Rezeki daripada Allah

 

The Star, Isnin 15 Julai 2002, muka 35 / Section 2

 

"Saya KAYA sebab saya BIJAK! Saya BIJAK sebab dulu saya HIDUP SUSAH! Saya HIDUP SUSAH sebab saya DIBENCI dan DITAKUTI. Saya DIBENCI dan DITAKUTI sebab saya KAYA. Saya KAYA sebab saya ... tunggu dulu. Biar saya mulakan sekali lagi," orang tua itu membebel.

Bebelan adalah hanya untuk merangsang orang-orang yang bekerja untuknya supaya berusaha dengan lebih tekun lagi. Namun, dia bersuara sedikit seperti si Karun, dan tersasul pula!

Begitulah Allah, Dia Yang Pemberi Rezeki - "Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki tanpa perhitungan" (2:212). Kepada siapa saja, tidak kira warna kulit atau agama, Dia memberi rezeki.

Sehubungan itu, Nabi Ibrahim telah memohon rezeki untuk orang-orang yang percaya sahaja, akan tetapi Allah menyatakan pula bahawa Dia memberinya jua kepada orang-orang yang tidak percaya di dunia ini. Firman-Nya:

"apabila Ibrahim berkata, 'Pemeliharaku, buatkanlah ini sebuah negeri yang aman, dan berilah rezeki penduduknya dengan buah-buahan, untuk mereka yang percaya kepada Allah dan Hari Akhir antara mereka.' Dia berkata, 'Sesiapa yang tidak percaya Aku akan memberikan kesenangan sedikit, kemudian Aku akan memaksa dia kepada azab Api; betapa buruknya satu kepulangan!'" (2:126).

Allah merezekikan manusia dengan benda-benda yang baik setelah Dia mencipta dan membentuk mereka dengan baik. Dia memuliakan mereka, dan melebihkan pemberian kepada mereka di atas kebanyakan daripada apa yang Dia cipta. Firman-Nya:

"Allah ialah Dia yang mencipta kamu, kemudian Dia merezekikan kamu" (30:40)

"Dia membentuk kamu, dan membentuk kamu dengan baik, dan merezekikan kamu dengan benda-benda yang baik" (40:64). 

"Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan melebihkan mereka dengan berlebihan di atas kebanyakan daripada apa yang Kami cipta" (17:70).

Bukan sahaja manusia, malah rezeki bagi semua makhluk di bumi adalah atas-Nya pun. Firman Allah:

"Tiada makhluk yang merayap di bumi melainkan atas Allah rezekinya" (11:6).

Rezeki daripada Allah datang dari langit dan bumi. Ia menjadi suatu isyarat untuk percaya kepada-Nya. Firman-Nya:

"Katakanlah, 'Siapakah yang memberi rezeki untuk kamu dari langit dan bumi?' Katakanlah, 'Allah. Sesungguhnya, sama ada kami atau kamu adalah di atas petunjuk yang benar, atau dalam kesesatan yang nyata'" (34:24).

Dengan rezeki dari langit, iaitu air yang diberkati, Dia mengeluarkan buah-buahan yang disebut berulang kali di dalam al-Qur'an. Daripada buah-buahan diperoleh minuman yang baik dan yang tidak baik. Dan, dengan air hujan itu pun tumbuh kebun atau taman, tanaman biji-bijian, pohon palma dan anggur di samping ia berjasa dalam menghidupkan tanah yang sudah mati. Firman-Nya:

"dan menurunkan dari langit, air; dengannya Dia mengeluarkan buah-buahan untuk rezeki kamu. Maka janganlah mengadakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya" (2:22).

"Kami menurunkan dari langit air yang diberkati, dan menumbuhkan dengannya jannah (kebun-kebun atau taman-taman), dan tanaman biji-bijian tuaian, Dan pohon-pohon palma yang tinggi dengan seludang-seludang berderet rapat, Rezeki untuk hamba-hamba, dan dengannya Kami menghidupkan tanah yang telah mati" (50:9-11).

"daripada buah-buahan palma dan anggur, kamu mengambil daripadanya minuman yang memabukkan, dan rezeki yang baik" (16:67).

Juga, binatang ternak yang dibela untuk pengangkutan dan makanan turut menjadi rezeki daripada Allah. Firman-Nya:

"Dan daripada binatang ternak, untuk pengangkutan dan untuk disembelih, makanlah daripada apa yang Allah merezekikan kamu" (6:142).

Selain di darat, hidupan di laut adalah rezeki daripada Allah juga. (16:14). 

Kesemuanya, daripada benda-benda yang baik yang direzekikan-Nya, hendaklah dimakan, namun dengan tidak melampaui batas supaya Dia tidak murka. Firman-Nya:

"Makanlah benda-benda yang baik yang Kami merezekikan kamu, tetapi janganlah melampaui batas padanya, atau kemurkaan-Ku akan turun kepada kamu; dan sesiapa yang diturunkan kepadanya kemurkaan-Ku, dia tercebur dalam kebinasaan" (20:81).

Perbuatan melampaui batas yang paling serius ke atas rezeki yang dikurniakan Allah ialah mengadakan hukum halal dan haram yang tidak diizinkan-Nya. Firman-Nya: 

"Katakanlah, 'Adakah kamu memikirkan rezeki yang Allah menurunkan untuk kamu, dan kamu membuat sebahagiannya haram, dan sebahagiannya halal?' Katakanlah, 'Adakah Allah memberi izin kepada kamu, atau kamu mengada-adakan terhadap Allah?'" (10:59).

"mereka mengharamkan apa yang Allah merezekikan mereka, dengan mengada-adakan terhadap Allah; mereka sesat, dan tidak mendapat petunjuk yang benar" (6:140).

Mengada-adakan hukum halal dan haram, yang tidak diizinkan-Nya, adalah perbuatan orang-orang yang sesat. Ia sama dengan mengada-adakan dusta terhadap Allah. Mereka yang melakukannya tidak mendapat petunjuk yang benar. Lazimnya, di kalangan masyarakat Islam, mereka yang menganjurkannya berselindung di bawah nama Nabi atau Rasul.

Walhal, Nabi atau Rasul tidak mengharamkan sesuatu selain daripada apa yang diharamkan Allah. Di bawah ini diturunkan sabda Nabi yang sebenar mengenai makanan yang diharamkan, berbunyi,

"Aku (Muhammad) tidak mendapati, dalam apa yang diwahyukan kepadaku, tiada yang diharamkan untuk dimakan kepada orang yang memakan daripada itu, kecuali ia bangkai, atau darah yang tercurah, atau daging babi - itu adalah kotoran - atau kefasiqan yang disucikan kepada selain daripada Allah; namun begitu, sesiapa yang terpaksa dengan tidak menginginkan, dan tidak juga menderhakai, sesungguhnya Pemelihara kamu Pengampun, Pengasih" (6:145).

Hadis Nabi itu datang dari Allah dan disuratkan di dalam al-Qur'an. Namun, ia tidak disenangi oleh sesetengah pengikut ulama palsu yang mentaati hukum halal dan haram tulisan orang zaman dahulu. 

Keingkaran dapat dikesan pada sesetengah pengikut tersebut. Mereka menyindir Allah dan Nabi melalui pertanyaan (dengan menggunakan bahasa yang kasar) yang dilempar kepada "orang-orang al-Qur'an" iaitu sama ada mereka makan cacing dan anjing, atau tidak. Sindiran mereka tidak menepati sasaran tetapi hanya menunjukkan bahawa ikutan mereka kelihatan seperti terpisah dari petunjuk Allah 20:81 yang sudah dimaklumkan terlebih dahulu.

Ayat tersebut menyuruh manusia makan benda-benda yang baik. Sekiranya cacing dan anjing baik untuk dimakan bagi seseorang maka makanlah mereka. Sebaliknya pula, jika mereka didapati tidak baik, misalan bagi kesihatannya, maka tinggalkanlah mereka. Akan tetapi, janganlah memfatwakan mereka sebagai makanan yang haram dimakan. Itu bukan hak hamba Allah. Hak untuk menghalal atau mengharamkan sesuatu benda adalah hanya atas Allah yang mencipta dan mengetahui segala sesuatu.

Malah, apa yang telah diharamkan-Nya pula diharuskan untuk dimakan bagi "sesiapa yang terpaksa dengan tidak menginginkan, dan tidak juga menderhakai" (sila rujuk ayat 6:145 tadi).

Ulama palsu turut mengharamkan sesetengah perhiasan yang direzekikan Allah. Misalannya, emas bagi kaum lelaki. Perbuatan itu juga dimurkai Allah. Kemurkaan-Nya terbayang pada ayat berikut:

"Katakanlah, 'Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang Dia mengeluarkan untuk hamba-hamba-Nya, dan benda-benda yang baik daripada rezeki-Nya?' Katakanlah, 'Ini, pada Hari Kiamat, adalah khas bagi orang-orang yang percaya di dalam kehidupan dunia ini.' Begitulah Kami menjelaskan ayat-ayat bagi kaum yang mengetahui" (7:32).

Orang-orang yang menolak pemberian daripada Allah harus merenungkan ayat yang menyusul, yang diulang sebanyak 31 kali dalam surah Ar-Rahman. Surah tersebut mengandungi hanya 78 ayat, dan ayat yang dimaksudkan berbunyi:

"Maka pemberian Pemelihara kamu yang manakah kamu dan kamu mendustakan?" (55:13).

Tiap-tiap tindakan ada tindak balas. Balasan ke atas orang-orang yang menolak rezeki daripada Allah ditunjukkan pada suatu persamaan di dalam al-Qur'an berbunyi,

"Allah membuat satu persamaan: sebuah bandar raya yang aman, tenteram, rezekinya datang kepadanya dengan senang dari tiap-tiap tempat, kemudian ia tidak percaya (kafir) akan rahmat-rahmat Allah; maka Allah merasakannya pakaian kelaparan dan ketakutan kerana apa yang mereka mengerjakan" (16:112).

Kerana itu didapati pakaian basahan sesetengah penduduk negara di dunia ini, termasuk beberapa negara Islam, atau terutamanya beberapa negara Islam, adalah kelaparan dan ketakutan.

Rezeki sudah disediakan-Nya di darat, di laut, dan di langit. Akan tetapi, ia tidak datang bergolek kepada manusia. Ia harus dicari atau diusahakan. Firman-Nya:

"Dia yang menundukkan untuk kamu laut, supaya kamu makan daripadanya daging yang segar, dan mengeluarkan daripadanya perhiasan-perhiasan untuk kamu pakai; dan supaya kamu melihat kapal-kapal membelahinya; dan supaya kamu mencari pemberian-Nya, dan supaya kamu berterima kasih" (16:14).

"Dan di langit rezeki kamu, dan apa yang kamu dijanjikan" (51:22).

"Kemudian, apabila solat telah diselesaikan, bertaburlah di bumi dan carilah pemberian Allah, dan ingatlah Allah dengan banyak agar kamu beruntung" (62:10).

Ingat akan Allah dengan banyak sambil sibuk mencari rezeki. Itu pesanan-Nya. Dia memberi petunjuk kepada Cahaya-Nya yang akan didapati di dalam rumah-rumah di mana nama-Nya disebut dengan banyak dan menyanjung-Nya pagi dan petang. Penghuninya, walaupun sibuk dengan perdagangan dan jual beli, namun tetap mengingati Allah, melakukan solat, memberi zakat dan takut akan akhirat. Pakaian hidup begini boleh menambahkan rezeki. Firman-Nya:

"Allah memberi petunjuk kepada Cahaya-Nya, siapa yang Dia mengkehendaki .... Di dalam rumah-rumah yang Allah mengizinkan untuk dinaikkan, dan nama-Nya diingatkan (disebut) di dalamnya; di dalamnya menyanjung-Nya, pagi dan petang, Adalah lelaki-lelaki yang perdagangan dan jual beli tidak memesongkan mereka daripada mengingati Allah, dan untuk melakukan solat, dan untuk memberikan zakat, dan takut akan satu hari apabila hati dan penglihatan dibalik-balikkan kepadanya. Supaya Allah membalas mereka kerana pekerjaan mereka yang paling baik, dan menambahkan kepada mereka daripada pemberian-Nya; dan Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki tanpa perhitungan" (24:35-38).

Pun begitu, ada pula disebut di dalam al-Qur'an mengenai rezeki yang datang dari arah yang tidak dijangkakan. Contoh, rezeki yang Allah sampaikan kepada perempuan yang diceraikan suami (65:3).

Disebut juga di dalam al-Kitab mengenai orang-orang yang mencari rezeki dengan cara jahat, iaitu menipu atau berdusta - "Adakah kamu membuatkan ia rezeki kamu untuk berdusta?" (56:82). Dusta paling berat, pada hemat penulis, adalah berdusta terhadap Allah, atau mengada-ada sesuatu dalam agama lalu menyatakan ia adalah ajaran Islam sebenar. Dan pendustaan demikian menjadi punca rezeki pula.

Turut bersalah adalah orang-orang yang membuatkan sebahagian daripada apa yang Allah merezekikan mereka kepada apa yang mereka tidak tahu. Penulis mendapati sukar untuk memberi sebarang contoh ke atasnya, kerana dia tidak tahu. Apapun, inilah bunyi ayat-Nya:

"Dan mereka membuatkan sebahagian daripada apa yang Kami merezekikan mereka kepada apa yang mereka tidak tahu. Demi Allah, kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu mengada-adakan" (16:56).

Adapun Allah, Dia menjulur dan menyempitkan rezeki manusia. Dia menjulurkan menurut ukuran. Kalau tidak, manusia akan membuat kesalahan di bumi. Firman-Nya:

"Tidakkah mereka melihat bahawa Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada siapa yang Dia mengkehendaki?" (30:37).

"Sekiranya Allah menjulurkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya, tentu mereka menyalahi di bumi; tetapi Dia menurunkan menurut ukuran apa sahaja yang Dia mengkehendaki" (42:27).

Contoh kesalahan tersebut terdapat pada kisah si Karun. Beginilah ceritanya:

"Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia menjadi angkuh kepada mereka kerana Kami memberinya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang yang mempunyai kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, 'Janganlah kamu berbangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri.

"'Tetapi carilah, dengan apa yang Allah memberikan kamu, tempat kediaman akhir, dan janganlah melupakan bahagian kamu di dunia ini; dan berbuatbaiklah, sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah mencari untuk membuat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.'

"Dia berkata, 'Apa yang aku diberi hanyalah kerana pengetahuan yang ada padaku.' Apa, tidakkah dia mengetahui bahawa Allah telah memusnahkan sebelum dia, generasi-generasi daripada orang-orang yang lebih kuat daripada dia dalam kekuatan, dan lebih banyak dalam kumpulan? Dan orang-orang yang berdosa tidak ditanya mengenai dosa-dosa mereka.

"Maka dia keluar kepada kaumnya dengan perhiasannya. Orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia berkata, 'Sekiranya kita mempunyai yang serupa dengan apa yang Karun diberi! Sesungguhnya dia seorang yang mempunyai peruntungan yang besar.'

"Tetapi orang-orang, yang kepada mereka diberi pengetahuan berkata, 'Celakalah kamu! Ganjaran Allah adalah lebih baik bagi orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan; dan tiada yang akan menerimanya kecuali orang-orang yang sabar.'

"Maka Kami membuatkan bumi menelannya dan tempat tinggalnya dan tidaklah ada golongan yang menolongnya, selain daripada Allah, dan dia tanpa pertolongan" (28:76-81).

Sesungguhnya, bunga kehidupan dunia menjadi idaman kebanyakan manusia yang rezekinya dirasakan sempit. Sepatutnya ia tidak diidamkan langsung kerana, seperti disebut tadi, ia adalah ujian daripada Allah. Ayat-ayat berikut menambah pelajaran mengenainya:

"Janganlah kamu memanjangkan mata-mata kamu kepada apa yang Kami memberikan pasangan-pasangan antara mereka, untuk bersenang dengan bunga kehidupan dunia, supaya Kami menguji mereka dengannya; dan rezeki Pemelihara kamu adalah lebih baik, dan lebih kekal" (20:131).

"janganlah kamu mengingini apa yang Allah melebihkan pemberian kepada sebahagian kamu di atas sebahagian yang lain. Bagi orang lelaki, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan, dan bagi orang perempuan, sebahagian daripada apa yang mereka mengusahakan. Dan mintalah kepada Allah pemberian-Nya; sesungguhnya Allah mengetahui segala sesuatu" (4:32).

Tersebut kisah orang yang menginginkan kedudukan si Karun yang kaya raya. Setelah Karun ditelan bumi bersama istananya, timbullah perasaan insaf padanya, seraya berkata:

"Dan pada waktu pagi, orang-orang yang menginginkan tempatnya (Karun) kelmarin berkata, 'Aduhai, Allah menjulurkan dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki daripada hamba-hamba-Nya. Sekiranya Allah tidak berbudi baik kepada kami, tentu Dia membuatkan kami ditelan juga. Aduhai, orang-orang yang tidak percaya tidak beruntung!'" (28:82).

Itu iktibar mengenai orang kaya. Bagi yang miskin pula, atau yang ingin menjadi kaya, sesetengah mereka melakukan sesuatu yang amat buruk, contoh, membunuh anak atau melacurkan hamba-hamba mereka. Firman-Nya:

"Dan janganlah membunuh anak-anak kamu kerana takut akan kemiskinan; Kami memberi rezeki untuk kamu dan mereka. Sesungguhnya pembunuhan mereka adalah kesalahan besar" (17:31).

"Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba pemudi kamu untuk melakukan pelacuran, jika mereka menghendaki kesucian, kerana kamu mencari keuntungan kehidupan dunia" (24:33).

Kurniaan rezeki yang banyak atau sedikit adalah ujian daripada Allah. Ada orang apabila diuji dengan kedua-duanya sikapnya terhadap Allah berubah-ubah, seperti yang dikisahkan pada ayat-ayat berikut, berbunyi,

"Adapun manusia, apabila Pemeliharanya mengujinya, dan memuliakannya, dan merahmatinya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku memuliakan aku.' Tetapi apabila Dia mengujinya, dan menyempitkan rezekinya baginya, maka dia berkata, 'Pemeliharaku menghina aku'" (89:15-16)

Perkataan "rezeki" di dalam al-Qur'an pun bermaksud perbelanjaan yang diberi oleh seseorang kepada orang lain. Contoh penggunaannya pada ayat-ayat al-Qur'an diturunkan di bawah ini:

"Adalah atas bapa untuk memberi rezeki dan pakaian mereka (anak-anaknya) dengan baik" (2:233). 

"janganlah kamu memberikan orang-orang yang bodoh harta mereka yang Allah melantik kamu untuk mengurusnya; berilah rezeki untuk mereka, dan pakaian mereka daripadanya" (4:5).

"apabila pembahagian itu (harta peninggalan orang yang meninggal dunia) dihadiri sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, maka berilah rezeki untuk mereka daripadanya" (4:8).

Kalimat "rezeki" berjumlah 123 kesemuanya. Ia didapati di dalam 109 ayat al-Qur'an. Ayat pertama yang mengandunginya dapat dikesan pada permulaan al-Qur'an, dan perkataan itu digabungkan dengan amalan "nafkah" (2:3). Nafkah pula disebut sebanyak 17 kali di dalam ayat-ayat yang mengandungi perkataan "rezeki". Jumlahnya bukan sedikit.

Ia menunjukkan betapa pentingnya amalan mengeluarkan nafkah daripada apa yang Allah rezekikan. Dua ayat berikut harus menjadi peringatan:

"Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitab Allah, dan melakukan solat, dan menafkahkan (membelanjakan) daripada apa yang Kami merezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia" (35:29).

"Nafkahkanlah daripada apa yang Kami merezekikan kamu sebelum kematian datang kepada salah seorang daripada kamu, dan dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mengapa tidak Engkau menangguhkan aku kepada satu tempoh yang dekat, supaya aku bersedekah, dan jadilah aku termasuk orang-orang yang salih (baik)'” (63:10).

Nafkah diberi kepada ibu bapa, sanak saudara, anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan orang-orang musafir (2:215). Ia pun diberi kepada orang-orang fakir yang terkepung di jalan Allah (2:273). Nafkah di jalan Allah boleh juga diberi dalam bentuk barang kemas seperti emas dan perak (9:34).

Sementara, "Sedekah adalah untuk orang-orang fakir (yang memerlukan), dan orang-orang miskin, dan yang beramal terhadapnya, dan orang-orang yang hatinya disatukan, dan memerdekakan hamba-hamba, dan orang-orang yang berhutang di jalan Allah, dan musafir" (9:60).

Bagi orang yang berhutang dan tidak mampu membayar hutangnya adalah lebih baik jumlah hutang itu disedekahkan kepadanya setelah diketahui ada kebaikan dengan berbuat demikian (2:280).

Nafkah dikeluarkan semasa senang dan susah. Firman-Nya:

"Hendaklah orang yang mempunyai keluasan menafkahkan menurut keluasannya. Bagi orang yang rezekinya disempitkan kepadanya, maka hendaklah dia menafkahkan daripada apa yang Allah memberinya. Allah tidak membebani sesuatu jiwa melainkan dengan apa yang Dia memberikannya. Sungguh, Allah akan membuatkan, setelah kesukaran, yang mudah" (65:7).

Oleh yang demikian, jauhkanlah daripada sifat kikir. Akibatnya buruk. Firman-Nya:

"orang-orang yang kikir dengan pemberian yang Allah telah memberikan mereka, janganlah mereka menyangka bahawa itu lebih baik bagi mereka; tidak, ia adalah lebih buruk bagi mereka. Apa yang mereka kikir dengannya akan digantung pada leher-leher mereka pada Hari Kiamat" (3:180).

"Orang-orang yang kikir, dan menyuruh manusia supaya menjadi kikir, dan mereka sendiri menyembunyikan pemberian yang Allah memberikan mereka, Kami menyediakan untuk orang-orang yang tidak percaya, azab yang hina" (4:37).

Selagi sifat kikir tidak dapat dikikis daripada diri sendiri maka janganlah berjanji untuk memberi orang yang memerlukan ketika memohon pemberian daripada Allah. Janji itu mungkin tidak dapat ditepati. Firman-Nya,

"Dan antara mereka ada yang membuat perjanjian dengan Allah, 'Jika Dia memberikan kami daripada pemberian-Nya, kami akan bersedekah, dan termasuk orang-orang yang salih.' Maka apabila Dia memberikan mereka daripada pemberian-Nya, mereka kikir dengannya, dan berpaling, dengan memalingkan" (9:75).

Sebenarnya, nafkah yang dikeluarkan tidak mengurangkan rezeki seseorang. Ia akan diganti oleh Allah. Janji-Nya tercatat seperti berikut:

"dan apa sahaja benda yang kamu menafkahkan, Dia akan menggantinya. Dia yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki'" (34:39).

Allah menggantikan nafkah yang dikeluarkan dengan berlipat kali ganda. Penggandaanya disebut di dalam sebuah persamaan berbunyi,

"Persamaan orang-orang yang menafkahkan (membelanjakan) harta mereka di jalan Allah seperti persamaan sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai bijirin. Pada tiap-tiap tangkai bijirin, ada seratus biji. Maka Allah menggandakan kepada sesiapa yang Dia mengkehendaki; Allah Merangkumi, Mengetahui" (2:261).

Rezeki daripada Allah sangat diperlukan untuk menyara hidup diri sendiri dan keluarga, dan untuk menolong orang lain atau berbelanja di jalan Allah. Rezeki haruslah dipohon (4:32 yang disebut lebih awal lagi) dan sebaik-baik masa untuk melakukannya adalah dalam solat. Itu dikiaskan di dalam ayat Allah bermaksud,

"suruhlah keluarga kamu bersolat, dan bersabarlah kamu padanya; Kami tidak meminta daripada kamu rezeki, tetapi Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu" (20:132).

Kesudahan bagi manusia adalah di akhirat. Di sana pun mereka diberi rezeki. Rezeki yang baik adalah bagi orang-orang yang percaya kepada Allah dan membuat kerja-kerja kebaikan. Firman-Nya:

"Seorang rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan dari kegelapan kepada cahaya. Sesiapa mempercayai Allah, dan membuat kerja-kerja kebaikan, Dia akan memasukkannya ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya, dan selamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan baginya rezeki yang baik" (65:11).

Rezeki yang baik di syurga adalah juga rezeki yang mulia. Justeru, berlumba-lumbalah untuk menjadi antara orang-orang yang akan mendapat semulia-mulia rezeki yang sedang menunggu untuk dinikmati di sisi Allah.

 

Rujukan:

Kalimat rezeki di dalam al-Qur'an
(dikemaskini 31 Ogos '02)

Kalimat pemberian di dalam al-Qur'an

Kalimat nafkah di dalam al-Qur'an

Kalimat sedekah di dalam al-Qur'an

 


Merdeka!
31 Ogos 2002

 

Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman