya untuk membaca serta memahami kandungan Kitab tersebut.

Kerana itu mereka diserang dengan hebat, namun atas alasan-alasan lain yang kelihatan munasabah juga di mata orang Melayu.

Amnya, orang yang menyerang adalah bukan sahabat. Seseorang sahabat menyokong dan dia tidak bersaing atau menentang kawannya. Maka pihak penyerang adalah musuh. Dan musuh tidak dapat dielakkan. Siapa saja boleh dikatakan ada musuh, baik bagi orang baik, mahupun orang jahat. Sebaliknya pula, siapa saja boleh memusuhi orang lain, seperti Allah sendiri yang memusuhi orang-orang yang tidak percaya (2:98), iaitu yang tidak percaya kepada-Nya dan ayat-ayat-Nya.

Perkataan "musuh" yang pertama di dalam al-Qur'an didapati di dalam ayat berikut:

"Kemudian syaitan menggelincirkan mereka (Adam dan isteri) daripadanya, dan mengeluarkan mereka dari dalam apa yang mereka berada, dan Kami berkata, 'Turunlah kamu, sebahagian kamu menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, dan di bumi sebuah tempat menginap bagi kamu, dan kesenangan untuk suatu waktu'" (2:36).

Musuh yang pertama disebut ialah syaitan. Ia menjadi musuh kerana niatnya yang jahat iaitu untuk memerangkap manusia di jalan Allah yang lurus (7:16), supaya mereka tidak mengikuti petunjuk-Nya. Mangsanya yang pertama ialah Adam dan isteri. Mereka terperangkap dengan pujukannya melalui bisikan manis dan sumpah bohong. Lalu kedua-duanya mengerjakan apa yang dilarang Allah. Ayat-ayat berikut menceritakannya:

"Dan Kami berkata, Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman (Jannah), dan makanlah daripadanya dengan senang di mana kamu menghendaki, tetapi jangan mendekati pokok ini, supaya kamu tidak menjadi orang-orang yang zalim'" (2:35).

"Kemudian syaitan membisikkan kepada mereka ..... 'Pemelihara kamu melarang kamu daripada pokok ini hanya supaya kamu menjadi malaikat-malaikat, atau kamu menjadi makhluk-makhluk yang hidup berkekalan.'

"Dan ia bersumpah kepada mereka, 'Sesungguhnya aku, kepada kamu, adalah penasihat.'

"Maka ia membujuk mereka dengan tipuan; dan apabila mereka merasakan pokok itu, bahagian-bahagian aib mereka menjadi nyata kepada mereka, lalu mereka mulai menjahit pada mereka daun-daun Taman. Dan Pemelihara mereka memanggil mereka, 'Tidakkah Aku telah melarang kamu berdua daripada pokok ini, dan berkata kepada kamu, Sesungguhnya syaitan bagi kamu adalah musuh yang nyata?'" (7:20-22).

Itulah kerja syaitan. Tidak henti-hentinya mengelincirkan manusia daripada jalan Allah dengan beberapa daya. Misalnya, dengan melahirkan perasaan sombong terhadap Allah dalam diri seseorang (2:206-208), atau melalui hukum dalam makanan (2:168, 6:142) seperti Adam dan isteri digelincirkan tadi. 

Juga, ia menimbulkan permusuhan antara manusia, iaitu dengan menyuruh mereka membuat tipu muslihat antara mereka (12:5) dan membuat provokasi (17:53), dan akhirnya, melalui tabiat mengambil arak dan bermain judi (5:91).

Namun begitu, yang paling berat dilakukannya, pada hemat penulis, adalah ia, yang terdiri daripada jenis manusia dan jin, mengadakan ucapan, atau ajaran, tetapi yang bukan wahyu diturunkan kepada Nabi. 

Dengan kata lain, syaitan jenis manusia - berbangsa Melayu - boleh juga wujud di kalangan masyarakat di sini untuk menyebarkan ucapan, atau ajaran, yang bukan wahyu daripada Allah, atau bukan wahyu yang diterima Nabi. Firman-Nya:

"Begitulah Kami mengadakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu menghendaki, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka mengada-adakan" (6:112).

Nabi cakap lain, syaitan cakap lain! Nabi ucap wahyu Allah, syaitan ucap wahyu palsu yang indah-indah. Seperti itulah jua ucapan orang-orang yang mengikutinya, hanya wahyu palsu yang indah-indah, untuk menipu.

Terhadap mereka, Allah menasihatkan supaya orang-orang yang percaya meninggalkan mereka bersama apa yang mereka ada-adakan. Ikut segala yang diwahyukan di dalam al-Qur'an nescaya lenyaplah ajaran palsu yang berpunca daripada bisikan syaitan.

Selain daripada syaitan, terdapat beberapa golongan manusia lain yang menjadi musuh kepada orang-orang yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya. Di bawah ini senaraikan enam golongan:

 

1.  Orang-orang yang "diberi" sebahagian al-Kitab

Mereka "diberi" sebahagian al-Kitab oleh Allah kerana mereka mahu "mengambil" hanya sebahagian daripadanya sahaja. Walhal, al-Kitab harus diambil secara total. Firman-Nya:

"Tidakkah kamu merenungkan orang-orang yang diberi sebahagian al-Kitab membeli kesesatan, dan menghendaki bahawa kamu juga sesat daripada jalan? Allah sangat mengetahui musuh-musuh kamu, dan cukuplah Allah sebagai wali (pelindung), dan cukuplah Allah sebagai penolong" (4:44-45).

Mungkin tergolong dalam kumpulan ini ialah orang-orang yang mengambil hanya sekerat daripada sesebuah ayat al-Qur'an, yang dengannya kemudian, mentafsirkannya menurut fahaman sendiri, lalu menghalalkan kemunculan kitab-kitab lain dalam Islam. Kandungannya jauh dari original. Tidak cukup dengan itu sahaja, mereka seterusnya mahukan, atau mewajibkan, orang lain menjadi seperti mereka iaitu beriman kepada kitab-kitab tersebut.

Terhadap serangan daripada golongan musuh tersebut maka "cukuplah Allah sebagai wali (pelindung), dan cukuplah Allah sebagai penolong" (4:45).

 

2.  Orang-orang yang tidak percaya

Iaitu mereka yang tidak percaya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya. Firman-Nya,

"orang-orang yang tidak percaya adalah musuh yang nyata bagi kamu" (4:101).

Ketidakpercayaan kepada ayat-ayat Allah adalah perbuatan yang nyata. Ia boleh dilihat dengan jelas. Mereka yang mengamalkannya pula adalah musuh, yang nyata juga, bagi orang-orang yang percaya.

 

3.  Orang-orang yang tidak mempedulikan al-Qur'an

Mereka telah menjadi musuh kepada rasul Allah pada masa dahulu. Daripada ayat-ayat berikut, yang mengisahkan peristiwa pada hari akhirat, diketahui bahawa mereka terdiri daripada kaum rasul itu sendiri, iaitu orang Arab. Firman-Nya:

"Rasul berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan.' Begitulah Kami mengadakan bagi tiap-tiap Nabi musuh di kalangan orang-orang yang berdosa; tetapi Pemelihara kamu mencukupi sebagai pemberi petunjuk, dan sebagai penolong" (25:30-31).

Pada hari ini, orang-orang yang tidak mempedulikan al-Qur'an tidak terbatas kepada orang Arab sahaja.

 

4.  Orang-orang munafik

Mereka adalah orang-orang yang mengatakan percaya tetapi sebenarnya tidak percaya kepada al-Qur'an. Bukan itu sahaja yang menjadi tanda pengenalan bagi mereka. Tanda-tanda lain dijelaskan dengan ayat-ayat di bawah ini. Firman-Nya:

"Apabila kamu melihat mereka (orang-orang munafik), tubuh-tubuh mereka mengagumkan kamu; dan apabila mereka berkata, kamu mendengar ucapan mereka dan mereka seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka menyangka bahawa tiap-tiap teriakan adalah terhadap mereka. Mereka adalah musuh; maka berhati-hatilah terhadap mereka. Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan!" (63:4).

Orang-orang munafik itu sungguh mengagumkan apabila dilihat (mungkin kerana pakaiannya), dan sungguh enak didengar apabila mereka berucap. Kekuatan mereka terletak pada persaksian mereka ke atas kerasulan Nabi Muhammad. Kesaksian itu kemudiannya menjadi sumpah yang diguna sebagai selimut, atau topeng, untuk menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Begitulah bunyi kandungan ayat-ayat sebelum ayat tadi, yang menjelaskan lagi tanda-tanda pada orang-orang munafik. Ayat-ayat tersebut berbunyi,

"Apabila orang-orang munafik datang kepada kamu (Muhammad), mereka berkata, 'Kami mempersaksikan bahawa kamu benar-benar rasul Allah.' Dan Allah mengetahui bahawa kamu adalah benar-benar rasul-Nya, dan Allah mempersaksikan bahawa orang-orang munafik adalah benar-benar pendusta-pendusta.

"Mereka mengambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka menghalangi daripada jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa yang mereka buat" (63:1-2).

Allah menyuruh berhati-hati terhadap musuh itu, yang Dia sendiri memerangi.

 

5.  Orang-orang Yahudi dan Orang-orang yang sekutukan Allah

Mereka adalah musuh yang paling keras dalam permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya. Firman-Nya:

"Sungguh, kamu mendapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang mempersekutukan;" (5:82).

Orang-orang Yahudi tidak ternampak merayau-rayau di kalangan masyarakat Melayu. Mungkin golongan yang menyekutukan Allah boleh dilihat, berulang-alik di sana sini. (Sila rujuk karangan pendek "Ajaran Yahudi dalam Islam" dan artikel "Al-Qur'an dan sekutu Allah" selepas ini.) dan,

 

6.  Isteri dan anak 

Allah menasihatkan orang-orang yang percaya supaya memaafkan isteri-isteri dan anak-anak mereka yang menjadi musuh mereka, dan masalah itu diketepikan. Firman-Nya:

"Wahai orang-orang yang percaya, di kalangan isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu adalah musuh bagi kamu; maka berhati-hatilah terhadap mereka. Tetapi jika kamu memaafkan, dan mengenepikan, dan jika kamu mengampunkan, maka sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih" (64:14).

Tentu sekali tujuan berbuat demikian adalah untuk kebahagiaan rumah tangga. Selanjutnya, Allah memberi contoh isteri dan anak yang tidak percaya. Mereka terdiri daripada ahli keluarga Nabi-Nya sendiri, iaitu isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut (66:10), dan anak lelaki Nabi Nuh (11:42).

 

Permusuhan antara orang-orang yang percaya dengan yang tidak percaya adalah nyata. (Kesemua golongan musuh di atas dikategorikan sebagai orang-orang yang tidak percaya). Kebencian di kalangan mereka adalah selama-lamanya, kecuali mereka berubah kepada mempercayai Allah satu-satunya. Itulah iktibar daripada sebuah ayat al-Qur'an berbunyi,

"Kamu ada teladan yang baik pada Ibrahim, dan orang-orang yang bersama dia, apabila mereka berkata kepada kaum mereka, 'Kami berlepas diri daripada kamu dan apa yang kamu sembah selain daripada Allah. Kami tidak percaya kepada kamu, dan antara kami dan kamu, permusuhan adalah nyata, dan kebencian selama-lamanya, sehingga kamu mempercayai Allah satu-satunya'” (60:4). 

Permusuhan dan kebencian yang timbul tidak harus menjadi alasan untuk menyerang mereka. Atau, berperang dengan mereka. Mereka hanya diperangi apabila mereka memerangi. Firman Allah:

"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul" (2:190).

Sebaliknya pula, Allah menyuruh orang-orang yang percaya berbuat baik, dan berikhtiar untuk menjadikan musuh sebagai sahabat atau saudara mereka. Pendekatannya ditunjukkan Allah, seperti berikut:

 

berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka, dan menjadikan mereka sahabat. Mudah-mudahan dengan tindakan itu timbul rasa kasih sayang antara orang-orang yang bermusuhan. Firman-Nya:

"Mudah-mudahan Allah membuatkan, antara kamu dan orang-orang antara mereka yang kamu bermusuhan, rasa kasih sayang. Allah berkuasa; Allah Pengampun, Pengasih.

"Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu berbuat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil.

"Allah hanya melarang kamu terhadap orang-orang yang memerangi kamu dalam agama, dan mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, dan menyokong dalam pengusiran kamu, untuk kamu menjadikan mereka sahabat-sahabat. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang yang zalim" (60:7-9).

 

orang-orang yang percaya menangkis musuh dengan cara yang baik sekali. Dengan cara ini musuh boleh berubah menjadi sahabat yang setia. Firman-Nya:

"Tidaklah sama yang baik dengan kejahatan. Tangkislah dengan apa yang lebih baik, dan tiba-tiba, orang yang antara kamu dan dia dalam permusuhan, menjadi seakan-akan dia seorang wali (sahabat) yang setia" (41:34).

 

hidup bersatu hati. Hati disatukan dengan berpegang teguh pada tali Allah, iaitu al-Qur'an. Dengan itu musuh boleh bertukar hingga menjadi saudara. Firman-Nya:

"Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia menyatukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu menjadi bersaudara" (3:103).

 

Akhirnya, Allah menasihatkan supaya hidup dengan tolong-menolong antara satu sama lain. Akan tetapi, janganlah melakukannya untuk berbuat dosa dan menimbulkan permusuhan. Tolong-menolonglah dalam ketaatan dan takwa kepada Allah. Firman-Nya:

"Tolong-menolonglah kamu dalam ketaatan dan takwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa, dan permusuhan. Dan takutilah Allah; sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya" (5:2).

Petunjuk-petunjuk Allah itu dirasa sangat diperlukan untuk mengisi sedikit kekosongan nilai yang hadir di dalam masyarakat Melayu dewasa ini. Keadaan kelihatan mendesak supaya orang Melayu tidak memilih untuk hidup dalam permusuhan, sama ada dengan sesama sendiri atau dengan orang yang berlainan kulit, fahaman atau agama. 

Jalan untuk mereka kembali menjadi sahabat dan saudara kepada orang-orang yang sebangsa dan seagama, atau bangsa dan agama lain, masih tidak tertutup. Selagi ada kemahuan di situ ada jalan. Malah, petunjuknya sudah ditulis dengan jelas di dalam kitab suci al-Qur'an yang sedia dibuka, diselak, dibaca, difahami, diyakini, dan dituruti. Jalan-Nya mudah lagi tidak membebankan.

 

Rujukan:

Kalimat:
Musuh
di dalam al-Qur'an

Perang
di dalam al-Qur'an

Takwa di dalam al-Qur'an

Artikel:
Al-Qur'an dan Sekutu Allah
Ajaran Yahudi dalam Islam
Syurga dan orang bertakwa


Halaman Utama  Terkini  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman