Kerosakan di Bumi
mengikut petunjuk al-Qur'an
Para malaikat telah mengetahui, sebelum Adam dicipta, bahawa manusia akan membuat kerosakan di bumi dengan menumpahkan darah. Namun, Allah meneruskan rancangan-Nya kerana Dia tahu apa yang mereka tidak tahu. Firman-Nya,
"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Aku akan meletakkan di bumi khalifah (pengganti).' Mereka berkata, 'Adakah Engkau meletakkan di dalamnya orang yang akan membuat kerosakan di dalamnya dan menumpahkan darah, sedang kami menyanjung dengan memuji-Mu dan memanggil Engkau Suci?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.'" (2:30)
Mungkin apa yang mereka tidak tahu ialah mengenai Iblis, yang hanya dikenali selepas Adam dicipta. Ia sombong dan kafir (tidak percaya).
Manusia sejak dari zaman anak Adam, yang membunuh saudaranya, telah menumpahkan darah hingga ke hari ini. Sebab-sebabnya banyak. Cukuplah dengan mengatakan bahawa mereka tidak takut kepada Tuhan.
Pertumpahan darah, yang turut dilakukan oleh orang Islam, lazimnya berlaku dalam peperangan. Kadangkala ia perlu dilakukan, umpamanya untuk mengusir orang-orang yang membuat kerosakan di bumi. Seperti Nabi Daud yang membunuh Jalut. Sekiranya Jalut tidak dibunuh dan tenteranya dikalahkan maka rosaklah bumi ketika itu. Firman-Nya,
"Dan mereka mengalahkan mereka, dengan izin Allah, dan Daud membunuh Jalut; ..... Sekiranya Allah tidak mengusir manusia, sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, tentu rosaklah bumi, tetapi Allah mempunyai pemberian kepada semua alam." (2:251)
Sama dilakukan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, atau dengan perkataan lain, memerangi Islam. Dengan tindakan itu mereka membuat kerosakan di bumi. Firman-Nya,
"Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk membuat kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib, atau tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau mereka dibuang daripada bumi." (5:33)
Orang-orang yang menyalakan api untuk perang juga ditakrif sebagai membuat kerosakan di bumi (5:64).
Kerosakan berlaku apabila raja-raja memasuki sesebuah bandar raya untuk menawannya. Dan orang-orang yang berkuasa di dalamnya dijadikan rendah. Demikian kata Ratu Sabak kepada pembesar-pembesarnya setelah menerima surat Nabi Sulaiman yang mengajak baginda menjadi muslim. Al-Qur'an menceritakan,
"Dia berkata, 'Raja-raja, apabila mereka memasuki sebuah bandar raya, merosakinya dan membuatkan penduduknya yang perkasa rendah. Begitulah mereka buat.'" (27:34)
Pada hari ini raja-raja tidak berperanan seperti zaman dahulu. Tempat mereka diambil alih oleh orang-orang tertentu tetapi kerosakan yang berlaku pada sesebuah bandar raya apabila mereka memasukinya adalah serupa dengan zaman dahulu, atau lebih dahsyat lagi.
Yajuj dan Majuj, yang dikatakan membuat kerosakan di bumi, telah bercadang untuk memasuki sebuah tempat. Untuk menghalangi mereka, dan berlindung daripada kejahatan mereka, satu benteng telah didirikan oleh Zul-Karnain (18:94). Benteng itu tidak dapat ditembusi mahupun didaki (18:97).
Selain daripada membina benteng, seperti Tembok Besar di negeri Cina, Allah menyuruh lari daripada orang-orang yang membuat kerosakan di bumi. Nabi Musa telah disuruh membawa keluar Bani Israil dari Mesir kerana Firaun membuat kerosakan dengan "meninggi di bumi, dan dia memecah-belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, menghinakan segolongan antara mereka, mengorbankan anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup perempuan-perempuan mereka," (28:4).
Lari, atau berhijrah, dan terus berjuang di jalan-Nya dengan harta dan jiwa, sambil orang-orang lain memberi perlindungan dan pertolongan, adalah dituntut Allah (8:72), semata-mata untuk mengelak daripada berlaku penganiayaan dan kerosakan yang besar di bumi. Firman-Nya,
"Bagi orang-orang yang tidak percaya, mereka adalah wali-wali satu sama lain. Jika kamu tidak buat ini (8:72), akan jadilah penganiayaan di bumi, dan kerosakan yang besar." (8:73)
Setelah bumi diperbetulkan Allah berpesan, "Janganlah membuat kerosakan di bumi setelah ia diperbetulkan, dan berserulah kepada-Nya dengan rasa takut, dan penuh harapan. Sesungguhnya pengasihan Allah dekat dengan orang-orang yang berbuat baik." (7:56)
Perbincangan mengenai kerosakan di bumi diteruskan dengan menyebut mengenai orang-orang yang berkata percaya kepada Allah dan Hari Akhir tetapi sebenarnya mereka tidak percaya. Mungkin kerana mereka tidak takut kepada ancaman yang dijelaskan di dalam al-Qur'an atau mereka mempunyai penjelasan yang berlainan mengenai Hari Akhir.
Kerosakan yang mereka lakukan, seperti menyuruh orang ramai percaya sebagaimana mereka percaya, adalah dibuat dengan tanpa disedari oleh mereka. Iktibar diambil daripada ayat-ayat berbunyi,
"Apabila dikatakan kepada mereka, 'Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi', mereka berkata, 'Kami hanyalah orang-orang yang membetulkan.' Sesungguhnya, merekalah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak menyedari." (2:11-12)
Mereka itu adalah orang-orang munafik yang ciri-cirinya termasuk menaik saksi atas kerasulan Muhammad dan menggunakan kesaksian itu untuk menghalang orang lain daripada jalan Allah.
Orang-orang yang memecahkan perjanjian setelah diikat dengan teguh, dan yang memutuskan apa yang Allah perintah supaya dihubungkan (13:25), dan mereka yang hati berpenyakit yang memutuskan hubungan pertalian darah (47:22) adalah juga orang-orang yang membuat kerosakan di bumi.
Pencuri pun dikatakan membuat kerosakan di bumi (12:73), berserta orang-orang yang tidak memperbetulkan urusan anak yatim (2:220), dan orang-orang yang mengamalkan ilmu sihir (10:81). Satu contoh sihir di dalam al-Qur'an, selain daripada tongkat dan tali-tali menjadi ular dalam kisah Nabi Musa, ialah memisahkan lelaki dengan isterinya (2:102).
Golongan yang membuat kerosakan di bumi turut terdiri daripada orang-orang yang membazir - "Dan janganlah mentaati perintah orang-orang yang membazir (berlebihan), yang membuat kerosakan di bumi, dan tidak membetulkan." (26:151-152). Contoh-contoh amalan yang membazir atau boleh menyebabkan pembaziran adalah:
makanan, minuman, dan perhiasan (pakaian) di masjid (7:31),
pemberian makanan, seperti buah-buahan (6:141),
pemberian nafkah (25:67),
pembunuhan (17:33),
amalan homoseksual (7:81),
melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),
melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),
ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan
berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28).
Kembali kepada tajuk. Orang-orang yang tidak mempercayai ayat-ayat Allah sebenarnya membuat kerosakan (10:40). Seterusnya, mereka yang tidak mempercayai serta menghalangi orang lain daripada jalan Allah turut dikatakan membuat kerosakan tetapi dikenakan azab yang bertambah. Firman-Nya,
"Orang-orang yang tidak percaya, dan menghalangi daripada jalan Allah, merekalah yang Kami menambahkan azab di atas azab kerana mereka membuat kerosakan." (16:88)
Manakala bagi mereka yang menyangkal, walaupun jiwa mereka meyakininya, kerana sombong dan zalim, tidak terlepas daripada azab yang berat:
"Dan mereka menyangkalnya (ayat-ayat Allah), walaupun jiwa mereka meyakininya, dengan kezaliman dan daripada kesombongan. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang membuat kerosakan!" (27:14)
Ayat-ayat Allah atau Peringatan tidak akan ikut keinginan sesetengah manusia. Jika begitu maka rosaklah langit dan bumi dan segala yang di dalamnya (23:71).
Allah telah memberi beberapa contoh kaum zaman dahulu yang dihapuskan dengan bencana alam kerana mereka membuat kerosakan di bumi. Seperti kaum Lut (29:30) yang mengamalkan homosekual dengan meluas dan terbuka.
Atau, kaum Shuaib iaitu orang-orang Madyan yang tidak menepati sukatan dan timbangan untuk mengurangi sesuatu bagi manusia, dan duduk di setiap jalan, mengancam, serta menghalangi orang-orang yang percaya daripada jalan Allah dengan menginginkannya menjadi bengkok (7:85-86).
Dan Tsamud, kaum Nabi Salleh, yang telah "membuat kecelakaan di bumi dengan membuat kerosakan," (7:74). Mereka mencederakan unta betina kerana tidak percaya kepada apa yang dibawa oleh Nabi, memandang rendah kepada perintah Tuhan, dan mereka lebih menyukai kebutaan daripada petunjuk.
Di kotanya pula, terdapat sekumpulan sembilan orang yang membuat kerosakan di bumi (27:48). Mungkin mereka adalah orang-orang yang berkuasa. Sementara di Mesir, selain Firaun dan pembesar-pembesarnya yang membuat keroskan (7:103), ialah Karun, seorang yang sangat kaya dan angkuh (28:77). Semuanya telah dihapuskan Tuhan kerana membuat kerosakan di bumi.
Kerosakan di bumi yang dilakukan oleh manusia meluas hingga kepada tumbuh-tumbuhan. Tanaman bersama anak-anak pokok dimusnah. Firman-Nya,
"Dan apabila dia berpaling, dia berusaha di bumi untuk membuat kerosakan padanya, dan untuk memusnahkan tanaman, dan anak-anak pokok; dan Allah tidak menyukai kerosakan." (2:205)
Kerosakan yang dilakukan oleh manusia jelas kelihatan, baik di darat mahupun di laut. Keburukan daripada kerosakan hasil kerja tangan-tangan mereka sengaja dirasakan ke atas mereka oleh Allah supaya mereka kembali. Firman-Nya,
"Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri mengusahakan, supaya Dia merasakan kepada mereka sebahagian daripada apa yang mereka buat, supaya mereka kembali." (30:41)
Orang-orang yang membuat kerosakan di bumi, dari penumpahan darah ke pemusnahan tanaman adalah jahat pada pandangan Allah. Sifat mereka berlawanan dengan orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah dan membuat kerja-kerja kebaikan, atau bertakwa. Firman-Nya,
"Atau, adakah Kami akan membuat orang-orang yang percaya dan membuat kerja-kerja kebaikan, seperti orang-orang yang membuat kerosakan di bumi, atau, adakah Kami akan membuat orang-orang yang bertakwa seperti orang-orang yang jahat?" (38:28)
Di akhirat, tempat yang baik disediakan bagi orang-orang yang tidak sombong terhadap ayat-ayat Allah dan yang tidak membuat kerosakan di bumi. Mereka adalah orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan). Firman Tuhan,
"Tempat kediaman akhir itu, Kami membuatnya untuk orang-orang yang tidak menghendaki kesombongan diri di bumi, dan tidak juga kerosakan. Kesudahan adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (28:83)
Bacaan tambahan:
Kalimat Pilihan: Rosak
Artikel: Bencana Alam - kemurkaan dari langitPenulis Bacaan
29 Januari 2005
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman