Berita Harian, 20 Julai 1995, muka 1


Solat dan kejahatan

 

Soal agama adalah sensitif bagi semua pihak. Rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh orang-orang zaman dahulu didapati tidak boleh ditegur lagi walaupun dengan hujah yang berlandaskan ayat-ayat al-Qur'an. Apatah seterusnya untuk mempersoalkan mengenai solat yang dianggap sebagai tiang agama oleh umat Islam.

Justeru itu, janganlah baca tulisan ini untuk menyangkal, atau menyalahkannya, atau untuk mempercayainya jua, tetapi bacalah ia menurut tujuan sebenar ia ditulis, iaitu untuk dipertimbangkan sahaja.

Kegusaran akan menyala apabila solat dipertikaikan, seperti dirakamkan di perenggan keenam berita di atas berbunyi,

"Buku itu (Bacaan) dikatakan bercanggah dengan ajaran Islam kerana mengajar penganutnya sembahyang tiga kali sehari seperti dituntut Islam."

Tulisan itu mengelirukan, kerana tidak terdapat kenyataan mengenai ajaran tersebut di dalam buku itu. Yang menyebut solat sebanyak tiga kali sehari ialah penulis. Dia berpendapat demikian berdasarkan sebuah ayat al-Qur'an bermaksud,

"Dan lakukanlah solat pada dua tepi siang, dan awal malam; sesungguhnya perbuatan baik menghilangkan kejahatan. Itu adalah satu peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat" (11:114).

Solat dikatakan tiga kali (tiga waktu, sebenarnya) sehari semalam setelah menambahkan "dua tepi siang" dengan "awal malam". Namun, itu bukanlah satu-satunya mesej yang disampaikan oleh ayat Allah tersebut. Ayat itu pun menyatakan bahawa:

  • solat (tiga waktu itu) adalah perbuatan baik,

  • ia menghilangkan kejahatan, dan

  • itu adalah peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat.

Antara tiga yang dinyatakan, mesej yang mengandungi maksud solat berfungsi sebagai penghilang kejahatan ingin diketengahkan di sini. Ia memberi gambaran iaitu orang yang melakukan solat tidak akan buat jahat.

Perkataan kejahatan pada ayat 11:114 tadi diterjemah daripada kalimat sayyi'ah yang diguna di dalam al-Qur'an. Oleh kerana Kitab itu lengkap (6:38, 12:111, 16:89), ia memberi banyak contoh bagi apa yang disifatkan sebagai kejahatan. 

Contoh-contoh yang diturunkan di sini dipetik daripada ayat-ayat yang mengandungi kalimat tersebut dan kalimat lain yang seakar dengannya seperti sa'a dan asa'a.

Contoh kejahatan yang pertama di dalam al-Qur'an, dan di sini, ialah orang-orang yang menulis kitab dan mengatakan kandungannya adalah daripada Allah, padahal bukan daripada Allah. Seperti orang-orang yang menulis Hukum Hudud, hukum halal haram, rukun sembahyang, dan sebagainya, dan mengatakan tulisan mereka adalah ajaran Islam sebenar tetapi bukan daripada Allah. Mereka turut menyatakan bahawa neraka adalah tempat sementara sahaja bagi orang-orang yang dimasukkan ke dalamnya, walhal ia bukan. Ayat-ayat yang menyebut kejahatan tersebut berbunyi:

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang menulis al-Kitab dengan tangan-tangan mereka, kemudian mereka berkata, 'Ini daripada Allah,' ..... Dan mereka berkata, 'Api tidak akan menyentuh kami kecuali beberapa hari yang terhitung.' ..... Ia, sesiapa yang mengusahakan kejahatan, dan diliputi pelanggarannya, mereka itulah orang-orang Api (neraka); di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya" (2:79-81).

Bagaimana kalau orang-orang yang menulis itu nampak alim, yang tidak pernah meninggalkan solat lima waktu dan ditambah lagi dengan solat-solat "sunat"? Tentu ini bererti bahawa solat-solat mereka tidak berfungsi sebagai penghilang kejahatan yang mengalir dalam jiwa mereka.

Di kalangan orang Islam ada yang munafik. Mereka bersolat juga di samping melakukan kejahatan. Kejahatan jelas kelihatan pada kesaksian mereka ke atas kerasulan Nabi Muhammad berbunyi,

"Nasyadu innaka larasuulu Allah" (ayat 1, surah 63). 

Sebutan itu bererti "Kami menyaksikan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar Rasul Allah." Kesaksian itu selanjutnya menjadi sumpah yang berperanan pula sebagai selimut untuk menghalangi orang lain daripada jalan Allah. Firman-Nya,

"Mereka mengambil sumpah-sumpah mereka sebagai selimut, kemudian mereka menghalangi daripada jalan Allah. Sesungguhnya mereka, adalah jahat apa yang mereka buat" (ayat 2, surah 63).

Kesaksian atau sumpah orang munafik ke atas kerasulan Nabi Muhammad diguna untuk menghalangi orang lain daripada jalan yang ditunjukkan Allah di dalam al-Qur'an. Kejahatan ini mungkin serupa dengan orang-orang yang menggunakan nama Rasul atau Nabi untuk menjauhkan orang lain daripada ajaran al-Qur'an atau jalan Allah. Itu contoh kejahatan yang kedua di sini.

Ada lagi orang yang menghalangi jalan Allah tetapi dengan "menjual" ayat-ayat-Nya. Ayat-ayat itu tidak dijual secara literal, tetapi disembunyikan untuk kepentingan diri dan dunianya. Dengan berbuat demikian, kebenaran atau jalan Allah dapat dihalangi supaya keuntungan berpihak kepadanya. Kejahatan itu disebut di dalam ayat berikut:

"Mereka menjual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit, dan menghalangi daripada jalan-Nya; sesungguhnya amatlah jahat apa yang mereka buat" (9:9).

Contoh ketiga itu dituruti dengan dua contoh kejahatan lain yang agak lebih luas dilakukan, iaitu tidak percaya kepada ayat-ayat Allah (4:18) dan mendusta serta memperolok-olokkannya (30:10). Kejahatan-kejahatan itu turut dilakukan oleh sesetengah orang yang kelihatan alim. Kadangkala didapati semakin kelihatan alim seseorang itu, dengan banyak bersolat, semakin degillah dia terhadap ayat-ayat Allah.

Orang-orang zalim pun dikategorikan sebagai orang-orang yang membuat kejahatan (39:48). Ini contoh keenam. Untuk mengetahui siapa sebenarnya orang-orang zalim sila rujuk karangan berjudul Siapa sebenarnya orang zalim. Apabila menyebut orang zalim teringat akan kisah seorang teroris yang telah membunuh beberapa orang awam yang tidak memeranginya. Dia diberitakan tidak pernah meninggalkan solat. Namun, solatnya gagal untuk menjauhkan dirinya daripada kejahatan membunuh dan merosakkan harta benda orang lain.

Mengharamkan apa yang tidak diharamkan Allah adalah satu lagi contoh kejahatan di dalam al-Qur'an. Sebab utama ia dilakukan kerana mengikuti bapa-bapa atau orang-orang zaman dulu. Oleh kerana tidak mentaati Allah dalam hukum haram maka perbuatan itu menyamai perbuatan menyekutukan-Nya (kerana mentaati ajaran selain daripada-Nya) atau menyembah selain daripada Allah. Firman-Nya,

"Maka kejahatan-kejahatan yang mereka buat menimpa mereka, dan mereka diliputi oleh apa yang mereka memperolok-olokkan. Orang-orang yang mempersekutukan berkata, 'Sekiranya Allah menghendaki, tentu kami tidak menyembah, selain daripada Dia, sesuatu, kami dan tidak juga bapa-bapa kami, dan tidak juga kami mengharamkan, selain daripada Dia, sesuatu.' Begitulah orang-orang yang sebelum mereka telah buat; tiadalah atas rasul-rasul, melainkan untuk menyampaikan yang jelas" (16:34-35).

Mereka tidak mentaati Allah kerana tidak diajar. Sebaliknya mereka diajar supaya mentaati, kononnya, ajaran rasul yang mulia seperti yang dilakukan oleh orang-orang dahulu. Ajaran Allah disangka tidak lengkap, maka pada hemat mereka, rasullah yang melengkapkan sehingga menjadi ajaran Islam sebenar. Mereka tidak menerima tugas rasul sebagai hanya menyampaikan ayat-ayat Allah, seperti yang dinyatakan oleh Allah tadi. (Sila rujuk ayat 5:92 dan 24:54 juga). Ayat-ayat yang menegaskan tugas rasul hanya untuk menyampaikan ayat-ayat Allah telah diperolok-olokkan orang sesetengah orang yang kelihatan alim atau pandai dalam agama, tetapi jahat. Hampir kesemua mereka didapati melakukan solat dengan banyak.

Sesetengah ucapan dianggap jahat. Allah tidak menyukainya kecuali diucap oleh orang-orang yang dizalimi. Ayat yang mengandungi contoh kejahatan yang kelapan di sini berbunyi:

"Allah tidak menyukai kelantangan ucapan yang jahat, kecuali orang yang dizalimi; Allah adalah Mendengar, Mengetahui" (4:148).

Ucapan yang jahat nampak bagai sudah dihalalkan amalannya di kalangan anggota masyarakat Islam yang menganggap diri sudah suci. Siapa saja yang tidak berkenan di hati menjadi bahan untuk umpatan, cercaan dan fitnahan mereka.

Ia dilemparkan juga ke arah orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah. Lantaran, kata-kata yang jahat maksudnya seperti "orientalis", "zionis", "musuh Islam", "menghina Nabi" dan "sesat" dibaling kepada mereka. Perbuatan jahat terhadap orang-orang yang percaya tidak terbatas pada lidah sahaja, malah melanjut kepada tangan orang-orang jahat. Kalau mereka boleh, hendak dibunuhnya pula orang-orang yang percaya. Kejahatan itu dilakukan supaya orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah menjadi tidak percaya macam mereka. Firman-Nya,

"Jika mereka menjumpai kamu, mereka akan menjadi musuh kamu, dan menjulurkan kepada kamu tangan-tangan mereka dan lidah-lidah mereka, untuk membuat kejahatan kepada kamu, dan mereka menginginkan supaya kamu tidak percaya" (60:2).

Dengan itu solat yang dilakukan oleh mereka adalah sia-sia belaka - umpama solat orang-orang yang melakukan kejahatan zina (17:32) dan homoseksual (21:74).

Demikianlah sepuluh contoh kejahatan yang dipetik daripada ajaran Allah, iaitu ajaran Islam sebenar. Untuk mengetahui selanjutnya sila layari halaman Kalimat jahat di dalam al-Qur'an selepas ini.

Orang-orang yang melakukan kejahatan, yang solatnya jadi terbuang kerana tidak mencegahnya daripada perbuatan jahat, harus bertaubat. Firman-Nya,

"Allah hanya menerima taubat orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian dengan segera bertaubat; Allah akan menerima taubat mereka, dan Allah adalah Mengetahui, Bijaksana" (4:17).

"Dan orang-orang yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan percaya, sesungguhnya Pemelihara kamu sesudahnya, Pengampun, Pengasih" (7:153).

"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang membuat kejahatan dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih" (16:119).

Selain menjadi penawar untuk menghilangkan kejahatan, solat juga "melarang kesumbangan dan mungkar" (29:45). Kesumbangan lazimnya dikaitkan dengan perbuatan yang tidak sedap didengar atau dilihat. Itu termasuk keinginan seks yang jahat seperti zina dan seks sejenis atau homoseksual bagi lelaki dan perempuan. Sementara mungkar pula bermaksud segala perbuatan yang bertentangan dengan perbuatan baik seperti suruhan Allah.

Mengapakah solat sesetengah orang Islam tidak menghilangkan mereka daripada perbuatan jahat dan menjauhkan daripada kelakuan sumbang dan mungkar? Adakah kerana orang-orang itu sedia jahat dan tidak boleh dibetulkan lagi, atau solat mereka tidak dilakukan dengan ikhlas, atau kerana tidak mengikuti ajaran Allah yang diketahui akan menghakimkan segala amalan manusia nanti?

Adalah satu kesilapan besar untuk mengatakan bahawa Allah tidak mengajar cara melakukan solat di dalam al-Qur'an. Cara yang ditunjukkan-Nya tidak ketat, banyak bergantung pada keikhlasan dan kemampuan diri sendiri. Tidak sama solat yang diajar oleh ulama palsu. Malah, terdapat beberapa kemungkaran dalam solat yang diajar oleh mereka. Antaranya adalah lima yang berikut:

1. Waktu solat

Maksud firman Allah:

"sesungguhnya solat adalah satu waktu yang dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin" (4:103).

Banyak masa terbuang kerana tidak mengikuti waktu solat yang telah ditentukan Allah. Misalnya masa bekerja, berniaga dan, yang membimbangkan sekali, ialah masa belajar di sekolah sesi petang. Sedikit masalah disiplin dikatakan timbul akibat pelajar dan guru meninggalkan kelas untuk menunaikan ibadah solat.

2. Ucapan dalam solat

Maksud firman Allah:

"janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu mengetahui apa yang kamu mengucapkan" (4:43).

Ucapan dalam solat harus difahami. Kalau tidak, ia menyerupai orang mabuk. Ulama palsu mengajar solat hendaklah dalam bahasa Arab walupun tidak difahami.

3. Suara dalam solat

Maksud firman Allah:

"Dan janganlah kamu melantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu" (17:110).

Suara dalam semua solat haruslah tidak begitu kuat dan tidak disenyapkan, tetapi dengan nada yang di pertengahan. Ulama palsu mengajar ada solat atau sebahagian daripadanya dilakukan dengan senyap dan ada yang tidak.

4. Seru selain Allah

Maksud firman Allah:

"Masjid-masjid adalah kepunyaan Allah; maka janganlah seru, berserta Allah, sesiapa pun" (72:18).

Apapun sebab nama-nama Nabi disebut, atau dipanggil, atau diseru, dalam solat adalah bertentangan dengan tujuan solat dilakukan, iaitu untuk menuluskan agama kepada-Nya, menyeru hanya nama-Nya, mengingati-Nya, menyanjung-Nya dan memohon kepada-Nya. Dan,

5. Wuduk

Maksud firman Allah:

"basuhlah muka kamu, dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu, dan kaki kamu hingga pergelangan kaki" (5:6).

Allah mengajar empat bahagian anggota badan untuk dibersihkan, tetapi ulama palsu mengajar lebih banyak daripada itu. Siapakah Tuhan sebenar?

Lima adalah satu bilangan yang banyak, mungkin terlalu banyak, untuk melakukan kemungkaran terhadap Allah. Masih ingatkah kisah Iblis yang melanggar hanya satu perintah Allah lalu menjadi kafir, tercela dan kotor?

Solat (yang betul) menghapuskan segala kejahatan, kesumbangan dan kemungkaran dalam diri. Sekiranya sifat-sifat itu masih bernafas di dalam diri maka haruslah dinilai semula solat yang dilakukan. Sifat-sifat tersebut menjadikan diri tidak suci. Seiringan itu solat dikatakan pula sebagai penawar untuk menyucikan diri (35:18) selain diri dapat disucikan dengan memberi harta sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang sangat bertakwa (92:18).

Rasanya tulisan sudah mencukupi untuk dipertimbangkan kali ini. Ia diakhiri dengan dua buah firman Allah untuk renungan bersama, berbunyi:

"... ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah mengajar kamu apa yang kamu tidak tahu" (2:239).
(solat adalah satu daripada cara untuk mengingati-Nya)

"Dan takutilah Allah; Allah mengajar kamu, dan Allah mengetahui segala sesuatu" (2:282).

Rujukan:

Kalimat Pilihan:
Jahat di dalam al-Qur'an
Solat di dalam al-Qur'an
Sumbang di dalam al-Qur'an
Mungkar di dalam al-Qur'an
Masjid di dalam al-Qur'an
Munafik di dalam al-Qur'an
Haram di dalam al-Qur'an
Taubat di dalam al-Qur'an

Artikel:
Siapa sebenarnya orang zalim

Tajuk lain bagi solat di laman web ini:
Solat menurut al-Qur'an
Solat dan Sembah
Solat lengkap
Solat pada Hari Berkumpul
Pakaian solat, takwa & kaafiruun


Halaman Utama  Terkini  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman