Mengecilkan kitab al-Qur'an

 

The Star, Sabtu 18 Mei 2002, muka 25

 

Berita di atas adalah mengenai kitab al-Qur'an yang paling kecil di dunia - panjang 19.6mm, lebar 13.2mm, tebal 6.1mm, dan berat 1.1g. Ia disimpan di sebuah muzium di negeri Cina, setelah dibawa masuk dari Mekah sebelum tahun 1949. Akan tetapi, asal usul dan butir-butir lanjut sejarahnya tidak diketahui.

Walaupun sekecil itu, isi kandungannya lengkap dan boleh dibaca dengan menggunakan mikroskop. Proses mengecilkan kitab al-Qur'an itu tentulah rumit sekali.

Begitulah keghairahan sesetengah orang Islam terhadap al-Qur'an. Yang lain pula, setelah mengecilkan kitab itu kepada saiz yang hampir sama dengan tadi, menyimpannya di dalam sebuah sangkar diperbuat daripada emas dengan ukiran yang halus. Saiz sangkar tersebut hanya cukup untuk memuatkan kitab itu yang dimasukkan ke dalamnya melalui sebuah pintu miniatur. Sangkar itu digantung pada seutas rantai leher emas untuk menjadi sebuah loket yang unik lagi menarik.

Al-Qur'an bahasa asal sangat disanjung. Ia boleh didapati di tiap-tiap rumah orang Melayu. Ada yang disimpan di dalam almari sebagai item pameran kerana kecantikan hiasan kulit dan halamannya, dan ada yang dibalut dengan kain kuning dan disimpan di atas almari bilik tidur. Ada pula yang disimpan di atas rehal berdekatan dengan tempat solat untuk dibaca pada malam Jumaat, dengan tanpa difahami, atau dibaca ketika ada kematian, dengan tanpa difahami juga. Tidak kurang juga bilangannya yang disimpan di dalam gerobok hingga dimakan anai-anai, dan bermacam-macam ragam lagi.

Sesungguhnya kebanyakan orang Melayu atau orang Islam amnya merasakan mereka sudah memuliakan kitab suci itu.

Namun, Allah turunkan Kitab yang mulia itu untuk dibaca serta difahami (12:2 dan 43:3). Kitab-Nya dimudahkan untuk manusia (54:17, 54:22, 54:32 dan 54:40), dan dibuat-Nya jelas (15:1, 27:1 dan 36:69). Bahasa Arabnya pun jelas (16:103 dan 26:195).

Kitab itu adalah lengkap (6:38, 12:111 dan 16:89) untuk menjadi petunjuk kepada jalan-Nya yang paling tegak (17:9). Agar manusia hidup sejahtera di dunia, dan di akhirat.

Tambahan pula, Allah berjanji memelihara mesej-Nya (15:9) hingga ke akhir zaman supaya manusia tidak dapat ditipu atau dipesong daripada ajaran agama-Nya yang sebenar. Di akhirat nanti tentu manusia akan ditanya mengenainya, seperti Nabi ditanya (25:30 dan 43:44).

Akan tetapi, muncul pula satu golongan, sejak dari zaman dulu lagi, yang cuba menjauhkan manusia daripada al-Qur'an. Mereka menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Allah, seperti Kitab itu dan bahasa Arabnya sukar difahami, dan untuk memahaminya pula, perlu mempelajari sesuatu ilmu yang ada hanya pada mereka. Malah, mereka mengisyaratkan bahawa hanya golongan mereka sahaja yang berhak ke atas al-Qur'an kerana, kononnya, merekalah yang paling dekat dengan Nabi.

Ajaran lain, seperti berwuduk sebelum menyentuh al-Qur'an, dan dapat pahala membaca seluruh al-Qur'an dengan hanya membaca (tanpa memahami) tiga kali sebuah surah yang pendek, adalah tidak lain, akan hanya menjauhkan manusia daripada ajaran al-Qur'an, iaitu ajaran sebenar agama Islam.

Di samping itu, mereka menerbitkan kitab-kitab lain seolah sebagai ganti (28:49). Kitab-kitab itu penuh dengan janji ganjaran pahala dan cerita-cerita menarik untuk mengasihani Nabi seperti kasih penganut agama lain terhadap Nabi atau pengasas mereka, yang berakhir dengan mereka (Nabi atau pengasas) dijadikan tuhan. 

Kitab-kitab tersebut dinobatkan wajib dipercayai. Sesiapa yang menolaknya dihukumkan sebagai anti-agama, atau sesat, atau kafir.

Oleh kerana itu, al-Qur'an tidak berfungsi seperti yang ditetapkan Allah lalu jadi kecil untuk hanya disimpan sebagai item pameran atau artifak, atau disangkarkan dan digantung di leher sebagai barang perhiasan sahaja.

 

Keratan Akhbar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Penemuan
Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman