Utusan Malaysia, 19 Julai 1995, muka 4
Penulis didakwa menjadi seorang murtad kerana menterjemahkan al-Qur'an tanpa "ilmu"! Ilmu yang dimaksudkan ialah "ilmu Islam" yang menjadi basahan penuduh di atas. Bukti kepada dakwaan itu tidak pula dikemukakan. Mungkin sebab beliau terlepas pandang ayat-ayat al-Qur'an yang mengajar supaya menunjukkan bukti apabila membuat sesuatu dakwaan (21:24 dan 27:64), terutamanya yang berat seperti ini.
Lagi, tafsiran kepada kata murtad dan fatwanya, sebagaimana yang disebut oleh Timbalan Presiden Pas itu, didapati berlainan dengan apa yang Allah wahyukan kepada Nabi-Nya yang terakhir. Inilah bunyi wahyu Allah, yang juga menjadi sabda Nabi-Nya mengenai orang murtad:
"... sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela" (5:54).
Dengan itu, dipelajari bahawa hanya Allah yang akan mengambil tindakan ke atas orang-orang murtad (yang berpaling atau keluar) daripada agama-Nya. Manusia tidak disuruh berbuat demikian. Itu hak Allah bukan hak manusia. Melainkan manusia itu ingin menjadi seperti-Nya (21:29)!
Tambahan pula, dalam kes "dapat, atau tidak dapat, petunjuk" seperti ini, haruslah diingat bahawa hanya Allah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Dia kehendaki (2:142, 2:213, 6:88, 10:25, 14:4, 16:93, 22:16, 24:46, 35:8, 39:23, 42:52, 74:31). Malah, Nabi sendiri tidak dapat memberi petunjuk kepada orang lain termasuk orang-orang kesayangannya (2:272 dan 28:56).
Justeru, ditegaskan lagi iaitu tindakan ke atas orang-orang murtad bukanlah urusan manusia, kerana dikhuatiri bahawa manusia yang menuduh serta ingin mengambil tindakan itu sendiri merupakan orang yang tidak dapat petunjuk yang sebenar daripada Allah!
Namun, tokoh Pas tersebut menegaskan bahawa hukum murtadnya adalah menurut agama Islam. Walhal, agama Islam adalah agama Allah. Agama Allah berpandukan al-Qur'an, sementara hukum murtadnya tidak, tetapi menuruti suatu seruan yang selain daripada Allah.
Kerana menyatakan hukum murtadnya hukum Islam maka ia seakan-akan melakukan satu pendustaan terhadap Allah. Berdusta terhadap Allah adalah zalim. Kezalimannya disahihkan lagi dengan perbuatan tidak menghakimkan menurut apa yang Allah turunkan.
Dua ayat Allah yang berikut adalah bukti-bukti yang jelas kepada kenyataan-kenyataan tersebut:
"Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Mereka itu, bahagian mereka daripada Kitab akan sampai kepada mereka sehingga, apabila rasul-rasul Kami datang kepada mereka untuk mematikan mereka, mereka berkata, 'Di manakah apa yang kamu seru selain daripada Allah?' Mereka berkata, 'Mereka telah hilang daripada kami', dan mereka menyaksikan terhadap diri-diri mereka sendiri bahawa mereka adalah orang-orang yang tidak percaya" (7:37).
"Dan sesiapa yang tidak menghakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim" (5:45).
Oleh yang demikian, maka sahlah, hukum murtadnya, yang membawa hukum mati, berbau kezaliman, yang bukan bau Islam sebenar.
Tokoh politik dan agama tersebut turut menyatakan iaitu "penyelewengan di dalam buku kontroversi Bacaan itu jelas merupakan satu rangkaian pakatan antarabangsa untuk menjatuhkan Islam" (perenggan kedua).
Sebenarnya, penulis tidak begitu arif dengan pegangan atau fahaman tokoh-tokoh yang disebut itu; tidak juga dia menyedari akan adanya satu rangkaian pakatan antarabangsa untuk menjatuhkan Islam oleh orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an.
Sebaliknya, dia melihat pada apa yang berlaku di dunia hari ini, dan tindakan kejam sesetengah orang yang mengaku Islam itu sebagai satu petunjuk yang jelas daripada Allah, agar orang-orang yang mengaku Islam kembali kepada ajaran asal, iaitu ajaran kitab al-Qur'an - kitab yang menjadi basahan Nabi Allah yang terakhir dan yang disampaikannya kepada seluruh umat manusia.
Sekiranya orang Islam tidak balik kepada ajaran Allah dan terus mengamalkan Islam seperti yang dipakai oleh tokoh Pas tersebut maka adalah ditakuti bahawa Islam akan menjadi agama yang paling zalim di dunia pada hari ini. Akibatnya, cubaan yang keras daripada Allah tentu akan turun dan dirasakan oleh bukan sahaja orang-orang yang melakukan kezaliman tetapi semua rakyat negara ini (8:25).
Sila rujuk:
Kalimat murtad di dalam al-Qur'an
Kalimat bunuh di dalam al-Qur'an
Hudud Pas (Sunni) berbanding hudud Allah
Dusta & Hadis Murtad
Syariat Agama
Murtad: Al-Qur'an Tidak Dirujuk
Halaman Utama Terkini Artikel Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar English Articles
Tulis kepada Pengurus Laman